Home Novel Cinta TUAH
Bab 28

Bab 28. BAYANG-BAYANG KITA


Malam kian larut. Deru angin semakin kuat tidak seperti di alun-alun tadi. Sejuk kain satin berlapik renda tebal yang melekap di badan menambah kedinginan. Aku lintangkan dua tangan di bawah dada bagi memerap haba.

Seperti biasa aku tetap dengan kedegilan aku. Memandang sepi arahan dan laungan Inang Tua dan Hulubalang agar turut bersama mereka sehingga ke akhir acara. Ketika gerombolan Melaka beredar ke ruang santapan, aku angkat kaki keluar dari kawasan istana. Memang aku berani kerana aku jelas benar akan kedudukan yang membezakan kami. Mereka tertakluk kepada perintah Sultan. Aku hanya tunduk dengan kata hati.


Dedaun kering galak berjatuhan dan melayang ke tanah. Kersak daun-daun rapuh yang hancur di tapak kasut bagai mengira setiap soalan hati.

Kenapa engkau masih bertandang ke sini, Hanna?

Bukankah kau telah bertekad untuk menguburkannya?

Betulkah engkau yang ciptakan dunia pelarian ini? 

Ketawa kedengaran sinis di telinga sendiri. Rumusan akal tampak jenaka. Otak aku bukannya genius sangat untuk mereka dunia sesempurna ini. Tiada sandaran maklumat tentang alam kuno dalam peti minda aku.

Lalu, mungkinkah aku yang dijemput ke sini sebagaimana yang diusul kalbu?

Untuk apa? Demi siapa? Diri aku sendiri?


Kaki cermat meniti di atas bata-bata merah yang tertanam di dalam tanah. Coklat dedaun yang bergabung tanah telah menenggelamkan corak susunan bata.

Ini kali kedua aku melewati kolam Segaran pada malam hari. Hening di kawasan nan lapang sebegini mudah menggamit tenang. Penat berjalan, aku duduk membungkus lutut di tebing kolam. Melepas renung ke permukaan air yang membalikkan warna hitam langit. Puas merenung kolam, aku berpusing melihat sekitar.

Rangga?

Lelaki itu duduk tidak jauh dari aku. Àrah badan kami bertentangan. Muka Rangga tampak kemerahan disimbah cahaya jamung di pinggir jalan.

Apa yang menggangu Rangga? Walaupun sayu mata Rangga tidak menenggelamkan pesonanya, aku masih suka raut ceria Rangga. Mudah memukau tumpuan aku.

Aku bangun dan berjalan menghampiri pemuda itu. Rangga masih menyambung sepi. Tidak menoleh mahupun menegur. Hanya jemari diketuk-ketuk atas bata. Isyarat supaya aku duduk di sebelahnya. 


Kini aku berteman sambil melayan perasaan. Hakikat bahawa aku dan Rangga duduk sebelah menyebelah tidak mencemar privasi kami. Lama juga aku bertimpuh memandang kolam sebelum aku mendengar suara Rangga.

"Bagi kami, Raja adalah devaraja. Perwujudan nyata dari Sang Dewa. Kekuasaan baginda bersifat sakral. Dek kerana itu, baginda ada di dalam setiap hati kami, hamba rakyat."

Ayat penyata Rangga pasti bersaling kait dengan permainan Sapu-Sapu Ringin tadi. Aku sendiri merasakan perbuatan melunjur kaki secara berhadapan sebegitu, kelaku yang biadab. 

"Oleh yang sedemikian itu, sekali baginda dihina, seribu kali kami rasa terhina."

Aku boleh nampak sejauh mana ideologi politik yang bersifat ketuhanan mempengaruhi Rangga. Istana Rajanya dikelilingi penempatan golongan Brahmin. Malah dalam kotaraja ini candi berceracak di setiap pelosok. Warak juga puak-puak Majapahit ini.

Aku nak sebut, walau tinggi mana tahap keimanan kau, kau tetap dilahirkan sebagai manusia. Manakala kekurangan dan kelemahan itu adalah sifat yang layak bagi manusia. 

