Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 25

25

MALAM itu, Afini termenung sendirian memikirkan apa yang diceritakan oleh Siti kepadanya siang tadi. ‘Apa sebenarnya yang berlaku di antara Zack dan Has?’

Andai diikutkan kata hati yang tebeban dengan kerisauan memikirkan perihal Zack, ingin sahaja rasanya dia mendail nombor lelaki itu. Namun Afini masih berkira-kira, adakah tindakannya itu betul sementelah dia sudah berstatus isteri orang. Lama masa yang diambil sebelum keputusan dibuat.

“Ah! Telefon ajelah. Lagipun aku cuma nak tahu keadaan Zack aje!”

Jari jemari Afini sudah rancak mencari nombor telefon milik sahabatnya itu. Apa yang dicari sudah ditemui. Namun, sebelum sempat dia mendailnya, ketukan di muka pintu mematikan niatnya itu. Dia segera melangkah untuk membuka pintu sementelah ketukannya bertalu-talu bagai tidak sabar untuk minta dibuka.

“Cepat kemas apa yang patut!” kata Yus kelam-kabut.

“Nak pergi mana?” soal Afini tidak dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan oleh Yus.

“Papa… kejap lagi papa sampai. Papa kata, papa nak tidur sini malam ni.”

Tidur sini malam ni? Jadi maknanya dia terpaksa tidur sebilik dengan Yus? Oh! Tidak!!!

“Apa tercegat lagi tu! Cepatlah kemas apa yang patut dan masukkan dalam bilik I. Ingat! Jangan sampai papa syak yang kita tak tidur sebilik. Faham!”

Afini mengangguk. Lantas, dia mencapai apa yang patut dan yang diperlukannya untuk dipindahkan ke dalam bilik Yus.

Saat Afini menjejakkan kaki ke bilik yang besar itu, matanya terpaku melihat bilik yang kemas dan bersih. Bau aromaterapi semerbak menyemarak ke segenap ruang bilik ini. Tenang fikirannya.

Dia meletakkan barang-barang yang dibawanya di atas meja kecil yang berkedudukan di hadapan sebuah katil king milik Yus.

“Kenapa tak sangkut baju dalamwardrobe?

Hampir gugur jantung Afini akibat terkejut mendengar suara Yus. Entah bila lelaki itu berdiri di belakangnya.

Yus dengan selamba mengambil baju-baju yang masih dipegang Afini dan menyangkutkannya ke dalamwardrobe yang bersaiz besar di hadapan mereka.

Afini terpaku melihat tingkah Yus.

Dato Haalim begitu gembira semasa menikmati makan malam bersama anak menantunya. Begitu rancak lelaki yang sudah berusia itu berbicara itu dan ini sehingga menyebabkan lebih banyak perbualan daripada suapan makanan.

Setelah selesai menikmati makan malam dan berbual bersama-sama sambil menonton televisyen, akhirnya rDato Haalim meminta izin untuk merehatkan diri.

Afini dan Yus turut melakukan perkara yang sama.

Berdua-duaan dengan Yus di dalam bilik, menyebabkan Afini resah gelisah. Debaran di dada sudah tidak mampu dikawal lagi iramanya. Dia melangkah ke arah tingkap dan membuang pandangan ke luar. Malam ini begitu banyak bintang menghiasi ruang angkasa. Amat indah ciptaan Allah yang Maha Esa. Dia mengagumi keindahan ciptaan-Nya.

Tiba-tiba Afini terasa hembusan nafas hangat di cuping telinganya. Dia pantas berpaling sehingga menyebabkan bibirnya bertemu dengan dada bidang milik Yus.

Yus masih tidak berganjak. Dia semakin berani merapatkan tubuhnya dengan tubuh isterinya itu. Terasa haba tubuh mereka bersatu sehingga menyebabkan nafas Afini bagai tidak mampu dikawal lagi aturannya. Dia kian berani memegang leher Afini dan merangkul pinggangnya.

Kucupan lembut terasa di cuping telinga Afini sehingga menimbulkan nafsu di dalam diri. Afini kian hayal sehingga membiarkan sahaja bibir hangat milik Yus menerokai segenap ruang lehernya dan rangkulan Yus yang kian erat menghangatkan lagi bunga-bunga asmara. Namun, ketika Afini merasai ciuman cinta di lehernya, dia tersedar.

