Nadia Asyila menyandarkan badannya di kepala katil. Dia
hanya memandang sepi Amierah yang lena di sebelahnya. Cemburu dengan kelenaan
yang diperoleh oleh gadis itu. Dipandang potret yang tergantung kemas di dinding bilik.
Wajah itu ditilik setiap inci.
‘Kenapa kau masih lagi mahu memusuhi aku? Adakah kau
mahu wujudkan kembali persengketaan antara kita? Aku sudah penat Fazar.
Berhentilah memusuhi aku. Padamkan semua apa yang berlaku dulu. Biarkan kenangan silam itu terus terkubur bersama masa
yang telah meninggalkan kita. Aku tidak lagi mahu berada di dalam kenangan itu.
Terlalu menyeksakan. Aku sudah tidak sanggup untuk mendengar cemuhan kau.Kalaulah aku punya keberanian untuk bersuara dan
menyatakan semuanya pada kau, apakah takdir akan menyebelahi aku untuk kali
ini? Aku mahukan kita bersama-sama berada dalam anganan aku yang tak pernah
padam. Kembalikan kenangan kita yang pernah indah.’
Hatinya berbicara penuh mengharap. Terimbau-imbau
kenangan tengah hari tadi di benaknya. Dipejam matanya rapat. ‘ Ya Allah, kenapalah mesti dia muncul kembali? Kenapa
mesti dalam keadaan yang dia masih mendendami aku? Selepas lapan tahun. Kenapa
hati aku masih utuh menyintainya walaupun dia buat aku macam sampah? hina aku
macam tak ada maruah. Kenapa hati aku masih tega mengingatinya? Kenapa jiwa
aku masih mengharapkan balasan cintanya? Salahkah aku kerana menyintai dia? Ya
Allah, kenapa air mata ini murah kerananya? Kenapa mesti aku masih menyintainya walaupun aku tak
pernah dihargai? Ya Allah, mampukah aku melawan semua peraasanku bila aku
berdepan lagi dengannya? Ah! Aku benci
dengan semua ni.’
Dipandang kemas potret yang tergantung di hadapannya.
Wajah itu sudah semakin tampan sekarang. Sudah ada perubahan dengan potret yang
dilukisnya berdasarkan gambaran wajah lapan tahun yang lalu. Wajah kuning langsat yang dilihatnya tadi sangat elok
dan tidak dinodai oleh kecacatan jerawat. Terlalu elok paras wajah itu. Hanya
bibir lelaki itu yang masih berbisa seperti dulu.
'Aku tidak pernah mengharapkan rasa benci kau bercambah
untuk aku. Aku merayu Fazar. Buangkanlah rasa benci itu. Bukan kehendak hatiku
untuk memperlakukan keadaan kau sebegitu. Kalaulah aku punya kekuatan, aku mahu kau tahu betapa
aku tidak mengharapkan apa yang kau lalui dengan penuh penderitaan. Aku sayang
kau. Dan aku tidak mahu kau membalasnya dengan perasaan benci yang tak pernah
padam. Cukuplah hanya masa lalu. Datanglah masa sekarang dengan hati yang baru.
Yang dapat menerima cinta aku. Aku berharap Fazar. Aku berharap. Ya Allah! Mengapa aku diberi ruang untuk merasai
kesakitan ini? Mengapa aku tidak berdaya untuk membuang semua rasa cinta yang
semakin beraja ini? Mengapa aku terlalu lemah untuk berdepan dengan semua
dugaan perasaan ini? Mengapa Ya
Allah? Apakah dugaanMu terlalu besar sehingga aku tidak langsung berdaya untuk
melawannya? Atau adakah aku terlalu lemah dalam mengikut perasaan? Ah! Apa
sekalipun, aku tidak sanggup untuk berdepan dengan semua ini sekarang. Aku
tidak punya kekuatan untuk mencari di mana jalan keluar agar aku bisa bebas
dengan kebahagiaan yang aku harapkan.’
Nadia Asyila mengesat air matanya kasar. Dia merasakan
bahawa dirinya betul-betul tertekan. Segera dicapai botol pil tidur yang berada
di sebelahnya di atas sebuah meja kecil. Dibukanya botol pil itu tergesa-gesa. Dia mahu pil itu
ditelan secepat mungkin supaya dia akan cepat lena dan dapat melupakan semua
masalahnya. Belum sempat pil itu singgah di mulutnya, tindakannya
dihalang. Amierah pantas merampas pil itu dan botolnya sekali. Nadia Asyila
kaget. Dia terperangkap. Dia langsung tidak menyedari yang Amierah terjaga.
“ Aku tahu, memang ada yang tak kena.”
Nadia Asyila tergamam dengan apa yang diucapkan oleh
Amierah. Sekali lagi dirasakan dirinya terperangkap.
“ Nadia, pandang aku.”
Nadia Asyila masih diam tak berkutik. Wajahnya ditunduk.
