Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 29

“ Nadia, aku baru dapat berita tentang kes orang hilang. Kemungkinan besar diculik. Juga curi kereta.”

“ Tak habis-habis dengan curi kereta. Kat mana”?

“ Di kelab malam di jalan Tun Abdul Razak.”

“ Bila?”

“ Malam tadi.”

“ Lokasi tepat?”

“ Di lorong belakang kelab. Daripada rakaman cctv yang ditunjukkan, aku percaya sebenarnya ni kerja kumpulan curi kereta yang sama.”

“ Maksud kau?”

“ Kesimpulan awal yang dapat dibuat melalui rakaman cctv tu, dua orang suspek cuba memecah masuk sebuah kereta. Niat mangsa adalah untuk menghalang suspek. Sebaliknya, dia yang diculik.”

“ Aku percaya, sebenarnya yang suspek tak ada niat nak menculik. Tetapi mungkin kerana wajah mereka dilihat oleh mangsa, itu yang membuatkan suspek bertindak menculik mangsa.”

Panjang lebar Syazwan menerangkan apa yang dirasakan tepat.

“ Dapat cam wajah suspek dalam rakaman tu?”

“ Ada sedikit peluang. Tetapi kena diteliti dengan penuh teliti. Sebab tak jelas sangat.”

“ Ada aduan yang dibuat tentang orang hilang?”

“ Belum ada. Tapi, aku ada bukti yang mangsa memang hilang kerana diculik.”

“ Maksud kau.”

“ Konstabel ada menunjukkan aku barang bukti.”

“ Apa?”

“ Dompet mangsa. Dan bukti itu buat aku betul-betul terperanjat.”

“ Kenapa?”

“ Dompet tu milik Fazar.”

“ Maksud kau, mangsa tu Fazar?”

Jantung Nadia Asyila berdegup kencang. Lemah dirasakan lututnya yang tadinya gagah. Anggukan Syazwan semakin mendebarkan dadanya.

“ Ya.”

“ Kau pasti?”

“ Aku dah call office dia. Dia tak masuk pejabat hari ni. Handphone tak dapat dihubungi. Di rumahnya juga tiada. Keretanya masih ada di belakang kelab tu.”

“ Ya Allah.”

Nadia Asyila duduk di kerusi yang dengan rela menampung berat badannya yang semakin lemah. Sudah tiada daya untuk dia berdiri. Segala urat nadinya lemah.

“ Rakaman cctv tu dah sampai balai?”

“ Ada. Di bawah.”

“ Aku nak tengok.”

Nadia Asyila bangun dan pantas menuju pintu keluar biliknya. Langkahannya itu diikuti oleh Syazwan.

Setelah melihat rakaman, Nadia Asyila pasti yang tidak lama lagi suspek akan dapat dikenalpasti. Walaupun wajah yang kelihatan agak kabur, dia yakin yang proses mencari penjenayah itu tidak serumit seperti yang sebelumnya.

“ Ada anggota kita di tempat kejadian?”

“ Ada. Beberapa orang konstabel. Aku dah arahkan mereka untuk mengawasi tempat tu.”

“ Aku nak gerak pergi tempat tu. Mungkin ada petunjuk yang tersembunyi.”

“ Aku ikut kau.”

Nadia Asyila mengangguk dan mereka berdua pantas keluar dari balai menuju ke arah parkir kereta. Perut kereta Nadia Asyila dibolosi.

Syazwan dapat melihat ketegangan yang tergambar di wajah kawannya. Dia tahu yang perkara yang dihadapi sekarang bukanlah perkara yang remeh. Mereka harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Fazar Azameer.

Untung atau malang nasib lelaki itu tidak diketahui. Mereka perlu cepat dalam melakukan apa-apa tindakan sekalipun. Pihak polis tidak menolak kemungkinan sekiranya nyawa lelaki itu berada dalam keadaan yang bahaya.

Nadia Asyila serius dengan pemanduannya. Kepalanya bercelaru. Lelaki yang dicintai kini berada dalam tahanan penjenayah. Walaupun dia telah belajar untuk cuba melupakan rasa hatinya kepada lelaki itu, namun dia perlu bijak dalam mengawal apa sahaja tindakannya.

Apa yang harus dilakukannya sekarang merupakan satu tanggungjawab yang pasti untuk seorang anggota polis. Bukan kerana memperjuangkan rasa cinta yang ada di dalam jiwa.

******************************************************************

“ Nadia, Syazwan, saya nak kamu berdua irirngi saya ke sidang media.”

Tuan Badrul memberikan arahan itu sebaik sahaja mereka berdua menapak masuk ke dalam pejabat bos mereka.