Sudah tentu lain yang aku cakap pada Rangga. Bicara aku menjurus kepada maksud yang hampir sama. 

"Kami pula percaya kedudukan Sultan adalah mandat dari Tuhan. Amanat yang akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah, Rabbul Jalil pada hari Pembalasan."

Sinar mata kusam Rangga mencari-cari pengertian di wajah aku. 

"Dharma atau khalifah, kedua-dua falsafah politik ini menjurus kepada pengukuhan kuasa pemerintah. Rakyat jelata percaya wujudnya kuasa istimewa pada mereka yang mana lawannya adalah konsep derhaka."

Sudah tentu aku tahu unsur kuasa istimewa di dalam konsep daulat Sultan-Sultan Melayu bertaut rapat dengan kesucian dan keluhuran susur galur pewarisan Raja dari zaman Srivijaya, Sailendra sehingga ke Raja Iskandar Zulqarnain.

Jika tadi Rangga kelihatan berduka, kini dia nampak tersasar. Rasanya aku dah berjaya mengalih tumpuan Rangga daripada bersedih tentang Rajanya kepada sesat dalam penerangan falsafah politik. Lalu aku menuntunnya keluar dari pagar sesat.

"Berada di hieraki paling bawah, kita akan peka dengan sebarang perlakuan derhaka. Perkara itu yang buat kau susah hati, kan?"

Ya aku tahu, aku tahu.

Sudah gaharu cendana pula

Sudah tahu bertanya pula.


Tetapi ada Rangga kisah?

Takpun. Lalu aku lanjutkan bicara.

"Rangga, Raja atau Sultan, mereka punya hati. Tidakkah kau rasa akan ada saatnya keputusan mereka tergelincir disebabkan perasaan mereka?"

Aku sendiri merasakan toleransi Betara Majapahit tadi sebagai tanda kasih yang tinggi. Jelas baginda memberi muka kepada bakal menantunya. Jua sebagai pengajaran daripada mentua kepada menantu. Agar kelak, toleransi dan kasih kepada anaknya jua sebegitu. Sebagaimana yang baginda pamerkan. Sementelah Sultan Mansur Syah amat bijaksana. Tidak sukar mana lelaki itu mengutip ibrah yang terselindung.

Lama pula Rangga menatap aku. Akhirnya barulah bibir nipis itu menyungging senyum. Kehangatan senyuman Rangga segera menyelinap dalam jiwa, membuat aku terlupa seketika kesejukan yang sedang menyengat sampai ke tulang sum-sum. 

Rangga mengangguk perlahan mengiyakan pendapat aku. 

"Aku percaya, Hanna. Aku percaya akan kewujudan saat-saat sedemikian. Kerana aku baru sahaja mengalaminya..."

Entah apa yang Rangga cari di mata aku lagi kerana tenungan Rangga semakin mendalam dan dalam di jeda kata-kata.

"...saat di mana keputusan aku tergelincir disebabkan perasaan ini."

Pengulangan ayat tersebut andai terbit dari mulut aku dipanggil penguat kata.

Andai terbit dari mulut Rangga, bolehkah dipanggil luahan perasaan?

Barangkali haba yang terpendam dalam hati tadi telah mengalir ke serata badan. Yang pasti muka aku rasa berbahang, berlawanan dengan gigil badan aku. 

"Mari aku hantar kau pulang." 


Maksud siulan dari Rangga difahami oleh binatang asuhannya. Seekor kuda muncul dari celahan pohon. 

Rangga menghampiri aku. Sambil berdiri, pandangan Rangga menyapu tubuhku sehingga ke kaki. Ini ye sah-sah biadab. Pandai pula dia minta maaf.

"Maafkan aku kerana terpaksa berbuat sebegini."

Hah?

Tindakan Rangga memang pantas. Mengatasi kepantasan pemikiran aku. Aku baru terfikir-fikir maksud permintaan maaf Rangga, tangan Rangga dah tersangkut dekat pinggang aku. Badan terasa terhumban ke atas pelana. Mujur aku cepat stabilkan diri di atas kuda. Kedua kaki aku terjuntai ke sisi yang sama. Aku rasa ini posisi menunggang kuda ala princess style. Malangnya aku tak yakin dengan posisi tersebut. Bukan muka aku sahaja jelas cemas dan tegang, badan akupun sama.

