Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 13

13

Air panas di dalam cawan dikacau laju agar serbuk kopi dan gula dapat dilarutkan. Sesekali lelaki itu mengerling ke arah temannya. Terlihat temannya itu bagaikan tidak sabar untuk menyampaikan sesuatu kepadanya. Lantas, langkah diayun sebelum punggung dilabuhkan di sebelah lelaki yang sudah terbuka bibirnya untuk melahirkan kata-kata.

“Kau tak rasa pelik ke?” laju Ainal bertanya saat Zakaria mengambil tempat di sebelahnya.

“Pelik apa pulak?” jawapan berupa soalan diberikan oleh Zakaria terhadap soalan yang diutarakan oleh Ainal.

“Yalah, baru beberapa hari lepas si Afini tu kena pecat. Tup… tup, hari ni dia masuk kerja balik. Kau tak pelik ke? Setahu aku, bos kita tu kalau dah pecat orang, jangan kata nak panggil masuk kerja balik! Nak dengar nama orang tu pun dia tak nak.”

“Mungkin syarikat betul-betul perlukan dia. Tu yang Encik Yus ambil dia bekerja semula. Lagipun aku tengok minah tu memang cekap buat kerjalah,” balas Zakaria, positif.

“Ya ke? Ke… dia ada hubungan sulit dengan bos kita?!”

“Hisy! Kau ni merepeklah! Bukan ke kau yang beria-ia beritahu aku yang bos kita tu gay. Takkanlah gay boleh ada hati dengan perempuan?”

“Memanglah bos kita tu gay. Tapi manalah tahu kot-kot bos kita tu jenisbisexual,” kata Ainal masih tidak berputus asa menarik perhatian Zakaria untuk turut serta menabur fitnah.

“Maksud kau… bos kita tu jenis yang tertarik pada perempuan dan lelaki dalam satu masa?” ragu-ragu Zakaria bertanya.

“Mungkin… manalah tahukan. Lagipun dia kan dah lama duduk dekat UK. Tak mustahil dia terpengaruh dengan gaya hidupbisexual ni. Tapi yang aku tak sangka perempuan tulah…” sengaja Ainal menggantungkan bicaranya seperti itu untuk menghadirkan tanda tanya di dalam diri Zakaria.

“Maksud kau Afini?” soal Zakaria mencari kepastian.

“Yalah! Bukan dia tak tahu jenis lelaki apa bos kita tu. Boleh pulak dia nak ada hubungan dengan mamat tu. Hai… muka aje baik tapi…”

Zakaria hanya terdiam.

Afini yang berdiri sebalik daun pintu berlalu ke biliknya semula. Dia telah mendengar semua perbualan Ainal dan Zakaria. Sakit hatinya.

Sebaik sahaja sampai di biliknya, dia terus menuju ke tempat May. “May… tolong serahkan fail ni pada Encik Zakaria. Tadi I pergi bilik dia tapi tak ada orang,” bohong Afini.

May pantas mengambil fail yang dihulurkan. Dia mengatur langkah ke bilik Zakaria.

Afini duduk di tempatnya. Dia rasa ingin menangis tatkala mindanya masih kuat mengingati kata-kata fitnah daripada Ainal dan Zakaria. Mengapa mudah sekali mereka menghukum sedangkan mereka tidak tahu perihal sebenarnya? Adakah ini dinamakan lumrah dunia, menjatuhkan hukum sebelum diri diadili?

‘Ya Allah... kau tabahkanlah hatiku dalam menghadapi ujian-MU ini.’ Doa Afini di dalam hati.

AFINI menyibukkan diri dengan kerja untuk melupakan apa yang diperkatakan Ainul dan Zakaria. Tanpa disedari, jam sudah melewati 9.00 malam. Dia mengemas barang-barangnya, mencapaihandbag sebelum melangkah keluar. Sesampainya di tempat letak kereta, dia pantas mendapatkan kereta buruknya dan cuba menghidupkan enjin. Beberapa kali dicuba, namun tetap juga gagal.

“Buat hal lagilah ni?” rungut Afini. “Apa aku nak buat ni?”

Ingin sahaja rasanya Afini menghubungi Siti. Tetapi tatkala matanya terpandangkan kereta Porsche 911 Carrera milik Yus masih berada di tempat letak kereta, dia lantas mematikan niatnya. Dia mengatur semula langkahnya ke bangunan dua tingkat di hadapannya itu. Dia yakin lelaki itu masih berada di pejabatnya.

“Encik Yus,” tegur Afini tatkala melihat lelaki itu sedang khusyuk memandang skrin komputer di hadapannya.

Yus tersentak mendengar teguran Afini. Dia mengurut dadanya kerana terlalu terkejut. “You nikan, nak bunuh I ke?! Kenapa tak ketuk pintu dulu!” marah Yus.

‘Aku dah ketuk, kau tu yang pekak!’ marah Afini di dalam hati.

“Hmm… maaf, kalau I mengganggu,” kata maaf tetap sahaja Afini ucapkan walaupun dirinya tidak bersalah. Biarlah hari ini dia merendahkan diri kerana sebentar lagi dia amat memerlukan pertolongan daripada lelaki di hadapannya itu.

“Nak apa?” soal Yus masih lagi tidak senang dengan kehadiran Afini.

“Hmm… Encik Yus… tahu tak nak betulkan kereta?”

Yus memandang tepat ke arah Afini. “You ingat I ni mekanik ke? Kenapa? Kereta rosak?”

Afini mengangguk.

“Habis macam mana nak balik?” Suara Yus tidak sekasar tadi.

“Tak tahu… Hmm… tak apalah, I minta Siti ambil,” jawab Afini lantas berpaling untuk mengatur langkah.

“Tak payah. You tunggu I sekejap. Nanti siap kerja ni, I hantar you balik,” kata Yus.

Terhenti langkah Afini mendengar suara lembut Yus. ‘Yus nak hantar aku balik! Biar betul!’ bisik hati Afini, tidak percaya.

“Tak apalah… susahkan Encik Yus aje nanti.”

“I kata I hantar you balik, I hantarlah!”

Terdengar ketegasan dalam bicara Yus kali ini. Afini hanya mampu mengucapkan kata terima kasih dan mengambil tempat di sebuah sofa empuk yang kedudukannya bertentangan dengan meja bosnya itu.

Hampir jam 10.30 malam, barulah Yus menyudahkan tugasannya. Dia pantas mengemas mejanya agar dapat segera menghantar Afini pulang. Namun, sewaktu matanya terpandangkan wajah Afini yang sedang lena akibat kepenatan menunggu dirinya, dia menghampiri gadis itu. Jarak wajahnya dengan Afini kini hanya sejengkal.

Diperhatikan wajah itu penuh teliti. Afini memiliki seraut wajah yang bersih. Tidak terlihat parut jerawat ataupun jeragat. Tona kulit yang putih sekata menambahkan kejelitaanya. Hanya bibirnya sahaja tercalit warna merah akibat sapuan gincu, itupun nipis sapuannya. Sedangkan matanya tidak bercelak dan pipinya juga tidak diwarnai dengan apa-apa warna. Biarpun tidak banyak solekan dikenakan, tetapi seraut wajah itu mampu menggetarkan hati milik Yus tika ini.

‘Semua perempuan sama macam perempuan jahanam tu! Jangan kau terpedaya Yus!’

Terdengar bisikan dari bahagian paling dalam di hati milik Yus! Dia pantas berpaling dari terus menghadap wajah mulus milik Afini yang masih tidak terganggu lenanya.

“Betul! Semua perempuan jahanam! Tak guna!” jerit Yus berserta tumbukan buku lima dihadiahkan ke atas mejanya.

Tersentak lena Afini saat terdengar dentuman yang kuat. Matanya ditenyeh-tenyeh untuk menghapuskan pandangan kaburnya. Kini jelas dipenglihatannya, Yus sedang memandang tajam ke arahnya. Bagaikan harimau yang ingin menerkam mangsa, lagaknya. Afini ketakutan. Terketar-ketar bibirnya…

"En. Yus… dah siap kerja… ke?" rasa takut masih menguasai diri Afini, apatah lagi Yus kian menghampiri dirinya dengan wajah yang kian membengis.

Berombak dada Afini saat dirian lelaki itu betul-betul di hadapannya saat ini. Tubuh yang kian membeku akibat rasa takut, pasti sahaja sudah memucatkan wajahnya.

"Kalau… En. Yus banyak kerja lagi, tak… apalah… saya boleh call Siti untuk ambil saya."

Afini memberanikan dirinya untuk bangkit. Namun baru langkah sulung hendak diatur, terasa tangannya disentap kuat.

"Ya ALLAH… bantulah aku. Bantulah aku Ya ALLAH…" Hati Afini memanjatkan doa saat otaknya sudah mula membayangkan pelbagai kemungkinan yang menakutkan. Apatah lagi hembusan nafas Yus yang kasar jelas di pendengarannya.

"En. Yus… maaf sebab saya menyusahkan En. Yus. Tapi… tolonglah jangan apa-apakan saya."

