Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 1

"Sayang!"


Rizki sudah terjengul di depan pintu butik.Hari itu, wajahnya tidak seceria selalu.


"Nah, your favourite coffee.As usual."


Rizki meletakkan secawan kopi panas di atas meja kecil sambil memandang ke arah Dania yang sedang sibuk dengan patung-patungnya.Jejaka tinggi lampai itu mula memerhati satu persatu koleksi rekaan busana yang terdapat di butik kepunyaan tunangnya itu.


Walaupun Dania bukanlah lulusan luar negara, harus diakuinya kebolehan gadis muda itu yang bukan calang-calang.Rizki percaya, sedikit masa lagi Dania pasti berada sebaris dengan pereka-pereka fesyen terkenal tanah air.


"Awal hari ni?"


Ayumi, teman baik merangkap pembantu Dania di butik, menyapa Rizki yang sedang membelek sepasang baju songket moden berwarna coklat gelap.Gadis seumuran Dania itu baru sahaja mahu meninggalkan butik ketika Rizki sampai.


"Haah, Yumi.Penat sikit hari ni tu yang balik awal."


Jawab Rizki pendek.Dia menoleh ke arah Ayumi.Gadis itu kelihatan manis memakai baju kurung bercorak bunga-bungaan kecil.Beberapa saat kemudian, kelibat Ayumi hilang di sebalik pintu setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Dania dan Rizki.


Dania senyum senang melihat kehadiran jejaka yang dinanti-nantikan itu.Dia melirik jam di dinding.Masih awal.Biasanya dekat jam enam petang barulah nampak batang hidung.Nak pula kalau Rizki lewat keluar dari pejabat.Alamatnya dekat maghribla baru sampai ke rumah.


Bukan tidak boleh pulang sendiri, tetapi sejak bertunang, Rizki berkeras untuk menjadi pemandu peribadinya.Katanya itu adalah salah satu kewajiban sebagai bakal suami.


"Dah kira bagusla tu dia nak ambil dan hantar kau tiap-tiap hari.Patutnya kau kena hargai apa yang dia buat.Bukan mengomel macam mak nenek.Ingat senang ke nak dapat lelaki yang setia bertahun-tahun dan sanggup buat apa saja untuk kau.Kau beruntung tau tak Nia?"


Dania pernah merungut apabila beberapa kali Rizki terlewat menjemputnya.Padahal dia boleh sahaja menumpang Ayumi untuk pulang.Sudahnya, dia terpaksa mendengar bebelan Ayumi.


Kata-kata Ayumi itu tiada yang salah.Seingat Dania, sepanjang tiga tahun ini, jarang sekali hubungan mereka bermasalah.Dania bahagia sekali dengan perhatian yang diberikan jejaka itu terhadapnya.Hinggakan sikap Rizki yang terlalu mengambil berat kadangkala menimbulkan rasa cemburu di hati Ayumi.Dan kini, tinggal beberapa minggu sahaja lagi Dania akan sah menjadi milik jejaka itu.


Cuma sejak akhir-akhir ini, Dania merasakan ada perubahan dalam diri Rizki.Entah kenapa semakin mendekati hari pernikahan, sikap Rizki terlihat semakin aneh.Pada mulanya, Dania cuba meyakinkan diri kalau itu cuma mainan perasaannya sahaja.Dia sedaya upaya cuba untuk berfikiran positif dan tidak terlalu memikirkan hal itu.Namun, apa yang terjadi kebelakangan ini agak menganggu fikiran Dania.


Pernah satu ketika, mereka makan tengahari bersama di sebuah restoran.Dania begitu teruja berbicara mengenai barang hantaran tetapi Rizki langsung tidak berminat untuk memberi respon.Dia hanya menikmati makanannya sambil sesekali mengangguk kecil.


Beberapa kali juga, Rizki terlupa membalas pesanan Dania melalui aplikasi Whatsapp.Apa yang tidak pernah dilakukan Rizki sebelum ini.Bila ditanya, Rizki mengatakan dia tidak perasan atau tidak sempat melihat pesanan di telefon kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan di pejabat.Beberapa kali jugalah gadis itu berkecil hati kerana Rizki terlupa dengan janjinya untuk makan tengahari bersama.


Kadangkala Dania terfikir bahawa perubahan Rizki itu bukanlah satu perkara yang normal tetapi sangat drastik.Ketika diadukan kepada Ayumi, teman baiknya itu hanya menasihatinya untuk bersabar dan tidak berfikiran negatif.


"Buat masa ni kau sabar jela dulu.Selama ni pun dia tak pernah buat masalah kan.Mungkin sekarang ni dia memang tengah betul-betul sibuk dengan kerja.Takkan kau harap dia nak ada masa untuk kau je 24 jam?Tak lama lagi korang berkepitlah puas-puas."


