Home Novel Cinta Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
Aria Ningsun, Andai Ini Takdir kita
AnnSelasih
10/11/2020 20:27:24
5,774
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4
Langit cerah pada malam itu. Duduk santai di atas pelantar kayu, senyuman Raden Inu lebar. Gelagat dua gadis di hadapannya lebih menarik hati berbanding bayang bulan tiga belas yang mengilaukan permukaan kolam. 

"Tidak tahu. Di atas titah Seri Nara kami berada di sini lalu kenal Ken Tambuhan." 

Raden Inu muncungkan mulutnya kepada Wira Dani. Luas bukaan mulut Wira Dani walau tiada suara yang keluar. 

"Buka. Beri kepada mereka." 

Langkah Wira Dani malas-malas merapati Ken Tadahan dan Ken Pelipur. Setelah dibuka baju, terus dia hulurkan pada dua gadis itu. 

"Jawapan yang salah. Bukan itu yang aku mahu tahu. Basuh sekali baju dia," arah Raden Inu. 

Wira Dani memeluk tubuh. Angin yang bertiup dari kolam menghantar dingin, merindingkan romanya. Pada ketika ini perasaannya berbelah bahagi. Geram setelah mendengar cerita Raden Inu. Kasihan setelah melihat tangan kecut dan muka pucat dua gadis. 

"Gantinya ada?" tanya Wira Dani. 

"Dalam kamarku." 

Wira Dani beredar membiarkan Raden Inu mencungkil maklumat. 

"Kenapa Ken Tambuhan berada di sini?" 

Lagak Raden Inu bagai kepala rumah pasung sedang menyiasat pesalah. 

"Kata Puteri, negerinya ditawan pemberontak. Puteri dihantar ke mari sebagai balasan pertolongan Seri Nara ke atas kemenangan tersebut.

"Lagi?" Raden Inu mahu tahu lebih lanjut. 

"Tiada lagi. Itu sahaja ceritanya. Ken Tambuhan berat mulut. Apa yang dicerita maka itu sahajalah yang kami tahu." 

"Basuh semula."

Pakaian bersih dilontar ke tanah. Dua gadis bermuka cemberut mengutip pakaian Raden Inu. 

"Kali ini kenapa... tuanku Raden Menteri?"

Marah yang membuak terpaksa ditahan. Nama Raden Inu berjaya dilunakkan. Ken Penglipur menanti alasan ke tujuh Raden Inu. 

"Masih kotor." 

Raden Inu mencapai kotak yang dititipkan pada Wira Dani. Penutupnya dibuka. 

"Apa tuanku mahu kami meleraikan benang kain lalu membasuh tiap sehelainya?"

Walaupun sudah lama hilang sabar Ken Tadahan masih berupaya menutur nada sopan. 

"Oh, iya? Bolehkah begitu? Apa salahnya. Fajar lambat lagi menyingsing. Pungguk pasti gembira malam ini kerana beroleh kalian sebagai peneman." 

"Tuanku..." 

Ken Tadahan dan Ken Penglipur meluru mendapatkan Raden Inu. Kepala mereka tunduk menyembah. Sambil menangis mereka merayu, "Ampunkan kami tuanku. Ampunkan kami. Kami benar-benar tidak tahu siapa tuanku." 

Setelah berkali-kali terkena dengan dua gadis ini, Raden Inu lebih berhati-hati. Sengaja dia lama mendiamkan diri. Dia mahu lihat sebanyak mana air mata mereka terhambur. 

"Manakala kalau kalian tahu siapa beta?" 

Ken Penglipur dan Ken Tadahan mengangkat kepala. Air mata telah membasahkan pipi mereka. 

"Kami akan lebih berhati-hati," kata Ken Penglipur. 

"Maksud kalian?" soal Raden Inu. 

"Kami tidak akan benarkan diri tertangkap," tambah Ken Tadahan. 

