Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 11

September 2006

Fazar Azameer memanjangkan langkahnya apabila menyedari yang Fasha sudahpun berada di taman. Dijeling sekilas jam di tangannya. Lewat sepuluh minit. Fazar Azameer melemparkan senyum saat matanya bertaut dengan sepasang mata yang ayu milik Fasha.

Namun senyumannya tidak berbalas. Fazar Azameer melebarkan senyumnya. Dia yakin yang gadis itu merajuk kerana kelewatannya. Begitulah lazimnya. Namun dia senang apabila gadis itu merajuk dengannya. Membuatkan dia sedar yang gadis itu menyayanginya.

“ Hai sayang. Dah lama tunggu?”

Gadis itu hanya kaku. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari bibirnya.

Fazar Azameer turut sama melabuhkan duduk di sisi gadis yang dicintainya. Turut berkongsi bangku yang sama. Selama ini, dia memang suka menyambut huluran salam perkenalan daripada gadis-gadis. Semenjak mengenali Fasha, perangainya berubah.

Tidak lagi melepak dan bergaul dengan gadis-gadis yang meminatinya. Setahun perhubungan yang mereka bina tidak pernah dikhianatinya. Dia memang jujur dalam menyintai gadis itu. Hatinya sememangnya telah penuh dengan cinta untuk Fasha.

Baginya, hatinya hanya milik Fasha. Dia takkan sekali-kali menghancurkan sekeping hati gadis itu. Sayangnya tidak berbelah bagi. Jiwanya begitu terisi dengan kehadiran Fasha. Entah mengapa, dia terlalu menyayangi gadis itu.

Fasha menjarakkan sedikit duduk mereka. Dia mengeluarkan sebuah buku dari beg tangannya. Diunjukkan kepada kepada Fazar Azameer agar lelaki itu mengambilnya.

Fazar Azameer menurut. Keningnya sedikit terangkat. Tidak memahami apa yang tersirat dalam fikiran gadis itu.

“ Bacalah.”

Sekali lagi lelaki itu menurut. Diamati betul-betul bait-bait yang tertulis. Matanya menjelajahi setiap patah perkataan yang mendebarkan hatinya.

5 April 2005

Perasaanku semakin tidak menentu. Lenaku sering terganggu dengan senyumannya. Setelah hampir dua tahun aku memendam perasaan ini, kenapa semakin hari aku semakin jatuh sayang padanya. Alangkah indahnya kalau dia juga turut sama mencintai aku. Aku sayangkan kau Fazar. Aku cintakan kau.

Fazar Azameer lantas mendongak memandang Fasha.

“ Sayang, apa semua ni?”

Fazar Azameer merenung wajah Fasha lama. Mencari sebuah kebenaran. Dia yakin yang tulisan tangan yang dibacanya tadi bukan milik Fasha. Dia mengenali tulisan tangan milik gadis itu. Jadi milik siapa? Dia kembali memandang buku yang berada di tangannya.

Hari ni aku curi-curi masuk ke dewan yang dikhaskan kepada pelajar tingkatan lima. Aku dan Mierah duduk di kerusi paling belakang sekali. Aku suka mendengar kata-kata motivasi penceramah tu. masih terngiang-ngiang lagi di telinga aku setiap patah perkataannya.

“ Selalulah berfikir ke arah yang positif. Jika ada yang pernah menyakiti hatimu, Maafkanlah. Anggaplah dia tidak mampu untuk mengerti.”

Tepukan yang gemuruh masih lagi tergambar di mata aku. Aku yakin, ramai yang terkesan di hati dengan ayat tersebut. Anggapanku tidak salah apabila Fazar dan Hisyam juga memberitahu aku yang mereka sukakan ayat itu.

Dan untuk kali ini, aku semakin pasti dengan hati aku. Kalaulah aku boleh buat dia faham apa yang aku rasa. Hati ini berkata yang aku ingin kau mengerti yang hati aku merasakan lebih dari suka. Dekat kepada sayang. Dan sekarang, ia adalah cinta. Aku cintakan kau Fazar.

“ Apa semua ni?”

“ Itu diari Nadia.”

Meluncur ayat itu dari bibir mulus Fasha.

“ Apa?”

Fazar Azameer terlopong. Memang dia tidak salah dengar. Diari Nadia?

Fazar Azameer menggeleng berkali-kali. Sukar untuk mempercayai bahawa Nadia Asyila menyintainya. Dua tahun?

“ Mana awak dapat diari ni?”

Lelaki itu berkata perlahan.

“ Saya ambil daripada Hisyam., pembetulan! Bukan ambil tapi curi.”

Fazar Azameer menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Macam mana diari Nadia boleh ada dengan Syam? Bagaimana perasaan dia bila mengetahui semua ni? Bukankah selama ini Syam cintakan Nadia? Dan Fasha? Apa perasaan Fasha bila tahu yang Nadia cintakan aku? ah! Kacau...

“ Sayang…”

“ Fazar mulai sekarang, berhentilah panggil saya dengan panggilan tu. Mungkin kita tak patut bersama.”

Sekali lagi Fazar Azameer terlopong mendengar bicara gadis itu.

Dugaan apakah ini?

“ Sayang jangan cakap macam tu. Tak ada sesiapa pun yang akan wujud antara kita. I love you so much.”

Tangan gadis itu cuba dicapai tapi Fasha pantas mengelak. Dia bangun dari duduknya.

“ Cukuplah setakat ni. Saya akan menghilang dari pandangan awak. Saya akan lupakan awak Fazar. Haluan kita sudah berbeza. Cubalah mencintai Nadia. Cinta dia lebih dalam. Saya akan doakan kebahagiaan kamu berdua.”

Fazar Azameer mencampakkan diari di tangannya ke tanah.

“ Apa yang awak cakapkan ni? Saya tak pernah cintakan dia atau ada apa-apa perasaan pada dia. Dia tak lebih dari seorang kawan. Please… jangan buat macam ni. Jangan padamkan kasih kita.”

Lutut lelaki itu sudahpun mencecah tanah. Tangannya sekali lagi cuba mencapai tangan gadis itu. Tapi dirinya semakin dielak. Gagal lagi.

“ Semuanya dah berakhir Fazar. Saya tak boleh berkongsi kasih dengan orang lain. Apa lagi sahabat sendiri.”

Fasha memanjangkan langkahnya untuk berlalu dari situ.

“ Tapi, kenapa semudah tu? Setahun lebih kita semai kasih bersama-sama. Takkan hanya kerana diari ni, semuanya dah berakhir? I can’t accept it.”

Fazar Azameer cuba meraih Fasha ke dalam pelukannya namun gadis itu keras menolak. Lelaki itu bungkam.

Betulkah semuanya sudah berakhir?

Pandangannya kabur mengekori langkah Fasah yang semakin menjauh. Akhirnya, air mata lelakinya gugur jua. Dirasakan hatinya pedih yang teramat. Jiwanya meruntun pilu.

Fasha memerhatikan segala tingkah Fazar Azameer melalui tingkap keretanya. Dirasakan jiwanya lega yang teramat. Dia tahu, alasan penemuan diari Nadia Asyila tidak cukup kukuh untuk dia memutuskan perhubungannya dengan Fazar Azameer. Namun, dia perlu segera bertindak.

Dia tidak mahu lelaki itu menyalahkannya. Dia tahu yang Fazar Azameer begitu menyayanginya. Tapi, perasaannya yang tidak lagi seperti dulu. Cintanya telah tiada untuk lelaki itu.

Kasihnya telah beralih arah. Pertemuannya dengan Syed Faizal telah menggamitnya untuk mengasihi lelaki itu. Kini, dia bebas daripada cengkaman Fazar Azameer.