Afini pantas menolak tubuh Yus kuat sehingga menyebabkan lelaki itu menghentikan perbuatannya. Nafas Afini turun naik dan dia pantas melangkah. Namun, cepat sahaja tubuh kecil milik Afini didakapi Yus.

“Lepaskan I!” jerit Afini, namun cuba dikawal suaranya agar tidak didengari oleh bapa mentuanya yang tidur di bilik sebelah.

Yus masih mendakap Afini, kian erat.

“Lepaskan I! Lepaskan I Yus!” pinta Afini lagi.

“Tak… I tak nak lepaskan you! You milik I!”

‘Aku milik dia? Gila ke apa?! Tidakkah Yus tahu yang aku tidak mungkin menjadi miliknya selagi dirinya menjalinkan hubungan dengan Jeff! Dia tidak rela ‘dimadukan’ dengan kekasih Yus itu!’

“You lupa ke yang kita berkahwin kerana nak tutup hubungan you dengan kekasih you tu! You yang beritahu I sebelum kita berkahwin! You lupa ke?”

Bagaikan baru tersedar, dengan perlahan Yus melepaskan tubuh Afini dari rangkulannya. Matanya sayu memandang Afini. Bagaikan tidak rela dia melepaskan isterinya itu.

Afini tidak peduli sama ada Yus rela atau tidak! Apa yang dia tahu, dia takkan membiarkan dirinya menjadi permainan nafsu serakah Yus! Dia takkan biarkan Yus yang masih memandangnya penuh kasih itu mempermainkan dirinya. Lantas, dia mengatur langkah ke tilam empuk di hadapannya itu. Yus pula mengambil tempat di kerusi yang bertentangan kedudukannya dengan tempat pembaringan Afini tika ini.

Afini cuba menahan dirinya dari terlelap. Dia tidak mahu memejamkan matanya kerana dia takut andai Yus mampu melakukan apa sahaja. Namun, akhirnya dia tewas jua.

Hampir dua jam kerusi yang sedang didudukinya itu menampung beban tubuh miliknya. Semenjak duduk di situ, mata dan minda Yus sentiasa fokus ke arah wanita yang sedang baring dan menyelubungi seluruh tubuhnya. Perkara yang sama dilakukan wanita itu sewaktu pertama kali dia cuba mendapatkan ‘hak’nya sebagai seorang suami.

Setelah meyakini wanita di hadapannya itu sudah tertidur, Yus melangkah ke katil. Perlahan-lahan, dia membuka selimut yang menutupi wajah Afini. Dia memerhati ke segenap wajah putih bersih milik insan kesayangannya itu. Memang tidak dinafikan, wajah isterinya itu masih tampak cantik dan ayu walaupun matanya sudah tertutup akibat lena.

Yus memberanikan diri membelai perlahan rambut lurus milik Afini. Sekali lagi keinginannya untuk ‘menakluki’ isterinya itu hadir. Apatah lagi tatkala melihat bibir seksi milik isterinya itu bagaikan minta dicumbui. Nafsu yang kian bergelora di dalam diri menyebabkan lelaki itu tidak mampu berfikiran waras. Berhati-hati dia merapatkan wajahnya dengan wajah Afini sehingga menyebabkan hidung mereka berlaga dan bibir milik Afini akhirnya berjaya ditakluki.

Yus sudah tidak mampu untuk mengawal diri. Leher Afini begitu seksi pada pandangan matanya.

Afini masih lena tidurnya. Cepat sahaja mata Yus mengalihkan pandangan ke badan gebu milik isterinya itu. Perlahan-lahan dia menggerakkan jari jemarinya untuk membuka butang baju tidur Afini. Bergetar tangannya saat ini. Di saat nafsunya mendesak dan akalnya melarang, dia kian keliru untuk memilih yang mana satu.

‘Tak! Aku tak boleh buat macam!’ Yus pantas bangkit dan meraup wajah. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil kakinya menjauhi tubuh milik Afini yang masih diingininya.

