Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 25

Radlina memuncung dengan berita yang baru diterimanya. Nadia Asyila tidak akan mengikuti mereka untuk bersama-sama bercuti. Rajuknya mula membukit. Nadia Asyila menggerak-gerakkan mulutnya. Sedar yang sebenarnya dia bersalah.

Dipandang wajah kawan-kawan yang lain yang turut berada di ruang tamu. Menonton televisyen. Mengenyitkan matanya pada Amierah. Cuba meminta bantuan. Wajah itu buat selamba. Yang lain juga begitu. Mereka juga sebenarnya merajuk dengan berita yang mereka terima. Memang patut Radlina merajuk.

“ Alah aku bukannya sengaja tak nak ikut.”

“ Kau tu memang banyak alasan. Dah Lin nak sponsor semuanya. Kau Cuma bawak badan je. Tu pun susah. Kami ni kerja jugak. Tapi tak de lah mengelak macam kau.”

Aini membidas. Nadia Asyila mencerunkan matanya kepada wajah itu.

“ Eh sedapnya minah ni cakap.”

Ditonjol dahi wanita itu dengan jari telunjuknya. Geram.

“ Aku bukannya sengaja Lin. Korang nak pergi minggu depan. Cepat sangat tu. Aku kalau apply cuti pun bukannya dalam masa yang singkat dapat tahu lulus ke tak. Lainlah kalau bulan depan. Mungkin dapat.”

“ Kalau macam tu kita pergi bulan depan je lah.”

Radlina menyampuk. Nadia Asyila menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“ Eh aku main cakap je tu. Korang pergi lah minggu depan. Lagipun Aini dah apply cuti kan? Alah, aku tak pergi pun tak apa lah.”

“ Kau ni memang tak faham bahasa lah Nadia. Lin nak meraikan kau yang berjaya dengan rancangan kau untuk tangkap Ilias dan juga meraikan dirinya yang dah terlepas dari cengkaman lelaki jahanam tu.”

Aini sekali lagi membidas.

“ Habis cuti kau tu macam mana?”

Nadia Asyila pula kembali menyoal. Giliran Aini pula yang menggaru kepalanya. Semua yang ada ingin ketawa namun ditahan.

“ Ah! Tak apa lah. Nanti aku handle lah dengan bos aku. Okey jer dia tu.”

Dia berkata selamba.

“ Eh senangnya minah ni. Kalau tak lulus macam mana? Macamlah dia tu laki kau yang kau boleh handle senang-senang hati macam tu.”

Azrin pula menyampuk. Bosan melihat perbualan diorang sedari tadi tanpa memperkatakan apa-apa.

“ Alah, kalau aku kena buang kerja nanti aku kerja di butik kau jelah. Selesai masalah.”

Azrin membentuk-bentukkan mulutnya dengan kata-kata itu. Amierah yang mendiamkan diri dari tadi malas mahu menyampuk. Dia okey pergi bila-bila pun. Mereka merancang untuk pergi hujung minggu. Itu tidak akan memberikan kerumitan kepadanya sebagai seorang guru. Azrin pula sememangnya takkan mempunyai masalah. Pekerjanya ada untuk melihat butiknya.

Shahrina juga lebih senang mengambil sikap mendiamkan diri. Sudah dijelaskan kepada Radlina bila-bila masa pun dia tidak akan mempunyai masalah.

“ Kalau macam tu kita pergi bulan depan je lah.”

Radlina memutuskan.

“ Kita nak bercuti di mana sebenarnya ni?”

Nadia Asyila bertanya. Mula berminat.

“ Pulau Kapas.”

“ Terengganu?”

Semua yang ada mengangguk. Nadia Asyila tersenyum.

“ Nanti boleh la kita melawat sekolah lama kita. Rindunya aku dengan sekolah tu. lepas keluar hari tu tak pernah pun aku jejakkan kaki ke sekolah tu lagi.”

“ Samalah. Kami pun tak pernah pergi sekolah tu lepas keluar. Lepas ni boleh la kita buat rombongan. Tengok kelas-kelas dulu. Kebetulan hari minggu. Kira okeylah sebab tak ada orang. Aku pun tak pernah pergi walaupun negeri kelahiran aku sendiri.”

Azrin mengungkapkan ayat terakhir itu lebih kepadanya dirinya sendiri.

“ Habis tu bila kita nak balik sini?”

Amierah menyoal. Bimbang akan terbabas sehingga hari persekolahan.

“ Kita balik hari isnin la. Kau mc je la hari isnin tu.”

Amierah seakan berfikir seketika dan dia mengangguk setuju dengan apa yang diusulkan Radlina.

“ Okey. Sekarang semua dah settle. Kita pergi bulan depan. Tiada lagi alasan.”

“ Eh tapi aku belum confirm lagi ni. Entah-entah aku tak dapat kelulusan cuti tu.”

