Setahun Kemudian…
Dengan langkahan yang berhati-hati,
Nadia Asyila menatang dulang yang berisi nescafe panas dan sedikit kuih muih
menuju ke arah suaminya yang sedang leka memandang laut.
Diletakkan dulang tersebut di atas
meja kecil yang kedudukannya sengaja menghadap laut. Setelah itu, dilabuhkan
duduknya di sebelah suami tercinta yang dikahwininya setengah tahun yang lalu.
Senyuman mesra dilemparkan saat si
suami memandang dan menyambut senang kedatangannya. Iqmal Hisyam memeluk mesra
bahu isterinya dan menarik badan kecil itu agar rapat ke tubuhnya. Amat
memberikannya ketenangan dengan dibelai angin sepoi-sepoi bahasa yang datang
dari arah laut.
Dikucup mesra ubun-ubun Nadia Asyila.
Menampakkan dengan jelas betapa dia sangat mencintai wanita di sebelahnya itu.
walaupun wanita itu sudah menjadi halal di sisi pencipta sejak enam bulan yang
lalu, namun dia merasakan sukar untuk berenggang dengan isterinya itu walaupun
sesaat. Betapa aneh dan nikmatnya perasaan cinta yang diberikan oleh yang Esa.
Dua bulan yang lepas, mereka
menjejakkan kaki ke rumah yang dihadapannya terbentang dengan pemandangan laut.
Kedudukannya yang sedikit tinggi di atas bukit. Satu kejutan yang dibuat oleh
Iqmal Hisyam untuk isteri tercintanya.
Sejak dari dulu lagi dia tahu yang
Nadia Asyila mempunyai impian untuk memiliki rumah yang sebegitu. Menghuninya
bersama insan yang dicintai. Impian itu berjaya dipenuhi setelah syarikat yang
diusahakannya sejak setengah tahun yang lalu mendapat projek yang mencecah
jutaan ringgit. Syukurnya tinggi melangit terhadap anugerah yang Maha Esa.
Kejutan itu sememangnya memberikan
satu nafas baru untuk Nadia Asyila. Kegembiraannya berganda. Rumah yang
berharga melebihi setengah juta itu juga dinamakan atas nama Nadia Asyila.
“ Apa yang abang menungkan? Tak boring
ke hari-hari duk tenung jer laut tu.” Senyuman lebar terserlah di bibir Iqmal
Hisyam mendengar patah perkataan isterinya.
“ Memang rumah impian sayang ni
sentiasa membuatkan hati abang sejuk. Kalau kita sentiasa bersama lagi la abang
rasa macam nak pergi kerja pun malas. Rasa macam nak duduk macam ni. Biar mati
kering pun tak apa.”
“ Iyelah tu. Baru kahwin enam bulan
dah nak mati. Tak puas lagi hidup dengan suami tersayang ni.”
Iqmal Hisyam tergelak besar. Isterinya
itu selalu menyenangkan hatinya. Tidak pernah sekalipun hatinya disakiti selama
mereka menjalani hidup bersama. Hatinya sentiasa berbunga bahagia dengan
layanan Nadia Asyila.
“ Abang bukan termenung pun. Cuma
sekejap tadi abang ada terfikirkan tentang Fazar. Entah di mana dia sekarang.
Sudah terlalu lama dia menghilang. Sejak abang dijatuhkan hukuman dulu, abang
tak pernah nampak muka dia. Mungkin dia kecewa dengan abang. Dengan sikap abang
yang mengkhianatinya.”
Nadia Asyila mengiringkan duduknya.
Memandang suaminya sambil tangannya menggenggam kemas tangan kasar Iqmal
Hisyam.
“ Nadia tak rasa itu sebabnya kenapa dia
menghilangkan diri. Dia juga sudah memaafkan semua salah abang. Cuma…”
Lidah itu berhenti berbicara. Matanya
memandang laut yang luas.
“ Entahlah bang. Nadia pun tak tahu
kenapa dia menghilangkan diri dengan tiba-tiba. Langsung tiada khabar berita.”
“ Abang pun harap macam tu. Semoga
satu hari nanti kita akan dengar juga khabar daripadanya. Sudahlah! Jangan
fikirkan benda yang kita sendiri tak tahu apakah kesudahannya.”
Nadia Asyila mengangguk tanda
mengiyakan kata-kata suaminya itu. Seketika kemudian tangannya mengambil
nescafe yang terhidang. Menghulurkan kepada suaminya.
Iqmal Hisyam mengucapkan kesyukuran
setelah hanya tinggal setitik dua sahaja baki nescafe di cawannya. Dia
melangkah mendekati posmen yang membunyikan hon di luar pagar.
“ Maaflah bang. Sengaja saya bunyikan
hon. Kebetulan ternampak abang ada kat sana. Sengaja saya tak masukkan surat ni
ke dalam peti tu.”
Sambil mulut posmen itu memuncung ke
arah peti surat yang melekat di dinding pagar rumah yang didiami oleh Iqmal
Hisyam.
“ Tak apa. Abang tak kisah pun.
Bukannya mengganggu pun.”
“ Nah! Ini surat untuk Iqmal Hisyam
Muhammad. Mungkin tu nama abang.” Iqmal Hisyam tersenyum. Ternyata surat itu
untuknya.
“ Jauh surat ni bang. Setem dari
Australia tu.”
“ Australia?”
Posmen muda itu mengangguk walaupun
soalan itu sebenarnya ditujukan Iqmal Hisyam kepada dirinya sendiri.
“ Kenapa bang?”
“ Tak ada apa. Setahu abang yang abang
tak ada kawan atau saudara mara yang tinggal kat Australia.”
“ Mungkin ada
sejarah baru di antara kenalan abang yang baru tinggal di sana.”
Iqmal Hisyam
tersenyum. Petah sungguh budak itu memberikan pendapat. Setelah mengucapkan
terima kasih dan berbalas ucapan salam, deruan enjin motor menjauh meninggalkan
rumah yang tersergam indah itu.