Kuala Lumpur,
Hari ini
Nadia Asyila dan Syazwan memerhatikan lelaki yang berlegar-legar
di hadapan restoran Makanan Laut di Jalan Ampang. Lelaki itu sedikit gelisah.
Dirinya mundar mandir ke kiri dan kanan seakan menanti seseorang.
Nadia Asyila dan Syazwan saling berpandangan. Mereka
yakin suspek utama yang disyaki dalam kes kecurian proposal milik Danau
Mahligai Sdn. Bhd. berada di hadapan mereka.
Sejak seminggu yang lalu, Syazwan turut bersama-sama
Nadia Asyila turun padang untuk bersama-sama merungkai misteri di sebalik kes
itu. Daripada maklumat yang mereka dapat, cap jari suspek yang berada di
pandangan mereka banyak yang diperoleh.
Mungkin itu adalah satu petunjuk yang akan membawa
mereka kepada umbi kes. Mereka yakin yang kes ini hampir berjaya diselesaikan.
Desakan Fazar Azameer yang tidak pernah tahu sabar selalu menyinggah di telinga
Nadia Asyila. Syazwan hanya buat pekak badak dengan apa yang dileteri oleh
lelaki itu.
Hanya kesabarannya sahaja yang dikawal. Bukannya mereka
tidak buat kerja. Cuma apa yang membawa kepada kes yang berlaku di syarikatnya
itu memberikan petunjuk yang masih kabur.
Nadia Asyila hanya memekakkan telinga bila dimarahi oleh
Syazwan dan Amierah. Begitu juga dengan kawan-kawannya yang lain. Semuanya
gara-gara tentang apa yang berlaku pada malam dia keluar untuk mencari bukti
seorang diri.
Segalanya kemas tersimpan sehinggalah Syazwan mendapat
panggilan daripada Fazar Azameer yang mengatakan bahawa Nadia Asyila hampir
menggari dirinya kerana mengesyaki dia terlibat.
Nadia Asyila bagaikan mati kutu bila Syazwan
menyampaikan berita itu. Namun, gadis itu bersyukur kerana Fazar Azameer tidak
menceritakan apa yang selebihnya berlaku pada malam itu.
Walaupun Syazwan mengesyaki ada perkara yang berlaku,
namun dia hanya menayangkan muka selamba dan memutar belitkan cerita dengan
membuatkan peratusan kepercayaan lelaki itu separuh-separuh. Akhirnya, Syazwan
hanya mengangkat bahu dan kening untuk malas bertanya dengan lebih lanjut.
Dia malas untuk mendengar apa-apa cerita karut yang akan
keluar dari mulut kawannya itu. Prinsipnya masih sama. Ada telinga dengar, ada
mata lihat. Apa yang bakal berlaku, cuma tunggu dan lihat.
“ Nadia move!”
Syazwan pantas membuka pintu kereta untuk menyerbu
suspek bersama seorang temannya yang dinantikan sedari tadi.
Nadia Asyila sedikit kalut. Tapi, gadis itu pantas dapat
menyesuaikan diri dengan realiti dunia polisnya. Dia pantas melakukan perkara
yang sama dan beriringan menuju ke arah suspek.
Nadia Asyila dan Syazwan berdiri kiri dan kanan di
antara keduanya. Pantas bahu kedua-dua suspek dipegang.
“ Encik Amirul, Encik Basri. Kami polis. Kamu berdua
ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian proposal hak milik Danau
Mahligai Sdn. Bhd.”
Wajah kedua-duanya pantas bertukar warna. Pucat!
“ Kami tak bersalah. Kamu tak boleh sabitkan kami tanpa
bukti.”
Mereka cuba meronta. Syazwan terpaksa mencengkam kuat
lengan lelaki itu. Digari kemas. Nadia Asyila turut melakukan perkara yang
sama.
“ Sila beri kerjasama. Ikut kami ke balai. Di sini tak
sesuai untuk berbincang. Lagipun tak guna kamu menegakkan benang yang basah.”
Nadia Asyila berkata demikian apabila melihat proposal milik
Danau Mahligai Sdn. Bhd. berada di dalam sampul surat coklat yang dirampas
daripada Basri sebentar tadi.
Nadia Asyila dan Syazwan yakin yang kes kecurian ini
akan selesai secepat yang mungkin setelah pemilik cap jari yang dicari selama
ini ditangkap.
