Setelah Encik Junaidi menghabiskan ayatnya yang
terakhir, Nadia Asyila pantas menutup bukunya. Dikerling Amierah yang berada di
sebelahnya.
Seperti ada yang tidak kena. Bukan dia tidak perasan.
Dari tadi lagi gadis itu asyik menjelingnya.
“ Kau ada masalah ke?”
Nadia Asyila menyandarkan badannya di dinding sambil
matanya tidak lepas memandang Amierah. Dia sedikit mengaduh bila terasa sedikit
sengal ketika tangannya terkena kerusi. Amierah menjuihkan bibirnya.
“ Kau tu yang ada masalah.”
Eh! Aku pulak? Apa masalah aku? ni sengaja nak tambahkan
sakit aku.
Nadia Asyila menggerutu. Mengeluh perlahan. Dijungkitkan
sedikit keningnya sebagai isyarat yang dia tidak memahami apa yang disampaikan
oleh sahabatnya itu.
“ Masalah kau, kau tu gatal sangat. Kau tu perempuan.
Ingat sikit.”
Nadia Asyila rasa terpukul dengan kata-kata itu. Hatinya
sedikit sebak.
“ Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?”
Gadis itu melembutkan nada suaranya.
“ Aku sedar. Aku cuma nak kejutkan kau aje. Nak
bangunkan kau.”
Nadia Asyila memegang kepalanya. Pening dengan apa yang
berlaku.
“ Si Hisyam tu nakkan kau, kau tak layan. Kenapa kau
gatal sangat nak bermesra dengan Fazar? Dia tu Fasha punya tau.”
Amierah cuba mengingatkan. Gadis itu sedar walaupun
mereka berdua tidaklah berkawan rapat dengan Fasha kerana jarak umur mereka
yang melebihkan Fasha setahun, namun, mereka tetap berkawan.
Malahan, kelas Fasha hanya bersebelahan dengan kelas
mereka. Nadia Asyila pantas menekup mulut kawannya yang ingin meneruskan kata.
“ Kau tu, cakap boleh slow tak?”
Pantas pandangannya dialihkan ke kiri dan kanan.
Tak ada orang. Huh lega!
“ Kononnya berehat kat bilik kesihatan. Apa kau ingat
mata aku buta? Aku nampak kau dengan dia tengah bergelak ketawa dekat lorong
berhampiran tandas. Apa kes? Kau bolehlah tipu si Jambang tu tapi bukan aku.”
Amierah puas bila dapat melepaskan apa yang terbuku di
hatinya.
“ Habis, yang kau sakit hati sangat ni kenapa? Si Fazar
tu pakwe kau ke? Tak kan! Memang betul dia pakwe si Fasha tu. Tapi mereka tak
kahwin lagi. Jangankan kahwin. Bertunang pun belum. Aku bukannya kacau laki
orang.”
Nadia Asyila berkata sinis. Geram kerana sahabat baiknya
itu menghentamnya dengan tiba-tiba. Amierah mendengus marah. Nadia Asyila
hairan dengan sikap gadis yang berada di sebelahnya.
Minah ni ada hati dengan Fazar Ke? Ah! Tak mungkin.
“ Aku tak nak kau lukakan hati Hisyam. Dia dah ada depan
mata. Dah banyak kali yang dia cakap dia cintakan kau. Tapi kau tak layan. Aku
yakin yang dia benar-benar sayangkan kau. Lagipun dia handsome. Tak kurang
dengan si Fazar tu.”
“ Kenapa kau masih jugak nakkan si Fazar tu? Kau ni
memnag bodoh! Kalau aku jadi kau, dah lama aku mampus. Sampai bila kau nak
tunggu dia? Sampai bila? Sampai dia putus dengan Fasha? Sampai dunia ni
terbalik? Kalau aku dah lama gila. Tak cukup ke dua tahun kau tunggu dia?”
Gadis itu sudahpun memperlahankan suaranya. Tangannya
menyentuh lembut bahu kawannya. Nadia Asyila memandang wajah di hadapannya
tanpa berkelip. Rahsia yang disimpan kejap selama ini sudah terbongkar.
Bagaimana?
Ada cecair pada tubir mata gadis itu yang mahu gugur.
Tanpa dapat ditahan, perlahan-lahan air jernih itu mengalir menuruni pipinya.
Amierah pantas menyapunya. Penuh dengan kasih sayang.
“ Ma… mana kau… tahu?”
Hampir tak terkeluar suara dari bibir mulus gadis itu.
