Home Novel Cinta TUAH
Bab 44
Bab 44 Rangga : Tidurlah Kesumaku


Sangka aku, lonjakan hati Hanna sekuat semangat yang sering dia pamerkan.
Sangka aku, selepas makan dia akan kembali kepada soalannya. Siapa sangka makanan masih bersisa di tangan ketika Hanna bersandar ke tiang pendopo lantas tidur.

Hanna... Hanna...
Bukan sahaja dirimu aneh, malah kelazimanmu juga juga ganjil.

Aku habiskan baki makanan sambil ketawa.
Setelah itu aku bangun lalu memangku kepala Hanna. Sebelah tangan lagi aku selitkan di bawah pelipat lututnya. Monologku terkeluar seiring dengan gerak mata membaca wajah Hanna.

"Hari yang memenatkan, iya?"

Niat untuk membawa Hanna ke dalam kamar tetamu terbantu ketika fikiran melayarkan gambaran demi gambaran perilaku Hanna semalam.

Selayang pandang, kesemua kelaziman yang aku temui pada tabiat tidur Hanna tidak membawa kepada  perkara luas biasa. Sebaliknya sebagai ahli Bhayangkara, kadar kepekaan aku berganda daripada manusia biasa. Oleh itu, keanehan yang terselit di celah kelaziman, biarpun secalit mudah memancing syak wasangka aku.

Hanna yang tertidur di pangkuan aku semasa menunggang kuda dan kini tertidur semasa makan. Hanna yang susah untuk dibangunkan!

Asalnya perlakuan pagi tadi sekadar bermain-main setelah puas menunggu Hanna terjaga. Aku geselkan pelepah burung ke mata, pipi dan hujung hidung Hanna. Apabila permainan aku sia-sia, usaha aku lebih serius.

Aku memekik di telinga Hanna, menggoyangkan tubuh dia. Akhir sekali aku renjis air sungai ke wajahnya beberapa kali. Setelah semua usaha aku gagal, aku duduk di batuan sungai sambil melihat garis matahari yang semakin terang menyapa muka Hanna. Sehinggalah keseluruhan batang tubuh Hanna benderang disimbah sinar pagi, di detik itulah aku melihat keajaiban.

Seluruh pancaindera aku membeku di saat itu. Akal sedang mencerna situasi ketika aku sedar Hanna telah terjaga. Cepat-cepat aku benamkan diri di dalam sungai. Barangkali kesejukan luaran berjaya mengurangkan kejutan dalaman. Lama aku biarkan diri terawang-awangan di dalam air bagi menenangkan minda. Aku atur semula keutamaan. Apa yang benar-benar diri aku kehendaki.

Kebenaran? Atau Hanna?
Telah ada jawapan semasa Hanna berada di depan mata. Ekor mataku mengekori gerak Hanna yang girang berenang- renang.

Jawapan itu bertambah jitu setelah aku rincikan persoalan.

Apa yang akan aku hilang sekiranya aku memilih menyelongkar kebenaran?

Lalu aku kelilingi Hanna beberapa kali, memerhati kakinya yang berayun gemalai. Memerhati bawah badannya yang lurus tenggelam kesan kepadatan jisim. Dari luaran, zahir Hanna sama seperti aku. Sama seperti manusia lain. Wajah yang menyeringai kemarahan sambil menyebut namaku penuh bengis tatkala menyambut kemunculanku segera meluputkan semua wasangka sehingga kini.

Aku biarkan derap kaki tergocoh- gocoh menghampirku. Tanpa menoleh, aku menyapa, "Baru pulang dari keraton, mbak?"

"Iya, Ndoro Mas."

Amat mudah untuk aku membezakan bunyi seretan kaki wanita yang mengasuhku dari kecil. Malah aku turut peka akan kesan masa ke atas fizikalnya. Di bahagian wajah mana kedut bertambah. Di sisi rambut mana uban semakin memutih. Itu adalah kerana riwayat hidupnya adalah menurut riwayat hidupku. Andai aku berada di hujung dunia, di situlah dia akan turut berada, menemaniku sebagaimana arahan bonda.

"Apa bisa mbak persiapkan kamarku?"

Arahan dalam bentuk soalan segera dimengertikan.

"Iya," sahut Mbak Wulan yang masih tetap ditempatnya. Aku angkat muka lalu bertemu sepasang mata yang bersinar-sinar.

"Gendhuk cah ayu."
Patah kata yang ujar dalam sengih membuat hati aku girang.

"Perawan kesuma padan ngak dengan pria ganteng ini?"

Mbak Wulan mengangguk. Bulu mata yang bercelak lebat dikibas-kibas laju.
"Padan sahaja tidak berguna. Cintanya ada?"

