Kehadiran anak
menantunya disambut gembira oleh Imah. Apatah lagi saat terlihatkan pelbagai
makanan dibawa bersama untuk menyambut hari kelahirannya.
Setelah segala
persiapan sempurna. Afini melabuhkan punggungnya di sebelah Yus dan cepat
sahaja suaminya itu menadahkan tangan dan mengalunkan bacaan doa.
“Amin...” Serentak
Afini dan emaknya mengaminkan doa kesyukuran yang dibacakan oleh Yus.
Doa itu sebagai tanda
mensyukuri nikmat hidup yang diberikan oleh Allah
SWT kerana memanjangkan usia emaknya yang sudah menjangkau 51 tahun.
Cepat sahaja Afini
menyalakan lilin-lilin kecil yang menyemarakkan cahayanya di atas kek coklat.
Selepas itu, dia meminta emaknya meniupkan lilin-lilin tersebut seperti
tahun-tahun sebelumnya. Namun, dapat dilihat emaknya itu bagaikan tidak mahu
mengikuti kehendaknya. Dia pasti emaknya malu tatkala dirinya diperhatikan oleh
Yus sewaktu meniup lilin-lilin itu nanti.
“Tak payahlah… dah
tua-tua nak tiup lilin. Malulah.”
Memang benar sangkaan
Afini.
“Alah... nak malu apa,
mak. Bukannya orang lain, anak-menantu mak aje yang ada.”
Belum sempat Afini
bersuara, Yus sudah mendahuluinya. Dia pantas memandang ke arah Yus. Terukir
senyuman di wajah suaminya itu.
“Betul tu mak,.
Cepatlah tiup, nanti cair pulak lilin-lilin tu. Lagipun kek tu abang yang buat
untuk mak.”
“Betul ke? Kek ni Yus
yang buat?”
Bukan sahaja kata-kata
yang ditutur menandakan emaknya tidak mempercayai, tetapi riak wajahnya turut
memberikan isyarat yang sama. Jangankan emaknya, malahan Afini sendiri pun
kalau tidak melihat dengan dua biji mata Yus yang membuat kek itu, pasti hidup
mati balik pun dia tidak akan mempercayainya.
Akhirnya, Imah meniup
juga lilin-lilin yang masih bercahaya itu.
Afini dan Yus serentak
bertepuk tangan. Gembira menyelubungi suasana. Afini mengeluarkan sebuah
bungkusan yang sudah berbalut cantik dan dihulurkan kepada emaknya.
“Lah, apa ni Afini.
Susah-susah aje. Tak payah semua ni. Kamu suami isteri balik pun, mak dah
gembira sangat.”
“Alah... hadiah murah
aje mak. Abang yang belikan hadiah ni. Afini cuma temankan aje.”
Yus pantas memandang ke
arah Afini.
Afini tahu erti pandangan
itu. Mungkin sebagai pengganti ucapan terima kasih. Sebenarnya dia sendiri
tidak merancang untuk mengatakan hadiah itu pemberian daripada Yus apatah lagi
satu sen pun duit lelaki itu tidak tercarum dalam pembelian hadiah tersebut.
Tapi, apalah sangat nilai wang yang dia laburkan untuk pembelian hadiah itu
andai mahu dibandingkan dengan keringat Yus menyediakan hidangan istimewa untuk
sambutan kali ini. Dialah yang sepatutnya mengucapkan kata terima kasih kepada
Yus kerana mampu menghadirkan senyuman di wajah emaknya.
Imah segera membuka
hadiah yang diberi Afini dan Yus. Terkejut dia saat melihat hadiah itu.
“Telefon bimbit!” katanya bagaikan tidak percaya. “Yus, buat apa susah-susah belikan
mak telefon jenama Samsung ni. Belikan mak jenama yang biasa-biasa sudahlah.”
Yus hanya tersenyum.
Dia sendiri tidak tahu gajet itu merupakan pilihan isterinya.
“Afini yang bagi
cadangan pada abang supaya beli telefon bimbit baru ni untuk mak. Telefon
bimbit mak yang lama tu orang dah tak pakai. Dahlah besar, berat pulak tu. Mak
tahu tak… kalau telefon mak tu Afini guna untuk baling anjing, bukan telefon
mak yang rosak. Tapi anjing tu yang mati.”
