Home Novel Cinta TUAH
PROLOG

Langit petang semakin galak memuntahkan isinya. Sedikitpun tiada belas ihsan terhadap rintihan hati. Air yang mencurah-curah sama lebat dengan titis-titis halus yang melimpah dari kolam mata.

"Sudahlah Hanna. Mari kita pulang. Selagi bernyawa, hidup ini perlu diteruskan."

Tidak jemu-jemu lelaki itu memujuk rayu dari tadi. Tidak berganjak dia duduk di sisiku menghadap dua batu yang bisu. Kini, kami sama-sama basah kuyup bermandi hujan.

Ah! Andai sahaja hidup ini semudah kata-kata yang terbit dari bibirnya.
Barangkali dia tidak mengerti derita jiwa aku.

Kini, kehidupan adalah suatu kenangan yang telah berlalu bagiku. Ruang yang bersisa hanyalah menanti sebuah kematian.


DAN DI ZAMAN YANG BERBEZA...

Menggila ombak bergelora menari-nari bersama titis ganas dari langit. Dentuman halilintar bergegar menghentam bumi bagaikan mencabar sang nakhoda beradu kehandalan. Walau sedemikian, tiadalah terzahir walau sekelumit gentar di wajah nakhoda. Malah, sinar matanya semakin galak selari dengan tangan yang beraksi. Menyerah kalah pada takdir kehidupan tiada di dalam darah dagingnya.

Dalam basah kuyup, aku pejamkan mata cuba bersandar pada dinding bahtera. Pantang pahlawan menyerah kalah sebelum berjuang. Meskipun di ketika itu, nilai sebuah kehidupan bukan lagi suatu nikmat yang sewenang-wenangnya boleh dikecapi. Sekurang-kurangnya, ia masih bernilai bagi penerus hidup insan lain.

Hidup bagaikan perhambaan diri yang tak sudah-sudah.

Tiada palitan rona indah mahupun duka. Semuanya sudah hilang erti. 

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.