Home Novel Cinta TUAH
Bab 37
Bab 37 PATIK MENJUNJUNG TITAH


Itu kali pertama aku dipanggil menghadap Raja. Hati berbunga-bunga diselang-seli dengan debaran kencang. Dua sahaja kebarangkalian penyebabnya. Samada ganjaran bakal dikurnia ke atas usaha gigih yang dicurahkan kepada istana dan negara atau padah yang bakal menimpa di atas kelalaian yang aku sendiri tidak sedari.

Raja hanya bersendirian di tengah-tengah jambatan. Tangannya dihulur ke depan, menadah kuntuman Maehwa yang gugur. Dayang-dayang istana, para pengawal malah beberapa orang pembesar negeri hanya berdiri jauh di tepi tasik. Kemungkinan keadaan sebegitu adalah disengajakan kerana dua pengawal peribadi Raja menempatkan diri mereka di tengah-tengah laluan jambatan. Seorang di pangkal manakala seorang lagi berkawal di hujung jambatan. Hanya aku seorang sahaja yang dibenarkan melepasi mereka. Sebagaimana adat yang bersemi dari zaman nenek moyang, kepala aku menunduk taat sembah seraya melutut sebaik sahaja tubuh kami saling berhadapan. Hanya dengan keizinan tuanku sahaja aku akan bersuara dan mendongak semula.

“Adakah kamu rasa tugas yang kamu pikul sekarang membebankan?”

Suara garau Raja memasuki corong telinga bersama bunyi derapan kaki yang semakin dekat.

“Ampun Tuanku. Tiadalah sekalipun patik berasa begitu. Semua kebaikan yang patik terima adalah di atas kemurahan kasih Tuanku.”

Kini sepasang kasut kulit yang terbaik mutu jahitannya memasuki ruang penglihatan aku. Ini adalah jarak paling dekat di aku dan Raja. Berkali-kali  aku telan air liur membasahi tekak yang tiba-tiba terasa kering. Suara aku sedikit bergetar tadi.

“Angkatlah kepalamu kerana betalah yang sepatutnya berbuat sedemikian terhadapmu.”

Janggal benar kata-kata sebegitu di pendengaran rakyat jelata yang bernaung di bawah kekuasaannya. Rendah suara Sang Raja menambah kegusaran hati yang mula memutik. Sebaik sahaja mata menjamah anak mata Raja, aku yakin ada rahsia besar di sebalik nada tadi. Sinar matanya penuh pengharapan biarpun kehendaknya masih tersimpan kemas di sebalik sulaman naga yang sentiasa menghiasi dadanya. Kini, mata itu berkalih merenung jauh ke dalam tasik. Air jernih mula memenuhi bebola matanya.

“Kejelitaannya sering menghantui mata ini. Dan kejelitaan itulah jua yang mengundang celaka buat dirinya. Singgahsana yang beta miliki ini tidak berupaya menghalang dia dari diragut Penguasa Ming. Raja yang digeruni seluruh rakyat di dalam negeri ini hanya berani membiarkan sahaja wanita kesayangannya bertukar tuan. Begitu lemah tampuk kekuasaannya sehingga terpaksa mengharap naungan kuasa lain untuk bertahan.”

Titis air mata mula menghujani jari Raja yang mengenggam tiang jambatan. Getaran perasaan yang kuat dari Sang Raja dan diri aku sendiri membayangkan dugaan besar bakal melanda. Cuma apa kaitannya perempuan itu dengan aku? Hanya itu sahaja persoalan yang ingin aku ketahui. Adakah jawapannya bakal merubah takdir hidup aku. Aku kumpulkan semua keazaman yang ada.

Sang Raja menyambung bicara. Tanpa sebarang soalan yang diaju, hanya pengertian yang dia ingini dari aku. Hati masih tidak berhenti berkata-kata.

Adakah pengertian itu bakal menuntut sebuah pengorbanan yang besar?

“Andai beta tahu dia telah berbadan dua di hari terakhir kami bersama, seluruh perbendaharaan yang beta miliki, sanggup beta gadaikan demi mempertahankan kebebasannya. Hanya setelah empat belas tahun berlalu, barulah beta mendapat perkhabaran ini. Darah daging beta masih bernyawa di sana, di dalam tembok istana larangan.”

Tubuh terasa bagai dihempap seketul batu besar setelah kata-kata Raja tiba di minda. Cuma hati kuat berbisik bahawa permintaannya tidak keluar dari mulut seorang Raja tetapi dari hasrat seorang ayah yang ingin menebus dosa silamnya.

“Kamu berhak menolak seandainya permintaan ini terlalu membebankan. Beta mengerti usiamu terlalu mentah untuk menggalasnya. Akan tetapi beta tidak pernah menilai kamu dari luaran. Beta tahu kamu mempunyai mata hati yang hebat melebihi rakan-rakan sejawatan kamu di luar sana.”

Maka, aku telah menyaksikan bahawa Rajaku ini mempunyai sepasang mata setajam helang. Patutlah mudah sahaja dia menempelak dan membongkar pendustaan terancang barisan menteri-menteri andai usulnya ditentang hebat di balairong. Di ketika ini, permintaannya bagaikan menguji sejauh mana taat setia aku. Adakah hanya meniti di bibir dan dibuktikan dengan tubuh yang bersiap sedia bila-bila masa sahaja menahan panah musuh atau kesanggupanku lebih dari itu?