Yus mengukirkan
senyuman tatkala mendengar celoteh Afini. Spontan, tangannya cepat sahaja
mencuit lembut hidung isterinya itu.
Imah
yang melihat tingkah Yus hanya tersenyum. Pada pandangan matanya, Afini dan Yus
merupakan pasangan yang amat bahagia. “Yalah. Terima kasih, Yus. Susah-susah
aje.”
“Yus aje? Afini?” rajuk
Afini.
Imah tersenyum.
“Yalah... samalah tu. Kamukan isteri Yus. Kalau mak dah ucap terima kasih pada
Yus, maknanya mak ucapkan terima kasih pada kamu jugalah. Hisy… dah jadi isteri
orang pun nak merajuk.”
“Dia memang macam ni
mak. Sikit-sikit nak merajuk. Lepas tu kalau bab bercakap pulak, asyik dia ajelah
nak menang,” sampuk Yus sambil tersenyum sinis.
Afini menjeling Yus.
Tidak senang dengan kata-kata itu. Memang dia tidak nafikan apa yang diucapkan
oleh Yus itu benar. Tetapi, Yus pun apa kurangnya!
“Hah! Kan saya dah
cakap. Tengok, depan mak pun dia berani jeling saya.”
Serentak Yus dan emak
mentuanya itu tertawa kecil melihat riak wajah masam Afini, sebagai tanda
protes.
Tetapi rajuk Afini
tidak lama. Setelah mendengar ketukan di muka pintu, Afini pantas bangkit dan
menuju ke arah pintu utama.
Afini kaku tatkala melihat tetamu yang datang.
Mata mereka bertembung… Dia rindukan bayangan dan suara lelaki di hadapannya
ini. Sungguh dia rindukannya.
“Siapa tu Afini?”
Laungan emaknya yang
sedikit kuat itu menyedarkan Afini untuk kembali ke alam nyata.
“Zack,” jawab Afini
sepatah, sebelum mempersilakan Zack masuk. Dia menyedari wajah Zack tidak
seceria selalu. Apakah yang telah berlaku?
Yus yang melihat Zack
di sisi Afini, mula tidak senang duduk. Kehadiran Zack tidak disenanginya.
Zack menghulurkan salam
dan disambut mesra oleh wanita seusia emaknya itu. Kini, salam beralih pula
kepada Yus.
Yus menyambut huluran
tangan itu dengan terpaksa. Mujur jua Afini dan emaknya tidak menyedari akan
riak wajahnya itu.
“Mak cik, ni mak beri
pada mak cik.” Zack menghulurkantupperware
berisi cempedak goreng.
“Wanginya bau.
Susah-susah aje mak kamu ni Zack. Afini, hidangkan dalam pinggan. Boleh kita
makan sama-sama,” arah Imah.
“Eh, tak payahlah mak
cik. Saya nak kena balik dah ni.”
“Alah, tunggulah
sekejap. Makanlah dulu, ni kek ni Yus yang buat. Cuba rasa.” Imah sudah
menghulurkan sepotong kek kepada Zack.
Mahu atau tidak,
terpaksa jua Zack menjamahnya. “Sedap. Untung Afini dapat suami yang pandai
masak.”
Walaupun pujian itu
terdengar ikhlas, namun riak wajah lelaki yang Afini kenali sedari kecil itu
menunjukkan sebaliknya. Ke manakah menghilangnya ceria yang sering menyelubungi
wajah Zack?
Setelah menghidangkan
cempedak goreng pemberian daripada emak Zack, Afini mengambil semula tempatnya.
Pantas sahaja Yus
menggenggam erat jari jemari Afini, bagai tidak mahu dilepaskan. Mujur sahaja
dua orang insan di hadapan mereka tidak menyedari.
Afini menoleh ke arah
Yus. Pandangan matanya meminta agar Yus melepaskan genggaman tangannya.
Yus tidak
mengendahkannya malahan kian erat pula jari jemari Afini digenggamnya.
Malas hendak melayan
kerenah Yus, Afini mengalihkan pandangannya ke arah Zack. “Mak cik sihat?”
“Sihat. Emak banyak
kali tanya I, bilalah you nak datang rumah?” lembut Zack bersuara.
Afini rasa bersalah
saat Zack memberitahu keinginan emaknya untuk bertemu dengannya.
“Tapi I jawab. Youbusy, lagipun sekarang ni you bukan macam dulu lagi. Dah
kahwin. Banyak komitmen,” kata Zack lagi.
Afini hanya mampu
mengukirkan senyuman walaupun terasa tawar.
“Mak cik dengar kakak
ipar kamu dah bersalin ya?” soal Imah.
“Bersalin? Kak long dah
bersalin?” tanya Afini untuk kepastian. Memang sedari awal, dia sudah
mengetahui bahawa kakak ipar Zack sedang mengandung. Namun tiada sesiapa pula
yang mengkhabarkan kepadanya akan kelahiran si kecil itu.
“Dah. Anak lelaki,”
jawab Zack sambil tersenyum.
“Lah… kenapa tak
beritahu I,” lirih suara Afini seperti merajuk. Memang begitulah sikap Afini
dengan Zack. Mudah benar terasa hati.
Zack hanya tersenyum.
Yus yang tidak senang
dengan rajuk Afini sebentar tadi terus menjeling isterinya itu, tajam.
Imah menyedari jelingan
tajam Yus. “Yus… kamu jangan tak tahu yang Afini dengan Zack ni memang rapat.
Dia orang ni kawan dari kecil lagi. Dah macam adik-beradik.” Dia cuba
menerangkan akan duduk perkara sebenar.
“Betul tu. Saya ingat
lagi mak cik, waktu kecil-kecil dulu… saya, Afini dengan Siti berkepit aje ke
mana-mana. Sampai naik pening orang sekeliling tengok kerenah kami. Paling
nakal waktu kecil dulu, si Afini nilah. Suka mengusik orang. Kalau panjat pokok
tu, dialah heroinnya.” Kali ini tawa dan senyuman Zack tampak lebih ikhlas.
Tetapi penerimaan Yus
masih seperti tadi. Tidak menyenangi keakraban yang terjalin di antara Afini
dan Zack.
“Yalah... mak cik ingat
lagi. Dulu waktu kecil-kecil, Afini selalu pecahkan pasu bunga Mak Embun. Tapi
kamu takut Afini kena marah, kamu mengaku yang kononya kamu yang pecahkan. Hai…
entahlah, bila kenangkan balik waktu-waktu dulu… memang indah.” Imah juga
terlihat begitu seronok menyambung penceritaan Zack.
“Zack. Siapa nama anak
buah you?” soal Afini.
“Tak tahu lagi. Kak
long pun baru keluar dari hospital. You bila lagi?”
Afini mengerutkan dahi.
Dia tidak faham apa yang Zack maksudkan. Dia memandang pula ke arah emaknya,
meminta kepastian andai emaknya itu memahami akan maksud Zack.
“Kamu tu bila nak
berisi? Yalah, Zack dah dapat anak buah. Kamu dengan Yus bila pulak nak bagi
mak cucu? Seronok tengok mak Zack ni dah bercucu. Kalau boleh mak pun nak
merasalah.”
Terasa haba panas
menyelubungi wajah Afini. Dadanya terasa berdebar. Dia menundukkan wajahnya.
“Insya-Allah... mak. Kalau ada rezeki tahun
depan dapatlah,” kata Yus tiba-tiba.
Afini terkejut
mendengar kata-kata Yus. Dia memandang Yus. Terpancar keyakinan di wajah Yus
tika ini. Kenapa? Kenapa Yus begitu yakin menuturkan kata-kata itu sedangkan
dia sendiri tahu yang perkara itu tidak mungkin akan berlaku?! Harapan yang
diberikan kepada emaknya itu hanyalah sekadar harapan kosong.
Semenjak memulakan
perjalanan untuk pulang ke kondominium Yus, hanya kebisuan yang menyelubungi
dirinya dan Afini. Masing-masing bagaikan melayani perasaan sendiri dan saat
perasaan ingin tahu Yus membuak-buak, lantas mulutnya 'mencemari' kebisuan itu.
“You sukakan Zack?”
Terkejut Afini,
mendengar persoalan yang terpacul dari mulut Yus. Afini masih membisu tidak
tahu untuk menjawab apa.
“Afini, I tanya you.
You sukakan Zack?” tanya Yus sekali lagi apabila Afini hanya diam.
“Kenapa you nak tahu?” Tidak
senang, Afini bertanya.
“Sebab… I perlu tahu. I
nak tahu sejauh mana hubungan you dengan Zack?” soal lelaki yang masih tenang
memandu itu.
Afini mengambil sedikit
masa sebelum menjawab soalan Yus itu. “Tak penting semua tu. Apa yang penting
sekarang ni, I dan Zack takkan mungkin bersatu.”
“Jadi you cintakan
Zack? Atau Zack yang cintakan you?” Yus mulai mendesak.
“Zack… tak mungkin
cintakan I,” sayu nada Afini.
“Jadi betullah sangkaan
I, you yang cintakan Zack. Kalau you cintakan dia, kenapa you tak kahwin aje
dengan dia?” Yus cuba beriak selamba untuk menutupi rasa cemburu yang mulai
menguasai jiwanya.
Perasaan sedih sedikit
demi sedikit sudah mengambil tapak di hati Afini tatkala teringatkan perasaan
kasih dan sayang yang pernah diluahkan kepada Zack tidak terbalas. Semuanya
kerana lelaki itu menyintai insan lain. “Cinta tak boleh dipaksa. I tak mungkin
boleh memaksa dia menyintai I sedangkan hatinya milik insan lain.”
“Maksud you… dia dah
ada kekasih?”
Afini mengangguk. “Has…
itulah nama insan yang amat dicintai Zack. Setiap nafas Zack hanya untuk Has.
Has… dia junior kami waktu di sekolah menengah. Pada mulanya keakraban di
antara mereka langsung tidak menimbulkan syak wasangka yang mereka sedang
hangat bercinta. Tapi, bila Zack sendiri yang mengaku dia menyintai Has… apa
lagi yang I boleh lakukan?”
“Setahu I… you bukan
jenis perempuan yang suka mengaku kalah. You akan berusaha dan berjuang untuk
mendapatkan sesuatu!”
“Itu betul. Tapi ada
satu perkara lagi yang you perlu tahu tentang I… I takkan berusaha untuk
mendapatkan sesuatu andai I tahu yang I takkan berjaya!” kesayuan sudah
menjemput suram di wajah Afini.
“Maksud you?”
Afini mengeluh berat.
“Bila I tahu… yang I tak mungkin dapat memilki Zack, I terus ambil keputusan
untuk tidak mengharapkan apa-apa. Buat apa I nak usahakan sesuatu sedangkan
yang I tahu keputusannya amat memeritkan.”
“Kenapa you betul-betul
yakin yang Zack tak mungkin akan menyintai you?” Yus masih tidak berpuas hati.
Kebenaran tetap mahu digenggami.
“Sebab cinta dan
kasihnya hanya untuk Has!” Afini tekankan sedikit suaranya tatkala menyebut nama
kekasih hati Zack itu.
Lama Yus mendiamkan
diri. Hanya matanya sahaja yang ditumpukan ke jalan raya.
Pada sangkaan Afini,
Yus sudah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Namun, sangkaannya
meleset.
“Afini…”
Tatkala namanya
dipanggil lembut, Afini menoleh ke arah Yus.
“Kalau you tak kahwin
dengan I, mungkin tak yang you akan bersama dengan Zack?”
Afini menarik nafas
dalam-dalam sebelum menjawab soalan Yus itu. “Yus, sama ada sekarang ni status
I bujang atau isteri you, I takkan mungkin dikahwini dan dicintai oleh Zack!
Bila Zack beritahu I yang dia menyintai Has, semuanya musnah! Jadi,
kesimpulannya bukan persoalan dengan siapa I berkahwin sekarang, tapi di
manakah letaknya hati Zack? Hati Zack hanya untuk Has!”
“Macam mana pula dengan
hati you? Hati you milik siapa?” Yus masih tidak berpuas hati dengan jawapan
Afini.
Tersentak Afini
mendengar soalan Yus itu. ‘Hatinya milik siapa? Biarlah persoalan itu
tergantung tanpa jawapan. Biarlah jawapan terhadap persoalan itu menjadi rahsia
yang tertanam jauh di lubuk hatinya.