Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 19

19

Afini melangkah ke arah jendela yang sudah terbuka dan sedia menanti kehadiran sesiapa sahaja di sisinya. Pemandangan yang ditatapi kini jauh berbeza dengan apa yang selalu dijamahi oleh matanya sebelum ini.

Andai kebiasaannya mata Afini akan terpukau tatkala memandang keindahan alam dan kesayuan malam yang hanya diterangi cahaya rembulan, itu semua tiada lagi. Apa yang terbentang di hadapannya tika ini adalah deretan 15 buah khemah yang dipacak untuk menampung kehadiran para tetamu yang hadir untuk meraikan dirinya dan Yus dalam majlis resepsi yang baru berakhir sebentar tadi.

Sedari pukul 11.00 pagi sehinggalah ke malam, ada sahaja sahabat handai dan saudara mara mengunjungi banglo dua tingkat milik bapa mentuanya ini. Majlis kali ini jauh lebih meriah andai dibandingkan dengan majlis yang berlangsung di rumah emaknya. Bukan ahli korporat sahaja yang menghadirkan diri, malahan golongan menteri dan artis turut serta meraikan Afini dan Yus. Terasa kerdil dirinya jika dibandingkan dengan mereka yang lebih tinggi status sosialnya.

Afini terus membuang pandangan sementara mindanya berputar mengingati setiap detik yang dilaluinya siang tadi. Ternyata sandiwara kali ini lebih berjaya dilakonkan berbanding sebelumnya. Senyuman dan tawa ria sentiasa hadir di bibirnya. Yus pula masih seperti selalu, melakonkan watak sebagai lelaki sejati dan romantis.

Pelukan, ciuman dan genggaman erat di jari jemari Afini sering menjadi kunci untuk lelaki itu berjaya dalam setiap lakonannya. Terhela jua keluhan dari bibir Afini tatkala dia merasakan dirinya begitu penat dengan semua penipuan dan pembohongan ini! Ya! Dirinya penat dengan semua ini!

Di saat tubuh Afini berasa dingin akibat disapa bayu malam, dia lantas memusingkan tubuhnya untuk berlalu. Tanpa diduga, Yus berdiri betul-betul di belakangnya sehingga menyebabkan tubuh mereka bertemu.

Serta merta pandangan mata mereka bertaut.

‘Sejak bila Yus berada di belakangnya? Adakah Yus memerhatikan setiap tingkahnya? Kenapa Yus berdiri begitu hampir dengannya? Apa mahunya?’

“Hmm… I … nak ti… tidur,” kata Afini, gagap.

Yus diam. Hanya pandangan matanya sahaja yang berbicara. Lembut pandangan matanya menyapa mata Afini.

“You… tak penat ke? I dah letihlah. Nak tidur.”

Yus langsung tidak mengendahkan kata-kata Afini. Malahan kini, dia kian berani merangkul erat pinggang isterinya itu dan menyentuh lembut rambut yang dibiarkan lepas.

“Cantik rambut you,” kata Yus dengan suara romantik.

Serta merta jantung Afini kian kuat berdegup. Adakah Yus ingin melakukan sesuatu terhadapnya? Tidak! Tak mungkin! Tak mungkin Yus boleh melakukan apa-apa sedangkan nafsunya hanya untuk kaum Adam sahaja.

“Yus… I nak berehat.” seraya menuturkan kata-kata itu, Afini mengalihkan kasar tangan suaminya itu. Tujuannya untuk menyedarkan apa yang dilakukan oleh lelaki itu adalah salah.

“Kenapa? You tak suka?”

Soalan jenis apa pula yang diutarakan oleh Yus? Tidakkah dia tahu akan status dirinya?

“You tak suka kalau I manjakan you macam ni?” Yus kian berani merapatkan bibirnya ke bibir isterinya itu. Namun sebelum apa-apa berlaku…

“Yus!Stop! You tak boleh buat macam ni!”

Serta merta Yus menghentikan tingkahnya. Terlihat riak terkejut di wajahnya.

“Yus… you tak boleh buat macam ni.” Afini mula melembutkan suaranya.

“Kenapa tak boleh?! You isteri I!” bantah Yus dengan suara sedikit tinggi. Nada romantik sudah hilang.

“Sebab… sebab…”

“Sebab apa?” soal Yus dan tangannya kembali merangkul pinggang Afini.

“Sebab you gay!”

Yus bagai terpana mendengar kata-kata itu. Pelukannya dileraikan.

Afini pantas mengatur langkah laju menjauhi suaminya itu. Malam ini merupakan malam pertama dia berdua-duaan dengan Yus di dalam bilik yang dihiasi indah untuk menjadi tempat beradu raja sehari yang baru pertama kali ingin melayari bahtera asmara. Namun, itu semua mustahil berlaku kepadanya dan Yus.

Afini melangkah ke arah katil dan menyelubungi keseluruhan tubuhnya agar Yus tidak berpeluang untuk melakukan perkara yang sama.

Yus pula masih tercegat di tempatnya dan matanya kini tidak lagi terarah kepada isterinya itu. Dia membuang pandangan ke luar jendela sama seperti keadaan Afini sebelumnya.

‘Malam pertama, tiada apa yang indahnya. Yang ada hanyalah sengsara,’ sayu hati Yus merintih pada kesunyian.

Seawal 7 pagi, Jeff menerima mesej daripada Yus yang menyatakan gesaan untuk bertemu dengannya di restoran yang biasa dikunjungi mereka. Jeff yang sememangnya mahu mengetahui tentang perkembangan penganti baru itu cepat sahaja menyatakan persetujuannya.

So, macam mana ‘malam pertama’?” tanya Jeef dengan wajah nakal. Dia tersenyum.

Yus hanya diam.

“Woi! Apa hal kau senyap aje ni? Muka pun macam tikus mondok. Orang kalau lepas malam pertama, bukan main senyum lagi. Ini tak.”

Yus diam lagi.

Jeff mulai tidak senang melihat riak sahabatnya itu. “Yus, kau ni kenapa? Aku tanya, kau tak jawab. Kau ada masalah dengan Afini lagi?”

Yus mengeluh.

Jeff yakin Yus ada masalah. “Masalah apa pula kali ni?”

“Afini… dia… dia…”

“Dia apa?” soal Jeff mulai tidak sabar.

“Dia ingat aku ni… aku…”

“Aku apa? Kau ni janganlah nak buat aku gelabah. Cakap ajelah. Dia ingat kau apa?” potong Jeff. Dia sudah tidak tahan melihat sikap sahabatnya yang tiba-tiba tidak dapat bertutur dengan lancar.

“Dia ingat aku macam kau!”

“What? Oh, my God!” terkejut Jeff. “Sejak bila dia ingat kau ni gay?” tanyanya.

“Semalam,” jawab Yus sepatah.

“Semalam? Sebelum ni kau tak tahu yang dia ingat kau ni gay?”

“Tak. Maksud aku, memang aku yang beritahu dia yang aku minta dia mengahwini aku sebab papa aku tahu yang kononnya aku ni gay. Tapi aku tak sangka pulak yang dia boleh percaya bulat-bulat apa yang aku cakap. Bendul betullah perempuan tu. Takkanlah dia tak boleh nampak yang aku ni lelaki sejati.” Sekali lagi Yus mengeluh.

“Kau tak terangkan pada dia?”

“Nak terangkan apa? Nak terangkan yang aku ni bukan gay? Nak terangkan yang selama ni aku tipu dia!”

“Kau tak tipu dia. Dia yang salah faham.” Jeff cuba menenangkan sahabatnya yang nampak benar berserabut saat ini.

“Apa aku nak buat?” tanya Yus sambil memandang ke arah Jeff.

“Kau sayangkan Afini?”

“Aku tanya kau apa aku nak buat? Tapi kau boleh tanya pulak aku sayang ke tak dengan Afini?” Geram Yus dengan sikap Jeff.

“Yalah... bila kau berterus terang dengan aku tentang perasaan kau pada isteri kau tu, barulah aku boleh bagi idea naksettlekan masalah kau ni.”

Yus menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dia merenung Jeff. “Kau rasa?”

“Aku tak boleh nak rasa. Sebab, kadang-kadang aku tengok kau layan Afini tu baik sangat. Kadang-kadang kau layan dia tak ubah macam musuh kau. Baru lima hari kau menikahi dia, kau dah ugut dia. Kau lupa?”

Kali ini Yus sudah memicit perlahan tengkuknya.

“Kalau aku tak cintakan dia, aku takkan beria-ia nak perangkap dia supaya kahwin dengan aku. Lebih baik aku bayar aje model-model yang tergila-gilakan aku tu untuk jadi isteri aku. Sebab aku sayangkan dia jugalah aku ugut dia supaya dia tak mencurangi aku macam mana perempuan jahanam tu buat dekat papa aku!”

Jeff tersenyum mendengar jawapan Yus. “Jadi kesimpulannya memang dari awal lagilah yang kau dak syok dekat isteri kau tu?”

Yus mengangguk.

Jeff tersenyum lagi. Mindanya kian rancak mengatur rancangan untuk sahabatnya itu.

 

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.