"Bertenang. Aku akan jaga kamu."

Mulut dengan tangan Rangga bergerak serentak. Sebelah tangan Rangga melingkari badan aku, membawa tubuh kami rapat.


Anak dara yang gatal nak menikah sahaja yang selesa dengan perlakuan teruna sebegitu. Akan tetapi di kala itu aku lebih cenderung jadi anak dara yang pengecut. Aku lebih bimbang kalau terjatuh dari kuda. Pilihan aku berdasarkan impak yang lebih maksima. Lalu aku abaikan rasa kurang senang.

Di perjalanan aku sempat terfikir ketakutankah yang buat aku keliru atau hakikatnya memang apa yang aku rasa, itulah yang sedang terjadi.

Aku rasa kalau aku buka kasut, jalan berkaki ayam lagi laju daripada menunggang kuda dengan Rangga. Sehinggakan di satu tempat, aku rasa kuda itu langsung tidak bergerak.

Rupa-rupanya memang kuda itu berhenti. Atau lebih tepat lagi kuda berhenti atas kemahuan Rangga. 

"Hanna, kau nampak itu?"

Arah telunjuk Rangga mencerun sebelah kiri aku. Bersetentang api jamung, siluet hitam menampakkan rupa. Sekejap jelas sekejap kabur mengikut keadaan marak dan lenggok api yang diganggu angin.

"Bayang-bayang tu?"

"Aku mahu kau mengingati bayang-bayang kita."

Rangga nak aku ingat bayang-bayang aku, dia dan kuda ini?

"Laksana bayang-bayang ini, aku akan tetap ada di samping kamu. Berada dekat dengan kamu."

Sepasang bayang-bayang lonjong di tanah nampak begitu intim. Refleksi pasangan kekasih.


Bayang-bayang kami bergerak perlahan sehingga kegelapan menelannya. Kuda berhenti lagi. Di tengah-tengah kegelitaan, bisikan Rangga terasa merayap di cuping telinga, merindingkan roma aku. Menghantar renjat dingin ke segenap  tubuh.

"Selalu ingat Hanna, walaupun kau tidak dapat melihat aku, hakikatnya aku masih ada di sisimu... sebagaimana bayang-bayang kita."

Kuda bergerak keluar dari kegelapan. Benar, bayang-bayang kami masih ada. Tidak berganjak dari tanah. 


Pendopo lengang semasa kami tiba. Tuah dan rakan-rakannya masih belum pulang.

Rangga membantu aku turun dari kuda dan menemani aku sehingga ke pendopo.

Aku biarkan riuh unggas mengisi senyap. Mengatur kaki menuju ke kamar. Malam ini aku sedar bahawa impak kata-kata Rangga sama hebat dengan perlakuannya. Membuat hati aku terpempan. Menggelisahkan naluri perempuan aku. Mungkin kebisuan dapat menghindar Rangga daripada mengejutkan aku dengan kata-katanya lagi.

"Hanna."

Nama aku terbit indah dari mulut Rangga. Mustahil aku tidak berpusing kembali, menghadap lelaki itu. 

Beberapa detik telah melepasi kami. Melihat Rangga masih tidak membuka mulut, aku langgar ikrar bisu tadi.

"Ada apa Rangga?"

Senyuman mengiringi bicara lembut Rangga. 

"Tiada apa-apa. Aku sekadar mahu mengabadikan kesempurnaan."

Bibir aku terbuka. Ingin mengungkap perasaan tetapi tidak terluah. Mata terpaku pada susuk Rangga yang semakin menjauh. Rangga masih mengekalkan senyumannya buat aku, sambil berjalan mengundur. 


Ketika kelibat Rangga dan kudanya larut di dalam kelam, aku masih berdiri di tempat yang sama. Memandang jejak Rangga.

Rangga, terima kasih kerana menukar mimpi ngeri malam ini menjadi indah. Terima kasih kerana sudi menjadi bayang-bayang aku.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.