Home Novel Cinta TUAH
Bab 23

Bab 23. ITUKAH RUPAMU TUAH?


Tatkala langkah Ratu Putih telah terjerat digempur lawan dari setiap penjuru papan catur, di kala itu cara untuk melepaskan diri hanya satu.

Akur untuk menamatkan permainan. 

Maka lawannya, Raja Hitam akan memperolehi kemenangan yang unggul. Begitulah adat pertempuran di papan catur.


Posisi aku kini tak ubah seperti Ratu Putih. Percaturan Tuah telah membawa aku ke jalan mati; checkmate. Semua jalan untuk aku melepaskan diri dikepung tangan Tuah. Rangga tidak dapat membantuku. Sebagai utusan, pertolongan yang mampu dihulur berbentuk diplomasi, bukan kekerasan.

Meskipun berhadapan jalan mati, takdir kami mungkin berbeza. Aku adalah buah catur yang menentukan nasib diriku sendiri. Menyerah, aku akan kalah. Sedangkan Tuah adalah bidak yang dikawal jemari manusia. Berjaya, belum tentu akan menang.

Kenyataan itu aku sedar sewaktu melihat pertukaran raut Tuah ketika ada suara yang menyapa.

"Inikah buluh perindu yang berdendangan merdu tadi?"


Dengan wajah kami saling menghadap dalam jarak yang amat dekat, aku boleh nampak malah mampu rasa pergolakan dalaman Tuah. Buat beberapa detik pandangan Tuah masih mencengkam aku. Tetapi titik fokus Tuah telah berkalih. Tumpuan Tuah bukan terhadap aku tetapi kepada dirinya. Sejenak, letupan perasaan di kolam mata Tuah nampak jelas pabila dia jegilkan mata. Nafas yang Tuah tarik begitu dalam. Sedutan udara berbunyi kuat seolah-olah turut menyedut segala kemarahannya. Ketika bulu mata Tuah mengipas-ngipas beberapa kali, semua letusan perasaan telah meresap ke dalam lohong iris hitam tanpa meninggalkan kesan. Hanya kekosongan memenuhi mata Tuah. Serentak dia melepaskan pandangan dan kepungannya terhadap aku sebelum berpusing seraya merafak sembah.

"Benar Tuanku. Suara gadis inilah yang Tuanku dengar tadi."

Kawalan suara dan perlakuan Tuah seolah-olah desakan tadi tidak pernah berlaku. Memang menakjubkan.


Terlepas dari kurungan Tuah, aku rasa amat lega. Dalam masa yang sama, hati aku rasa pedih. Kalbu seperti tersusukkan sesuatu. Aku sedar itu kali pertama aku melihat wajah sebenar Tuah di sebalik topeng perkasanya.

Tuah, itukah engkau? Bidak yang tidak berupaya menentukan kemenangan pertempurannya sendiri? 

Rakyat yang dekat dengan Raja dan Sultannya akan tetapi jauh dari definisi beraja di mata bersultan di hati.

Atau semua ini adalah ekspresi keunggulan kesetiaanmu? Sifat yang sekian lama tertanam dalam dirimu. Sebati dengan namamu.

Jika benar, maka satu-satunya manusia di alam ini yang mampu mengekang Tuah hanyalah pemilik suara tadi. Kerana sudah tersohor setianya Tuah hanya terhadap Sultannya. 


"Aduhai perawan, sudikah dikau memperdengarkan semula suara merdumu? Anakandaku ini sedari tadi asyik memuji-mujimu."

Bukan manusia, malah permintaan juga mempunyai taraf. Definisi yang berbeza mengikut kedudukan peminta. Desakan dari Tuah hanyalah permintaan. Permintaan dari Betara Majapahit adalah desakan. Hal kedua yang aku sedar malam ini selepas rupa sebenar Tuah.

Mata melirik Tuah selepas Betara Majapahit. Nasib umpama terlepas dari mulut harimau masuk ke mulut naga aje aku rasa. 

Nagapun nagalah. Ada jentayu okey kot. Jadi pelindung aku. Daripada kekal di mulut harimau, akal kancil aku dah kepenatan nak cari helah.

Aku anggukkan kepala tanda bersetuju kepada Rangga. Kini langkahku diiringi dua jejaka ganténg, Rangga dan Tuah. 



Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.