“ Maafkan aku Nadia. Bulan lepas, masa kita cuti
panjang, sebelum kita balik negeri masing-masing, aku tersepak sesuatu kat tepi
katil kau. Bila aku ambik dan aku buka, rupanya diari kau.”
Amierah berhenti seketika.
“ Entah kenapa, hati aku nak tahu sangat apa yang kau
tulis. Maafkan aku. Aku tahu yang aku tak patut buat macam ni kat kau. Tapi,
sekurang-kurangnya aku tahu apa yang kau sembunyikan daripada aku.”
Panjang lebar bicara gadis itu menerbitkan lagi air
jernih di wajah Nadia Asyila. Lama Nadia Asyila mendiamkan diri sambil melayan
perasaannya. Dia tidak pasti apa yang dirasakannya saat itu.
Marah? Untuk apa? Dia dah lama tahu. Benci? Tidak! Dia
sahabat yang paling aku sayang dan paling memahami aku. sedih? Segalanya sudah
berlalu. Kalau sejak dari dulu aku beritahu tentang perasaan aku pada Fazar,
mungkin takkan jadi macam ni. Kalau lelaki itu menolak, mungkin perasaan aku
padanya tak sekuat hari ini. Dan kalau Fazar terima, mungkin aku gembira
sekarang. Tapi kenapa aku pilih untuk berdiam diri? Kenapa? Betul cakap kau
Mierah. Aku memang bodoh!
“ Lagipun kau tunggu dalam diam. Tanpa suara. Akan ada
ke cinta yang berbalas kalau macam tu? Aku tak pernah dengar lagi selama aku
hidup ni.”
“ Macam mana dia nak cintakan aku kalau aku bercakap
kosong dengan dia pun kau dah bising. Bising risaukan hati Syam terluka. Bising
kerana risaukan si Fasha. Habis aku ni? Kau tak nak bising pulak hal aku. hati
aku.”
Ayat yang dituturkan itu penuh dengan rasa sebak.
“ Kau tengah bising tentang kau la ni mak cik. Nak
sedarkan kau yang jalan yang kau pilih tu salah. Sudahlah. Kau takkan pernah
dapat cinta si Fazar tu. Kalau pun betul satu hari nanti dia akan cakap yang
dia cintakan kau, kau jangan nak bagi harapan sampai tahap dialah segalanya
yang ada dalam dunia ni. Bukannya semua orang tak tahu yang dia tu buaya.”
“ Sampai hati kau cakap macam ni. Macam ni ke kawan?”
Amierah mengeluh. Penat kerana mahu membuatkan kawan
yang tidak mahu memahami.
“ Nadia, maafkan aku. Aku tak bermaksud untuk mengetahui
rahsia hati kau. Tapi kau tak patut untuk menyembunyikan semua ni. Kau akan
terbeban.”
Amierah mengambil tangan kawannya dan menggenggamnya
erat.
“ Entahlah! Aku pun tak faham kenapa ini yang mesti aku
rasa. Kenapa ini yang mesti aku lalui. Sedangkan, Fazar tak pernah pun pandang
aku.”
“ Lupakanlah dia. Aku tengok dia serius dengan Fasha.”
“ Semuanya bukan mudah Mierah. Aku dah terlalu sayangkan
dia. Hati aku dah terkesan sangat dengan dirinya. Walaupun dia belum cakap yang
dia cintakan aku, aku sudah meletakkan dialah segala-galanya pada aku.”
“ Macam mana dengan Syam? Dia sayangkan kau.”
Nadia Asyila mengeluh dan memandang wajah Amierah. Menentang
mata coklat milik gadis itu.
“ Aku dah beritahu dia tentang perasaan aku. Aku tak
boleh paksa diri aku untuk cintakan dia. Aku tak nak hati dia hancur dengan
mengharapkan aku.”
Kali ini kedengaran pula keluhan dari bibir Amierah.
Ogos 2005
Nadia Asyila mengeluh kesal dengan sikap kawannya.
Amierah benar-benar menduga kewarasan akalnya.
Silapnya juga kerana lalai menyimpan diari miliknya.
Amierah mengambilnya semasa dirinya ke tandas. Kerana itulah masa yang paling
sesuai untuk gadis itu dirasakannya untuk bertindak.
Amierah sekali lagi mencuri diarinya. Untuk apa? Gadis
itu memberitahu bahawa dia telah menyerahkan diari itu kepada Iqmal Hisyam. Ah!
Pusing. Kenapa mesti begitu?