Menuntut pengorbanan seluruh usia kehidupanku!

Aku yakin, pasti ada sesuatu yang berharga di dalam diri aku yang dilihatnya. Perkara yang membuatkan dia menimbang keputusan yang terlalu mahal harganya. Hal ini melibatkan nyawa dan masa depan darah dagingnya sendiri. Pasti apa yang aku miliki juga seistimewa itu. Lalu apakah aku berhak menolaknya? Menolak keistimewaan yang diperakui terhadapku. Maka, fahamlah aku bahawa hidupku kini bukan lagi milikku. Masa untuk aku bersenang-lenang telah berakhir. Seruan perjuangan telah tiba tanpa mengenal usiaku yang masih muda. Bagai terngiang-ngiang tiupan semboyan berkumandang sayu tanda sebuah pertempuran bakal bermula.

Aku pasrah dengan kehendak takdir.

“Turunkanlah titah kepada patik Tuanku. Patik percaya, patik dapat memberi ketenteraman jiwa dan ketenangan hati buat tuanku.”

Aku cecahkan dahi di atas tangan yang beralas permukaan jambatan tanda taat setia yang tidak berbelah bahagi.

“Maafkan aku, wahai pahlawanku yang setia. Bahawa aku Rajamu menurunkan titah kepada kamu agar dapat memberi perlindungan dan menjamin keselamatan puteriku walau di mana puteri berada.”

“Titah dijunjung tuanku. Usahlah tuanku berduka. Patik akan berusaha mencari jalan agar Puteri dapat kembali ke pangkuan tuanku dengan selamat.”

Ringan lidahku mengucapkan janji kepada Raja untuk meringankan luka di hatinya. Janji seorang pahlawan yang tidak bisa ditarik balik atas sebarang alasan sekalipun. Sekali ia diikrar, sehingga hujung nyawa terpaksa dibawa.

Terasa kedua-dua bahu dipegang erat. Tatkala kepala ditegakkan kembali, tubuh aku dirangkul penuh pengharapan.

“Beta juga berjanji akan berusaha membawa kamu dan Puteri Li Po pulang ke tanahair walau dengan apa cara sekalipun.”

Dengan bantuan sida-sida istana Ming yang berkongsi tanah kelahiran denganku, aku berjaya menyusup masuk ke dalam Kota Larangan. Beberapa purnama kemudian, Maharaja telah menurunkan titah supaya Puteri Li Po diutus ke Melaka sebagai simbol jalinan hubungan di antara dua kerajaan. Semenjak itu, segala kata-kata dan kemahuan Sultan Melaka aku turuti. Agar satu hari, bila tiba saatnya nanti, Sultan Melaka akan memperkenan permintaan aku pula. Namun, semenjak itu tiada sebarang khabar berita atau utusan dari Raja sehingga kini.

Lamunan aku terhenti setelah pintu bilik diketuk perlahan. Lekir terus sahaja masuk dan duduk bersebelahan.

"Teringatkan dia?"
Kedua kening Lekir terjungkit-jungkit.

Aku rebahkan badan di hamparan. Fikiran aku agak tenang ketika ini.

"Teringatkan kampung kita."

"Sudah bertahun kau tidak menyebut perihal kampung halaman. Aku sangka kau sudah tekad mahu tinggal di tanah orang-orang Melayu."

Kata-kata Lekir terkandung kebenaran. Azam aku semakin menipis dengan mendalamnya cinta Puteri Hang Li Po terhadap suaminya. Seandainya Puteri memutuskan untuk kekal mendiami tanah Melayu, maka tanah kubur aku juga mungkin di sini.

"Jangan lupa pesanan tadi."
Niat untuk menjadikan kata-kata itu terakhir sebelum menutup mata tidak kesampaian. Lekir masih tetap di sisi. Kebiasaan yang sebegini menandakan ada cerita yang dia ingin kongsi.

"Tuah, engkau rasa Lekiu itu buang tabiatkah?"

Lekiu? Si Lekir ini memang banyak masa senggang gamaknya. Membuang masa memerhati perkara yang sia-sia.

"Sehari dua ini dia sudah pandai berangan-angan. Apabila aku tanya, kau tahu apa Lekiu buat?"

Lama aku tunggu sambungan bicara Lekir akan tetapi Lekir hanya menyepi. Dalam diam aku akui hal yang sama. Aku pernah menangkap Lekiu yang tenggelam dengan fikirannya. Aku juga pasti hal itu bukan sesuatu yang merunsingkannya. Lekiu tidak nampak seperti memikir tetapi hanyut.

"Lekiu buat apa?"

"Tersenyum!"
Ketenangan aku dicemari ketawa hilai tanpa henti Lekir. Sah, aku turut buang masa melayan cerita kosongnya.

Lekir bangun dan berkata, "Aku tertanya-tanya samada bumi Majapahit yang menyentuh jiwanya atau..."

Sekali lagi Lekir bermain teka-teki. Kali ini aku terus bertanya, "Atau apa?"

"Atau siapa. Aku amat berharap dia juga dapat mengubah kau, Tuah"

Pintu kamar ditutup rapat. Suara perlahan Lekir sempat menerobos masuk.

"Aku rindukan 'kau'."

  

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.