Home Novel Cinta TUAH
Bab 38
Bab 38 Hang Tuah Melaka


Walaupun tujuan aku dan Nurin berkelana ke Melaka demi kerja, tetapi alang-alang dah ke sampai ke sini, kami mengambil keputusan untuk menyegarkan ingatan terhadap sejarah bangsa Melayu.

"Nak pergi mana ni?" tanya Nurin.

Aku kerling jam tangan dan memberitahu rencanaku. "Muzium Kesultanan Melayu Melaka."

Nurin mengangguk-angguk. Pilihan aku menepati rangka masa yang kami ada.

"Bagus. Parking senang dekat bawah dataran tu. Kita warp kunjungan ke sini dengan shopping."


Agenda lawatan ke Muzium tersebut tanpa perancangan. Apa yang aku nak tengok dalam bangunan lama yang dikatakan hampir menepati ciri-ciri istana yang disebut dalam naskhah lama, aku sendiri tak pasti. Ada sesuatu yang berlegar dalam kalbu yang aku gagal mengenal pasti.

Rasa ingin tahu?

Rindu?

Bukannya ada sesiapa yang mendiami binaaan dua tingkat itu melainkan patung-patung bisu yang melakonkan peristiwa silam.

"Jom cepat, Beb."

Tangan aku ditarik laju. Haish, berkobar sungguh Si Nurin. Macam la ada kekasih hati menunggu kat sana.


Susuk Nurin lesap melepasi pintu muzium mendahuluiku. Kasut telah lama aku tanggalkan sedangkan aku teragak-agak untuk memijak anak tangga. Suatu perasaan aneh sedang menyelinap dalam diri. Hati diserang perasaan tidak keruan. Dada tiba-tiba sahaja berdebar. Aku cuba atur pernafasan yang sedikit laju. 


Setelah perasaan sedikit tenang barulah aku berani melangkah. Tidak pula kusangka pada langkah pertama, ada renjatan yang menjalar dari papan tangga ke tapak kaki. Sekelip mata rasa sakit menular sehingga ke seluruh badan. Tangan serta merta menekap dada. Degup jantungku berlarian kencang. Hirup nafasku pendek-pendek dan dalam. Kedinginan meresap di hujung kaki dan tangan. Sejurus, kegelapan melatari mata.


Kini tubuh aku terasa terhenjut-henjut, sesekali terhentak-hentak. Bayu menerjah lebih sejuk dari tadi. Seakan udara berat musim dingin melanggar aku dari hadapan. Spontan aku berpaling ke sisi mencari perlindungan. Entah di mana pipi aku bersandar tetapi suam yang menghantar damai ke serata badan terasa membahagiakan. Malah aku kini sedar bahawa semula kehangatan datangnya dari arah belakang. 


Kelopak mata aku terlalu berat untuk dibuka luas, apatah lagi untuk berpaling mencari penjelasan. Dalam pasrah, aku intip apa sahaja yang berjaya disapu mata.

Hurm... kelam  

Mengantuk masih menguasai diri. Jadi aku tutup mata semula. Beberapa saat sebelum kesedaran aku hilang, aku dapat rasakan lingkaran yang membelit diri semakin erat. Suara yang membisik hanya sedikit aku dengar.

"... tuan hamba masih sejuk?"

Perkataan terakhir yang aku dengar, itulah rasa pertama yang menyerang tatkala aku buka mata sekali lagi.

Sejuknya mak aii! 

Air masih memercik ke wajah.


Satu wajah muncul. Kacak berdestar. Senyuman yang bertandang di tampang nan asing menambah sesak dada aku. 

Ahhh, sudah! Siapa pulak ni! 

Barangkali raut panik aku menyebabkan pemuda itu segera menegur, "Cik okey ke?"

Perkataan yang dia sebut memberi kelegaan dalam masa yang sama mendatangkan keliruan.

Busana macam orang dulu-dulu tapi pandai sebut okey?


"Beb!"

Suara nyaring itu menamatkan kemusykilan aku. Aku tak pandang arah lain dah melainkan muka cemas Nurin. 

"Hanna, kau dah sedar ke?"

