Home Novel Cinta TUAH
Bab 43

Bab 43 DIKAU LAKSANA REMBULAN


Lembayung melatari gemawan di langit senja semasa kami keluar dari hutan Kamukus. Malam telah lama memakan waktu, barulah kami tiba di Trowulan. Sangkaan aku, Rangga akan menghantar aku pulang ke penginapan hulubalang Melaka. Rupa-rupanya masih ada lagi tempat persinggahan Rangga.


Rangga menambat kudanya di luar gapura bentar. Ruang mata putih aku jelas terjojol dalam gelap sebaik sahaja terlihat beberapa ekor gajah tertambat tidak jauh dari situ. Tiada maklumat yang Rangga dedahkan kepada aku tentang rumah yang kami singgah. Cuma pada pengamatan mata kasar, kawasan kediaman berpagar ini agak luas. Rumah-rumah dan balai-balai dibina mengitari sebuah taman.

"Lama ke nak singgah di sini?"

Pertanyaan aku sekadar berbasa-basi memulakan sembang.

"Kita menginap di sini malam ini."

Hurm... aku tak cerewet mana bab tidur dan makan. Kalau dah mengantuk, bertilamkan tanahpun boleh lena.

"Ini rumah siapa?"

"Rumahku."


Langkah aku mati. Eh! Masa aku interview Rangga dalam hutan tadi, Rangga bagitahu mak ayah dia masih hidup. 

Biasanya kalau teruna bawa anak dara bertandang ke rumah, di dalam kepala mereka ada agenda.

Rasa cuak memenuhi dada semasa Rangga menoleh ke belakang. 

Biar betul, Rangga. Awal sangat ni. 

Banyak stage bercinta engkau skip. Paling penting kau kena tanya, aku suka kau ke tak? Tak kan tup tup nak ajak jumpa bakal mentua. Aishh!

"Kenapa? Keberatan?"

Ya, ada 10 kg dumbbell halimunan sedang merantai kaki aku. Memang rasa sangat berat nak melangkah.

"Mak bapak awak ada di rumah?"

Bibir Rangga tersungging lebar lalu melepaskan ketawa. Sah, dia tahu apa yang bermain di benak aku.

"Itu merupakan sebesar-besar harapanku."

Aku yang masih keliru bertanya lagi. Aku  ubah sedikit soalan tertutup tadi.

"Diaorang tak ada kat rumah?"

"Mereka sibuk membuat persiapan di istana. Paduka Betara akan turun berburu lusa."

Oooo

Okey, pemberat di kaki dah hilang. Langkah aku pantas menyaingi kaki panjang Rangga.

"Awak tak terlibat sama ke Rangga?"

"Buat masa ini, puteri masih belum menurunkan titahnya."

Aku faham maksud kata-kata Rangga. Dia ketua bodyguard Raden Galuh Chandra Kirana. Kalau boss tak bagi arahan, takkan kuli nak menyibuk, ye tak?


Bunyi air mancur berjatuhan ke kolam dari mulut patung-patung menyambut kehadiran kami. Ada binaan wakaf di tengah-tengah kolam. Rangga duduk melepaskan penat manakala aku terus berbaring di sisi Rangga. 

Sakit pinggang weh menunggang kuda lama-lama walaupun siap berpelana bagai.

Aku pejamkan mata sambil membuang penat. Keadaan kediaman sungguh sunyi. Aku akui  elemen air sebagai terapi ketenangan semulajadi memang berkesan. 

"Lapar?" tanya Rangga.

"Hhm," pendek sahaja aku sahut.

Suara Rangga memecah hening. Apa yang Rangga cakap dengan pembantu rumah, sepatah habuk aku tak faham. Tapi aku sedar hening kembali merajai keadaan selepas itu.


Ketika aku buka mata, Rangga turut berbaring di sebelah aku. Kelopak matanya rapat tertutup dengan lengannya menyendal di dahi. 

Bahasa tubuh yang selesa kalau diri dirundung kerunsingan.

Dalam gerak yang amat perlahan, aku ubah posisi badan menghadap Rangga. Mengetahui si budiman Rangga sedang berdukacita, duka Rangga sedikit sebanyak turut tercalit di hati aku.

Kawan, kan...

Kau cubit paha kanan, mesti rasa juga di paha kiri. Kalau kau ketuk paha tu kuat-kuat, sahih satu badan boleh rasa.

Tangan yang melintang di dahi Rangga terangkat, lalu berpindah ke kepala aku. Gosokan Rangga perlahan dan lembut.

"Berehat. Usah fikir yang bukan-bukan. Hamba-hamba ayahku sedang sediakan makanan."

"Saya tak fikir perkara yang bukan-bukan Rangga. Saya berfikir tentang awak."

Kebenaran yang telus terluah dari hati aku.

"Bagi aku, selagi diri masih boleh bèrnafas, itu tandanya keadaan aku baik-baik sahaja."

Pertuturan Rangga lembut menjelaskan perihal diri.

"Rangga, awak tahu apa maksud saya."

Cara Rangga pandang aku memang berbeza hari ini. Aku yakin dia sedar apa yang dia buat.

"Saya rasa awak ada soalan nak tanya dekat saya."

Aku tak bertanya. Aku meneka.


Mata Rangga terbuka luas setelah mendengar kata-kata aku. Kedudukan dua tangan Rangga terlipat ke belakang  membantalkan kepala. Renungan Rangga lurus dan jauh mencecah langit. Suaranya tenang ketika dia mengakui telahan aku.

"Benar. Ada. Sebanyak kerlipan bintang di langit sana."

Aku alihkan badan semula. Muka menengadah langit sepertimana Rangga.

Hurm... Banyak tu. 

"Awak boleh mula bertanya soalan pertama."

Aku larik senyuman. Biar Rangga tahu aku sedia dan ikhlas untuk menjernihkan kekaburan dia.

Panjang bunyi hembusan nafas yang Rangga ledakkan. Sewaktu aku melirik mata ke arah dia, ada keasyikan yang Rangga lepaskan kepada bulan mengambang.

"Sinar terang rembulan pada malam ini telah menelan keindahan gemerlapan bintang-bintang di sekitarnya."

Di saat Rangga jatuhkan renungan ke muka aku, raut Rangga amat serius.

"Laksana bulan, kau telah menelan segala persoalan aku, Hanna."

Haah?

"Apa... " 

Soalan aku tergantung sepi dengan kedatangan hamba-hamba yang menatang dulang. Hidangan makan malam yang amat ringkas tetapi sempurna.

Minda mengumpul maklumat diet. 

Serat diet, manganese, potassium, vitamin B6, vitamin C, protein, lemak, kalsium, fosforus dan zat besi. 

Diet yang baik untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kanser usus dan mengawal diabetis. 

 

Tapi aku yang jarang makan menggunakan otak lebih tertarik dengan rasa dan persembahan makanan. Di mata aku, kilauan madu yang menyelaputi ubi kayu  lebih menarik daripada rumusan Rangga tentang langit. Oleh sebab itu dengan mudahnya soalan sekerat aku tadi lesap bersama-sama ubi rebus memasuki tekak.

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.