“ Sekarang Tuan?”

“ Ya. Pihak media sudah berkumpul di bilik mesyuarat di bawah.”

“ Tuan sudah bersedia dengan setiap soalan yang bakal mereka tanya?”

“ Apa sekali pun kita memang kena menghadapinya.”

“ Tapi Tuan, macam mana kalau mereka timbulkan tentang kecekapan kita dalam menangani kes ni?”

“ Setiap apa yang berlaku punya cara dan jalan penyelesaiannya Nadia. Sudah! Bergerak sekarang.”

“ Baik Tuan.”

Kedua-dua mereka berkata serentak. Arahan ketua mereka pantang seandainya dibangkang.

Mereka beriringan keluar dari pejabat itu dan terus menuju ke pintu lif untuk ke tingkat bawah. Sidang media perlu dilakukan terhadap kes penculikan yang masih tidak menunjukkan sebarang pertemuan.

Permintaan pihak media itu perlu diikut kerana tidak mahu mereka bising dengan membuat spekulasi yang salah dan tidak berasas.

Pelbagai tohmahan yang didengar apabila pihak polis mengambil tindakan berdiam diri dengan tidak memberikan sebarang komen terhadap pertanyaan mengenai kes penculikan yang melibatkan Pengarah Urusan Danau Mahligai Sdn. Bhd.

Demi mengelakkan berlakunya apa-apa yang tidak diingini, akhirnya Tuan Badrul bersetuju dengan permintaan pihak media yang mahu sidang media diadakan untuk menjelaskan apa yang sepatutnya.

Tuan Badrul memberikan isyarat tanda dia sudah bersedia dihujani dengan berbagai soalan. Nadia Asyila menyampaikan isyarat itu kepada pihak media dan sempat memberitahu supaya apa yang dipersoalkan nanti tidak seharusnya melampaui batas.

Bukan pihak mereka mahu berfikiran negatif. Cuma dengan apa yang berlaku, mereka berhak untuk memberi had kepada apa yang tidak sepatutnya dijadikan isu.

Permintaan itu diterima dengan baik dari kesemua pihak. Apa yang mereka mahukan hanyalah menuju kepada satu titik yang pasti. Hanya mahukan penyelesaian yang tidak akan merugikan sesiapa.

“ Tuan, apa motif penculikan ni sebenarnya? Adakah melibatkan wang memandangkan mangsa adalah Pengarah Urusan di syarikat yang mempunyai tiga buah cawangan?”

“ Pihak kami percaya yang penculikana ini adalah sesuatu yang tidak dirancang. Penculikan ni berlaku kerana mangsa berada di tempat kejadian sewaktu suspek cuba mencuri sebuah kereta. Ini memperkukuhkan lagi kenyataan kami kerana tiada wang tebusan yang diminta daripada keluarga mangsa sehingga ke hari ni.”

“ Boleh kami tahu setakat mana tindakan pihak polis sekarang?”

“ Kami sudah mengedarkan gambaran wajah suspek yang kami dapat melalui rakaman cctv yang berada di tempat kejadian. Sebarang tindakan akan diambil apabila kami mendapat maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai.”

“ Sudah seminggu mangsa diculik. Apakah berkemungkinan mangsa masih hidup?”

“ Itu kami tidak pasti. Semuanya masih berada dalam siasatan.”

“ Bagaimana sekiranya suspek bertindak agresif dan cuba mencederakan mangsa dengan tersebarnya gambar wajah suspek di tempat awam?”

“ Kami tidak menolak kemungkinan tersebut. Cuma apa yang dapat kami lakukan sekarang adalah dengan menggiatkan operasi pencarian.”

“ Apakah penculikan ini dilakukan oleh kumpulan sama yang mencuri dan menyeludup kereta yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini?”

“ Ya! Kami percaya yang penculikan ni dilakukan oleh kumpulan yang sama.”

“ Bagaimana dengan penerimaan pihak polis terhadap pandangan orang luar tentang kes ini yang masih tidak mendapat jalan penyelesaian memandangkan sudah seminggu mangsa diculik.”

“ Kami menjalankan tugas dan sentiasa mengutamakan keselamatan mangsa. Pandangan orang awam terhadap kecekapan kami itu di luar kawalan kami. Apa yang mampu kami lakukan adalah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.”

“ Berkemungkinankah kes ini adalah satu konspirasi?”

“ Itu bukan motif dalam kes ni.”

Setelah lebih setengah jam sidang media itu berlangsung, Tuan Badrul meminta supaya ianya dihentikan. Pihak media menerimanya dengan baik dan lima minit selepas itu mereka semua bersurai.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah