Home Novel Cinta TUAH
Bab 39
Bab 39 Hero aku?


Cairan logam membentuk arca baru. Masih susuk lelaki, berdestar, berbaju kurung dengan seluar senteng lengkap bersamping.
Kali ini arah bonjolan bulatan kecil tembaga di tengah-tengah ukiran bukaan kelopak mata lurus menghadap aku. Aku tahu itu hanyalah arca, tapi aku juga sedar anak mata itu sedang merenung aku. Badan aku mula menggigil. Ketakutan menghambat diri. Malangnya kaki aku hanya mampu berundur setapak sahaja.

Ada silau yang sedang dilepaskan dari mata itu. Spontan aku tutup kelopak mata menghalang cahaya terang yang berlebihan menyakitiku.

Bulu mata mengepak-ngepak di saat aku buka dan kebilkan biji mata.

Arca itu benar-benar hidup!

Bukan dalam genangan silau kelam keemasan tetapi dengan warna alam semulajadi. Lelaki itu menampakkan rupanya seperti manusia, sama macam aku. Dengan kulitnya yang sedikit cerah. Rambutnya yang hitam pekat  melepasi bahu berbuai-buai bagai ditiup angin.

"Kau... siapa?"
Adakah dia Hang Tuah? Tak macam Tuah yang aku kenal. Paras yang terbias di mata hitamku ini Melayu sejati.

Tiada mimik garang di hadapan aku. Malah roman itu teduh. Meskipun begitu, aku gagal membuat sebarang bacaan wajah. Riak tenang itu seumpama permukaan tasik hijau kebiruan yang  menyembunyikan segala rahsia penghuninya. Paras itu tanpa biasan perasaan.

Guli mata aku melongsor ke bawah. Memerhati cekak kemas jemari kanannya di hulu keris pendua, melihat genggaman erat tangan kirinya pada keris. Aku tahu itu posisi bersiaga seorang hulubalang.

Anehnya berdiri berhadap sebegini, tubuh tegak dan tegap itu tidak menampilkan lagak Sang Laksamana, malah aura aristokrat terasa berlegar-legar kuat di sekelilingnya. Hanya dengan berdiri, lelaki itu mampu mengaut semua keyakinan dan keterampilan yang ada di sekitarnya. Meninggalkan rasa lemah dan rendah diri pada lawan.

Semasa pandangan naik semula ke mukanya serta-merta bulu roma  tegak berdiri. Kini aku tahu dari mana datangnya kegigilan yang menggila ini.

Dari sepasang mata itu!
Detak jantung berlari laju memberi reaksi kepada jurus dingin dan tajam yang dilancarkan dari arah mata dia.

Di saat ini aku percaya, lelaki itu tidak perlukan mimik garang mahupun aksi pegang keris untuk menggertak. Kerana  mata itu mampu beraksi sendirian, menghantar bengis, membunuh jiwa lawan dengan renungan maut. Kadar renungan yang melikat berupaya menghantui jiwa, membisikkan ancaman demi ancaman lalu meretakkan benteng pertahanan diri. Tanpa disedari, aku telah jatuh ke tangannya, tunduk ditawan.

Buk!
Kaki sudah tidak mampu melangkah lagi. Terduduk, botol air mineral yang terlepas dari tangan bergolek laju melanggar dinding kayu.

"Dah tak nak ke air ini?"

Tak pernah aku rasa lega yak amat apabila mendengar teguran. Tambahan pula aku kenal pemilik suara.

"Redza... tolong... saya..."
Tengkuk berpusing arah Redza sedikit demi sedikit macam robot. Suara aku tergagap-gagap akibat kecut perut.

Mimik manis Redza hilang ketika dia menghampiri aku.

"Kenapa Cik Hanna? Rasa nak pitam lagi?"
Aku kejapkan bibir, pejam mata dan menggeleng laju. Hati dah menjerit, 'aku nampak hantu!'

Aku buka mata setelah mendengar bisik-bisik suara tanpa butiran yang jelas. Mulut Redza kumat-kamit di bibir botol.

"Cik minum air ini sikit, lepas tu basahkan muka."
Sebaik sahaja botol mineral bertukar tangan, aku tenguk sampai habis. Terlupa langsung bab basuh muka. Botol kosong aku pulangkan kepada Redza.

"Cik Hanna?"

"Ya?"

Redza larikkan senyuman dan menggeleng.

Eh, mamat ni! Saja-saja seronok panggil nama aku?
Melayan omelan hati, tak sedar kepala dah kembali ke depan. Menghadap arca Hang Tuah sekali lagi.

Dup Dag Dup Dag

Paluan jantung kuat kedengaran di telinga. Cuak betul aku nak angkat mata.
Dia ada lagi ke kat situ?

"Cik dah jatuh hati ke?"

Hah! Sekali lagi Redza berjaya memesong perhatian aku. Arca Hang Tuah tak sengaja memasuki ruang pandangan.

Kedua tangan menyandar di lantai  seraya kepala mendongak ke lelangit kayu. Aku lepaskan kelegaan dengan suara yang kuat. Lepas tu aku ketawa sendiri.

Nurin! Aku rasa aku dah gila.
Mesti halusinasi aku telah kembali malah menjadi-jadi. Aku dah boleh nampak hantu.

"Jatuh hati dengan siapa? Awak? Dia?"
Aku juihkan mulut ke arah arca.

Ketawa Redza bergema ke serata ruang pameran.
"Kata orang, pada saat hati mengenali cintanya, jantung akan berdegup kencang, bicara menjadi gugup, perasaan tidak keruan. Macam keadaan Cik ini. "

Amboi Redza, dah macam naratif novel cinta ayat kau!
Kenapa aku rasa seperti masa tidak memberi definasi kepada komunikasi mesra Redza.

Dalam ketawa Redza membantu aku bangun dan memberi penjelasan.

"Ini mural Laksamana Lagenda Melayu, Hang Tuah. Mesti Cik Hanna tak sangka penempa mural ini bukan Melayu, kan?"

Puas aku selongkar maklumat dalam arkib minda tentang arca Hang Tuah, tetap tak berjumpa. Aku pernah nampak mural yang sama  di Muzium Negara.

"Siapa? Ah Chong? Munusamy?"
Aku cabut dua nama rawak dari kumpulan komuniti yang besar di Malaysia selepas Melayu.

"Mural yang melambangkan kejujuran dan kesetiaan bangsa Melayu ini seusia bangunan Muzium Negara. Tangan seni yang berjasa memahat ingatan hero Melayu dalam lipatan masa anak tempatan dan juga bangsa luar, namanya Waveney Jenkins. Wajah yang dihasilkan mendapat ilham dari buku Pengembaraan Hang Tuah oleh Abdul Mubin Sheppard dan dua askar  dari Batalion Pertama Askar Melayu Diraja."

Foreigner? Oh, really?
Itulah agaknya reaksi yang terpapar di muka aku terhadap keterangan Redza. Sebab Redza menyambung angguk selepas itu.

Kecut perut dah hilang. Aku tenung semula paras garang depan mata lama-lama. Setelah mentelaah beberapa buku berkaitan Hang Tuah, ada sedikit tanda tanya berkenaan cetusan idea hero rakyat ini.

"Awak rasa bangsa kita ketandusan wira ke, sehingga terpaksa mengangkat lagenda sebagai adiwira rakyat?"

"Lagenda kita adalah cerita lisan yang dipelihara dari generasi ke generasi. Logiknya mudah. Informasi gempak, personaliti terkemuka dan peristiwa luar biasa terkini akan mudah menjadi viral masyarakat. Bak permainan telefon karat, cerita dari mulut ke mulut akan ada tokok tambahnya dari sudut keperwiraan. Tetapi untuk mengatakan lagenda tersebut hasil imaginasi sang penglipur lara adalah pendapat rambang yang kosong. Ketokohan dan nama Laksamana ada di dalam tinta catitan lain."

"Jadi?"
Apa rumusan kau Redza?

"Jadi..."
Redza melirik matanya ke hadapan di dalam jeda bicara. Aku ikut garis lurus pandangan Redza.

"Mungkin sahaja Sang Laksamana ini adalah di antara manusia yang mati meninggalkan nama."

Buat seketika kebisuan berlegar-legar kembali di sekitar sebelum aku dengar soalan pelik Redza.

"Cik perlukan hero ke?"

Hah?

Haish! Redza ketawakan aku lagi.

"Saya masih ada masa nak temankan Cik Hanna. Cik nak menjelajah satu muzium atau nak tengok bahan pameran tertentu?"

Bulu kening aku bertaut rapat.
Redza, apa kaitan masa kau dengan niat aku?

Telunjuk Redza berlaga di permukaan kaca jam tangannya. Sengih Redza makin lebar.
"Waktu rehat saya sekarang. Untuk makan dan solat."

"Oooo."
Agak panjang harakat aku setelah memahami punca dan pangkal pelawaan Redza. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan sesuatu.

"Boleh bawa saya tengok keris Taming Sari?"


Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.