Setelah hampir sebulan memperdengarkan
bicara tentang jenayah yang dilakukan Iqmal Hisyam, hakim akhirnya mambuat
keputusan. Satu keputusan yang perlu dipandang positif oleh insan yang bersalah
seperti Iqmal Hisyam. Rayuan untuk diringankan hukuman setelah ditimbang,
akhirnya dipersetujui oleh yang arif.
Berbekalkan syarahan yang dilakukan
Radlina, hakim akhirnya akur supaya hukuman penjara untuk Iqmal Hisyam akan
dikenakan selama lima tahun. Bakti Iqmal Hisyam terhadap kerjasamanya kerana
memberitahu setiap sarang penjenayah yang diketahui membawa kepada banyak
tangkapan penjenayah yang berbahaya.
Itu merupakan satu alasan kuat agar
lelaki itu berhak mendapat hukuman yang lebih ringan. Tutupan kes yang
dilakukan oleh pihak polis terhadap cubaan membunuh yang dilakukan oleh Iqmal
Hisyam juga banyak membantunya untuk hukumannya diringankan.
Dengan kerelaan Nadia Asyila dan juga
Fazar Azameer, pihak polis terpaksa menutup dakwaan tersebut. Sesuatu yang
sangat membantu untuk pengurangan hukuman kepada lelaki yang dikenali sebagai
tertuduh itu.
Setelah mendengar keputusan hakim,
Iqmal Hisyam yang berada di dalam kandang tertuduh hanya mampu menundukkan
wajahnya. Rasa malu yang terpaksa ditanggung amat menyeksakan.
Akalnya yang tidak memikirkan perkara
yang panjang suatu masa dahulu telah menjebakkan dirinya dalam melakukan
kesalahan yang membebankan banyak pihak. Dia tahu yang hati wanita yang
dicintainya terdera.
Dia tahu yang walaupun hukumannya
dikurangkan, dia akan tetap melukakan hati wanita itu. Dia sedar yang hakikat
yang akan ditanggung untuk lima tahun akan datang akan menggelarkan dirinya
sebagai seorang banduan.
Gelaran yang menunjukkan dirinya
adalah sampah masyarakat. Gelaran itu langsung tidak layak untuk bertembung
dengan kerjaya yang menjadi milik orang yang dicintainya. Hatinya begitu
terkilan dengan penerimaan Nadia Asyila.
Hakikat yang semakin membebankan
dirinya. Penerimaan keluarga gadis itu juga merupakan satu titik kegembiraan
yang membuatkan dia berfikir dengan kemikmatan pemberian yang maha esa.
Keadaan yang menyebelahinya sekarang
jelas menunjukkan yang Allah sentiasa menyayangi dan membantu hambanya yang
lemah. Syukurlah dia diberi peluang untuk menebus salahnya dalam kesedaran
jasad yang masih tidak terpisah dengan rohnya.
Tentang Fazar Azameer, dia langsung
tidak mendengar perkhabaran tentang lelaki itu. Dakwaan yang pernah ada
untuknya terhadap cubaan membunuh yang cuba dilakukannya telah dibatalkan. Begitu
juga dengan penculikan terhadap lelaki itu.
Fazar Azameer telah melakukannya
secara bersendirian di balai polis. Tanpa pengetahuan Syazwan dan juga Nadia
Asyila. Dia juga baru menyedari berita itu apabila butirannya dibacakan oleh
Radlina di dalam mahkamah. Hal itu banyak membantunya mengubah fikiran Hakim
dalam mempertimbangkan hukuman yang akan diterimanya.
Telah lama dia tidak berjumpa dengan
Fazar Azameer. Mungkin lelaki itu marahkan dirinya. Nadia Asyila juga
memberitahunya yang lelaki itu telah lama menghilangkan diri tanpa jejak.
Mungkin ada yang terkesan di hatinya. Sekali lagi meletakkan dia dan Nadia
Asyila dalam perasaan bersalah yang teramat.
Iqmal Hisyam memberi kerjasama yang
baik saat seorang pegawai polis mendekat untuk membawanya ke destinasi bagi
menjalani nasibnya untuk lima tahun yang akan datang. Langkahannya diatur
menuju ke arah Nadia Asyila yang turut sama mendengar kes yang dibicarakan ke
atas dirinya.
“ Maafkan Syam. Sekali lagi Syam
kecewakan Nadia.”
Nadia Asyila menggelengkan kepalanya.
Menidakkan realiti itu. Nadia Asyila mengambil tangan lelaki itu yang kini
bergari. Gari tangan yang menjadi temannya selama ini telah mengikat kekasih
hatinya.
“ Walau selama mana pun masa yang akan
menjarakkan kita, Nadia takkan pernah jemu untuk menunggu Syam. Nadia akan
tunggu kepulangan Syam. Untuk kita bebaskan diri kita dari apa yang sepatutnya
kita dapat dari dulu.”
“ Nadia akan tunggu Syam supaya hati
kita disatukan dengan cara yang halal di sisi Ilahi. Selagi ada nafas untuk
Nadia menyedut udara di bumi ini, selagi itulah kasih Nadia takkan tumpah untuk
seseorang yang lain. InsyaAllah.”
Dibawa tangan gagah lelaki itu agar menyentuh
pipinya.