Beberapa hari yang lalu, mereka mendapat keputusan
tentang cap jari yang dijumpai oleh mereka di dalam bilik pejabat Fazar
Azameer. Selain daripada cap jari milik Fazar Azameer sendiri dan juga
setiausahanya, mereka mmenjumpai satu lagi cap jari yang entah milik siapa.
Setelah melakukan penyiasatan dan mengekori suspek
beberapa hari yang lalu, mereka mendapat hasilnya hari ini. Sengaja mereka
membiarkan suspek bebas untuk beberapa ketika kerana mereka yakin ada dalang di
sebalik kes kecurian itu.
“ Apa yang kamu cakap ni? Saya tak tahu apa-apa. Saya
tidak ada kena mengena dengan apa yang ada dalam sampul tu. Jangan nak buat
sembarangan. Kamu tak boleh menahan kami tanpa waran tangkap.”
Basri cuba menahan segala tindakan yang dilakukan
terhadapnya. Syazwan semakin kejap memegang lengan Basri yang mula melawan.
Walaupun tangannya telah kemas bergari.
“ Saya rampas sampul ni dari tangan kamu. Jangan ingat
kami bodoh dan mudah diperdaya. Sebelum mengambil tindakan, kami sudah cukup
bukti untuk menahan kamu.”
Nadia Asyila cuba menangkis pertikaian yang diperkatakan
Basri.
“ Kau nak sangat waran tangkap atas nama kau? Ada dalam
kocek baju aku ni. Malas aku nak berlembut dengan penjenayah macam kamu. Tak
perlu pun untuk aku tunjukkan pada orang yang tak pandai nak menghormati orang
lain macam kamu ni.”
Syazwan terus menolak batang tubuh suspek agar tidak
lagi membuat onar di tempat awam. Dia mahu segera berlalu dari situ apabila ada
banyak mata yang mula memandang ke arah mereka.
Amirul dan Basri segera dibawa ke kereta milik polis
wanita itu. Kereta terus dipandu menuju ke balai polis.
******************************************************************
Setelah setengah jam disoal siasat, Basri dan Amirul
mengaku segala tuduhan. Amirul merupakan seorang pekerja kilang. Dia telah
diupah oleh Basri yang merupakan pengurus di syarikat Danau Mahligai Sdn. Bhd.
Amirul sanggup melakukan perbuatan yang salah di sisi
undang-undang bila disogok dengan wang. Inilah dunia. Wang adalah
segala-galanya. Alas an yang terlampau mudah. Bukan ada kerumitan atau masalah
dalam hidup. Segalanya adalah tentang wang.
Nadia Asyila dan Syazwan lega kerana kes kecurian
syarikat kepunyaan milik lelaki yang mempunyai kaitan yang berbeza dalam hidup
masing-masing telah selesai. Kedua-duanya melemparkan senyuman yang puas
apabila melangkah keluar dari bilik soal siasat.
******************************************************************
Fazar Azameer menghempas kuat gagang telefon
setelah mendengar bicara Syazwan. Marahnya bukan kepada lelaki itu tetapi
tentang berita yang baru singgah di telinganya. Memang dia tidak menyangka.
Basri orang yang dipercayainya sanggup menikamnya dari belakang.
Ditumbuk mejanya kuat. Geram. Tangannya menepis segala
dokumen yang bersepah di atas meja. Berterabur segalanya. Dia sememangnya
bengang dengan apa yang berlaku. Tapi dia bersyukur kerana proposal syariktnya
selamat. Segalanya masih bersih tanpa dijual kepada mana-mana syarikat
pesaingnya.
Aku akan dakwa kau Basri. Tekadnya.
Fazar Azameer menghempas punggungnya kasar di kerusi.
Geramnya masih bersisa. Dicapai handphonenya dan dicari nombor telefon milik
Nadia Asyila. Ingin ditekan punat hijau di jarinya. Namun segara ditekan butang
cancel.
Akalnya berfikir waras.
untuk apa? Aku takkan berterima kasih pada perempuan tu.
Itu dah memang tugas dia. Dia pernah hancurkan hidup aku. Aku takkan maafkan
dia. Takkan!
Fazar Azameer meramas rambutnya kuat. Fikirannya
bercelaru. Diperhatikan kembali telefon bimbitnya. Selama ini dia sering
mengganggu wanita itu dengan menghubungi Nadia Asyila dengan menggunakan
telefon pejabatnya.
Fazar Azameer memandang di kejauhan dan fikirannya
mengimbau kembali kenangan yang menggigit hatinya. Pedih!