‘Aku takkan rogol isteri aku sendiri! Aku tak boleh!’ Hembusan nafas yang begitu berat dilepaskan. ‘Aku nak… dia rela ‘melakukannya’ dan bukan dipaksa. Aku nak, dia cintakan aku bukan makin bencikan aku! Aku tak boleh’

Afini masih memandang ke arah imej yang berada di dalam cermin di hadapannya itu. Tangannya pula masih ligat meraba-raba bahagian lehernya. Ada kemusykilan yang sedang mengambil tempat di hatinya saat ini. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingati sesuatu.

‘Bukan sepatutnya ada satu aje ke?” soal Afini sendirian bagai meminta mindanya yang sedang ligat berfikir memberikan jawapan.

‘Kenapa pulak boleh ada tiga ni?’ soal hati Afini lagi, masih tidak puas hati. ‘Takkan aku tak boleh ingat berapa kali dia buat?’

“Afini! Apa yang kau tengok tu sampai berkerut-kerut dahi kau?”

Afini pantas melindungi bahagian lehernya yang sudah ‘tercemar’ dengan juraian rambutnya yang panjang.

Namun, mata Siti lebih pantas melihat apa yang ingin diselindungi Yus. “Kau dengan...” Siti begitu terkejut dengan kesan-kesan yang ada pada leher Afini itu.

Afini pantas menutup mulut Siti yang sedikit terbuka untuk mengelakkan wanita itu dari terus menyambung kata-kata. Dia memberikan isyarat mata kepada Siti bagi menyedarkan sahabatnya itu akan kehadiran insan lain di tandas itu.

Siti mengangguk faham dan mengalihkan tangan Afini yang masih menutupi mulutnya. “Kau kena jelaskan dekat aku!” Seraya menuturkan kata-kata itu, dia terus menarik Afini menuju ke arah biliknya.

“Cepat beritahu aku!” kata Siti sebaik sahaja sampai ke biliknya.

Afini menarik nafas panjang. Dia tidak tahu hendak mula dari mana.

“Afini… takkan kau dengan Yus dah buat ‘tu’?”

Afini pantas menggeleng.

“Kalau tak buat… macam mana boleh ada kesan tu kat leher kau? Yus paksa kau ke?”

Tangan Siti cepat sahaja menyelak rambut Afini untuk memastikan sangkaanya. Memang jelas di matanya terdapat tiga kesan merah di leher Afini. Perasaannya bercampur aduk antara malu dan benci. Benci dengan tindakan Yus malam tadi. “Yus paksa kau?!” Sekali lagi soalan itu diutarakan.

Apakah yang harus Afini katakan? Adakah benar Yus memaksanya? Atau dia turut serta merelakan perbuatan lelaki itu? “Entahlah Siti… aku sendiri tak tahu nak jawab macam mana.”

Siti masih memandang tepat ke arah Afini. “Okey, aku tahu yang aku tak boleh nak masuk campur dalam hal-hal yang sensitif macam ni. Tapi kalau bukan sebab kau ni kawan baik aku, aku takkan peduli. Aku kenal kau Afini. Kau takkan benarkan Yus ambil kesempatan. Apatah lagi kau tahu yang Yus tu abnormal. Jadi, aku cuma tanya satu soalan aje dekat kau. Adakah Yus rogol kau?”

“Tak. Yus tak rogol aku dan sebenarnya tak ada apa-apa yang berlaku di antara aku dan Yus malam tadi selain dari kesan ni.”

“Betul?” Siti masih ragu-ragu dengan jawapan Afini.

“Semua ni berlaku sebab malam tadi bapa mentua aku tidur dekat kondominium Yus. Jadi nak ke tak nak, aku terpaksa tidur sebilik dengan dia. Masa tulah… dia cuba ambil kesempatan pada aku. Tapi Yus tak buat lebih daripada ni,” kata Afini.

Siti mengerutkan dahinya. Bagai ada sesuatu yang sedang difikirkan. “Jadi… apa yang aku sangkakan selama ni betullah!”

Kali ini Afini pula yang mengerutkan dahi, tidak memahami maksud Siti. “Maksud kau?” soalnya untuk kepastian.

“Kau ingat tak? Dulu aku pernah cakap, mungkin Yus tubisexual?

Afini mengangguk.

“Jadi… tak mustahilkan yang Yus tu memang betul-betulbisexual.”

“Entahlah, Siti. Bagi aku, dia gay kebisexual ke, tak ada apa-apa perbezaan pun. Dia tetapi lelaki yang aku benci! Lepas apa yang dia buat dekat aku malam tadi, aku jadi bertambah benci dengan sikap dia!”

“Kau salah Afini. Kalau dia betul-betulbisexual, jadi maknanya kemungkinan dia untuk jatuh cinta pada kau tu ada. Apa yang penting sekali, mungkin apa yang dia lakukan dekat kau malam tadi kerana dorongan nafsu. Tapi… kalau dia betul-betul gay, maknanya kau sedang berhadap dengan masalah yang besar!”

“Maksud kau?” soal Afini mulai cemas.

“Hmm… mungkin dia ingin ‘bersama’ dengan kau malam tadi atas sebab-sebab tertentu.”

“Aku tak faham.”

Siti mengeluh. “Afini, kalau betul-betul suami kau tu gay,, maknanya dia ingin melakukan hubungan asmara dengan kau sebab… mungkin dia nakkan sesuatu. Contohnya, zuriat.”

Zuriat? TMinda Afini terus mengimbau kembali akan kata-kata Yus pada emaknya tempoh hari. Yus dengan yakin memberitahu andai diberikan rezeki, mereka akan mendapat zuriat pada tahun hadapan. Adakah itu puncanya mengapa Yus cuba untuk ‘menakluki’ dirinya semalam. “Maksud kau, mungkin dia nak anak dengan aku?”

“Betul. Tak mustahilkan. Lagipun siapa yang tak kenal dengan Yus dan papanya? Semua orang tahu status mereka. Legasi perniagaan Dato dah melepasi sempadan negara. Cuba kau fikir kenapa Dato beria-ia suruh Yus berkahwin?”

“Sebab dia nak pastikan yang Yus tu bukan gay,” jawab Afini, lurus.

“Selain tu?”

“Sebab dia nakkan zuriat daripada Yus supaya dapat menyambung legasi perniagaannya.” Terasa ada getaran dalam bicara Afini saat ini. Sungguh! Andai benarlah itu kenyataannya, dia terasa bagai dipermainkan.

“Betul tu. Dari apa yang aku tahu, seorang gay tak mustahil mampu melakukan hubungan asmara dengan seorang perempuan. Tetapi untuk memastikan perkara itu berjaya, dia perlu membayangkan yang dia sedang berasmara dengan lelaki lain. Mungkin dalam kes Yus… dia…”

“Dia apa?!” Saat ini sudah terasa kehadiran permata di kelopak mata Afini. Dia tahu bicara yang bakal disambung oleh Siti pasti akan menambahkan keperitan di hati. Tetapi, dia tetap jua mahukan kepastian terhadap apa yang sedang berlegar di mindanya saat ini.

“Mungkin Yus… membayangkan yang dia sedang bersama dengan Jeff sewaktu apa yang dia lakukan kepada kau semalam.”

Afini terdiam. Akhirnya dia tewas. Air matanya mengalir laju. Biarlah Siti melihat tangisannya kali ini. Andai benar apa yang dikatakan oleh Siti, terasa dirinya begitu hina sekali.

Selepas menghantar Afini pulang ke kondominiumnya, Yus terus memecut keretanya. Dia perlu segera sampai ke satu tempat supaya dapat meluahkan segala apa yang tersarang di hati. Sesampainya di tempat yang ingin dituju, dia pantas menekan loceng. Cepat sahaja si empunyapenthouse ini menyambut kedatangannya.

Dia pantas menapak masuk ke ruang tamu dan duduk di sofa berangkai dua.

Jeff dapat melihat dengan jelas keserabutan di wajah Yus. Dia pantas mengambil segelas air sejuk dan dihulurkan kepada Yus.

Yus menyambut huluran itu.

Setelah melihat Yus meneguk air sejuk yang diberikan, barulah Jeff memulakan bicara. “Kau kenapa? Lain macam aje aku tengok. Kau bergaduh dengan Afini lagi?”

Yus hanya diam. Namun, tangannya beberapa kali meraup wajahnya.

“Kenapa ni? Kau buat apa kali ni?” tanya Jeff.

Yus bangun. Dia mundar-mandir di hadapan Jeff. Dia menghela nafas berat. “Aku… aku hampir merogol Afini.”

Jeff yang terkejut mendengar kenyataan daripada Yus pantas bangkit dan menarik bahu sahabatnya itu untuk mengadapnya. “Kau rogol dia?!”

“Belum… maksud aku hampir. Aku tak dapat nak kawal nafsu aku semalam,” keluh Yus penuh sesal.

“Afini macam mana?”

“Dia… dia cepat sahaja sedarkan aku. Maksud aku… dia tak rela bila aku nak menuntut ‘hak’ aku sebagai suami. Dia masih…”

“Masih apa?” soal Jeff laju.

“Dia masih anggap aku ni… gay!”

Pantas mata Yus dan Jeff bertembung.

“Aku dah buat apa yang kau suruh. Kau suruh aku ambil hati dia… aku buat. Kau suruh aku kawal marah aku setiap kali dia melawan, aku ikut. Kau suruh aku jangan tunjukkan panas baran aku, pun dah aku lakukan! Aku ingat dia sedar semua perubahan yang aku lakukan sejak kebelakangan ni. Semuanya aku lakukan sebab aku cintakan dia! Sebab aku nak beritahu dia yang aku akan sayangkan dia lebih daripada diri aku sendiri kerana aku adalah lelaki sejati!” Wajah Yus sudah memerah akibat emosinya yang kian tidak terkawal.

Jeff merasa simpati. Dia menggenggam erat bahu sahabatnya itu untuk memberi semangat. “Kenapa kau tak berterus-terang dengan Afini pasal duduk perkara sebenar?”

“Kau nak aku terangkan apa? Kau nak aku beritahu dekat dia yang aku ni bukan gay? Yang aku ni tipu dia dengan status gay tu supaya dia akan berkahwin dengan aku! Macam tu!” bentak Yus.

“Aku tahu… mula-mula mungkin dia akan rasa kecewa dan marah. Tapi… kau sendirikan tahu perangai Afini. Sedangkan arwah ayah dia, dia boleh maafkan inikan pula kau. Kesalahan yang kau lakukan tidak seteruk seperti apa yang telah dilakukan oleh arwah ayah dia tu.”

“Tak teruk kau kata? Aku rasalah kalau dari awal dia tahu yang aku ni lelaki sejati, mesti mati hidup balik pun dia takkan setuju untuk berkahwin dengan aku. Sekurang-kurangnya kalau aku ni gay, dia masih boleh menjaga kehormatan diri dia. Kau sendirikan tahu, mustahil seorang gay boleh ada rasa cinta terhadap seorang wanita.”

Masakan Jeff tidak tahu akan kebenaran kata-kata Yus itu. Kalau benar gay boleh mempunyai perasaan dan nafsu terhadap seseorang wanita mustahil jua perkahwinannya sebelum ini hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja. “Jadi apa kau nak buat sekarang?”

Yus merenung Jeff sekilas.

“I tak tahu yang you ada dekat sini,” kata Ed, sinis yang tiba-tiba sahaja menyampuk perbualan antara Jeff dan Yus.

Terkejut Yus, Jeff apatah lagi.

Ed merenung Yus dan mengalihkan pandangannya kepada Jeff. Dia merenung kekasih hatinya itu dengan tajam. Sudah acap kali dia melarang Jeff membenarkan mana-mana lelaki datang ke penthouse ini. Apatah lagi Yus. Lelaki yang pernah menimbulkan curiga dan rasa cemburunya. Walaupun dia tahu Yus sudah mendirikan rumah tangga, namun rasa cemburu itu tidak dapat dihakis.

“I tak tahu… yang you balik awal hari ni,” kata Jeff dengan gugup.

Yus tahu Ed cemburu keakrabannya dengan jeff. Disebabkan itulah dia jarang ke rumah Jeff.

Ed hanya diam. Dia berlalu meninggalkan kekasih hatinya itu bersama rasa cemburu.

Jeff berasa serba salah. Dia hanya memandang langkah Ed.

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.