Malu mengiringi senyuman yang terlepas. Aku tundukkan sedikit wajah.

"Kesrimpet bebed kesandung gelung?"

Kesimpulan yang tepat perihal keadaan aku. Takdir yang menyadung aku kepada Hanna pantas menjerat cinta dengan kain jaritku. Mbak Wulan bertanya lagi.

"Lalu cintanya bersambut?"

Aku diam. Perlahan-lahan kepala menyandar ke bahu Mbak Wulan. Kuat kedengaran nafas yang dia hela. Tangannya mengusap belakangku.

"Witing tresno jalaran saka kulino. Mbak tahu Ndoro Mas tidak tertakluk kepada hal sedemikian. Makanya cinta yang datang ini pasti sangat istimewa. Ia memberatimu?"

Aku pejamkan mata dan tahan resah hati. Gumamku lambat-lambat bersela tarikan nafas yang panjang.

"Cinta ini entahkan benar, entahkan permainan nafsu. Entahkan bisa sampai ke jiwa dia, entahkan untukku telan semula."

Belakangku terasa ditepuk kuat.
"Usah begitu Ndoro. Andai cinta bisa meresapi jiwa, itu artinya hati kita telah siap sedia untuk menerima takdir cinta. Diri kena yakin dengan kata hati."

Anggukan aku lemah. Aku sematkan  pesanan Mbak Wulan erat dalam hati.

"Jangan disekat perasaan itu. Cari peluang dan masa yang terbaik untuk dapatkan hatinya. Mahu tahu apa yang Mbak selalu fikir?"

"Em," sahutku ringkas. Tangan kanan telah membelit pinggang Mbak. Bau bunga tanjung memenuhi rongga hidung.

"Andai malam ini Ndoro meluah cinta kepada bulan, barangkali bulan akan turun ke mari demi menyambut cinta dari pria ganteng ini. Nah, apatah lagi perawan ... "

Gurauan Mbak Wulan menghilangkan resahku. Ketawaku menyapu bahunya. Aku angkat muka dan tersenyum. Jemari Mbak Wulan menyusur dari lengan ke jemariku.
Kemudian sebelah lagi tangannya menepuk jari kami yang bertaut.

"Pandanglah cinta dari sisi yang indah. Biarpun kelak cinta terlempar ke muka kita kembali, hati masih boleh tersenyum dengan kenangan indah. Mbak pergi siapkan kamar, ya?"

"Iya."

Melangkah beberapa tapak, Mbak Wulan berpatah balik untuk bertanya, "Kamar Ndoro atau kamar tetamu?"

Aku berikan kata putus. "Kamarku."

Ditinggal keseorangan, aku menghadap Hanna kembali sambil menimbang-nimbang perkara yang melintas di fikiran tadi sebelum disapa Mbak Wulan. Jari memicit dagu ketika anak mata menjamah sekujur tubuh Hanna yang terbaring lena atas lantai papan.

Aku perlu lihat kepastian! Sama seperti pastinya kejaiban pagi tadi di depan mataku.

Air separuh terisi di dalam bejana yang aku capai. Fokus pandangan hanyalah pada wajah Hanna. Pada mulanya aku cuma merenjis-renjis air di muka Hanna. Namun setelah keyakinan jitu, aku simbah seluruh air kepadanya.

Ganjil mendengar ketawa sendiri kerana aku seharusnya gentar apabila berhadapan dengan perkara aneh dan tidak masuk akal.

Mungkin kerana keanehan itu adalah Hanna. Tanpa sebab yang jelas, akal mudah menerima kesemuanya.

Aku lap kesemua kesan basah di muka Hanna dengan kain bersih. Segala kerisauan telah aku tinggalkan semasa aku mencempung dia ke kamarku.

"Aduh, Ndoro Mas! Apa yang berlaku? Kasihan dia habis basah."

Mimik manisku berlawan dengan mimik gelabah Mbak Wulan.

"Tertepis air. Nanti keringkan tudung dan baju dia. Setelah itu pakaikan semula."

Mbak Wulan angguk dan tunduk. Rautnya sedikit cuak. "Kasihan dia, Ndoro. Pasti terganggu lenanya."

"Usah khuatir. Dia tidak akan terjaga."

Itu suatu perkara yang aku pasti pada malam itu. Cinta aku?

Mana tahu nyala mentari esok akan  menyinarkan berita gembira buat aku.



*************************************
WITING TRESNO JALARAN SAKA KULINO
(Berawalnya cinta kerana terbiasa)

maknanya kurang lebih cinta biasanya akan datang jika kita telah terbiasa ( komunikasi dan juga interaksi)

Kesrimpet bebed kesandung gelung
Terjerat bebed (kain panjang lelaki) tersadung sanggul 

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.