Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 5

5

Sekembalinya Afini dari pejabat, dia terus mendapatkan Mak Embun. “Assalamualaikum, Mak Embun,” ucapnya. “Mak Embun dah makan?” soal Afini kemudiannya saat terlihatkan Mak Embun sedang membasuh pinggan di singki.

“Mak Embun tak lapar lagi. Baru lepas suap mak kamu makan. Afini dah makan?”

“Tengah hari tadi dahlah. Petang belum lagi,” jawab Afini jujur.

“Nanti kalau Afini lapar, ambil lauk dalam tudung saji tu. Mak Embun dah masakkan.”

“Lah Mak Embun ni… susah-susah aje. Dahlah Afini bayar upah Mak Embun jaga mak murah aje. Ni siap masak-masakkan lagi, seganlah Afini.”

“Nak segan apa. Dulu waktu Mak Embun terlantar tak boleh bangun sebab kena serangan angin ahmar, mak kamu tulah orangnya yang jaga Mak Embun. Bukan setakat sehari dua, tapi nak dekat lima bulan. Sekarang ni dah tibalah pulak giliran Mak Embun untuk membalas budi mak kamu tu.”

Afini mengangguk dan mengukirkan senyuman.

“Hmm… Afini. Mak Embun nak beritahu ni. Tadi ada orang datang. Dia kata dia wakil peguam bagi pihak bank. Dia serahkan kad dengan surat ni pada Mak Embun. Dia minta Afini hubungi dia dengan segera.”

Sekejap sahaja surat dan kad itu bertukar tangan.

“Afini… kalau Afini ada apa-apa masalah, Afini boleh ceritakan pada Mak Embun.”

“Tak ada apa-apalah Mak Embun. Jangan risau, Afini okey. Hmm… sekarang dah pukul 7.00 lebih. Mak Embun tak nak balik ke? Ke… Mak Embun nak temankan Afini tidur malam ni,” usik Afini.

“Eh, mana boleh tidur sini. Nanti kesian pak cik kamu tu tidur sorang. Merajuk pulak dia nanti,” seloroh Mak Embun. Lantas mengatur langkah menuju ke pintu.

Hari ini merupakan penghulu hari bagi umat Islam. Afini mengenakan baju kurung bertanahkan warna ungu dan bercorakkan flora kecil. Baju kurung ini adalah baju kesayangannya kerana pemberian daripada emaknya sewaktu hari lahirnya yang ke 23.

“Afini!”

“Siapa pulak yang memekik panggil nama aku ni? Pantang betul aku orang jerit-jerit nama aku macam ni,” tutur Afini perlahan berbaur rasa geram.

“You pekak ke?” marah Yus.

‘Kurang ajar punya gay! Suka-suka hati kau aje nak panggil aku pekak! Nasib baiklah kau bos aku!’ jerit hati Afini!

“Maafkan I, Encik Yus. I tak dengar Encik Yus panggil tadi,” kata maaf tetap jua Afini tuturkan walaupun hatinya tidak merelakan.

“Sebab tulah aku cakap kau ni pekak! Ambil ni! Aku nak kau pergisettlekan dengan KWSP hari ni jugak! Dahlah pekak! Lembap pulak tu!”

Afini mengetap bibir geram. “Encik Yus! Ada dua perkara yang Encik Yus perlu tahu! Pertama, I tak pekak dan I tak lembap! Kedua, I dah siapkanpart I!Part yang belum siap tu bukannya daripadadepartment I tapi daripadaaccount department! Jadi apa kata Encik Yusrefer balik pada Encik Zakaria pasal perkara ni!”

Afini pantas menyerahkan kembali dokumen yang diserahkan kepadanya sebelum dia cepat mengatur langkah meninggalkan mamat gila yang masih terkejut dengan letupan ‘bom’ yang baru diterimanya! Puas hati Afini!

Sepanjang hari Afini menyibukkan diri dengan tugasan yang kian bertambah. Jam di dinding sudah melewati 8.00 malam. Dia segera bangun untuk menunaikan solat Maghrib.

Sesampainya di surau, Afini pantas membuka pintu tanpa menyedari ada sepasang kasut milik kaum Adam tersusun di satu sudut yang agak terlindung. Di saat pintu terbuka, dia terlopong melihat insan yang berada di hadapannya ini. Encik Yus! Mata mereka bertemu.

“Saya ingat dah tak ada orang tadi…” kata Yus.

Afini masih terkejut dan tidak tahu untuk berkata apa, apatah lagi dirinya baru sahaja menghadiahkan sebutir ‘bom’ kepada lelaki di hadapannya ini siang tadi.

“Pergilah solat dulu. Waktu dah nak habis.”

Tatkala mendengarkan kata-kata itu, barulah Afini tersedar akan kelewatannya untuk menghadap Ilahi. Dia pantas masuk ke dalam.

Sedikit pun nasi di pinggan tidak disentuh Afini. Matanya masih utuh memandang insan di hadapannya.

"Kau ni kenapa pandang-pandang aku macam tu?" soal Siti pelik dengan sikap sahabatnya hari ini.

Pada kebiasaannya Afini gemar menikmati makan tengah hari di restoran ini, tetapi entah mengapa selera sahabatnya itu bagaikan termati. Buktinya makanan di hadapan Afini hanya menjadi jamahan matanya.

"Siti. Sebenarnya… aku nak beritahu kau yang semalam aku…" kata-kata Afini terhenti. Otaknya berfikir semula, perlukah dia menceritakan kepasa Siti tentang apa yang dilihatnya semalam.

Siti menghentikan kunyahan makanannya dan pandangan matanya tepat memanah mata sahabatnya itu. Jelas riak serba salah terpamer di wajah Afini.

"Afini, kau ni kenapa? Aku tengok lain macam sangat perangai kau hari ni. Cakap pun tersangkut-sangkut. Kau ada masalah dengan bos kau tu ke?" serkap Siti.

"Macam mana kau tahu?" spontan Afini bertanya.

"Jadi betullah kau ada masalah dengan mamat gay tu?"

"Bukan masalah… sebenarnya semalam waktu aku nak sembahyang maghrib di office kita tu, aku terserempak dengan mamat tu. Kau tahu tak rupa-rupanya mamat tu sembahyang dulu daripada aku." lega, Afini dapat meluahkan apa yang tersimpan di hatinya sedari semalam.

"Apa?! Kau biar betul. Tak percayalah aku." nada terkejut bercampur dengan penafian di dalam bicara Siti.

“Betul, Siti. Takkanlah aku nak tipu kau pasal benda-benda macam ni.”

“Merepeklah kau ni. Cuba kau fikir, dia tu gay. Tau ke dia macam mana nak sembahyang?” sinis suara Siti kali ini.

“Kau ni tak baik tau. Walau siapa pun, dia masih ada hak untuk bertemu dengan Allah. Kita tak ada hak untuk menilai amalan dia.”

“Yang kau bela dia sangat ni kenapa?”

“Bukan aku bela dia. Aku cuma ingatkan kau aje. Tapi… aku peliklah…”

“Pelik? Pelik kenapa?”

“Dia macam terkejut giler nampak aku. Maksud aku… macam dia ternampak hantu.”

Siti ketawa medengar kata-kata Afini.

“Kau nikan! Aku serius boleh pulak kau bantai gelak. Sakit hati betullah cakap dengan kau.”

“Okey... Aku minta maaf. Aku bukan apa. Macam tak percaya aje dengan apa yang aku dengar ni. Sebab, selama hampir dua tahun aku berkerja di sini, aku tak pernah pulak aku nampak dia sembahyang. Atau…”

“Atau apa?” soal Afini tidak sabar.

“Atau dia dah nak bertaubat. Yalah mesti dia terfikirkan sampai bila nak buat dosa aje. Nanti kalau tiba-tiba mati katak, kan susah. Lagipun, aku ada jugak dengar-dengar cerita yang Dato dah paksa dia cari isteri.”

“Cari isteri?”

“Ha’ah... Tiba-tiba pulak Dato suruh mamat tu cari isteri. Sebab apa yang aku dengar, Dato dah malu. Ahli-ahli korporat yang rapat dengan Dato dah seronok buat ‘ketupat’ pasal anak dia yang hangat bercinta dengan lelaki.”

“Lah... teruk jugak mulut orang ‘besar-besar’ ni. Ingatkan dia orang semua ni jenis tak ambil tahu hal orang lain,” kata Afini.

“Siapa kata? Kadang-kadang dia orang ni kalau mengumpat mengalahkan joyah tau. Sebab tulah semalam,mood bos kita tu tak betul. Semua orang diharuknya.”

Afini mengangguk. Patutlah semalam dia dimaki hamun lelaki begitu sekali dirinya dimaki hamun oleh mamat gay itu sedangkan dia langsung tidak ada melakukan apa-apa kesalahan.

“Cik Afini... Tadi masa Cik Afini ke tandas Encik Yus adacall minta Cik Afini datang ke pejabatnya,” beritahu May sebaik sahaja Afini melangkah masuk ke pejabat.

“Dia ada cakap kenapa?”

“Tak ada pulak. Tapi dia kataveryurgent.”

Terhela jua nafas Afini yang berat tatkala mendengar perkataanvery urgent itu. Dia yakin mesti ada kerjalast minute yang ingin diserahkan kepadanya.

Sesampainya Afini di muka pintu bilik empunya syarikat, dia terdengar tawa dua orang lelaki.

Ketukan diberikan dan Afini dipersilakan masuk.

Sebuah senyuman diberikan oleh seorang lelaki kepada Afini. Namun, ia bukan milik Yus. Ia adalah milik insan yang sedang memegang lembut leher ketuanya itu. Mereka kelihatan begitu akrab dan tak salah andai dikatakan keakraban mereka melebihi seorang sahabat. Afini yakin mungkin ini adalah lelaki yang sering digosipkan dengan Yus. Melihat caranya memegang leher Yus sahaja sudah mampu menambahkan keyakinannya itu.

“Hai... I Jeff.” Lelaki itu memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk disambut.

“Afini,” balas Afini ringkas.

“Ooo… Jadi inilah Afini,” kata Jeff.

Afini pelik dengan kata-kata itu. Tanda tanya yang terlihat di wajahnya dapat dikesan oleh Jeff.

“Sebenarnya bos kesayangan you ni selalu sangat puji you. Sebab tulah I seronok dapat bertemu dengan you.” Lelaki itu lantas mengukirkan senyuman.

“Dah-dah... tak payah kau nak puji minah ni.”

‘Minah? Suka hati kau aje nak panggil aku minahkan!’ marah hati Afini.

“Afini, I dah berbincang dengan Encik Zakaria dan memang I dapatidepartment dia yang buatmistake hari tu.So, untuk mengelakkan perkara seperti itu berulang lagi, I nak you dan Mayhandle tugas ni,” arah Yus lantas menyerahkan sebuah fail berwarna merah kepada Afini.

“Okey. I akanhandle,” balas Afini ringkas seraya mengatur langkah untuk keluar.

“Afini…” panggil Yus tiba-tiba.

Afini berpaling semula menghadap kedua lelaki yang sedang memandang tepat ke arahnya.

“Hmm… I… I…”

“Cakap ajelah. Kau ni…” desak Jeff tatkala melihat Yus tidak dapat menyudahkan bicaranya.

“I… I… Nak minta maaf pasal hari tu. I marah you melulu sebelum I periksa perkara sebenar.”

Afini tersenyum dan memandang tepat ke arah bosnya. Sayu pandangan lelaki itu tika ini. Terbang tinggi segala keegoannya tatkala menuturkan kata maaf itu. “Tak apa. I faham. I pun nak minta maaf sebab berkasar dengan Encik Yus tempoh hari.” Afini pantas mengorak langkah meninggalkan ‘pasangan kekasih’ itu berserta sebuah senyuman yang masih terukir di bibirnya.

“Cun jugak Afini tu aku tengok,” kata Jeff tatkala melihat bayang Afini kian menghilang dari pandangannya.

“Memang cun. Tapi keras kepala! Degil! Kau bayangkan aku ni yang bayar gaji dia, pun dilawannya!”

Jeff ketawa.

“Kau ketawa kenapa?”

“Tak adalah. Aku tengok dia okey aje. Taklah teruk yang macam kau cerita.”

“Kau tak kenal dia lagi beb… dah kenal baru kau tau!”

“Aku rasa, orang yang patut kenal dia ialah kau, bukan aku!”

“Apahal pulak aku nak kena kenal dia sangat. Setakat minah macam tu, Kalau dia blah dari syarikat ni pun tak ada hallah. Aku boleh cari sepuluh orang staf yang lebih baik daripada dia,” riak Yus berbicara.

“Sebab kau ni hebat sangatlah sampai kau tak dapat nak cari orang untuk gantikan tempat setiausaha kau yang dah hampir setahun kosong tu, kan?”

“Kau ni nak perli aku ke apa ni?”

“Bukan perli, tapi nak sedarkan kau. Aku bukan apa, kesian tengok Afini tu. Dahlah kecil, cun pulak tu. Tak sampai hati aku bila aku bayangkan yang dia selalu kena marah dengan kau,” gurau Jeff.

“Dahlah... tak payahlah cakap pasal minah pendek tu. Sekarang ni aku ada masalah yang lebih besar untuk akusettlekan,” keluhan berat terpacul dari bibir Yus.

“Pasal papa kau?” soal Jeff.

“Yalah. Sekarang ni dia dah makin desak aku bawak balik calon isteri! Mana aku nak cekau?”

“Hmm… Aku sendiri pun buntu. Tak tahu macam mana nak tolong kau.”

Kedua-dua sahabat ini termenung sambil berfikir untuk mencari jalan keluar terhadap permasalahan yang berpunca daripada DatoHaji Mohd. Haalim bin Abdul Malik.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.