Home Novel Cinta TUAH
Bab 36
Bab 36. MAEHWA


Aku meluru keluar. Iskandar, Hasan dan Husin yang bersidai berdekatan terus mendapatkan aku. Mereka tidak bertanya apa-apa tetapi arah mata mereka berkalih daripada aku, Lekiu dan pintu kamar Hanna yang luas terbuka.

Aku tahu mereka serta-merta bersiaga untuk menerima arahan bilamana masing-masing memperkemaskan pegangan keris pendua.

"Tuah! Tuah!"

Suara Lekir memintas minda yang sedang menyusun maklumat dan tindakan. Aku tidak bertanya lanjut tetapi menanti Lekir menghabiskan tujuan panggilannya.

"Ada pesanan buat kau."

Muncung mulut Lekir menghala ke pemuda yang telah turun dari kudanya. 


"Salam sejahtera. Hamba bernama Arya. Hamba ke mari membawa pesanan Sangka Ningrat."

Nama yang aku sengaja cicirkan daripada senarai penculik Hanna memasuki semula carta nama. Sekilas aku teringatkan kamar Hanna dan sekitarnya yang sunyi dari tanda-tanda pergelutan dan pencerobohan. Penculik Hanna mungkin tidak mencuri masuk melalui hutan sebaliknya senyap melangkah melalui gapura penempatan Mahapatih. Ketiadaan jeritan mungkin menandakan Hanna kenal penculiknya.

"Salam sejahtera. Silakan."

"Sahabat hamba berpesan, usahlah tuan hamba berduka cita seandainya ada bunga yang hilang dari taman. Bunga akan dijaga dengan baik sepertimana nyawa sendiri."

Separuh hati terasa lapang dengan hilangnya kebimbangan. 

"Jikalau sedemikian hamba mohon kebaikan tuan hamba agar dititipkan pesanan hamba pula. Bunga yang dipetik dari taman, hendaklah dipulangkan semula dengan selamat."


Arya menundukkan kepala tanda faham. Namun perkataan yang dia ujarkan selepas itu membuatkan separuh ruang kosong di hati dipenuhi semula dengan amarah.

"Akan hamba sampaikan pesanan tuan hamba seandainya bertemu dengan Sangka Ningrat kelak."

Kata-kata seringkas itu membawa beberapa maksud. Kemungkinan keberadaan Sangka Ningrat tidak diketahui Arya. Lelaki itu jelas menutup sebarang jejaknya kepada sesiapapun.


Aku tahu Arya sedar sedalam mana ledakan kemarahanku walaupun perasaan itu tidak terzahir di wajah dan suara. Mata Arya sedang melirik ke tanganku yang sedang mengepal keras. Aku melangkah menghampiri Arya lalu merendahkan suara.

"Sebelum matahari terbenam. Atau akan aku jejaki Sang Ningrat walau di jagat raya mana dia bersembunyi. Di kala itu, aku tidak akan lagi berlembut."


Amaran ditinggalkan bersama tepukan lembut di bahu Arya. Setelah itu aku beredar dan mengumpulkan semua hulubalang di ruang legar pendopo.


"Kalian semua tentu sudah sedia maklum akan rencana Yang Mulia DiPertuan untuk menyertai Paduka Betara pergi berburu. Walaupun baginda, Paduka Betara dan Mahapatih akan diiringi Bhayangkara, para hulubalang masih perlu bersiaga. Jebat, Hasan dan Husin, tuan hamba sekalian berkawal di dalam lingkungan pertama. Pastikan tuanku senantiasa berada di dalam jarak penglihatan kalian. Iskandar dan Lekiu, tuan hamba berdua berjaga di lingkungan kedua. Andai berjumpa sebarang perkara yang mencurigakan, sampaikan segera kepada hamba."

"Pengiring-pengiring khas Raja-Raja Melayu telah memberi kerjasama mereka untuk mengetatkan kawalan terhadap raja masing-masing."

Perburuan dan pemerintahan bagaikan dua sahabat karib. Pemburu dan Raja berkongsi jiwa sebagai penguasa. Naluri untuk menakluk dan menguasai sering mengaburi jiwa. Adakalanya ditokok dengan kepuasan untuk melihat kedegilan tunduk di telapak tangan mereka. Sesekali ketamakan bertakhta di dalam jiwa mereka untuk merasa nikmat menguasai dunia secara mutlak. Aku yang sering berfungsi sebagai peneman turut merasai tempias nafsu tersebut.


Kesekalian hulubalang Melaka memahami pembahagian tugas yang mudah sebegini. Sebelum bersurai, aku capai bahu Lekir dan memberi arahan penghabisan. 

"Aturkan Kasturi menginap di tempat Inang Tua sebelum kau menyertai aku kelak."

"Baiklah, Tuah."


Setelah aturan tugas selesai, aku masuk ke kamar Hanna dan duduk di atas hamparan tidur. Kamar itu sengaja aku pertaruhkan untuk gadis itu. Meskipun tuan punya kamar tiada, bau badannya melekat di serata ruang. Bau Maehwa paling pekat di tempat aku duduk. 

Berkali-kali aku tewas dengan haruman ini. Begitu juga kini. Aku biarkan sahaja memori kembali berputar di saat nasib hidupku berubah sepenuhnya. Maehwa menguntum rimbun di dahan pada hari itu. Desir angin membawa dingin bersama-sama layangan bunga yang terputus dari tangkai. Sebahagiannya gugur berserakan di atas jambatan. Mana yang tersangkut di rambut, bahu dan baju, aku biarkan. Begitu juga di lantai jambatan kayu yang tertindih di bawah lutut aku.

Itu adalah kerana tumpuan aku hanya memusat kepada derap kaki yang perlahan-lahan menghampiri aku. Langkah itu bagai mengira detik hayat yang diperuntukkan buat aku. Samada dilanjutkan atau bakal terhenti bila-bila masa sahaja.


Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.