“Tidak!!! Tak mungkin! Tak mungkin...
itu semua fitnah!” jeritan dan tangisan kian berpadu meletuskan apa yang
terbuku di hati seorang wanita yang bernama Imah.
“Sabar, mak. Kita
sendiri tak pasti sama ada apa yang pak teh cakapkan tu betul atau tak. Mungkin
ini hanya salah faham.” Afini memujuk hati emaknya yang kian hancur mendengar
apa yang baru dikhabarkan oleh pak tehnya.
“Tak, Afini. Ni
bukannya salah faham atau fitnah. Tapi ini kenyataannya! Takkanlah pak teh nak
buruk-burukkan arwah ayah kamu. Diakan adik pak teh.”
“Betul ke apa yang
abang teh cakap ni? Tapi… kalau betul, kenapa arwah tak pernah beritahu pada
Imah selama ni? Kenapa?”
“Sebenarnya Imah… semua
ni salah abang teh juga. Selama ni abang sembunyikan semua ni daripada kamu dan
Afini.”
“Maksud pak teh? Pak
teh dah tahu arwah ayah dengan perempuan tu ke?”
Anggukan daripada pak
teh menyesakkan dada Afini. Tidak disangka, lelaki yang selama ini menjadi
kepercayaannya dan emaknya sanggup bersekongkol dengan arwah ayahnya untuk
menyembunyikan rahsia sebesar ini.
“Nama perempuan tu…
Jannah!” Pak teh menyela nafas berat.
“Arwah dan Jannah
berkahwin di Thailand. Jannah janda beranak satu dan hasil perkahwinnya dengan
arwah, dia mendapat seorang lagi anak perempuan, Siti Naailah,” kata pak teh
lagi.
Siti Naailah? Bukankah
maksud bagi nama tersebut adalah yang berhasil, yang mewah dan yang banyak
memberi (dermawan). ‘Pandai ayah pilih
nama untuk anak kesayangannya,’ getus hati Afini.
“Tapi kalau betul,
kenapa baru sekarang abang teh beritahu Imah? Kenapa?!”
“Sebab… abang rasa Imah
perlu bertindak.”
“Bertindak?” tanya
Afini pula.
“Ya, Afini. Sebenarnya
sebelum arwah meninggal, dia ada beritahu pada pak teh yang dia dah serahkan
semua duit KWSP pada perempuan tu,” kata pak teh walaupun hatinya berat untuk
berterus terang.
“Apa?” soal Imah yang
kian melodak api kemarahannya. “Abang teh jangan nak reka-reka cerita ya!
Dahlah abang fitnah adik abang sendiri! Sekarang ni abang nak beritahu yang
suami yang selama ni saya percaya, sanggup pulak bagi semua duit KWSP dia pada
perempuan yang entah apa tu! Macam tu?”
Afini kian gelabah
tatkala melihat api kemarahan emaknya sudah sampai kekemuncak. Daripada duduk,
emaknya bangun dan kini dengan mata yang kian berkaca dan jeritan yang kian
meninggi, emaknya menatap tajam mata pak tehnya.
“Sabar mak, sabar,”
pujuk Afini.
“Betul tu, Imah. Kau
sabar dulu. Kalau kau rasa aku buat fitnah, aku reka cerita. Terpulang… cuma
aku harap kau berusahalah untuk mendapatkan semula hak kau. Hanya ini sahaja
yang boleh aku buat untuk tebus semula kesalahan aku pada kau dan Afini.” Pak
teh bingkas bangun.
“Lagi satu Imah, kalau
betullah aku buat fitnah, mana perginya duit KWSP arwah suami kau tu? Padahal
tahun lepas lagi dia dah keluarkan duit KWSP tu. Mana perginya?” soal Pak Teh
mendesak wanita yang masih berkaca matanya ini memberikan jawapan.
“Arwah cakap… duit tu
dia dah guna untuk bayar hutang. Baki yang sikit tu dia kata nak buat modal
untuk buka bengkel kereta dengan abang teh. Sebab tulah Imah sanggup cagarkan
tanah pusaka ni untuk tolong arwah,” jawab Imah bersama tangisan.
“Betul ke apa yang mak
cakap ni?” tanya Afini untuk lebih kepastian.
“Betul Afini… betul…”
Kian rintih tangisan
Imah tatkala menuturkan kata-kata itu dan Afini sudahpun mendakap erat tubuh
kecil milik emaknya itu untuk berbahagi kesedihan.
“Astaghfirullahalazim…”
Hanya itulah kata yang mampu terlahir di bibir tua milik pak teh.