Kata-kata Ayumi itu sedikit sebanyak melegakan perasaan Dania.


Tangan Dania berhenti dari membetulkan baju pada patung apabila kelibat tunangnya itu hilang dari pandangan.


"Laa, kat sini rupanya awak."


Dania berdiri tidak jauh dari Rizki.Wangian maskulinnya memenuhi segenap ruang butik.


Rizki tidak mengendahkan kehadiran Dania.Matanya kini tercacah pada sepasang gaun pengantin putih yang dipasangkan pada patung model.Kedudukannya yang terletak di sudut paling hujung menjadikan busana itu terlihat sangat istimewa.


Ditelitinya gaun itu atas bawah berulang kali.

Rekaan ala-ala Inggeris itu kelihatan sempurna sekali walaupun tanpa perhiasan yang sarat.Simple but elegant.


"Hmm, let me guess..Ini baju pengantin awak kan, sayang?No wonder it looks like a princess.Just like you."


Rizki memuji-muji keanggunan busana itu.

Matanya tidak lekang dari meneliti setiap inci gaun putih bersih itu.


"You are really a good designer, my dear.I am proud of you."


Dania kembang menerima pujian sebegitu.

Hatinya berbunga setaman.Dia tidak menyangka yang Rizki begitu menyukai hasil rekaannya itu.


"I am glad you like it!Thanks, dear."


Dania menghampiri Rizki lalu menyentuh gaun putih itu.


"Kalau saya pakai mesti cantik, kan?Awak nak tengok tak?"


Dania semakin teruja setelah menerima komen yang positif dari Rizki.Sudah lama dia mahu mencuba gaun itu tetapi baru hari ini dia berkesempatan untuk menyiapkannya.


"Buat apa nak cuba, sayang..Kan nak pakai jugak nanti."


Rizki mengelus rambut Dania yang ikal mayang sebelum berlalu meninggalkan gadis itu yang terpinga-pinga.Jejaka berkumis nipis yang mengenakan kemeja biru laut itu melepaskan satu keluhan sebelum merebahkan punggungnya di sofa empuk.Telefon bimbit berjenama Samsung dikeluarkan dari kocek seluar.Wajahnya serius menatap skrin di tangan.


Dania terdiam di hadapan baju pengantinnya.Dia kecewa dengan respon yang diberikan Rizki.Jauh menyimpang dari apa yang dijangkakan.Angan-angan untuk bergaya di hadapan Rizki dengan busana itu terbang bagai angin meniup.


'Sabar Nia.Sabar..'


Dania menarik nafas dalam-dalam.Cuba menenangkan hatinya yang berkocak.Bukan sekali dua dia mengalah dengan sikap acuh tak acuh tunangnya.Padahal sebelum ini, Rizki lah orang yang paling teruja dalam mengurus hal pernikahan mereka.Sesibuk apa pun Rizki, dia pasti menyempatkan waktu untuk memenuhi segala keperluan Dania.


'Atau jangan-jangan..'


Nasihat Ayumi tiba-tiba muncul di ruang minda.Dania pejam mata.Andaian negatif yang sempat singgah di benak fikiran segera dihapuskan.Saat ini, tidak wajar andai dia mahu bersangka buruk terhadap lelaki itu hanya disebabkan isu baju pengantin.Apa lagi mahu bersikap keanak-anakkan.


Dania duduk di sofa berhadapan Rizki.Secawan kopi yang telah suam dicapai di atas meja lalu dihirupnya sedikit.Tekaknya terasa kelat saat menatap wajah sugul Rizki.


"Banyak sangat ke kerja dekat pejabat?"


Dania berbasa basi.Masih terasa dengan sikap Rizki tadi.Namun Dania tidak dapat menyembunyikan rasa bimbangnya terhadap perubahan sikap tunangnya itu.


"Hmm.Biasalah sayang..Selagi belum mati, selagi tu takkan habis."


Kata-kata Rizki menimbulkan rasa kurang senang di hati gadis itu.Dania bangun lalu melangkah ke bilik pejabat.Dicapainya beg tangan merah jambu lalu kembali semula kepada Rizki yang masih dengan telefon bimbitnya.


"Jomlah balik.Awak penat kan.Saya pun penat jugak."


Dania sudah tiada hati untuk berada di situ.Entah kenapa, hatinya benar-benar tersentuh dengan apa yang baru terjadi.Dia bimbang tidak dapat mengawal emosi seandainya masih di situ.Apatah lagi bila mengenangkan satu persatu sikap Rizki yang menyebalkan.


Ibarat dipukau, Rizki bangun dari sofa tanpa kata.Dia menuju ke muka pintu dengan langkah yang malas.Manakala Dania hanya memerhatikan gerak geri Rizki sambil mengekori dari belakang dengan perasaan yang bercampur baur.






Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi