35
Haruman
yang begitu enak menusuk ke rongga hidung Afini. Perutnya terus berasa lapar.
Sudah lama keharuman makanan seperti ini tidak memenuhi ruang rumah ini.
Kebiasaannnya setelah Yus menghantar Afini pulang, dia akan terus menghilangkan
diri. Tetapi tidak hari ini. Setelah pulang ke rumah, Yus terus membersihkan
diri dan menunaikan solat sebelum memulakan tugas sebagai chef tidak
bertauliah. Sesekali terdengar sudip dan senduk berlaga dengan kuali serta
periuk.
“Wanginya...” Tanpa sedar mulut
Afini melahirkan apa yang dihidunya.
Dia pantas bangkit dari katil dan berkira-kira
untuk keluar menjenguk Yus di dapur. Tetapi rasa janggal untuk berdua-duaan
dengan lelaki itu membantutkan pengiraan Afini itu.
Semenjak pergaduhan yang tercetus
antara Afini dan Yus, tidak pernah sekali pun dia membantu Yus di dapur
sementelah lelaki itu sendiri tidak pernah lagi menyediakan makan malam untuk
mereka.
Ke hulu ke hilir Afini berjalan.
Hampir penuh langkahnya memenuhi segenap ruang biliknya itu. Rasa lapar yang
amat sangat menyebabkan Afini berkelakuan seperti itu.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.
Hampir gugur jantungnya mendengar ketukan di muka pintu. Dia segera membuka
daun pintu biliknya.
“Afini. I dah siap masak,” ujar
Yus. “You nak makan?”
“Tak apalah. I tak lapar,” dalih
Afini. Walaupun perutnya sudah berdondang sayang, kerana ego, dia tebalkan
hati.
‘“Bodohnya kau Afini! Kau tahu tak
yang kau sekarang ni tengah kebulur!’
marah hati Afini. ‘Apa aku nak buat ni?’
“Afini, kalau you dah kenyang, apa
kata you temankan I aje. Boleh?”
Lambat Afini mengangguk.
Kedudukan Afini kini bertentangan
dengan Yus. Terhidang di hadapan Afini pelbagai jenis lauk. Sambal udang, ayam
masak lemak cili api, telur masin, ulam dan sambal belacan. Kecut liurnya
melihat keenakan makanan yang bakal dirasai tekaknya sebentar nanti.
“Cukup?” Yus menyuakan sepinggan
nasi kepada Afini.
‘Sikitnya!’ getus hati Afini. Ini
semua bahana kelancangan mulutnya sebentar tadi. ‘Dah kenyang konon!’
“Cukup...” Afini mengambil pinggan
yang dihulur.
Yus mencenduk ayam masak lemak
cilik api dan sambal udang ke pinggan isterinya itu. “Rasalah... dah lama kita
tak makan sama-sama.” Terdengar riang saat Yus menuturkan bicaranya.
Tanpa membuang masa, Afini membaca bismillah
dan jari jemarinya cepat sahaja menjamah apa yang ada. Terasa keenakan yang
sudah lama tidak dirasai ketika lidah menjadi juri rasa terhadap kunyahan
makanan.
“Sedap?” tanya Yus.
“Sedap. Pandai you masak.” Ikhlas,
Afini memuji.
“Kalau sedap, makanlah lebih
sikit.”
Bagaikan orang mengantuk yang
disorongkan bantal, Afini mengangguk. Sesenduk lagi nasi ditambah ke
pinggannya.
Tanpa sedar, Yus tersenyum melihat
tingkah isterinya itu.
Afini terpandangkan senyuman Yus
itu. Sungguh! Dia merindui senyuman itu. Senyuman yang mampu menggoda dan
mencairkan hati mana-mana insan sekaumnya. “Kenapa you senyum?”
“Tak ada apa-apa. Dah lama I tak
tengok you makan. Dah lama kita tak makan semeja. I rindu.”
‘Rindu? Benarkah Yus merinduiku?
Andai benar mengapa harus disakiti dan dilukai diri ini?’ Kesedihan berbentuk
persoalan terluah jua di jiwa.
“Afini… you tak rindu saat dulu?”
“Saat dulu? Saat apa?” Afini
berpura-pura tidak memahami.
Yus mengeluh. Dia merenung Afini.
‘Oh Tuhan! Kenapa harus pandangan itu dihalakan kepadaku?
Kenapa?’
“Afini, I tahu you masih marahkan
I. Tapi, boleh tak untuk sekali ini sahaja, you maafkan I,” pinta Yus sekali
lagi.
“Afini…”
Belum sempat Yus menyambung
kata-katanya, Afini terlebih dahulu memotong.
“Yus. I tak nak dengar apa-apa
lagi pasal perkara tu. Sama ada I dah maafkan you atau tidak, hanya Allah sahaja yang tahu. Lagipun kenapa harus
I nak marahkan you? I bukan sesiapa di hati you,” lancar Afini menuturkan
kata-kata itu.
“Afini… I…”
“I dah habis makan. Terima kasih
masakkan untuk I.” Sekali Afini memotong percakapan Yus dan saat Afini ingin
mengatur langkah ke arah singki…
“Afini, I nak tanya. Besok sudi
tak you keluar dengan I?”
Perlahan, Afini mengalihkan pandangannya ke
wajah Yus. Kali ini dia membiarkan sahaja riak wajah dan pandangan matanya memberikan
jawapan. Dia yakin Yus memahaminya.
Hari ini Afini mengenakan baju kurung berwarna ungu.
Pakaian sama yang disarungkan ke tubuhnya saat pertama kali menjejakkan kaki ke
kondominium ini. Kurung ini juga menjadi salam perkenalan antara Afini dan bapa
mentuanya. Rambutnya ditocang satu. Dia tersenyum puas melihat penampilannya di
cermin.
Semenjak memulakan perjalanan, Yus
tidak banyak bercakap. Lagaknya seperti seorang yang berada dalam keresahan.
Bagai ada yang sedang disembunyikan daripada Afini.
“Yus, kita nak pergi mana?”
“Afini, you akan maafkan I tak,
kalau hari ni I akan buat you lebih kecewa?” tanya Yus tanpa memandang Afini.
‘Lebih kecewa?’ Minda Afini
mengulangi patah kata itu. Serta merta dadanya berdebar-debar. Otaknya pula
sudah memikirkan kemungkinan yang bukan-bukan. Ke manakah arah Yus sebenarnya?
Apakah yang ingin dilakukan oleh lelaki itu kepadanya? Apakah mungkin sesuatu
yang buruk bakal berlaku kepadanya? Andai tidak, mengapa harus Yus
mempertikaikan kekecewaan yang bakal dirinya lalui! Kekecewaan yang
bagaimanakah sebenarnya?
Hampir sahaja air mata Afini
menitis akibat rasa takut yang kian menyelinap ke dalam dirinya. “Apa maksud
you?”
Yus hanya diam.
Afini kian takut. “I tanya you!
Apa maksud you!” Tanpa sedar, dia meninggikan suara.
“Kejap lagi kita sampai. Apa pun
yang berlaku, I nak you tahu, yang I tak berniat untuk menyakiti you. Maafkan
I, Afini.”
Debaran kian kuat bergendang di
dada Afini. Terasa sakit dadanya menahan rasa takut dan gementar yang kian
meningkat. Cuba ditahannya air mata dari gugur, namun dirinya tidak berdaya.
Dia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap untuk meredakan apa yang sedang
bergolak di dalam jiwanya.
Pacuan empat roda ini sedang
memasuki kawasan kampung. Tiada satu pun rumah mewah yang didirikan di
sekeliling. Yang ada hanyalah beberapa buah rumah kampung. Kawasan yang
menghijau kian sunyi saat Yus membelok ke sebuah lorong yang lebih kecil. Saat
ini tubuh Afini terasa sejuk. Mukanya pula ibarat mayat yang ditoreh wajahnya.
Yus memberhentikan keretanya di
hadapan sebuah rumah. Enjin kereta dimatikan. Dia memandang ke arah Afini.
Dicapainya jari jemari isterinya itu dan digenggamnya erat. “Afini, kita dah
sampai.”
Afini menoleh ke arah Yus. “Kita
dah sampai?”
Yus mengangguk.
Afini mengalihkan semula pandangannya ke
hadapan. Terlihat jelas sebuah rumah papan setingkat yang sudah uzur.
‘Rumah siapa ini?’ Hati Afini
tertanya-tanya.
“Jom turun,” kata Yus yang sudah pun keluar
dari perut keretanya.
“Kita nak buat apa dekat sini?
Kita nak jumpa siapa?” tanya Afini bersama air mata yang sudah mengalir.
Yus menghampiri Afini. Dikesat
titisan permata itu dan dipegangnya lembut pipi isterinya itu.
“I nak you tahu. Apa pun yang
berlaku, you mesti kuatkan diri you. Dan you kena ingat, I sentiasa ada di sisi
you.” Seraya menuturkan kata-kata itu Yus menarik lembut tangan Afini untuk
mengekorinya.
Biarpun saat ini kaki Afini terasa
begitu lemah dan longlai, dia tetap mengekori langkah Yus.
Yus mengetuk daun pintu yang tertutup rapat sambil
memberi salam. Terdengar suara kanak-kanak menghampiri pintu di hadapan mereka
dan dibukanya cepat.
“Ya. Abang nak cari siapa?” soal
kanak-kanak perempuan yang berusia sepuluh tahun. Adiknya di sisi, tersenyum.
Afini menatap kakan-kanak
perempuan di hadapannya itu. Serta merta tubuhnya bagaikan tidak mampu untuk
berdiri teguh lagi. Dia terduduk di lantai tanpa sempat Yus menyambut tubuhnya.
“Afini, you okey tak ni?” tanya
Yus cemas. Dia mencangkung di hadapan isterinya yang kelihatan lemah.
“Betul ke apa yang I nampak ni?
Betul ke Yus?” tanya Afini dengan suara sebak.
“Kakak jatuhlah.” Si adik
menjerit. Dia berlari masuk ke dalam rumah.
Si kakak pula mendapatkan Afini.
“Akak... Akak tak apa-apa ke?” Cemas wajah kanak-kanak yang sudah pun memegang
tangan Afini itu.
“Nenek cepatlah.” Terdengar
jeritan si adik yang masih belum muncul.
Tidak lama kemudian, muncul
seorang wanita yang sudah beruban kepalanya.
“Astaghfirullahal azim. Ya Allah. Kenapa ni, cu?” Wanita tua itu
pula menerpa ke arah Afini.
“Tulah nenek, adik dah cakap ada
orang jatuh. Nenek tak percaya,” omelannya masih belum berhenti.
“Mari masuk,” pelawa wanita tua
itu setelah Afini berdiri, tetapi masih dipapah oleh Yus.
Sungguh! Afini bagaikan hilang
kekuatan saat mengetahui apa yang bakal dihadapinya sebentar nanti. Dengan
dipapah Yus, dia melangkah masuk ke dalam rumah.
Afini dan Yus dipersilakan duduk
di atas lantai yang hanya beralaskan tikar usang. Wanita tua itu berlalu ke
dapur.
Afini meliarkan padangan ke
segenap ruang rumah itu. Tiada apa yang menghiasinya, kecuali sebuah meja kecil
dan almari. Di dinding pula tergantung kalimah Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W.
Air mata Afini tumpah saat matanya
melihatframe gambar yang di dalamnya terpapar imej seorang lelaki
yang sedang tersenyum didampingi seorang wanita muda berserta dua orang
puterinya.
‘Ya Allah... aku kenal. Aku kenal lelaki dalam gambar itu.’ Air
mata Afini kian lebat mengalir.
Yus yang menyedari, mengambil
semula jari jemari isterinya itu dan digengenggamnya erat untuk menyuntik
sedikit kekuatan buat isterinya itu. “Sabar, Afini.”
“Kenapa mesti you bawak I ke sini?
Kenapa Yus?” rintih Afini.
“Sebab... you mesti tahu hakikat
sebenar. Bukankah ini yang you mahukan?”
Memang! Memang ini yang dia
mahukan. Tetapi mengapa dia begitu lemah saat berhadapan dengan kenyataan itu?
Bukankah sepatutnya dia harus mengamuk dan memaki hamun wanita yang selama ini
merampas kebahagiaan dirinya dan emaknya? Di manakah wanita itu? Di mana?!
“Mana mak?” soal Afini kepada dua
orang budak perempuan yang masih memandang hairan ke arahnya itu.
“Ibu ada dalam bilik. Kakak nak
jumpa ibu ke?”
Afini mengangguk.
“Nenek, kakak nak jumpa ibu.” Si
adik berlari ke dapur mendapatkan neneknya di dapur.
Seminit kemudian, wanita tua itu
kembali membawa dua cawan minuman dan dihidangkan kepada tetamunya. “Cucu ni
siapa?”
“Saya Yus dan ini isteri saya,
Afini.”
Yus dan Afini menghulurkan tangan
untuk bersalaman. Disambut senang oleh wanita yang masih tidak dapat menghidu
tujuan kehadiran mereka.
“Nenek, kakak nak jumpa ibu.” Si
kakak pula memberitahu kemahuan Afini.
“Ooo… cucu berdua ni kenal anak
nenek ya? Sekejap ya.”
Belum sempat Afini dan Yus
menjawab, wanita tua itu sudah bangkit dan menghampiri sebuah bilik. Hampir
lima minit kemudian, wanita itu keluar semula. Kali ini dia tidak berseorangan.
Ditolaknya kerusi roda perlahan dan diberhentikan betul-betul di hadapan Afini
dan Yus.
Dada Afini dilanda gelombang
tsunami dan air matanya pula mengalir deras.
Yus memeluk tubuh Afini yang
dirasakan begitu lemah.
“Kenapa kakak menangis?” soal si
adik dan si kakak pula menghulurkan sapu tangan lusuhnya kepada Afini.
“Cu, nenek tak tahu apa hubungan
cucu dengan anak nenek. Tapi… mesti ada sebabkan cucu datang ke sini?”
Afini memalingkan wajahnya
menghadap wanita tua yang sudah pun duduk bersimpuh di lantai. Kemudian matanya
memandang tepat ke arah wanita yang sedang duduk di atas kerusi roda itu. Dia
meneliti keadaan wanita itu. Wanita itu begitu lemah. Badannya kurus, mukanya
cengkung dan rambutnya walaupun tersisir rapi, namun masih belum mampu melindungi
kekusutannya. Andai sebelum ini, dia sering membayangkan yang dirinya akan naik
hantu bila bertemu dengan wanita itu, tapi kenapa dia harus mengalirkan air
mata kesedihan apabila berhadapan dengan wanita lemah itu? Wanita lemah yang
dulunya dengan bangga merampas kasih sayang ayahnya! Wanita lemah yang satu
ketika dahulu mampu mencoretkan kisah duka dalam hidupnya dan emak! Wanita
lemah yang satu saat dahulu mampu menjadi ‘suria’ yang menerangi hidup ayahnya!
Di manakah ‘suria’ itu? Di mana Siti Jannah?!
“Kenapa mak cik jadi macam ni?”
tanya Afini tiba-tiba.
Terlihat genangan air mata di
tubir mata wanita tua itu sebelum dia bersuara. “Semenjak arwah suami dia
meninggal. Semenjak tu, Jannah hilang pedoman diri. Dia hilang tempat
bergantung. Penyakitnya bertambah teruk. Kalau dulu doktor ada jugak bagi
harapan yang dia mungkin boleh berjalan semula, tapi sekarang… mustahil.” Kian
laju linangan air mata yang mengalir di mata tua itu.
“Maksud nenek? Mak cik lumpuh
selepas arwah suami dia meninggal?” tanya Afini lagi.
“Tak. Jannah jadi macam ni sebab…
sebab dia kena pukul.”
Perlahan ayat itu kedengaran di
telinga Afini. “Kena pukul?” Afini terkejut. Adakah arwah ayahnya yang memukul
isteri mudanya ini? Kesedihan dan kebencian silih berganti menjenguk tangkai
hatinya. Yus masih membisu walaupun Afini tahu yang Yus sendiri jua tidak sabar
untuk mengetahui perihal sebenar.
Keluhan terpacul di bibir wanita
tua yang masih menangisi nasib malang anaknya. “Maaf. Kalau boleh nenek nak
tahu apa kaitan cucu berdua ni dengan Jannah?”
Air mata Afini gugur lagi. Dia
mengalihkan pandangannya kepada Yus. Melihat anggukan yang diberi Yus,
menyuntik semangatnya untuk bercerita.
“Sebenarnya… saya…”
Kesakitan akibat debaran di dada
menyukarkan untuk Afini meneruskan kata-katanya. Yus kian mengeratkan jalinan
jari jemarinya. Afini menarik nafas perlahan.
“Nek, sebenarnya isteri saya ni
anak tiri Mak Cik Jannah.”
Membulat mata Afini memandang Yus.
Dia tidak menyangka akhirnya kata-kata yang berlegar di mindanya diluahkan Yus.
Wanita tua itu terkejut. “Jadi…
inilah Afini, anak arwah Ayub?”
Afini mengangguk laju selaju air
mata yang mengalir.
Tanpa disangka-sangka, wanita tua
itu menghampiri dan memeluk erat tubuh Afini. Dicium pipi dan kepala Afini
berkali-kali. Seolah-olah rindu benar gayanya. Terbang tinggi kemarahan Afini
yang tadinya tinggal bayang. Kesedihan terus menyelubungi dirinya.
“Dah lama nenek nak jumpa Afini.
Dulu masa arwah masih hidup, dia janji nak temukan Afini dengan kami. Tapi,
sayang… arwah pergi dulu.”
Afini mengesat air mata yang
mengalir. “Nek, Afini nak tahu. Adakah arwah ayah yang memukul mak cik?”
Wanita yang masih berlinangan air
mata ini tetap jua tidak bersuara. Dibetulkan duduknya semula.
“Nek, Afini perlu tahu.” Afini
kian mendesak.
“Tak. Ayah tak pernah pukul ibu.
Tapi mak cik jahat tu yang pukul ibu sampai ibu tak boleh berjalan lagi.” Suara
si kakak.
Si nenek memeluk cucunya. Kian
lebat linangan air matanya. Si adik pula menghampiri ibunya yang masih mematung
dan diciumnya wanita lumpuh itu.
“Adik sayang ibu,” kata adik,
manja.
Biarpun dia tahu si ibu tidak
mampu bersuara, namun diluahkan jua apa yang sedang dirasainya.
Kesedihan yang terpamer di hadapan
Afini ini kian meruntun hatinya.
Yus memeluk bahu isterinya itu.
“Sabar, sayang.”
Walaupun perlahan, tapi Afini
yakin perkataan ‘sayang’ digunakan untuk memujuk dirinya. Andai saat lain, hati
Afini akan berdebar ketika mulut Yus menuturkan panggilan itu, namun tidak saat
ini. Saat hati dan jiwanya dipenuhi dengan kesedihan.
“Afini. Sebenarnya ada sesuatu
yang Afini perlu tahu.”
Kesemua mata tertumpu pada si tua.
Hanya si lumpuh sahaja yang masih membiarkan matanya memandang ke lantai.
“Sebenarnya, arwah merupakan
seorang lelaki yang baik. Terlalu baik. Kalau tidak disebabkan arwah, mungkin
kami anak beranak sudah tiada lagi.”
“Sudah tiada lagi? Maksud nenek?”
soal Afini.
“Sebelum bertemu dengan arwah ayah
kamu, Jannah pernah berkahwin dengan seseorang. Seseorang yang berharta dan
berpangkat. Sebelum berkahwin dengan lelaki tu, dia mengaku yang kononya dia
duda. Perkahwinan diaturkan di Thailand. Alasan yang lelaki tak guna tu berikan
sebab keluarga dia golongan orang berada. Manalah boleh menerima kami yang
miskin hina ini. Jadi, terpaksalah Jannah menyembunyikan statusnya sebagai
isteri kepada lelaki tak guna tu.” Dia menalan liur.
“Setelah Jannah melahirkan
Zulaika, barulah kami tahu yang sebenarnya lelaki itu masih beristeri. Bermula
saat itulah, kami anak beranak terpaksa melarikan diri dari diburu oleh wanita
kejam itu!”
“Wanita kejam?” Terdengar getaran
dalam persoalan Yus.
“Ha’ah. Mak cik tu jahat. Nenek
cakap mak cik jahat tu suruh orang pukul ibu. Sampai ibu dah tak boleh
berjalan. Masa tu kakak kecik lagi. Nasib baik ayah tolong ibu,” cerita
Zulaika.
“Adik nak ibu sembuh. Nak ibu
senyum macam dulu.”
Berpelukan kedua adik beradik itu
sambil menangisi nasib mereka. Dirapati pula ibu mereka dan dipeluk tubuh
kering itu. Tersentuh lagi hati Afini.
“Siapa nama perempuan tu nek?” Yus
masih mahukan kepastian walaupun dia sudah tahu siapakah gerangannya.
“Namanya Kamiilah.”
Terlihat genangan air mata di
tubir mata Yus. Kali ini giliran Afini pula meraih kembali jari jemari yang
terlerai. Digenggam erat jari jemari suaminya itu. Memberikan sedikit
kekuatan.
“Kamiilah menghantar orang untuk
mencari kami sekeluarga. Sewaktu kedatangan kali pertama, ayah Zulaika turut
serta. Di hadapan Kamiilah, lelaki tak guna tu menjatuhkan talak tiga. Waktu tu
Jannah hampir menjadi gila. Bayangkanlah, si Zulaika waktu itu masih kecil dan
perlukan kasih sayang seorang ayah. Tidak cukup dengan itu, semua kemewahan
yang diberikan sebelum ini ditarik balik oleh perempuan kejam tu. Dihalau kami
sekeluarga macam menghalau anjing. Satu sen dan sehelai pakaian pun tidak
dibenarkan untuk dibawa bersama. Kamiilah mengancam, kalau sekali lagi dia
nampak Jannah dan Zulaika, dia takkan teragak-agak membunuh kami semua.”
Air mata tua itu tumpah lagi.
Yus pula kian menggeletar
tubuhnya, menahan kesedihan dan kebencian.
“Lepas tu, apa yang berlaku? Macam
mana arwah ayah boleh terlibat dengan semua ni?” tanya Afini.
“Waktu tu… orang-orang Kamiilah
berjaya mengesan kami sekeluarga. Tanpa belas kasihan, lelaki-lelaki yang
semuanya berbadan besar memukul dan mencederakan nenek dan Jannah. Tapi nenek
berjaya lari dan membawa Zulaika bersama. Waktu tulah nenek terjumpa dengan
ayah kamu bersama sekumpulan orang kampung. Nenek menjerit meminta tolong. Ayah
kamu dan beberapa orang kampung berkejar ke tempat Jannah dipukul. Tapi…”
Terhenti lagi penceritaan wanita tua itu. Tangisannya kian bergema.
“Nenek janganlah nangis,” pujuk
cucunya.
“Kalau nenek tak boleh nak
ceritakan semuanya, saya faham.” Afini cuba memujuk hati si tua yang dirundum
kesedihan yang menggila.
“Tak… Afini kena tahu mengapa
perkahwinan antara Jannah dan arwah terjalin. Nenek tak nak Afini menyalahkan
arwah ayah.” Disentuh pipi Afini lembut sebelum wanita tua itu menyambung
semula ceritanya.
“Waktu ayah kamu dan orang kampung
sampai, Jannah sudah nyawa-nyawa ikan. Ayah kamu mendukung Jannah dan
dikejarkan ke hospital. Jannah disahkan lumpuh dan tidak mampu untuk berjalan.
Waktu tu kami sekeluarga hilang punca pendapatan. Semenjak saat itulah, ayah
kamu jatuh simpati terhadap apa yang berlaku ke atas kami sekeluarga. Keputusan
diambil untuk menikahi Jannah.
Nenek menolak dengan alasan Jannah
lumpuh dan ayah kamu sudah pun berkahwin. Tapi, ayah kamu nekad juga untuk
memperisterikan Jannah dan cuba membela nasib kami sekeluarga. Sekali lagi
Kamiilah berjaya mengesan tempat tinggal kami. Tapi nasib kami baik, sebab
waktu tu arwah ayah kamu ada di rumah. Kamiilah akhirnya berjanji untuk
melepaskan kami dengan syarat Jannah perlu membayar sejumlah wang.”
“Sejumlah wang?!” tanya Yus dengan
nada kasar.Marah benar Yus dengan sikap wanita yang melahirkannya itu.
“Ya. Wang yang digunakan oleh
suaminya sewaktu hidup bersama dengan Jannah mesti dipulangkan. Kalau tidak
nyawa Jannah dan Zulaika akan melayang. Arwah ayah kamu berjanji untuk memenuhi
tuntutan itu dengan syarat, Kamiilah mesti melepaskan Jannah terus.”
Barulah kini Afini mengerti
mengapa duit KWSP arwah ayahnya habis licin digunakan. Tidak cukup dengan itu,
tanah pusaka milik emaknya juga turut tergadai.
“Tak guna!” Tanpa disangka-sangka,
Yus menjerit.
Mereka terkejut. Terlihat
ketakutan di mata kanak-kanak perempuan yang sudah pun memeluk lengan nenek
mereka.
“Sabar, Yus.” Afini melembutkan
suaranya.
“Jadi, perempuan tak gunalah tulah
dalang di sebalik semua ni?!” Kasar Yus menyoal.
“Nenek tak salahkan Kamiilah
seratus peratus. Perkara dah berlalu. Tapi kesannya sehingga kini masih kami
rasai. Kami jadi takut untuk ke tempat terbuka. Terpaksa menyorok di tempat
terpencil macam ni. Kami takut dikesan semula. Setelah arwah ayah kamu
meninggal, Kamiilah mungkir janji. Dia kembali memburu kami sekeluarga. Tekanan
demi tekanan menyebabkan Jannah jadi makin terjejas kesihatannya. Cucu-cucu
nenek tidak dapat bersekolah. Takut andai diculik oleh orang-orang Kamiilah.
Nenek pula hanya dapat bekerja mengambil upah mengopek ikan bilis. Dapatlah
sikit wang untuk buat makan sekeluarga.”
Hati Afini yang kian tersentuh.
Dia tidak menyangka sebegitu susahnya hidup mereka. Selama ini, dia
membayangkan wanita berkerusi roda di hadapannya ini merupakan wanita kejam
yang bermewah dengan harta emaknya dan arwah ayahnya. Tetapi ternyata
sangkaannya meleset. Bukan sahaja kehidupan mereka sekeluarga diselubungi
kemiskinan, tetapi hidup mereka jua sentiasa berada di dalam ketakutan.