Tangan Nurin menyapu rata percikan air ke seluruh wajah. Aku tarik nafas panjang dan biarkan mata mencari penjelasannya sendiri. Dalam masa yang sama fikiran aku mula mengundurkan bayangan peristiwa.


Whoah! 

Menderu nafas lega aku keluar dari dada. Sambil itu aku tegakkan tubuh. Di kedudukan selari, anak mata pemuda itu dan aku bertembung rapat. 

"Kau pengsan tadi Hanna. Panik gila aku. Mujur Encik Abang yang hensem ini tolong."

Pengenalan diri yang diujar Nurin mungkin tidak membantu. Jadi pemuda itu terus membuka pengenalan semula.

"Saya Redza. Saya jaga Muzium hari ini. Saya minta maaf banyak-banyak. Cik tidak sedarkan tadi, jadi saya terpaksa angkat Cik ke sini."

Senyuman yang lama berlegar di muka Redza menambah ketenangan aku.


"Jom, Hanna. Kita pergi klinik."

Tapak tangan tegak menghala ke muka Nurin lalu aku goyangkan. Sambil itu aku menggeleng.

"Tak ada apa-apa la Nurin. Kecoh betul kau ni. Bagi aku rehat sekejap. Kau pergi pusing muzium dulu. Nanti aku susul."

Memang payah nak yakinkan Nurin tentang keadaan aku. Puas berbalas soal jawab akhirnya Nurin mengalah dan menurut kata-kata aku.


Aku teguk botol air mineral yang Redza bagi. Angin kipas menderu deras tepat ke muka menyingkir ketidakselesaan. 

"First time melawat muzium ni?"

Redza membuka sembang. 

Pengunjung tidak seramai tadi. Matahari sedang galak menebarkan terik di luar. Namun bahangnya bagai tertahan di anjung. Binaan kayu dengan latar mahagoni memberi impak teduh dan damai di serata ruang. 

"Pernah datang dulu masa lawatan sekolah."


Sepatah dua sahaja sembang aku dan Redza. Agak-agak dah badan dah stabil, aku bangkit dan mula meneroka muzium. Sunyi dan sepi memenuhi ruang pameran di sayap kanan. Beberapa babak peristiwa silam sedang dipersembahkan dalam aksi beku dan dialog bisu. Ilustrasi arca-arca watak bagaikan terlepas keluar daripada celahan  perenggan tulisan jawi hikayat Melayu untuk dinukilkan semula di dada keturunan bangsa Melayu. 


Aku meneliti imaginasi potret profil terkemuka yang namanya wujud dalam lembaran sejarah Melaka di dinding muzium. Mata berkalih dari satu bingkai ke bingkai dan berhenti di arca lelaki. Kedudukan arca yang menghadap ruang tengah memungkinkan lelaki itu menjadi tumpuan setiap pengunjung yang memasuki sayap kanan. Aku meneliti perkataan yang tertera.

"Ta' Melayu hilang di-dunia."

Bibir mengukir senyum setelah satu nama yang aku pasti adalah panggilan kepada arca lelaki yang berdiri di hadapan dua bingkai. Satu dengan latar gunung Ledang manakala bingkai bawahnya gambaran pertarungan dan amuk.


"Tuah. Hang Tuah."

Lalu anak mata aku meneliti setiap garis kasar dan timbul yang dikenal pasti mata. Keadaan suram, tak banyak yang mampu diungkap mata walaupun dibantu lampu. 

Lelaki itu membalas senyuman aku dengan mimik garang. Lekuk dahi di atas kening yang terangkat dengan garis bibir yang mencerun jelas menampakkan keseriusan. Malah pada mata aku, arca itu memantul bengis dalam silau kuning.

Aku mencebik. Haish! 

"Perlu ke kau pamer garang nak bagi orang kecut?"

Patah kata aku lancar dengan nada yang biasa aku gunakan tatkala menyindir Tuah. 


Mungkinkah arca itu boleh mendengar dan memahami?

Atau mungkin bernyawa setelah mendengar sindiran aku?

Mustahil! Akan tetapi...

Telinga menangkap deru kasar nafas sendiri. Akal menafi keras penyaksian mata. Tanpa aku sedari aku telah berundur ke belakang. Selangkah demi selangkah. Menjauhi arca lelaki yang sedang mencair laju.


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.