Amierah mengubah posisinya agar lebih selesa. Diangkat wajah dihadapannya
lembut supaya menatap pandangannya.
“ Ceritalah.”
Ucapan itu terlalu ikhlas pada pendengaran Nadia Asyila.
Wajah yang keruh semakin redup. Amierah hilang kata-kata. Ditarik Nadia Asyila
ke dalam pelukannya.
“ Nadia, aku sayangkan kau. Aku nak kau tahu yang kau
tak keseorangan. Aku sedia berkongsi segala-galanya. Begitu juga dengan
kawan-kawan kita. Aku tahu, kau tak nak membebankan kami dengan masalah kau. Tapi kau perlu
tahu yang kami tak pernah anggap masalah kau sebagai beban pada kami.
Sebaliknya kami bersyukur kerana mengenali kau dan menjadi sahabat kau. Aku
bukan nak mendesak atau memaksa kau. Terpulang pada kau sama ada nak cerita atau tidak. Itu
hak kau. Tapi, aku tak tahan tengok kau macam ni. Kau tak pernah selemah ni.
Hati aku sedih. Mungkin belum masanya untuk aku mengetahui apa yang apa yang tersirat di hati kau. Aku harap,
bila dah bersedia, carilah aku. Anytime. Sekarang tidurlah! Mengucap
banyak-banyak.”
Amierah ingin melonggarkan pelukannya namun ditahan oleh
Nadia Asyila. Akhirnya wanita itu tersedu. Air matanya mengalir laju. Amierah mengusap belakang Nadia Asyila perlahan-lahan.
Menanti apa yang ingin disuarakan padanya.
“ Aku jumpa dia.”
Nadia Asyila lega. Terkeluar juga ayat itu dari
mulutnya. Amierah seakan memahami walaupun dia ragu-ragu dengan tekaannya.
“ Fazar?”
Soalan Amierah itu hanya dianggukkan kepalanya sebagai
jawapan. Amierah meleraikan pelukan. Satu keluhan kesal keluar dari bibirnya. Selama ini sudah puas dia menasihati perempuan itu
supaya melupakan Fazar Azameer. Namun, usahanya langsung gagal. Nadia Asyila
hanya mendengarnya sebagai angin lalu. Amierah memegang dahinya dan mengurut-urut perlahan. Air
mata di pipi sahabat kesayangannya disapu dengan ibu jari.
“ Kat mana?”
Amierah hanya mengikut rentak Nadia Asyila supaya gadis
itu meneruskan ceritanya.
“ Dia buka sebuah syarikat kat Cheras. Kebetulan syarikat
tu berlaku kecurian dan aku yang handle kes tu.” Nadia Asyila mulai tenang. Disusun satu persatu
perkataan untuk dibicarakan pada kawannya.
“ Macam mana reaksi dia?”
“ Dia selamba je.”
“ Masih kenal kau?” Wanita itu
mengangguk perlahan-lahan.
“ Selama ni kau tak pernah jumpa dia kan? Selepas apa
yang berlaku lapan tahun yang lalu?”
“ Emm. Tadi adalah yang pertama sejak kita keluar dari
sekolah.”
“ Jadi apa yang berlaku? Kenapa kau boleh jadi sampai
macam ni?” Nadia Asyila kembali menunduk. Memainkan bucu selimut
dengan tangannya. Entah apa yang dia perlu cakapkan untuk memberitahu kawannya
itu.
“ Ada
dia cakap benda yang tak elok pada kau?” Nadia Asyila terdiam. Air matanya kembali menitis
menodai pipi gebunya. Amierah memahami dan mendapat jawapan pada soalannya.
“ Kau sorang je ke yang handle kes tu?” Nadia Asyila menggeleng.
“
Dengan Syazwan”
“ Aku harap kau boleh terima pandangan aku. Kau patut
tolak kes ni. Biar je Syazwan yang uruskan.”
Pantas Nadia Asyila menggeleng. Mengangkal dan membantah
apa yang diperkatakan Amierah.
“ Tak boleh Mierah. Aku tak nak berlaku sesuatu yang tak
diingini. Tadi pun dia dan Syazwan hampir bergaduh.” Nadia Asyila terlopong dengan apa yang keluar dari
mulutnya. Dia terlepas cakap. Pandangan Amierah dibalas dan dia mengeluh. Wanita itu mengerti bahawa kawannnya ingin tahu apa yang
berlaku.
“ Syazwan tak tahan bila Fazar hina aku.” Amierah memegang rambutnya dan diramas sekuat hati.
Turut geram dengan apa yang berlaku.
“ Sekali lagi? Kau memang kena dengar apa yang aku
cakap. Jangan buat main-main. Kau memang patut tolak kes ni.”
“ Tak boleh Mierah. Okey, aku janji yang aku takkan
campur adukkan hal peribadi dengan kerja. Kau pun kenal dengan aku kan?” Amierah menggeleng laju.
“ Kau akan tewas.” Nadia Asyila kehilangan kata-kata.
********************************************************************************************
Hampir separuh nasi dimakan oleh Amierah, dia menolak
pinggan itu sedikit ke tengah meja. Syazwan dan Nadia Asyila juga turut sama
membisu. Mereka sedar akan mood yang melanda salah seorang daripada mereka.Syazwan sememangnya sudah tahu hujung pangkal apa yang
membuatkan gadis itu marah. Cuma Nadia Asyila yang masih kabur dengan
tekaannya. Amierah merenung tepat ke dalam anak mata Nadia Asyila.
Gadis itu membalasnya. Satu keluhan yang kuat dilepaskan oleh Amierah.
“ Kenapa kau tipu aku?”
Amierah bertanya geram. Nadia Asyila hanya menunduk.
“ Kenapa kau terima kes tu?”
Suaranya dikuatkan. Nadia Asyila bungkam. Syazwan
menyepak sedikit kaki Amierah di bawah meja apabila ada mata yang memandang ke
arah mereka. Amierah cuba
bertenang. Nadia Asyila masih membatu.
“ Kenapa ni Nadia? Sampai bila kau nak duduk dalam ruang
yang sempit tu. Tak ada sesiapa menghalang kau untuk bebas. Kenapa kau ni bodoh
sangat?” Amierah semakin hilang sabar. Percakapannya juga sudah
terlepas. Namun suaranya sudah dikendurkan. Syazwan mengisyaratkan supaya Amierah lebih bersabar.
Nadia Asyila menelan liur.
“ Kenapa? Bebaskanlah diri kau Nadia.” Suara yang
kedengaran semakin sayu.
“ Hati aku tak mengizinkannya.” Itulah jawapan Nadia Asyila. Amierah mengetap bibirnya
kuat.
“ Itulah masalah kau. Kau yang merelakannya. Kau yang
pilih jalan tu. Aku benci dengan sikap kau.” Amierah sudahpun
mengalirkan air mata. Dia benci dengan sikap kawannya yang terlalu setia dengan
benda yang tidak pernah menjadi miliknya. Entah apa yang membuatkan kawannya
itu bertindak sehingga untuk terus berada dalam kesetiaan yang segila itu.
Dia sudah terlalu bingung dengan kawannya yang seorang
itu. Kalau diikutkan hati tidak mahu lagi dia mengambil kisah tentang Nadia
Asyila. Tetapi, rasa sayangnya kepada gadis itu melebihi rasa benci terhadap
sikap gadis itu. Jadi, itulah yang berlaku sekarang. Dia kalah dengan
sikap Nadia yang sentiasa tidak mahu mengalah dalam melayan perasaan cinta
terhadap lelaki yang bernama Fazar Azameer.
Syazwan hanya mampu menunduk. Dia sendiri geram dengan
sikap Nadia Asyila. Tapi simpatinya melebihi segalanya. Dia sama seperti
Amierah. Tidak mahu gadis itu terus merana. Tapi apalah daya mereka jika itu
kehendak Nadia Asyila.
“ Tiada apa yang boleh aku cakap selain kata maaf. Aku
tahu yang aku bersalah kerana tidak menepati janji dan menipu. Tapi, apa yang
aku lakukan semua ini hanyalah untuk membuatkan hati aku sedikit gembira.
Gembira dari luka yang telah lama berdarah.”
“ Tak payahlah kau nak minta maaf. Dah fed up sangat
telinga aku dengar kata maaf kau. Dah naik cair dah tahi telinga aku ni. Aku
mintak sangat dengan Tuhan supaya suatu hari nanti akan dicelikkan jugak mata
hati kau yang buta tu.” Amierah membidas geram. Nadia Asyila mengeluh. Tahap
kesabaran kawannya telah menipis. Dia tahu apa yang berlaku adalah salahnya. Namun dia tiada daya untuk membetulkan apa yang telah
dilakukannya. Bukan kehendak dirinya tetapi kehendak hatinya yang mahukan semua
itu. Jadi salahkah dia?
“ Mierah. Tak baik kau cakap macam tu. Mungkin apa yang
berlaku ni akan ada hikmahnya. Setiap apa yang ditentukan ilahi itu pasti akan
terselit takdirNya yang tersendiri.”
“ Ini bukan takdir. Ini namanya mencari masalah. Masalah
untuk membuatkan diri dia sendiri jadi gila.”
“ Kalau ya pun janganlah emosional sangat. Dah banyak
mata yang pandang sini. Jaga profesion kau sebagai seorang guru.”
“ Ah! Bukannya diorang tahu pun yang aku kerja cikgu.” Amierah terus membidas. Syazwan membentuk-bentukkan
mulutnya sebagai memprotes apa yang dibalas Amierah.
“ Maafkan aku. Mierah, Syazwan.”
Digenggam tangan Amierah dan memandang sayu ke arah
Syazwan. Pandangannya penuh harapan. Mengharapkan sebuah pengertian.
‘ Mungkin satu hari nanti kamu akan faham.’