Berkerut dahi Raden Inu mendengar pengakuan rakan Ken Tambuhan itu. Sukar untuk dia percaya maksud yang tersirat. Lalu dia cuba mendapatkan penjelasan lanjut. Dari duduk, Raden Inu berdiri. Telunjuknya menghala ke kolam. 

"Maksud kalian, kalian rela larikan diri lalu membiarkan saudaramu tenggelam di dasar sana?"

Suara Raden Inu meninggi. Marahnya membara kerana kedua gadis tersebut tidak menentang saranannya malah mempamer senyuman. 

"Puteri akan tenggelam tetapi dia kekal hidup," kata Ken Tadahan. 

"Patik rasa puteri lahir berkembar ikan atau naga," tambah Ken Penglipur. 

"Eh, eh, ada-ada sahaja engkau ini. Mana kau tahu puteri lahir berkembar ikan?" bantah Ken Tadahan. 

 Daripada menghadap Raden Inu, dua gadis kini saling berhadapan. Besar sengih Ken Pelipur semasa berkata, "Agak aku sahaja. Kau lihat sendiri bukan, puteri boleh berlama-lama dalam air. Aku masih ingat kita semua tercungap-cungap berenang separuh kolam sedangkan puteri telah tiba ke hujung." 

"Iya, Iya. Mana mungkin aku boleh lupa muka buruk kau masa itu." Ketawa besar Ken Tadahan membuatkan dua gadis itu bercakaran. 

"Berani kau mengutuk aku!" 

Mata Raden Inu terkebil-kebil. Baru sebentar otaknya ligat mengutip maklumat. Sekelip mata dua gadis itu mengubah suasana menjadi hingar. Sungguh, dua gadis ini pakar sandiwara.Raden Inu memetik jari. Suaranya meningkah kecoh Ken Tadahan dan Ken Penglipur. 

"Hei, kenapa kalian bergaduh?" 

Jari tunjuk Ken Tadahan dan Ken Penglipur saling bersilang. Ken Penglipur mengadu, "Dia mula dahulu, tuanku. Dia kata patik buruk." 

 "Mana ada patik mengata. Patik berkata perkara yang benar. Dia memang buruk, tuanku." 

Sebelum pergaduhan bermula semula, Raden Inu terus memberi amaran."Mengusil suka. Bercakaran juga suka rupa-rupanya. Iya, jika kalian suka, beta perkenankan. Kalian boleh terus bergaduh, tetapi bukan di sini. Di sana." Depa tangan Raden Inu lurus menghala kolam. 

"Ampunkan kami, tuanku. Kami berjanji akan bersikap baik." Sambil merayu, sekali lagi kepala kedua gadis rapat di kaki Raden Inu.

"Sudah. Pergi sidai pakaian. Esok kita bertemu lagi. Pada masa yang sama, di sini." 

Cepat-cepat Ken Tadahan dan Ken Penglipur bangun lalu beredar. Ketika mereka mahu menoleh untuk menjeling, pesanan Raden Inu membatal hasrat mereka. 

"Ingat, baju yang kupakai ini juga perlu dicuci." 

 Derap laju di belakang Raden Inu menjemput senyumannya. Raden Inu kembali duduk. Kain di dalam kotak kayu dicapai lalu dibelai lembut. 

 "Jadi namamu Geringsing Wayang." 

 Setelah direntang, Raden Inu mengamati corak tenunan buat kesekian kali. Dia masih ingat, kain tenun itu pertama kali dilihatnya bersuluh sinar purnama. Latar hitam bercorak putih membuatkan gambaran sepasang kekasih dengan tapak tangan mereka bertemu jelas malah hidup. Bebola matanya basah sepanjang malam tersebut. 

"Mengenal kau hari ini, terasa dua tahun bersama-samamu sia-sia. Selain wajah rupawan di sebalik pelitup muka, apa lagi yang kau selindungkan, Puspa Kencana?" 

Kini Raden Inu tahu mengapa Raden Puspa Kencana memilih terjun ke dalam tasik pada kali terakhir pertemuan mereka. Gadis itu memilih hidup, bukannya mati sebagaimana sangkaannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.