“ Entah apalah yang buat kau senyum memanjang. Aku ajak
pergi perkhemahan agung tak nak. Entah apalah yang buat kau gembira daripada
berseronok kat sana.” Nadia Asyila semakin melebarkan senyumnya di depan gadis
itu. Amierah merengus geram. Rajuknya masih belum habis kerana kawannya itu
tidak mahu menjadi peserta untuk aktiviti hujung minggu nanti. Namun bila difikirkan, untuk apa dia merajuk? Dia tidak
berhak untuk memaksa. Rajuknya Cuma akan memberikan impak yang negatif pada
persahabatan mereka.
“Siapa cakap aku tak pergi?” Nadia Asyila menduga gadis di hadapannya.
“ Alah kau cakap macamlah kau pergi. Pendaftaran dah
ditutup.” Amierah menjuihkan bibirnya. Kata-katanya kedengaran
agak sinis.
“ Memang aku pergi. Aku baru je lepas daftar. Maklumlah,
kau pun tahu kan
yang aku rapat dengan cikgu Rosnani tu. Ye la kan, sentiasa dapat A katakan.” Nadia Asyila menjawab sedikit meninggi diri. Sebenarnya
dia sengaja ingin menyakiti hati gadis itu kerana rajuk yang entah apa-apa. Amierah memandangnya dengan wajah yang gembira.
“ Ni yang buatkan aku sayang kat kau.” Pantas dipeluk dan dicium pipi sahabatnya. Nadia Asyila cuba mengelak
bila sedikit lemas. Serentak itu masing-masing menjuihkan bibir dan ketawa. Untuk seketika, Amierah membayangkan tapak perkhemahan
yang akan dituju pada hujung minggu nanti. Danau Toban. Itulah nama tempat
perkhemahan yang akan mereka jejaki.
***************************************************************************************
Nadia Asyila langsung tidak dapat melelapkan mata kerana
dari awal lagi matanya terpaku pada wajah Fazar Azameer yang duduk di kerusi
hadapan sebelah kanannya. Lena yang mengulit Amierah di sebelahnya membuatkan dia tidak melepaskan
peluang itu untuk berlalu dengan begitu sahaja. Dia sendiri bingung sebenarnya
dengan apa yang berlaku kepada dirinya.Walau untuk sesaat dia rasa tidak mahu melepaskan
pandangannya untuk memandang ke arah lain. Seakan mahu terus dipakukan
pandangannya terus ke wajah Fazar Azameer. Apakah itu yang dikatakan cinta? Dia
sendiri tidak tahu. Tidak pernah dia merasakan perasaan yang sebegitu sebelum
ini dengan mana-mana lelaki.
Sejak dia terpandang wajah Fazar Azameer 2 tahun yang
lalu, lelaki itu sentiasa menjamah pandangan matanya. Walau dalam diam, Nadia
Asyila tidak pernah jemu. Walau tiada balasan, Nadia Asyila tidak pernah kisah.
Mungkin benar kata Amierah yang dirinya sudah angau.
Jadi, betullah yang hatinya telah dicuri oleh lelaki
itu. Hatinya sudah jatuh saying dan cinta kepada lelaki itu. Lelaki yang
dikenali sebagai buaya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Tapi dia tidak
pernah kisah.
Harapannya tidak
pernah padam yang suatu hari nanti Fazar Azameer akan memandang dirinya.
Menerima rasa cinta yang sedang membuak di dalam dirinya kini. Bukan sebagai
cinta monyet. Itulah harapan yang sentiasa bercambah dalam dirinya
walau tempiasnya tidak pernah menyebelahi dirinya. Harapannya tidak pernah
pudar dan dia akan sentiasa terus berharap.
Nadia Asyila dan kadet polis wanita yang lain mengalami
sedikit masalah kerana tapak perkhemahan kadetnya merupakan kawasan tanah yang
sedikit keras. Tidak terdaya dengan tenaga mereka. Walaupun tindakan Puan Rosnani untuk meminta tapak
perkhemahan lain menemui kegagalan apabila tidak dibenarkan.
“ Nadia, awak pergi kat khemah kadet polis lelaki dan
panggil beberapa orang untuk buat khemah kita.” Nadia Asyila tidak membantah bila kata-kata itu sedikit
tegas. Ditariknya tangan Amierah namun gadis itu membantah kerana banyak kerja
pembersihan tapak perkhemahan yang perlu dilakukan. Akhirnya gadis itu berlalu ke tapak perkhemahan kadet
polis lelaki seorang diri.
“ Adik boleh tak
beritahu dua tiga orang abang-abang yang cikgu Rosnani nak jumpa dekat tapak
khemah kadet polis perempuan.” Nadia Asyila meminta jasa baik seorang pelajar tingkatan satu yang
sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan. “ Akak cakap sendirilah dengan ketua kami. Abang Fazar.
Dia ada kat sana.”
Nadia Asyila telan liur bila nama lelaki
itu disebut oleh pelajar itu.
‘ Kurang asam betul. Minta tolong sikit pun payah.’ Dibebelnya di
dalam hati. Namun, gadis itu melangkah juga ke arah sekumpulan lelaki yang
sedang berehat. Mungkin penat selepas mendirikan khemah yang terpaksa dicangkul
untuk dimasukkan buluh sebagai kaki khemah. Itulah yang merumitkan pelajar perempuan.
‘Macam mana aku nak cakap? Selama ni tak pernah cakap
dengan dia. Kenapa hati ni pulak berdebar semacam? Ya Allah, apa kena ni?
Apakah ini permulaan untuk aku bercakap dengan dia? Tapi kenapa dalam keadaan
yang macam ni? Keadaan yang aku langsung tidak bersedia. Apa yang aku nak
panggil dia?’ Gadis itu bermonolog. Fazar Azameer merenung wajah yang berdiri di hadapannya.
Sedikit mengangkat kening bila bibir gadis itu seakan ingin mengatakan sesuatu.
Nadia Asyila merasakan lututnya menggeletar.
“ Err… a..abang ketua kadet ni ke?” Tergagap-gagap Nadia
Asyila mengeluarkan suara. Mukanya terasa panas kerana dia tahu yang wajahnya
sudah bertukar warna bila ada yang tersenyum-senyum memandangnya. Fazar Azameer tersenyum dalam hati. Dia tahu yang gadis
itu segan. Mungkin.
“ Ya. Kenapa? Ada
yang tak kena ke?” Nadia Asyila menarik nafasnya sedalam mungkin dan
melepaskannya perlahan-lahan.
“ Sebenarnya, cikgu Rosnani panggil dua tiga orang sebab
nak minta tolong sikit.” Nadia Asyila lega kerana dapat menuturkannya.
“ Terima kasih. Okey, Syam, Shahrul, jom ikut aku.” Fazar Azameer memberi arahan. Mereka bertiga segera
berlalu. Nadia Asyila mengikut dari belakang. Iqmal Hisyam memperlahankan langkah. Menunggu Nadia
Asyila. Gadis itu tersenyum memandangnya. Lelaki itu juga begitu.
‘ Kalau tak silap aku, lelaki ni lah yang pandang aku
hari tu. Senyum pada aku. Manis juga senyumannya.’
“ Kenapa gagap cakap tadi? Dah jatuh cinta?” Nadia Asyila tersentak. Pertanyaan lelaki itu begitu
bersahaja.
“ Apa yang awak cakap ni? Merepek je.” Iqmal Hisyam ketawa kuat.
“ Awak? Kenapa dengan Fazar tadi panggil dia abang? Umur
kami tak de beza pun. Cuma kalau ikut bulan tu lainlah.” Nadia Asyila hilang punca. Terpinga-pinga seketika. Iqmal Hisyam mematikan tawanya bila menyedari yang gadis
itu sedikit kalut.
“ Maaf! Saya tak kenal awak. Pergi dulu.” Nadia Asyila mempercepatkan langkah namun lengannya
dipegang. Nadia Asyila langsung tidak menyangka akan tindakan lelaki itu.
Segera ditarik tangannya.
“ Maaf! Tak sengaja. Selamat berkenalan. Saya Syam.
Hisyam.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya. Nadia Asyila
ragu-ragu.
“ Untuk apa?”
“ Supaya lepas ni kita mengenali antara satu sama lain.
Mungkin lebih rapat lagi.” Nadia Asyila mengerutkan keningnya.
‘ Ikhlaskah lelaki ini?” Namun disambut juga tangan itu sebagai salam perkenalan.
“ Nadia.”
“ Saya tahu.”
Gadis itu hanya menyambut kata-kata itu sebagai angin
lalu dan terus berlalu. Dia tidak hairan jika Iqmal Hisyam mengetahui namanya.
Mereka satu sekolah. Dia juga mengetahui nama lelaki itu. Iqmal Hisyam tersenyum puas. Namun senyumannya kembali
pudar apabila terbayang kegugupan wajah itu sebentar tadi apabila menuturkan
kata dengan Fazar Azameer. Dengan dirinya pula macam nak bergaduh. Tiada sikit
pun rasa gentar. Seakan memberikan kata yang tepat kepada firasatnya
selama ini yang mungkin Nadia Asyila ada hati dengan Fazar Azameer. Namun dia
tidak mahu membuat kesimpulan secara awal.
Tentang rasa hatinya pula, akan diberitakan kepada gadis
itu suatu hari nanti. Pasti! Bila? Dia sendiri tidak tahu. Untuk masa sekarang,
masih terlalu awal. Nadia Asyila masih tidak mengenali dirinya. Hanya sekadar
nama. Itupun beberapa detik yang lepas.
******************************************************************************************
“ Tolong! Tolong!” Nadia Asyila
tersentak. Lautan ketenangan hilang mendadak. Ditoleh pandangannya ke kiri dan
kanan. Namun, dia tidak menjumpai sesuatu yang mencurigakan seperti apa yang
didengarinya. Nadia Asyila yakin yang dia tidak berkhayal sewaktu
suara meminta bantuan itu singgah di telinganya. Matanya masih galak memerhati.“ Tolong!” Nadia Asyila pantas berlari ke arah yang dirasakan tepat
untuk mencari sasaran yang mungkin memerlukan bantuannya. Setelah menghampiri tasik berdekatan, jelas di pandangan
gadis itu seorang budak perempuan menggapai-gapaikan tangannya di dalam tasik.
Tanpa membuang masa, Nadai Asyila terus terjun ke dalam
tasik yang dia sendiri tidak tahu kedalamannya. Tangannya cuba dikayuh
sepantas mungkin supaya segera sampai ke tengah tasik itu. Nadia Asyila cuba sedaya upaya untuk menarik
budak perempuan itu yang semakin tenggelam. Malangnya, badan budak perempuan
itu sedikit gempal. Memberikan satu kerumitan kepada Nadia Asyila. Nadia Asyila mengucapkan syukur tinggi melangit apabila
didapati ada seorang insan yang turut sama cuba untuk membantu budak perempuan
yang semakin tenggelam dari pandangannya.
“ Nadia. Pegang tangan saya dan kita sama-sama keluarkan
dia dari tasik ni.” Tanpa menunggu sesaat pun, Nadia Asyila pantas memegang
lengan lelaki yang bersuara. Dia malas membuang masa dengan memikirkan dari
mana lelaki itu mengetahui namanya. Bukan masa yang sesuai. Nadia Asyila dapat merasakan yang lelaki itu juga turut
sama memegang lengannya. Kejap! Mereka meletakkan tangan yang telah disilangkan
tadi di bawah ketiak budak perempuan itu.
Dengan pantas mereka berkayuh ke tebing dengan
menggunakan tangan yang satu lagi. Sebaik sahaja sampai di tebing, ramai yang
memberi bantuan kecemasan. Nadia Asyila terbatuk-batuk dan memuntahkan kembali air
tasik yang tidak sengaja terminum olehnya.
“ Awak tak apa-apa?”
Dalam keadaan yang masih menunduk, gadis itu menggeleng.
Cuma tekaknya yang terasa perit. Nadia Asyila mendongak. Dia masih belum
mengetahui siapa yang bersamanya di dalam tasik tadi. Dengan keadaan air yang memercik di sana sini akibat gapaian budak perempuan tadi
suakr untuknya mengesan wajah itu. Kini jelas di pandangannya. Fazar Azameer yang
menegurnya.
‘ Mungkinkah dia yang berada dalam tasik tadi?’ Nadia Asyila
melontarkan pertanyaan itu ke lubuk hatinya. Dia merasakan bahawa sangkaannya
tidak meleset apabila dilihat pakaian lelaki itu yang basah kuyup. Sama
sepertinya.
“ Terima kasih.” Fazar Azameer bersuara. Nadia Asyila mengerutkan
keningnya tanda tidak mengerti.
“ Dalam tasik tadi.” Gadis itu mula
mengerti. Sah! Memang Fazar Azameer yang membantunya tadi. Dan… tangan lelaki
itu juga yang dipegangnya tadi. Nadia Asyila tersenyum. Gila! Fikirnya dalam
senyuman. Peluang yang tidak diduga untuk mendekati cinta hatinya.
“ Saya pun nak ucapkan terima kasih sebab bantu saya.
Kalau awak tak ada tadi saya memang tak boleh nak bawa dia keluar dari tasik ni.” Fazar Azameer dan Nadia Asyila memandang budak perempuan
yang hampir lemas tadi. Sudah bertambah pulih dari keadaan tadi. Fazar Azameer seakan mengerti apa yang dimaksudkan oleh
Nadia Asyila bila terpandangkan badan budak perempuan itu yang sedikit gempal.
Mereka saling berbalas senyum.
Saat mata Nadia Asyila menentang mata milik Fazar
Azameer, dirasakan perasaan yang beraja di hatinya selama ini semakin membara. Cepat-cepat ditundukkan kembali wajahnya. Dia malu
sendiri. Apa yang penting, dia tidak mahu Fazar Azameer tahu tentang apa yang
dirasakannya saat itu.
Iqmal Hisyam yang sedari tadi memerhati, benci dengan
situasi itu. Dia benci bila ada senyuman yang terukir di bibir keduanya.
Seperti menandakan satu hubungan akan tercipta. Dia benci saat mereka kejap berpegangan lengan sesama
sendiri sewaktu membawa insan yang hampir kelemasan naik ke tebing. Walaupun
untuk menyelamatkan satu nyawa, akalnya sukar untuk menerima. Dia benci dengan dirinya kerana tidak tahu berenang.
Kalau tidak, pasti dia yang akan memegang badan milik gadis itu. Matanya
berbulu melihat Fazar Azameer dan Nadia Asyila bercakap dan bergelak ketawa. Iqmal Hisyam memalingkan tubuhnya dan terus mengatur
langkah untuk beredar dari situ. Dia kini benci dengan segalanya.