Home Novel Cinta TUAH
Bab 40
Bab 40  Mitos bertemu lagenda


Redza mengamit tangan seraya senyap beredar dari situ.

Aku mengekori Redza menyusuri lorong kecil. Sambil itu aku jenguk artifak yang terjaga rapi di dalam dinding kaca di kiri kanan lorong. Langkah aku berhenti sama dengan langkah Redza. Tanpa sepatah kata dia melabuhkan punggung di bingkai tingkap.

Mata melilau ke sekitar. Setakat ini, aku tak jumpa atau nampak perkataan Taming Sari. Keris asal itu disorokkan daripada pandangan ramaikah? Apa yang Redza mahu aku tengok di sini? Beberapa perkakas lama yang telah terpinggir dari dapur moden?

Lalu pandangan aku jatuh di wajah penuh teka-teki Redza semula.
"Mananya? Keris Taming Sari?"

Redza hulur telefon pintarnya kepada aku sambil ketawa kecil. Aku pupuk kesabaran setelah mengetahui niat Redza.

Aishh! Mamat ni!

"Kau bawa aku pusing muzium semata-mata nak cari tempat paling sesuai untuk tunjuk gambar keris Taming Sari?"

Gelak Redza semakin kuat, akan tetapi dia menggeleng. Dalam masa yang sama aku perasan tatapannya lurus ke wajah aku.

"Berjalan santai sebegini cepat memulihkan badan. Muka Cik Hanna dah nampak merah sikit. Tadi agak pucat."

Asing tetapi bukan asing. Itu lontaran pandangan aku tentang pemuda yang baru aku kenali. Lagaknya bersahaja tetapi dia ada alasan yang munasabah di atas setiap tindak tanduknya.

"Ini keris Taming Sari?"

"Cik Hanna tahu persamaan handphone dengan keris?"

Malas nak berfikir, jadi aku terus jawab, "Tak tahu."

"Hati mudah resah gelisah kalau tak berkepit merata tempat. Bezanya hanya pertukaran zaman. Orang Melayu dahulu suka bawa keris, sekarang orang bawa handphone ke mana-mana."

Aku muncungkan bibir ke arah paparan skrin telefon pintar.

"Keris mencerminkan maruah dan martabat. Siapa engkau dan apa kedudukan engkau. Orang dahulu tak perlu guna ic atau guna resume untuk pengenalan diri. Tunjukkan sahaja keris yang tersisip di celah bengkung. Hulu, pendokok, sampir dan mata keris sendiri akan bercerita siapa engkau."

Panjang intro Si Redza ni sebelum masuk isi utama. Aku majukan langkah dan duduk di birai tingkap bersebelahan Redza. Angin dari Selat Melaka sedang beradu kuasa dengan mentari di luar. Bayu laut meranggah daun tua di dahan pokok tepi bukit. Mata sempat mencecah laman hijau di kawasan belakang muzium yang diliputi warna coklat daun mati sebelum menatap Redza.

Seronok betul dia tersengih-sengih seorang!
"Hurm?"
Bila kau nak bercerita pasal keris Taming Sari, Redza oii?

Aku baru duduk, Redza telah berdiri.

"Redza, saya nak tahu tentang Keris Taming Sari."

Redza jenguk jam tangan lalu berkata,
"Sambil berjalan, sambil bercerita, boleh?"

Senyap sahaja aku atur langkah kaki sebelah Redza walaupun dalam hati aku punyalah bising.

Haila, Redza! Kau dah berjaya memakbulkan niat nak meneroka satu muzium yang aku dah batalkan lepas pengsan tadi.

Suara Redza memecah sunyi di laluan pameran patung berpakaian tradisi masyarakat tempatan.

"Keris Hang Tuah harga sebuah negeri, cerita Taming Sari. Keris Hang Jebat harga sebelah negeri, cerita Pengkarang namanya. Itu catitan dalam manuskrip langka Rahsia Pamor Keris yang ditulis Tok Pulai Condong."

"Kenapa la Hang Tuah pergi lontar keris tu dalam Sungai Duyung? Kalau dia jual, boleh bersara jutawan. Harga sebuah negeri tu."

Lama aku ketawa baru aku perasan jelingan Redza.

"Menurut catitan yang sama, Keris Taming Sari ditempa daripada 20 jenis besi. Salah satunya adalah besi khursani yang mitosnya menjadi penyebab kekebalan pemiliknya."

"Awak percaya mitos tu? Hang Tuah kebal lepas dapat keris Taming Sari?"

Bibir Redza mengorak senyum sambil melirikkan matanya kepadaku
"Benar atau mitos, itu Cik Hanna kena tanya sendiri dengan Hang Tuah."

Hahahaha
Noted! Nanti aku tanya Tuah lepas dia kalahkan Pendekar Taming Sari walaupun aku sendiri tak pasti adakah Tuah itu Hang Tuah.

Lorong sempit berakhir di pintu utama. Redza tiba-tiba sahaja berhenti di tepi patung kumpulan nobat.

Aku ingat dia nak bercerita pasal nobat. Rupa-rupanya nak buka teka-teki lagi. Redza keluarkan keris yang bersarung dari celah pinggang.

"Cik Hanna tahu apa persamaan keris saya dengan Keris Hang Tuah?"

Kali ini aku pamer sengih yang disengajakan. Angguk tak gelengpun tak. Malas aku nak jawab.

"Keris kami sama-sama telah makan darah. Keris-keris sebegini ada rohnya. Hanya tangan-tangan tertentu mampu mengendalikannya. Jadi, saya nak pesan sesuatu dengan Cik Hanna. Jangan sesekali Cik cuba pegang benda sebegini baik di depan mata ..."

Apabila Redza putuskan kata-katanya, aku ubah tatapan daripada keris kepada dia. Entah kenapa aku rasa pandangan Redza jauh meneroka dalam kalbu.

"... atau di dalam mimpi."

Buat seketika iwa rasa terawang-awangan setelah mendengar sambungan ayat Redza. Satu kebetulan yang misteri.
Apa yang dia tahu tentang aku? Mimpi aku?

"Cik Hanna faham?"

Suara kuat membawa aku kembali ke ayat terakhir dia. Setelah aku mengangguk bersungguh-sungguh, senyuman Redza bertandang lagi. Aku rasa kata-kata Redza selepas itu sebagai rumusan topik bicara kami sepanjang tengah hari.

"Keris Taming Sari dan Hang Tuah. Gabungan mitos dan lagenda. Tak mustahil hikayat Sang Laksamana ini akan diingati menjangkau alaf."

Di anjung muzium, Nurin telah sedia menanti aku di kerusi urut. Redza melangkah menuruni tangga.

"Dah boleh balik?" tanya Nurin.

Mulut aku terbuka nak jawab tapi perkara lain terdahulu mencelah minda.

Satu soalan!

Macam lipas kudung aku meniti anak tangga menyaingi Redza. Ternyata dia seorang yang amat bertimbang rasa. Melihat aku bergegas, Redza menunggu aku di bawah.

"Jangan lari Cik Hanna. Nanti dua kali Cik kena peluk."

Amaran Redza bukan hanya membekukan badan aku, otak aku sekali.
Dua kali kena peluk?

"Ada apa Cik Hanna?"

Aku abaikan bisik-bisik hati yang sedang merebakkan kepanasan dan kemerahan serata muka. Terus aku ajukan pertanyaan.

"Kau ada cara..."
Baru aku sedar, soalan aku tak rasional.
Dan aku juga tak nak habiskan masa rehat Redza. Aku perlahankan suara, menghabiskan ayat panjang yang dah aku pendek dan padatkan terus ke isi setelah mengenepikan kemungkinan pandangan negatif Redza tentang aku.

"Kau ada cara nak kenal Hang Tuah?"

Sebelah tangan Redza mengurut lembut pelipis. Setelah itu jemarinya menggamit aku. Senyuman simpul Redza tertera di wajahnya sebelum dia berbisik sesuatu ke telinga aku.

Kedua kening aku berkerut. Kelopak mata aku luas terbuka menempelak idea Redza.
Eh, Biar betul! Ada ke perkara macam tu?

Berbeza dengan reaksi aku, kedua kening Redza terangkat tinggi. Matanya juga terjojol sedikit.

Aku faham bahasa wajah Redza. Jelas terngiang di minda aku maksud Redza.
Kalau jumpa, maknanya ada lah.

Aku balas senyuman senget Redza dengan senyuman.
"Kebaikan tuan hamba hanya Tuhan yang boleh membalasnya."

Eh, terkeluar ayat klasik aku hahaha. Mudah betul aku lupa tempat aku berdiri melihat busana Redza yang berlatarkan istana lama.

"Kita akan bertemu kembali Cik Hanna. Jaga diri tuan hamba baik-baik."

Kelopak mata aku berkedip-kedip melihat belakang Redza yang semakin jauh. Tak sedar Nurin dah berdiri sebelah aku.

"Kita balik terus ye, Hanna. Bab shopping tu kita tangguh lain kali."

Kereta Nurin meluncur laju keluar dari Melaka memasuki lebuhraya Utara Selatan.

Menjelang petang baru aku tiba di rumah. Setelah aku keluar dari perut kereta, Nurin berkata, "Hanna, kau jangan marah tau perkara yang aku nak beritahu ini."

"Hah cakap cepat. Apa salah kau dekat aku?"

Nada bergurau aku jelas. Tapi muka Nurin nampak cuak.

"Masa kau pengsan tu, aku ada call Dr Ihsan."

Habislah aku...

Tak sempat aku nak luahkan kemarahan. Tindakan refleks Nurin lebih pantas dari peluru mulut aku. Sekelip mata Nurin dan keretanya lesap.

Nurin!!

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.