Home Novel Cinta TUAH
Bab 27

Bab 27 SAPU-SAPU RINGIN


Bersiar-siar dengan kau?

Aduhai Encik Tuah, kalau keluar berdua orang panggil dating.

Kalau bersiar-siar sebegini ramai, orang panggil rombongan Mak-Je-Mah.

Aku memeluk tubuh sambil melirik tajam belakang Tuah. Dia mengiringi Sultan Mansur Syah dan Betara Majapahit di baris hadapan sekali. Walaupun selang enam baris, aku masih boleh nampak susuk Tuah. Bersunguh aku ingat Tuah ajak aku seorang sahaja walaupun tahu Tuah memang tak ada karakter untuk buat perkara macam itu. 


Kali ini aku berjalan dalam kumpulan dayang yang dikepalai Mak Inang. Elok juga sebab langkah orang perempuan di sini sopan dan lambat. Sesuai dengan gaun dan kasut tumit tinggi aku yang sedikit mengganggu pergerakan. Mujur agenda malam ini amat santai. Jalan berhenti, jalan berhenti. Sekadar memberi pendedahan kepada orang-orang Melaka latar masyarakat Majapahit.


Suasana malam di sekitar kota amat meriah rupanya. Orang-orang Jawa pandai berhibur. Kalau Seoul ada Jalan Hongdae, Trowulan ada alun-alun. Kawasan lapang nan luas yang hidup dengan aneka permainan dan persembahan. 


Secara peribadi, aku kagum dengan usaha pemerintah Majapahit untuk menyuburkan warisan kebudayaan mereka. Menyediakan prasarana bagi rakyat menyalurkan bakat dan seni. Secara teori alun-alun ini berfungsi sebagai tempat melepak. Cuma aktiviti sosial yang dijalankan lebih cenderung kepada kebudayaan, menyuburkan jati diri bangsa. 


Mula-mula sampai, aku dikejutkan dengan  adegan lawan ala Gladiator. Satu lawan satu dan mereka di kelilingi penonton yang ramai. Segala jenis senjata boleh dipertempurkan. Dari buluh sehinggalah sundang. Kata dayang itu hanyalah perlawanan persahabatan. Malah perajurit Majapahit adakalanya turun berlatih di sini. Tetapi aku tengok siap berdarah-darah. Memang berderau jantung aku tadi.

Mujur kelibat peniaga dengan barang jualan mereka merapikan hati aku kembali. Rupa aneh patung-patung kayu amat menarik . Produk tempatan dari hasil hutan. Kreatif bapak- bapak Jawa ini.


Dalam banyak-banyak aktiviti, hati aku tercuit dengan persembahan tari gaya Ronggeng. Orang tempatan memanggil penarinya Teledek. Persembahan mereka amat ceria. Goyang pinggung teledek menghiburkan sama dengan gema ceria gamelan yang ditabuh nagaya.

Namun hanya satu yang berjaya buat aku pegun. Malah kekhusyukan aku sehingga ke tahap pengapkan segala bunyi. Sepenuh hati aku memerhati lenggok anggota badan penari  yang menggerakkan tubuh mereka seperti anak patung ataupun patung wayang kulit. Tak lenguh ke pinggang dan kekuda kaki beraksi sebegitu lama?

"Hanna!"

Ada orang panggil nama aku?

Mencerlung mata Mak Inang ketika memanggil nama aku buat kali kedua. Tahu pula dia akan nama aku. Aku toleh sekitar sebelum tersengih-sengih. Patutlah orang tua itu bengang. Semua orang dah melajak ke hadapan kecuali aku. 

"Hanna."

Siapa lagi yang panggil nama aku?


Kedudukan aku di celah-celah dayang menyebabkan aku tak nampak pemilik suara. Rasanya tak perlu aku tercari-cari kerana jalan untuk aku sedia terbuka merentas dari baris hadapan. Berdiri tegak hujung laluan, seorang Sultan sedang menggamitkan jemarinya.

Kali ini tanpa syak wasangka aku tahu Sultan Mansur Syah mahu aku mengiringi baginda di baris hadapan. Lebar senyuman yang aku sugilkan kepada Tuah yang berjalan sama baris dengan aku walaupun tidak mendapat reaksi balasan Tuah. 

Ahaks! Senyum, tak perlu kata apa-apa.


Usai bersiar-siar di sekitar Kota, rombongan Mak Jemah kembali ke istana. Di Paseban Agong, Betara Majapahit bertitah, "Adapun kita telah melihat orang-orang Jawa bermain permainannya masing-masing. Suruhlah orang-orang Melaka bermain. Kita hendak melihatnya." 

Aik, macam kutahu skrip ini?  

Ujian buat bakal menantu lagi?

Aku perhatikan reaksi Sultan Mansur Syah. Biasan wajah baginda memang tenang. Tindakan baginda lebih pintar. 

"Tun Bija Sura, titahkan orang-orang kita bermain."

Hahaha Cerdik, Cerdik. 

Taktik mengalihkan bebanan kepada orang bawahan memang terbaik. Tak susah-susah nak perah otak bagai. Namun aku tahu sandaran di sebalik tindakan baginda. Tun Bija Sura bukan sembarang pembesar. 


Berkerut juga muka lelaki itu menerima bebanan. Sekejap sahaja Tun Bija Sura menekur lantai sebelum wajahnya kembali bersemangat seperti biasa. Aneh, suara lelaki itu lirih.

"Tuanku, apatah permainan Kita Melayu ini ada... melainkan Sapu Ringin?"

Sedikitpun aku tidak percaya pada intonasi rendah diri tahap tertinggi yang Tun Bija Sura gunakan. Akal lelaki ini lebih licik daripada rubah. 


Ceria muka Sultan Melaka apabila Betara Majapahit termakan lakonan pembesarnya. Segera dititahnya Tun Bija Sura melaksanakan rencana.

"Satu, dua, tiga, empat, lima, enam. Silalah kalian ke hadapan. Persembahkan Sapu Ringin."

Terkedu aku sekejap. Telunjuk Tun Bija Sura betul-betul mengarah ke muka aku ketika lelaki itu menyebut nombor enam.

Biar betik! 

No, No, No Hanna. This is impossible!

Tak sempat aku menggeleng ketika belakang aku ditolak kasar oleh Mak Inang.

Lidahnya menyembur kata-kata garang macam watak Nyonya Mansoor dalam filem Ibu Mertuaku.

"Muka macam ayam berak kapur. Lekas junjung titah ke Bawah Duli Tuanku."

Rasa tak percaya aku dah berlunjur kedua kaki di hadapan rombongan tadi.  Aku, dayang dan empat anak tuan-tuan bakal mempersembahkan permainan Sapu Ringin secara berpasangan.


Ini mimpi ke penderaan mental!

Aku mana tahu permainan ini. Nama Sapu Ringinpun first time aku dengar. Tak kan aku nak jadi tunggul kat depan ni.


Hati aku sedang rancak berkeluh kesah di kala Rangga tiba-tiba sahaja melangkah ke ruang hadapan. Walau tidak tahu apa tujuan Rangga, kelibat lelaki itu sahaja dah buat aku bersorakan gembira. Hati aku begitu pasti, Rangga sedang sediakan tangga kecemasan untuk aku keluar dari bencana ini. Rangga berlutut menyembah ke hadapan Betara Majapahit sebelum lantang bertikam lidah dengan Tun Bija Sura.

"Tan panhidep mambang laku sira."

Setelah itu kata-kata Rangga semakin tegas.

"Jangan mimpi! Tiada kelompok rakyat berkelaku seperti kamu. Berlunjur di hadapan Yang Mulia Raja!"

Rangga membantah? 

Adakah persembahan akan dibatalkan?

Oh Rangga, you're my saviour. 


Tun Bija Sura membidas, "Kami bermain di atas titah Paduka Betara. Maka sebab itu kami bermain. Gilakah kami bermain tanpa titah?"

Dari meninggi, suara Tun Bija Sura mengendur.

"Jika ditegah begini, maka berhentilah kami."

Pembesar Melaka ini boleh menang award Pelakon Pembantu Lelaki Drama Purbawara Terbaik. Drama sungguh.


Hakikatnya, kain pengelap kaki, biarkan mahal dan bermutu benangnya, tetap kain pengelap. Di bawah kaki juga tempatnya.

Rakyat marhaen, biarpun terang-terangan menegakkan kebenaran demi kebaikan pemerintah, andai ditolak, tersisih jua tempatnya.

"Biarlah mereka bermain. Jangan ditegah."

Hanya dengan satu isyarat tangan, Betara Majapahit mempamerkan kuasanya. Rangga kembali ke tempat asal.

Huwaaa! Aku ingat dah tak on. 

Gabra ada. Gemuruh ada. Aku cekalkan hati menadah telinga. Buka luas mata mengajuk pergerakan dayang di kanan aku. Mereka letak tangan atas paha, aku letak tangan atas paha. Mereka  menyanyi, aku menyanyi juga. Dengan cara aku.

Mime la, apa lagi. 

Mulut buka tapi suara tak keluar. Jadi dari jauh nampak macam aku menyanyi sekali. 

Hehehe Selamatlah kot. 


Bersunguh-sungguh Si dayang menyanyi,

"Sapu-sapu beringin,

Ke rimbun dayong-dayong,

Datang Cik Aji Lebai,

bawa buaya Kudung,

Kudung kaki, kudung tangan,

Tiada boleh berpulangan."

Aku ajuk perlakuan dayang dan anak tuan-tuan melipat kaki kanan. Ketika lagu diulang, tak sengaja mata aku merayap ke arah Rangga. Lelaki itu masih tegak mengawal walaupun jejak pandangannya  jauh merentas ke luar paseban. Kesan cahaya dian mengukir jelas garis kesayuan di wajah Rangga. 

Pap! 

Tangan dayang kanan menepuk paha aku. Sedikit kuat. Tumpuan aku kembali ke permainan. Spontan, aku ajuk perlakuan dayang. Aku tepuk paha dia.

Paap! "Adoi!" 

Kena lagi! Aku jegilkan mata kepada dayang tersebut. Aku tampar paha dia lagi kuat. Meh rasa apa kau buat dekat aku. Kau ingat main tampar macam tu tak rasa sakit? Pedih masih terasa membekas di paha.

Mata Si dayang rendah melihat kaki aku. Siap mulutnya sekali muncung ke arah yang sama.

Dia tak boleh baca ke raut aku.

Apa? Aku-tak-faham! 

Setelah dua tiga kali berbalas pandangan dan jegilan, aku baru perasan sesuatu. Permainan tergendala. Semua pemain menanti aksi aku. Berada di sisi paling hujung, sudah tentu aku nampak lima pasang mata yang serentak mencerlung aku. Perlahan sahaja suara dayang memberi arahan.

"Kaki. Lipat."

Oh! Baru aku sedar hanya kaki aku seorang sahaja yang masih terjulur ke depan. Mana aku tahu. Aku masih tidak dapat menangkap teknik permainan.


Lagu seterusnya aku berhenti miming. Aku kunci mulut. Muncung bibir aku panjang macam bibir itik. Tumpuan aku amat-amat terganggu dengan perlakuan jejaka-jejaka Melaka depan aku. Geramnya aku tengok mulut Tuah yang luas ketawa tanpa bunyi. Siap bahu terhenjut-henjut. Iskandar lagi buruk laku. Ketawa besar di lantai sambil pegang perut.

Kurang asam!


Lama juga permainan sapu-sapu ringin ini walaupun rancak. Melibatkan pelbagai aksi. Lipat kaki, genggam tangan, silang lengan, tepuk paha, goyang-goyang badan. Lagupun banyak. 7 lagu. Liriknya memang pelik-pelik. Aku dengar mereka sebut minyak arab, pecah telur, peram pisang, tak makan setahun, rumah nak roboh. 

Layan aje la Dik Non! 


Usai persembahan, tepat melintasi depan Tun Bija Sura dan Tuah, aku berhenti sekejap hanya untuk menjeling. Meneka Si Dalang.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.