Nadia Asyila berkata. Takut-takut.

“ Tadi kau cakap…ah malaslah aku kalau macam ni.”

Radlina kembali memuncungkan bibirnya. Nadia Asyila memandang kiri dan kanannya. Pening dengan semua orang yang seakan mempersalahkannya. Mereka sekali lagi membuat muka selamba.

“ Yelah! Yelah! Aku cuba.”

“ Kau cuba lah sampai dapat. Kalau tak merajuk setahun aku dengan kau.”

Radlina bangun dan berlalu ke dapur. Mahu menyediakan makan tengah hari untuk mereka pada hari minggu itu. Shahrina dan yang lain juga mengikut. Hanya tinggal Nadia Asyila bersendirian di ruang tamu.

“ Setahun? Takkan hari ni dah bermula?”

Nadia Asyila berkata perlahan. Hanya untuk menjadi persinggahan di halwa telinganya sahaja. Matanya memandang kawan-kawan yang berlalu meninggalkannya.

*****************************************************************

Fazar Azameer menghulurkan tangannya kepada klien yang baru sahaja bersetuju dengan apa yang telah diperjelaskannya sebentar tadi. Seperti projek yang lain-lain, untuk kali ini juga dia berjaya memikat hati klien untuk berurusniaga dengan syarikatnya.

Prinsipnya yang selalu mendepankan kejujuran menjadi tunggak utama kejayaannya selama ini. Itulah yang membuatkan dia sedikit bangga dengan dirinya. Setelah menghantar kliennya dengan pandangan menuju pintu keluar, dia kembali duduk di kerusi ruang lobi hotel. Dikemas satu persatu fail yang bersepah di atas meja.

Pertolongan daripada setiausahanya juga banyak membantu. Dia bersandar seketika apabila setiausahanya melarang untuk dia turut sama mengemas fail. Senyuman diberikan kepada setiausaha yang sudah sarat dengan kandungannya.

Diurut batang lehernya yang lenguh. Beberapa hari ini dia tidak cukup tidur. Proposal yang dibentangkannya tadi banyak mencuri masa tidurnya sepanjang dia menyiapkannya. Tidak sanggup untuk memberikan beban yang berat itu kepada setiausahanya yang hanya menunggu hari jangka untuk masuk ke bilik bersalin.

Satu juga beban kepadanya apabila wajah Nadia Asyila juga kerap mengganggu dirinya. Selalu sahaja wajah itu hadir apabila dia ingin melakukan sesuatu.

Kalau tidak benar-benar fokus dengan apa yang dia mahu lakukan, dia akan terleka melayan bayangan wajah yang hadir itu. Memberinya kerisauan tentang rasa hatinya sendiri.

Fazar Azameer melemparkan pandangannya ke ruang lobi hotel yang luas itu. Pemandangannya terasa sedikit tenang dengan suasana hotel mewah itu. Dia kaget apabila matanya terpandang satu jasad yang dirasakan dia amat mengenali jasad tersebut. Tanpa sebarang pamitan, dia bangun dan pantas menuju ke arah insan yang berada dua puluh meter menjauhinya.

Insan yang sedang berurusan di kaunter itu berpaling untuk berlalu setelah mendapat maklumat yang dimahukannya. Langkahnya terhenti apabila melihat batang tubuh yang sedang berdiri menghadapnya.

“ Fazar.”

Bibir itu bersuara. Fazar Azameer mengangguk laju. Tidak menduga insan yang berada di hadapannya pada masa ini adalah seseorang yang telah lama ditunggunya.

“ Fasha.”

Fazar Azameer mengungkapnya sayu. Masih tidak menduga insan yang berada di hadapannya kini adalah seseorang yang sentiasa dinanti kemunculannya.

“ Ke mana you menghilang selama ni? Dah puas I cari. Merata. Tapi tak jugak jumpa.”

Fasha melebarkan senyumannya. Dia mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu perjalanan hidupnya kepada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya saat ini.

“ You ada kerja ke kat sini?”

Fasha menjawab pertanyaan lelaki itu juga dengan pertanyaaan. Masih banyak masa. Fikirnya.

“ Ya! Tadi I jumpa klien. Tapi semuanya dah selesai.”

“ Bolehlah you hantar I balik rumah.”

Fasha sekadar menduga. Fazar Azameer mengangguk laju tanda bersetuju. Dia mendekati setiausahanya yang sedang memandangnya dari jauh.

“ I ada urusan dengan kawan I. Boleh kan you balik dengan teksi?”

Shila hanya mengangguk tanda mempersetujui. Setelah mengucapkan rasa terima kasih, Fazar Azameer kembali memanjangkan langkahnya mendekati Fasha yang sedang menunggu.

Mereka beriringan melangkah ke pintu keluar. Lambaian dihadiahkan oleh Fasha kepada setiausaha lelaki itu yang asyik memandang mereka.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah