Nadia Asyila tersentak dan kepalanya
terus diangkat memandang wajah Iqmal Hisyam. Seketika tadi diarasakan kepala
itu terlena di sisi katil milik lelaki yang dicintainya itu.
Lenanya tidak seenak lelaki itu yang
telah memejamkan matanya lapan hari yang lalu. Dipandang dan ditenung sepuasnya
wajah Iqmal Hisyam. Lelaki itu terus kaku. Tiada apa-apa perubahan. Nadia
Asyila mengeluh. Sekejap tadi dia seakan merasakan ada pergerakan pada jemari
lelaki itu. Mungkin hanya perasaannya. Perasaan yang selalu menduga hatinya.
Wajah yang dipandangnya kini sudah
melepasi tahap bahaya sejak empat hari yang lepas. Alat bantuan pernafasan
sudah tidak membelit wajahnya. Dia sudah mampu untuk bernafas sendiri.
Nadia Asyila mampu untuk tersenyum
apabila doktor memberitahu bahawa perubahan yang berlaku itu adalah sesuatu
yang positif. Dan tidak mustahil akan ada lagi perubahan yang akan berlaku.
Itulah apa yang diharapkan dirinya selama ini.
Cuma masa dan saatnya sahaja yang
perlu dinanti. Jawapannya sampai bila dia sendiri tidak tahu. Apa yang pasti
dia akan bersabar dan terus bersabar. Disentuh lembut kepala yang berbalut itu.
Simpatinya tumpah.
Apakah saat ini Syam sedang melawan
kesakitan? Andainya masa dapat diputarkan kembali, Nadia takkan pernah biarkan
sesiapa menyakiti Syam. Nadia takkan pernah bawa Syam keluar untuk mengundang
kemalangan itu. Nadia takkan pernah melakukan salah dengan setiap tindakan yang
akan Nadia ambil. Maafkan Nadia. Sedarlah! Bangunlah dari lena Syam yang
panjang. Pandanglah mata ini yang selalu bersinar dengan rasa cinta untuk Syam.
Bangkitlah!
Gadis sunyi itu bermonolog.
Isyarat yang berbunyi pada telefon
bimbitnya menyedarkan gadis itu. Perlahan-lahan dia bangun dari duduknya. Beg sandangnya
digalas. Tangannya yang menggenggam tangan Iqmal Hisyam sedari tadi diraih dan
dibawa tepat mengenai bibirnya.
Setelah itu, dibawa bibirnya menyentuh
balutan di kepala Iqmal Hisyam. Dipandang wajah lelaki itu dan dilemparkan
sedikit senyuman. Senyuman pahit yang bersulamkan harapan agar mata itu terbuka
untuk memandangnya.
“ Syam. Bangunlah! Nadia rindukan
senyuman Syam. Rindu untuk bertentang mata dengan Syam. Nadia terlalu rindukan
Syam. Bangunlah! Nadia mohon.”
Ada sebak yang terbekam di dada itu. Sebak
yang cuba ditahan. Dengan ucapan itu, Nadia Asyila merelakan kakinya untuk
berpaling arah. Mahu berlalu meninggalkan bilik dan bangunan hospital yang
telah menjadi temannya sejak beberapa hari yang lalu. Perlahan langkahnya
diatur.
“ Betul ke begitu banyak Nadia
rindukan Syam?”
Derapan langkah yang tadinya mendapat
rentak kini kaku. Pendengarannya menoktahkan gerak kakinya. Perlahan
dipalingkan wajahnya untuk menatap wajah yang melontarkan suara itu. Wajah yang
tadi membelakanginya. Wajah itu tersenyum padanya. Mata itu menatap kemas
matanya.
Dengan deraian air mata dan senyuman
yang kini semanis madu, diatur larian kakinya mencari mangsa. Didakap kemas
tubuh Iqmal Hisyam yang terlantar.
Semakin erat pelukannya saat tangan
lelaki itu melingkari badannya. Turut sama memeluk dirinya. Ternyata firasatnya
seketika tadi bukan mainan perasaannya. Lelaki itu telah kembali.
“ Syam ingat Nadia?”
Nadia Asyila bangkit dari pelukannya
dan memandang wajah itu. Lelaki itu tersenyum. Anggukan juga diberikan.
“ Jadi?”
“ Takdir Allah. Allah maha besar.”
Nadia Asyila menangis semahunya. Kekasih
hatinya telah kembali. Dia amat bersyukur.
Iqmal Hisyam memandang wajah putih
bersih Nadia Asyila. Sememangnya dia amat merindukan wajah itu. Kesyukurannya
berganda dengan apa yang terimbau di kepalanya kini. Dia mengingati segala yang
dilakukan oleh wanita itu semasa keadaannya tidak normal. Kesyukurannya tinggi
melangit.
“ Terima kasih untuk segalanya.”
“ Syam dah ingat semuanya?”
“ Hampir.”
Perlahan-lahan disentuh kepalanya yang
berbalut. Terasa sakit di bahagian sebelah kiri. Ditutup matanya seketika.
Dikerutkan keningnya untuk mendapat kestabilan rasa sakit yang mengcengkam.
“ Macam mana dengan doktor yang
merawat Syam?”
“ Doktor Syarif?”
“ Ya! Itulah namanya. Bangaimana
dengan keadaan dia? Dia yang memandu kereta kan?”
Nadia Asyila duduk di kerusi. Nafasnya
sedikit laju. Ingatan tentang doktor muda itu selalu menyesakkan nafasnya.
Perasaan bersalah masih menggunung di dalam dirinya. Dia kini telah mendapat
Iqmal Hisyam. Tetapi dia kehilangan pula doktor yang berusaha untuk
menyembuhkan kekasih hatinya. Keadaannya menjadi serba salah.
“ Nadia.”
Iqmal Hisyam menegur.
“ Dia meninggal di tempat kejadian.”
Iqmal Hisyam kaget. Ditelan liurnya
yang dirasakan pahit.
“ Innalillah hiwainnalillahhirojiun”
“ Ada berita yang lebih
memeranjatkan.”
Direnung dalam wajah yang baru sahaja
mencelikkan matanya itu dengan penuh kesayuan.
“ Apa?”
“ Kemalangan tu dirancang.”
“ What?”
Iqmal Hisyam seakan tidak
mempercayainya. Nadia Asyila mengangguk tanda mengiyakan apa yang
diperkatakannya.
“ Fasha menjadi dalang di sebalik
kemalangan tu. Dia nak kita berdua mati.”
“ Astagfirullahhalazim.”
Perkataan itu meniti di bibir Iqmal
Hisyam. Mereka berdua selamat dan doktor muda itu pula yang menemui ajal. Dia
menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dibaringkan kepalanya rapat ke bantal.
Memejamkan matanya untuk seketika. Cuba menerima dengan aman apa yang baru
singgah di telinganya.