Rahsia hatinya sudah dicanang. Diarinya ada bersama
Iqmal Hisyam. Gadis itu merasakan malu yang teramat. Dia kesal dengan
kesilapannya. Untuk memarahi Amierah, untuk apa? Benda sudah pun berlaku.
Lagipun, alasan yang diberikan oleh gadis itu adalah
untuk kebaikan dirinya. Supaya dia melupakan Fazar Azameer dan menyemai
kasihnya dengan Iqmal Hisyam. Katanya, lelaki itu tidak kisah jika dia pernah
menyintai Fazar Azameer. Ah! Tiada apa yang perlu dimarahinya. Dia kini malu
dengan Iqmal Hisyam. Lelaki yang tidak jemu menyintainya.
Pasti Hisyam sudah mengetahui segala-galanya. Apa
reaksinya? Marahkah kerana aku menyintai lelaki yang merupakan sahabat karibnya?
Sedihkah kerana dirinya langsung tidak dihargai dan tiada dalam hatiku selama
ini?
Mungkinkah dia menganggap yang aku muka tak tahu malu
kerana sanggup mencintai lelaki yang bercinta dengan lelaki yang bercinta
dengan sahabat sendiri? Apakah yang dirasakannya saat ini?
Tiada lagi kata-kata yang terbit dari mulut gadis lincah
itu. Berdiam diri adalah pilihannya. Kerana dia sedar apa pun yang
diperkatakannya sekarang tidak akan dapat mengubah apa yang berlaku.
*****************************************************************
Iqmal Hisyam menutup diari yang telah mencatat rahsia
hidup Nadia Asyila. Ungkapan aku cinta padamu yang ditujukan kepada Fazar
Azameer amat memilukan hatinya. Jiwanya bagaikan lumpuh.
Tiada daya untuk terus menyuarakan cintanya. Kini dia
sedar, rupanya dia telah lama tersungkur tanpa rebah. Sokongannya untuk bangun
semula tinggal sifar. Namun, hatinya degil.
Aku telah mulakannya dan aku akan tamatkannya. Aku tidak
mahu noktah yang memalitkan penderitaan. Aku akan kuburkan segala kesedihan.
Aku akan pastikan yang ada jodoh antara kita. Tunggu aku Nadia Asyila.
OGOS 2006
Iqmal Hisyam memasukkan diari Nadia Asyila ke dalam beg
sandangnya. Dia perlu menghadiri kuliah. Sudah setahun diari itu berada di
dalam simpanannya.
Sudah berbuih mulut Nadia Asyila meminta diari itu namun
dia tidak pernah mahu meyerahkannya. Berbagai alasan yang diberikan. Walau apa
sahaja desakan Nadia Asyila, dia sentiasa dapat menangkisnya.
Apa yang penting, dia mahu diari itu akan terus berada
di dalam simpanannya. Dia tidak pernah jemu membawa diari itu ke mana sahaja
dia pergi. Apa yang dia tahu, diari itu akan memberinya ruang untuk dia lebih
menguatkan semangat mencintai gadis itu.
Perasaannya semakin mendalam dan tidak pernah pudar
menyintai gadis itu. Setiap patah perkataan yang tertulis di dalam diari itu
memberinya satu peringatan yang hati gadis itu perlu dirampas.
Ianya perlu disuburkan dengan rasa cinta yang penuh
keikhlasan yang dirasakan olehnya. Dia akan membuktikan kepada Nadia Asyila
tentang rasa hatinya bukan sekadar mainan dan bukan cinta budak mentah yang
hanya akan pudar ditelan masa.
Dia pasti yang suatu hari nanti gadis itu akan Nampak
cinta sucinya. Walaupun dia benci dengan nama Fazar Azameer yang tertulis di
dalam diari itu, namun dia cuba untuk tidak kisahkan tentang nama itu. Memang
dia tidak pernah menduga akan sahabat karibnya sendiri yang akan dicintai oleh
gadis itu.
Walaupun dulu dia pernah mengesyaki dalam diam. Namun,
tidak pernah terjangka akan perasaan yang dirasakan oleh gadis itu terhadap
Fazar Azameer terlalu kuat. Mungkin juga lebih kuat dari apa yang dirasakannya
sendiri terhadap gadis itu.
Beberapa bulan yang lalu, dirinya telah menjejakkan kaki
ke menara gading yang menjadi kebanggaan golongan mahasiswi dan mahasiswa
sepertinya.
Walaupun bergelar seorang mahasiswa yang dihuni oleh
berbagai perempuan yang cuba memikat hatinya, namun, cintanya masih utuh pada
gadis yang bernama Nadia Asyila.