Mungkin selepas ini, akan tiada lagi jelingan daripada Iqmal Hisyam. Dia tahu yang Iqmal Hisyam mula mengesyaki hubungannya dengan Syed Faizal. Kini dia bebas. Tidak lagi perlu berselindung untuk mengasihi lelaki itu.

Sememangnya dia gembira dengan penemuan yang tidak disangka-sangka di dalam beg sandang insan yang bernama Iqmal Hisyam. Memang nasibnya baik hari isnin itu.

Setelah habis kuliah pada petang itu, secara tidak sengaja Iqmal Hisyam tertinggal beg sandangnya. Niat suci Fasha untuk menghantar beg itu tertangguh bila dia terbaca diari milik Nadia Asyila.

Akalnya mula merancang. Dia sudah mempunyai alasan untuk melepaskan dirinya daripada Fazar Azameer. Sekurang-kurangnya, Fazar Azameer tidak akan mengetahui yang dia curang.

Sebaliknya, cinta Nadia Asyila yang memisahkan mereka.

Nadia, kalau selepas ni, Fazar turut sama menyintai kau, aku tiada halangan. Jika sebaliknya yang berlaku dan Fazar membenci kau, itu bukan salah aku. Aku Cuma membongkar sebuah realiti. Silap kau sendiri kerana menyintai Fazar.

Fasha menurunkan cermin mata gelap yang sedia berada di kepala menutupi matanya. Kereta Honda miliknya terus meluncur laju di atas dada jalan.

Kereta pemberian papanya kerana berjaya menjejakkan kakinya ke menara gading. Satu universiti dengan Iqmal Hisyam. Sebuah universiti di Kelantan. Cuma Fazar Azameer yang meneruskan pengajiannya di sebuah universiti di Terengganu.

Maafkan aku Fazar. Cinta aku tinggal sifar untuk kau. Biarlah aku pendamkan rasa cinta yang kosong ni dengan alasan aku insan suci yang mahu menyatukan kau dengan Nadia. Biarlah kau pandang aku sebagai mangsa.

Fasha melebarkan senyumannya. Dia bakal menang dengan apa yang dilakukannya. Dia tidak mahu lagi Fazar Azameer mempunyai apa-apa kaitan dalam hidupnya.

******************************************************************

Nadia Asyila memandang padang yang kehijauan di hadapannya. Di bawah pokok tanjung dia setia menanti insan yang dipujanya. Semalam dia gembira apabila Fazar Azameer menghubunginya dan mahukan sebuah pertemuan.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membuat hatinya berdebar. Entah kenapa dia merasakan ada sesuatu yang akan berlaku. Pandangan Nadia Asyila terhalang apabila ada sesusuk tubuh berdiri di hadapannya.

Senyuman mesra diberikan kepada Fazar Azameer. Namun tiada balasan. Nadia Asyila resah. Lelaki itu tidak semesra selalu. Biasanya pelbagai celoteh yang akan keluar daripada bibir lelaki itu apabila mereka bertemu. Tetapi hari ini? Berlainan sekali dirasakannya.

Apa yang dah berlaku? Ada masalahkah dia?

Nadia Asyila mendekati Fazar Azameer yang sudah pun berdiri di tebing padang.

“ Fazar.”

Ucap gadis itu teragak- agak. Nadia Asyila sedikit terkedu apabila melihat kesan air mata di pipi lelaki itu. Ringan sahaja tangannya ingin menyapunya. Namun, dia masih waras.

“ Fazar…”

Kata-katanya terhenti apabila Fazar Azameer memandangnya tepat. Mata itu sedikit kemerahan.

“ Saya dah putus dengan Fasha.”

Fazar Azameer memandang tepat wajah di hadapannya. Mencari reaksi yang akan muncul. Namun, hasilnya tidak seperti apa yang difikirkannya. Gadis itu hanya diam membatu.

“ Awak tak gembira?”

Fazar Azameer cuba menduga. Pantas Nadia Asyila mengerutkan dahinya. Hatinya berdebar kuat.

“ Kenapa?”

Gadis itu bertanya bagaikan orang bodoh.

“ Bukan ke ini yang awak nak?”

Mata gadis itu sudah berkaca.

Apakah rahsiaku sudah terbongkar? Apa yang dia cuba katakan?

“ What do you mean by that?”

Suaranya sudah menggeletar.

“ Ini!”

Fazar Azameer mencampakkan bungkusan yang dibawanya. Jatuh tepat di hujung jari kaki Nadia Asyila. Gadis itu membuka sampul coklat yang menyembunyikan rahsia dirinya sendiri. Matanya terpaku pada diari miliknya.

Nadia Asyila terduduk di bangku yang berada di bawah pohon tanjung yang rendang. Mukanya merah menahan malu.

Mungkinkah kerana diari itu mereka putus?

Nadia Asyila menyumpah dirinya di dalam hati.

“ Puas hati awak sekarang? Merampas kasih sahabat sendiri.”

Gadis itu pantas menggeleng.

“ Benar Fazar yang saya sayangkan awak. Tapi saya tak pernah doakan perpisahan ini. Saya tahu betapa awak sayangkan Fasha. Dan saya…”

“ Awak tahu? Apa yang awak tahu? Awak tahu tak yang Fasha mengundur diri sebab nak bagi ruang untuk saya dan awak? Awak tahu tak betapa pedih hati saya dengan keputusan ni? Awak tahu yang awak mengkhianati sebuah persahabatan? Awak tahu bagaimana rasanya ditinggalkan seseorang yang amat dicintai? You know? What you know?”

Lelaki itu sudahpun bertukar nada. Sedikit kasar suaranya menampar gegendang telinga Nadia Asyila. Gadis itu bungkam.

Apa yang harus dilakukannya? Salahkah kerana menyintai seseorang. Bukan itu pintanya tapi itulah kehendak hatinya. Perasaan itu suci. Datangnya tanpa diminta. Salahkah?

“ Fazar, selama ini tidak pernah terlintas di hati saya untuk merampas awak daripada Fasha. Saya tahu yang awak tak mungkin mencintai saya. Saya tak pernah mengharapkan perpisahan kamu. Saya juga tidak pernah terlintas untuk meluahkan apa yang terbuku di hati saya. Tapi, takdir dah tentukan segalanya. Saya lalai.”

Fazar Azameer ketawa kuat. Dijuihkan bibirnya seakan mengejek kata-kata Nadia Asyila.

“ Memang! Bukan sahaja tak mungkin. Tapi, saya takkan mencintai awak. Never! Awak telah mengkhianati persahabatan yang kita bina. Dan sekarang, saya bukan lagi sahabat awak. Malah, awak bukan sesiapa lagi pada saya. Hanya seorang insan yang terlalu mementingkan diri. You are nothing Nadia. You’re sellfish”

Dengan senyuman sinis, Fazar Azameer berlalu namun langkahnya terhenti bila terdengar bicara dari bibir gadis itu.

“ Anggaplah apa yang awak nak anggap tentang saya. Apa yang saya tahu, cinta dan kasih saya bukan mainan. Saya akan tunggu awak Fazar.”

Nadia Asyila memejamkan matanya yang kabur.

“Layakkah untuk aku mencintai kau? Kau terlalu pentingkan diri sendiri. Hanya insan yang sebaik Fasha yang layak memiliki hati aku. Dia sanggup mengenepikan kebahagiaannya untuk memberi ruang pada insan kotor seperti kau.”

“Fazar. How could you”

“ Yes I am. Kenapa? Aku kejam? Aku kejam kerana kau yang buat aku jadi kejam.”

“ Saya faham yang awak jadi kasar macam ni kerana kehilangan orang yang awak sayang. Tapi, saya punya hak untuk tidak menerima kata sekasar itu.”

“ Ah! Kau memang berhak. Itulah kata-kata yang selayaknya untuk insan kotor seperti kau.”

