“ Seandainya Syam diberi pilihan, Syam
takkan pernah pandang untuk selitan yang sebegini dalam takdir kita. Syam hanya
mahukan senyuman Nadia untuk menghiasi detik-detik dalam hidup Syam. Untuk
selamanya.”
Air mata kesyukuran menitik keluar
dari kolam mata mereka. Kawan-kawan yang turut sama berada di situ kagum dengan
cinta yang wujud di hati keduanya.
“ Radlina. Tiada kata yang mampu saya
ucapkan untuk menggambarkan ucapan terima kasih saya pada awak. Dengan
pertolongan awak saya mampu tersenyum walaupun keadaan itu menyiksakan.”
“ Saya hanya sekadar melakukan apa
yang ditugaskan. Sememangnya takdir yang
mahukan begitu. Bukan jasa saya dalam menentukan nasib awak. Awak yang
sebenarnya banyak mengajar saya untuk terus memperjuangkan sebuah kebebasan.
Cinta kalian berdua mengajar saya agar saya lebih menghargai hidup ini.”
Kata-kata itu menerbitkan senyuman
pada wajah keinsafan Iqmal Hisyam. Matanya memandang satu persatu wajah yang
hadir untuk mendengar kesalahan dunia yang dilakukannya. Kawan-kawan yang setia
dan keluarga wanita yang disayanginya turut sama berada di situ. Senyuman
ikhlas yang terpancar di bibir mereka membuatkan hatinya tenang.
“ Maafkan saya mak cik.”
“Syyy… tiada dosa yang kamu lakukan
dengan mak cik. Kebahagiaan Nadia adalah segalanya buat mak cik. Mak cik yakin
dia takkan salah dengan pilihannya. Usah risau dengan pandangan orang
sekeliling. Tak ada yang sempurna dalam dunia ni. Kisah kamu berdua menyedarkan
mak cik yang Allah itu maha agung. Dengan setiap anugerah yang Dia berikan.
Sebenarnya kamu satu dalam seribu nak.”
“ Perjalanan saya selepas ini hanya
akan menyiksakan hati Nadia. Juga hati ramai orang yang menyayangi saya.”
“ Penyiksaan itu tak bermakna bila ada
yang menyayangi kita. Percayalah. Mak cik doakan kesejahteraan kamu.”
“ Betapa sebenarnya saya harus bersyukur
dengan pemberian yang Esa ini. Kalaulah saya diberi peluang untuk merubah
segalanya, saya takkan pernah melukakan hati sesiapa.”
“ Mintalah dengan Allah. Dia sentiasa
menyayangi hambaNya. Untuk perjalanan yang akan datang, lakukan yang lebih baik
dari hari-hari semalam.”
Tiada lagi kata yang mampu terkeluar dari
bibir lelaki itu. Air mata yang terbit dari kolam matanya itu menunjukkan
betapa dia bersyukur kerana dirinya masih dihargai walaupun keadaan mendera
dirinya.
Setelah tangannya digenggam untuk
seketika oleh Nadia Asyila, Iqmal Hisyam memanjangkan langkahannya menuju pintu
keluar mahkamah. Dia redha dengan segalanya. Takdir yang mahukan perjalanan
dirinya sebegini. Doanya terus dipanjatkan kepada ilahi supaya cinta Nadia
Asyila takkan pernah pudar untuknya. InsyaAllah.