Home Novel Cinta TUAH
Bab 9
Bab 9   DEJA VU


Aturan Tuhan sememangnya indah. Permulaan dan pengakhiran hari kedua-duanya sempurna dengan muncul dan tenggelamnya bebola merah yang sama, bintang paling dekat dengan bumi.

Manakala aturan manusia hari ini merupakan atur cara paling indah yang pernah aku saksikan.

Sebaik sahaja Sultan Mansur Syah naik ke belakang gajah, payung iram kuning berkembang mekar, Cogan Alam lambang kuasa dan kedaulatan Raja Melayu tertegak megah di bumi Majapahit.

Lalu kehadiran rombongan DiRaja diumumkan secara rasmi oleh bunyi nyaring serunai. Di tiupan Nafiri ke tiga, semua kaki melangkah dan bergerak seiring dengan pukulan nahara yang bertingkah dengan gendang ibu dan anak. Sesekali lanjut suara nafiri merentas sempadan hutan. Alat muzik erofon itu bagai menggantikan fungsi pembesar suara mengumumkan kehadiran para tetamu Melaka ke ibukota Majapahit.

Aku berjalan di sebelah Mak Inang di dalam kumpulan Perdaraan. Imej paling besar dan rapat yang aku nampak adalah punggung gajah. Kenaikan Sultan itu di kawal rapi oleh kumpulan elit yang dikepalai Tuah. Tak jauh kami berjalan sebelum rombongan memasuki kawasan permukiman dan pasar. Di kala itu lautan manusia telah melimpah di kiri dan kanan bahu laluan.

Sekejap sahaja mata sempat mengitari sekitar sebelum terhenti di susuk Tuah.

Eh! Eh! Apa Mamat tu tengah buat?

Tak semena- mena Tuah melompat keluar dari kawanan hulubalang sambil menyingsing tangan baju. Baju layang yang dipakainya diselak sehingga menampakkan keris pendua. Suara Tuah nyaring memengkis, "Ceh! Manatah perajurit yang mengamuk itu? Marilah mengamuk. Biar aku hantar sampai ke paseban."

Minda serta-merta menayangkan beberapa perkataan.

Mabuk, halusinasi, hilang akal.

Hati pula meluncurkan tokok tambah selaju celoteh promoter Go Shop.
Inikan delegasi damai. Rombongan peminangan kot! Apahal pula sampai nak kecoh-kecoh macam ni. Kot ye pun nak buat prank, acah-acah sudah memadai. Kenapa perlu serius sangat. Apa cerita?

Perlakuan Tuah bagi aku bawah sikit sahaja daripada tahap amuk. Depan Sultan pula.
Badass sungguh!

Bukan Tuah seorang yang bertempik dan mengacah senjata berhadap kerumun manusia. Seorang rakannya telah menyertai Tuah. Tuah di sisi kanan gajah tuanku, kawannya di sisi kiri.

Riuh-rendah suara orang ramai yang memenuhi kawasan pasar tiba-tiba sahaja hilang. Kalau akupun tengah syok saksikan perarakan, tiba-tiba kena sergah macam tu, mau tak terkejut beruk.

Aku menggeleng-gelengkan kepala membantah dalam diam. Pandangan naik tinggi ke arah Sultan Mansur Syah. Dari sisi belakang, aku tak boleh mengagak riak wajah Sultan ketika itu. Tetapi belakang tubuh Tuanku masih tegak dan tegap. Baginda tak menoleh langsung untuk melihat perlakuan dua hulubalangnya itu.

Tacit understanding.
Itu bacaan awal aku terhadap interaksi bisu di antara pemerintah dan orang bawahannya.

Haila... mainan politik belaka.

Si dungu mana yang berani bersikap terang-terangan kurang ajar terhadap tetamu Raja mereka tatkala kesatria dan pembesar negeri turut serta di dalam perarakan tersebut. Di tambah lagi dengan adanya hulubalang terkemuka Melaka...
Sengaja mencari nahas?

Tsk... Tsk... Tsk... drama sangat.

Menyedari apa yang tertayang hanyalah sandiwara, aku kembali tenang. Malangnya seketika kemudian aku kembali diganggu. Kali ini pembuat onar tak lain dan tak bukan kasut aku sendiri!

Payahnya nak berjalan. Atau lebih tepat lagi aku tak rasa macam berjalan, tetapi sedang meniti. Tumit tinggi Chunky platform kasut  aku asyik tergelincir di atas permukaan licin dan leper kerikil yang melatari laluan keluar dari pasar menuju ke kota. Akibatnya aku mudah kehilangan imbangan tubuh. Aku yang asyik tunduk melihat jalan sekejap-sekejap terlanggar dengan gadis yang berjalan di belakang. Langkah aku semakin perlahan demi mengelak diri dari terjatuh. Kedudukan aku semakin ke belakang dan bertambah belakang.

Entah bila jarak memisahkan aku dan orang-orang Melaka, akupun tak perasan. Yang aku tahu, terangkat sahaja muka, badan aku terus kaku. Jalan aku terhenti. Malah kini aku rasa segala ruang di sekitar aku turut statik. Hatta debupun terperangkap di dalam nokhtahnya. Bagai ada jemari yang menekan punat pause dan aku turut terperangkap di dalam layar maya itu.

Dari memandang, kini aku mengamati. Objek merah yang tak jauh dari kedudukan aku tersergam kukuh. Ada keanehan yang terserap di dada ketika itu. Perasaan seram-sejuk berlegar-legar di benak lalu merayap ke serata sendi. Keseraman itu merindingkan roma, menghantar sejuk di hujung jemari.

Rupa binaan itu aku kenal. Serupa namun tak sama. Warnanya kekal kemerahan. Binaannya tetap sayup tinggi. Perasaan gah yang membekas sama menyinggah setiap kali mata menatapnya.

Ketidaksamaannya terletak pada kehalusan seni ukiran yang menutupi bata merah. Walau dari jauh, aku dapat melihat kerawang yang memenuhi setiap sudut binaan. Binaan itu bukan tunggal atau berpasang sebagaimana imej yang tertera di dalam kepala aku. Malah bersambung dengan pagar batu merah yang tinggi.

"Deja vu."

Seharusnya perasaan itu membawa pengalaman belakang ke hadapan, tetapi apa yang sedang aku alami adalah penyongsangan. Pengalaman hadapan dibawa ke belakang.

"Deja vu?"

"Mm. Deja vu."
Aku mengesahkan perkara sama yang ditanya.

Sekejap!
Kepada siapa? Bila masa aku ulang perkataan yang sama?

Spontan kepala berpaling ke kiri. Agaknya serentak juga kepala itu berpaling ke arah kanan. Anak mata kami bertembung. Wajah kami rapat, hanya dalam selang beberapa jengkal jari. Biji mata aku membulat sebelum aku melepaskan jeritan. Lekas-lekas aku condongkan tubuh ke belakang bagi meluaskan jarak di antara aku dan wajah asing itu.

Nampaknya hanya aku seorang sahaja.yang terkejut. Sebab dia... sedang mengukir senyuman dan mengulangi soalan.

"Deja vu itu apa?"

Dalam sekali pandang, aku boleh merasakan kehangatan renungan lelaki itu. Cara dia memandang aku bagaikan aku bukan orang asing di mata dia, tak sebagaimana dia di mata aku. Leher lelaki itu panjang menjenguk ke hadapan dan kepalanya sedikit menunduk.

Walau terperanjat, aku sempat menangkap nada tenangnya. Aku mengagak bukan sekejap dia telah berdiri rapat di belakang aku, tetapi aku yang tidak menyedari kehadiran dia.

"Awak... siapa?"

Soalan dari mulut sendiri mengembalikan kesedaran aku. Bingkas aku tertinjau-tinjau ke sekitar. Ternyata aku hanya di kelilingi oleh manusia dan persekitaran yang amat asing. Rombongan Melaka langsung hilang bayang. Hanya runut kaki tertinggal di tanah.

Mungkin makna perkataan 'asing' telah pudar kesannya buat aku. Asing yang bertimpa-timpa asing, lambat-laun akan terasa biasa. Tetapi penerimaan aku terhadap perihal asing ini lebih cepat. Ketakutan terhadap perkara yang mungkin tak terjangka masih ada tetapi tidak menghambat.

Sudahnya, dua-dua soalan tak berjawab.

Ibarat menyelak ensiklopedia, setiap halaman akan menemukan pengetahuan baru. Sebegitulah aku menganggap kehadiran lelaki itu. Sama seperti Lekir, Tuah, Iskandar, Hasan dan Husin. Setiap kemunculan personaliti baru bakal menemukan aku kepada perkara baru dalam kehidupan. Tanggapan positif menyebabkan aku tidak menghalau lelaki itu. Sebaliknya aku biarkan dia sahaja. Di mata aku, wujudnya bagai tak wujud.

Aku sambung pemerhatian yang terhenti tadi. Agak lama juga aku berdiri di tempat yang sama kerana pemerhatian telah bertukar menjadi penghayatan. Semakin lama aku tatap binaan itu, semakin aku jatuh cinta kepada keindahannya. Sehingga akhirnya apa yang seharusnya diucap oleh hati, tercetus di lidah.

"Gapura Wringin Lawang..."

Suara aku hanya berbisik. Sudah tentu aku merujuk kepada binaan bata merah candi bentar yang muncul dari celahan hutan dan di hujung telusur pasar.

"Pura Waktra."
Suara lelaki di sebelah aku keras menegur.

"Pintu Barat Kota Trowulan, Majapahit."

"Pintu Barat Pura Wilwatikta," ujar lelaki itu.

Kata-kata aku seharusnya satu monolog, bukan interaksi. Langsung tidak terkandung niat untuk bertukar idea atau buah fikiran apatah lagi untuk dibangkang atau diperbetulkan.

Memang aku tak puas hati kerana merasakan momen berharga aku diganggu.

Kalau hati penuh jengkel, agak-agak kau bagaimana rupa aku?
Kalah mimik watak jahat parodi Ngektsai Army, tahu!

Kening, dahi dan pangkal batang hidung aku sah-sah berkerut seribu. Sebelah hujung kening aku tinggi terjongket macam bilah pedang. Aku jeling, picing lalu jegilkan biji mata. Kedua bibir aku kemam erat. Lubang hidung aku sekejap kembang sekejap kempis. Pendek kata, kau takkan jumpa makna bahagia kalau terpandang raut muka aku sebegini.

Dengan wajah sebegitulah aku toleh dan paparkan mukaku kepada Si Penyibuk yang masih setia dekat sebelah aku.

Hish! Buta ke bodoh dia ni?
Kau buat aku sakit hati la woi!

Itu ayat yang aku rasa nak pekikkan dekat cuping telinga dia apabila reaksi dia tak menepati sangkaan aku.

Senyuman itu masih bertamu di bibir lelaki itu. Malah, leretannya bertambah lama dan manis sehingga mencecah ke matanya.

Lelaki itu telah berganjak ke hadapan, maka tubuhnya selari aku.

Oleh kerana mata aku menyapu wajahnya, secara tidak sengaja aku tersapu sekali tubuhnya.

Tersusun ketulan six pack dia.

OMG, itu juga bermakna dia tak berbaju!

Habis bercempera marah dan jengkel aku. Kerut aku hilang dilitupi rona merah.

Cepat-cepat aku berpaling ke arah bertentangan bagi melindungi wajah yang sedang membongkar perasaan. Akal sempat mencelah protes.

Apasal pula aku yang malu sedangkan yang tak pakai baju bukan aku tetapi dia?

Aku berusaha keras menyembunyi perasaan tetapi lelaki itu langsung tak menahan perasaan.

Aku dengar ketawa halusnya. Perlahan tetapi berderai. Bak perumpamaan yang sering dijumpai di dalam hikayat, suara sebegitu umpama untaian manik yang terputus dari karangnya. Indah lantunannya. Jelas satu persatu.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.