“ Saya kotor kerana mencintai awak? Kalau begitu, saya memang kotor. Seorang insan yang kotor kerana terlahirnya perasaan suci untuk mencintai dan ingin rasa dicintai.”

“ Ah! Aku takkan pernah mencintai kau. Walaupun untuk kelahiran yang akan datang.”

“ Saya…”

“ Kau tak payah nak cakap apa-apa lagi. Kau bertanggungjawab atas segalanya. Aku benci kau Nadia. Tak sepatutnya kau seksa jiwa aku macam ni.”

“ Apakah salah kerana saya mencintai awak?”

Ayatnya diatur dalam sebak yang semakin beraja. Kelembutan suaranya diperhalusi agar tidak tersalah dalam ucapannya. Dia sedar yang maruahnya sudah berada di bawah tapak kaki lelaki itu. Tewas dan kalah kerana wujudnya rasa mencintai.

“ Kau memang perempuan tak tahu malu. Kau dengar sini. Aku tak pernah mencintai kau.”

Langkah kaki Fazar Azameer yang tadi menjauh kini semakin mendekat. Cuba untuk membuatkan perempuan di hadapannya faham tentang apa yang dirasakan hatinya saat ini. Satu kebenaran yang dia pasti akan berterusan sampai bila-bila.

“ Saya..”

“ Kau apa? Hah! Kau apa?”

Kasar bahasa yang dituturkannya. Nadanya juga meninggi. Nadia Asyila memejamkan matanya seketika. Mencari sedikit ketenangan. Dia mahu meluahkan segalanya apa yang tersimpan kejap di hatinya selama ini. Dia sudah tidak mahu merahsiakan apa-apa lagi. Biarlah Fazar Azameer mendengar segalanya.

“ Saya jujur dengan perasaan saya. Sejak dulu dan sekarang. Saya tak pernah pun untuk mendoakan apa-apa yang tidak elok tentang perhubungan kasih yang terjalin di antara awak dengan Fasha. Atau sesiapa juga sebelum awak bercinta dengan Fasha. Saya ikhlas dengan hati saya.”

“ Apa yang saya ada hanyalah satu kejujuran. Dan satu harapan dengan berkemungkinan awak akan melihat hati saya. Mungkin saya silap. Silap kerana membiarkan rasa hati ini. Tapi, saya tetap kalah setiap kali saya cuba untuk mengawalnya. Awak sentiasa ada dalam hati ini.”

“ Saya tak punya kekuatan untuk membuang perasaan ini. Ia terlalu menguasai. Saya tahu, maruah saya telah jatuh kerana memperkatakan ini kepada awak. Kepada lelaki yang tak pernah pun melihat saya dengan hatinya. Namun, mungkin masanya telah tiba untuk awak mengetahui segala apa yang saya rasa. Sejujurnya, saya cintakan awak Fazar.”

“ Sudah habis kau merepek?”

Nadia Asyila memandang wajah tegang Fazar yang memandang tepat ke wajahnya. Dia tidak pernah melihat Fazar Azameer semarah itu. Mungkin hatinya terlalu parah kerana ditinggalkan.

“ Tak payahlah kau nak berfalsafah pada aku tentang cinta. Apa yang kau tahu tentang cinta? Kau tak pernah bercinta. Kau takkan pernah dapat merasa bagaimana tulusnya mencintai.”

“ Walau apa pun, saya bersedia untuk menunggu cinta awak Fazar.”

“ Tunggulah! Aku pun nak tengok berapa lama kau sanggup tunggu aku.”

Dengan ucapan itu, Fazar Azameer pantas meninggalkan padang itu. Dia benci dengan segalanya. Kebenciannya menggunung buat insan yang bernama Nadia Asyila.

Hati aku takkan jadi milik kau buat selamanya. Walaupun sekelumit. Aku benci kau Nadia.

Benih-benih kebencian mula terbit di hati lelaki itu. Atas kerelaannya sendiri.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah