Home Novel Cinta TUAH
Bab 14

Bab 14.  Rangga: Dewi Api


Malam semakin larut ketika aku dan Kasturi menghampiri gerbang besi istana. Pilihan waktu yang sememangnya aku sengajakan. Api obor yang berderetan di laluan menuju ke istana meliukkan tari mengikut rentak angin. Jemari merah jingga itu menghanyutkan fikiranku, memutar masa kembali ke belakang. 

Suria baru sahaja menyingkap tabir langit  Surya Wilwatikta ketika itu. Panahan cahaya pagi serta-merta membidik titik paling cerah di dalam lancaran terakhir gerombolan Melaka. Warna merah itu terlalu terang untuk aku abaikan. Ia bagaikan lidah api kecil yang menyala dalam sekam. Merah dalam natar kelam. Ke mana aku menghala, kelibat merah itu pasti akan menyambar perhatian dan menarik aku ke arahnya.

Dari jauh tubuh itu nampak seperti nyalaan batang mancis. Semakin dekat baru aku sedar bahawa objek merah yang aku amati sebenarnya adalah susuk seorang gadis. Merah bajunya pekat dan bertenaga sehingga aura yang terpancar dari gadis itu menenggelamkan gemilang kuning DiRaja.

Hari itu adalah hari yang aku haramkan sebarang kesilapan. Tugas aku kali ini agak mudah. Memastikan keselamatan semua ahli rombongan dari Melaka. Dari ketibaan mereka sehinggalah saat berangkat pulang. Untuk itu aku kerahkan orang-orang bawahan supaya mengosongkan laluan air. Aku pastikan tiada jong hatta perahu yang mudik di gemawan melainkan setelah lewatnya lancaran kenaikan Sultan Melaka.

Selain memastikan keselamatan di sungai, aku turut memastikan tiada musuh yang mendekati dari daratan. Pasukan-pasukan kuda berlarian mengiringi konvoi lancaran dari sisi kanan dan kiri daratan. Malah aku sendiri memacu kuda sekejap ke depan, sekejap ke belakang memeriksa segala rancangan agar berjalan lancar.

Di dalam perjalanan ulang dan alik itulah aku perasan muka Si gadis berbaju merah itu selalu terhala ke darat. Dia bagaikan menjejaki pasukanku. Aku tidak tahu apa yang dia cari, akan tetapi perlakuannya mencetus rasa kurang senang. Lantaran itu, aku putuskan untuk memberi sahaja apa yang dia mahu. 

Zahir diri kami! 

Dengan aku sendiri sebagai wakil yang selayaknya. 

Tak perlu dia mencari. Kali ini biar aku yang menanti. Aku tunggu kemunculan lancaran terakhir di hujung jeti. Ketika jarak di antara kami semakin pendek, telahan aku benar. Gadis itu ingin mengenali gerangan kami. Perlakuan tergesanya mempamerkan kesungguhan hati. Apa yang aku tidak faham adalah reaksinya selepas itu. 

Jelas mimik Si gadis tergamam. Malah dia memalingkan muka enggan bertemu mata.

Apa jeliknya aku di mata dia?

Apakah lain sempadan tanah kelahiran menaikkan taraf dirinya sehingga aku tidak layak dipandang?

Itulah kata-kata awal hati sebelum perasaan lain merasuk setelah munculnya bayang gadis yang bertindih-tindih.

Mata bundarnya yang secerah bintang kejora.

Pipinya yang samar kemerahan seindah kudup mawar.

Busana merah pelengkap anggunnya... persis Sang Dewi.

Sebagai salah seorang kesatria Majapahit, aku terlatih mendahulukan rational sebelum emosi. Aku tahu apa yang ingin aku capai dalam hidup. Untuk itu aku senantiasa berusaha keras dan fokus. Sebarang bentuk kelemahan akan aku tepis termasuklah godaan perempuan dan cinta. Namun, buat kali kedua pada hari yang sama, gadis itu berjaya meretakkan tembok hati aku.

Aku patut salahkan suria kerana kedua-dua saat paling lemah aku wujud semasa relung cahaya itu mencecah wajah si gadis. Atau pada warna merah bajunya. Kerana warna yang memancar terang terkena sinar matahari menambat pandangan aku. Walau aku sedar, hakikatnya kesalahan penuh terletak di bahu aku... atau lebih tepat lagi hati aku. 

Serakan nyala terakhir mentari di ufuk barat di belakang gadis itu sekali lagi membangkitkan sebuah keasyikan.

Sungguh, mata aku tak ingin berganjak tatkala merenung imej gadis yang terperangkap di dalam petak kecil. 

Terasa aku turut terperangkap di situ...

... di dalam dunia yang aku tidak kenali. Yang ada hanya aku dan dia, gadis yang bernama Kasturi.

Gadis itu mungkin sumpahan di atas senda melampau aku. Celupar mulut yang menyatakan bahawa hati ini tak akan bisa ditawan sesiapapun. Tidak Puteri hatta Sang Dewi. 

Hati aku milik mutlak aku.

Hakikat hati aku telah ditawan tanpa sebarang serangan memang aneh. Aku langsung tiada kekuatan untuk melawan. Sewenang-wenangnya aku tunduk kepadanya.

Gadis itu juga hukuman ke atas aku. Di atas kegagalan melaksanakan tugas aku hari ini. Dia punca tergugatnya kestabilan hidup aku. Tidak mustahil dia juga bakal penyebab hilangnya nyawa aku. 

Di saat tangan halus mulus itu menyambut huluran bunga dari Sultannya, aku merasakan ada peluru senapang lantak sedang menembusi dada, menamatkan hari aku yang seharusnya berakhir dengan sempurna. 

Ironi.

Dia pembuka hari sulitku.

Dia juga pembuka laluan ke jiwaku.

Dua hal yang memaksa aku mendekatinya dalam keadaan masa yang tidak berpihak kepadaku. Oleh itu aku putuskan untuk membuang segala jurang di antara aku dan dia. Membawa dia rapat di sisi aku...

Membawa dia rapat ke hati aku.

"Rangga..."

Aku mentertawakan diri mendengar nama asing itu berkumandang di telinga. 

Sedangkan prinsip utama diripun aku sudah berkompromi, apa lagi agaknya perkara di luar batas kawalan yang bakal aku izinkan berlaku...

"Rangga!"

Suara kuat itu membawa aku ke alam sedar. 

"Hmm... ada apa, Kasturi?"

"Kita tunggu apa lagi?"

Tunggu? Pagar istana telah berada di depan mata.  

Oh... mungkin Kasturi bermaksud tunggu apa lagi di atas kuda ini.

Aku turun dari belakang kuda dan membantu Kasturi yang kelihatan terkial-kial. Setelah itu aku mengiringi dia ke pondok kawalan di luar pagar istana. 

"Bawakan makanan dari bahagian dapur orang-orang Melaka serta panggil Arya ke mari," arahku kepada pengawal istana yang sedang menikmati masa rehatnya di situ. 

Nada suara aku turut dimengertikan oleh pengawal-pengawal lain yang berada di situ. Mereka segera beredar meninggalkan pondok kawalan.

"Kenapa kita tak masuk ke dalam?"

Kerana itulah tempat yang perlu kau elak, duhai Kasturi.

Punca onarmu!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.