Afini sudah mengetepikan perasaan malu. Biarlah… biarlah air mata ketakutan itu mengalir asalkan maruahnya tidak 'dicemari' oleh lelaki gila di hadapannya ini.

Saat Yus terdengarkan esakan kecil daripada Afini, dirinya bagaikan tersedar.

"Astaghfirullahal azhim…" istighfar di hati segera bergema dan perlahan Yus melonggarkan genggaman tangannya sebelum melepaskan tangan Afini. Yus meraup wajahnya berkali-kali.

Afini pula masih ketakutan. Andai diikutkan hatinya saat ini, hendak sahaja dia berlari keluar. Tetapi tidakkah tindakan itu bakal menaikkan semula kemarahan Yus?

"Aku hantar kau balik." sedikit kasar Yus bersuara.

Afini masih mematungkan diri. Otaknya sedang berkira-kira akan keselamatannya di dalam kereta nanti. Yus yang dapat menelah pemikiran Afini segera bersuara.

"Aku bagi masa seminit. Kalau kau tak berginjak, jangan salahkan aku kalau sesuatu perkara buruk berlaku pada diri kau dalam bilik ni," ugut Yus.

Debaran di dada kian kencang menghentak ketakutan dan tanpa sempat Afini memutuskan akan tindakan yang hendak diambil, terasa tangannya disentap kuat sekali lagi.

"Tolong… tolong jangan apa-apakan saya En. Yus," rayuan Afini hanya dibalas dengan senyuman sinis daripada Yus yang kian mendekatkan jarak tubuhnya dengan Afini.

"Kalau tak nak aku apa-apakan kau. Jangan melawan. Aku kata, aku nak hantar kau balik. Jadi kau kena ikut. Faham!"

Afini menganggukkan kepalanya lemah sebelum kakinya melangkah meninggalkan bilik itu bersama Yus yang masih enggan melepaskan genggaman tangannya.

'Ya ALLAH… selamatkanlah hambaMU ini daripada kekejaman manusia di hadapanku ini. Selamatkanlah aku Ya ALLAH...' rintihnya doa Afini bersama rintikan air mata yang membasahi pipipnya.

HARI ini Afini terpaksa ke KWSP di Bukit Tinggi. Kebetulan Siti juga akan ke destinasi yang sama untuk bertemu dengan klien yang sepatutnya bertemu janji dengan Yus. Tetapi atas sebab tersendiri, Yus meminta Siti menggantikan tempatnya.

Setelah selesai urusan di KWSP, Afini mengikuti Siti untuk bertemu dengan kliennya. Restoran mewah menjadi tempat pertemuan mereka.

Afini yakin pasti klien itu mempunyai kedudukan. Andai tidak, masakan syarikat sanggup mengeluarkan budget yang agak tinggi untuk pertemuan seperti ini. Dia mengikuti langkah kaki Siti menghampiri sebuah meja yang kedudukannya agak terpencil.

“Hai, I Siti. Staf Encik Yus.” Siti menghulurkan salam, namun lambat disambut oleh wanita anggun serta begitu cantik walaupun usianya sudah meningkat.

Afini turut melakukan perkara sama seperti yang dilakukan oleh Siti. Mereka mengambil tempat berhadapan dengan wanita itu.

Di saat Afini bertentang kedudukan menghadap wanita itu, barulah dia menyedari yang raut wajahnya persis seseorang. Ligat mindanya memikirkan siapakah gerangan yang mempunyai seraut wajah persis wanita anggun ini? Yus! Ya, Yus! ‘Tapi apakah kaitan wanita ini dengan Yus? Siapa dia?’ soal hati Afini.

‘Adakah dia wanita yang pernah diceritakan oleh Siti? Wanita yang mencurangi Dato Haji Mohd. Haalim? Wanita yang meninggalkan Yus dan Dato kerana seorang lelaki yang lebih keududukannya berbanding Dato tika itu? Adakah dia wanita yang menjadi punca kebencian Yus terhadap kaum wanita sehingga menyebabkan Yus memilih gay sebagai cara hidupnya? Adakah benar wanita cantik di hadapanku ini mama Yus?!”

Tiada satu pun soalan yang diutarakan oleh hatinya, dapat diberikan jawapan. Selepas ini dia akan bertanya dengan Siti untuk mengetahui cerita sebenar.

“Kenapa Yus tak datang?” Terdengar nada kekecewaan dalam tuturan persoalan itu.

“Maaf, Datin Nur Kamiilah. Encik Yus ada perkara penting yang nak diuruskan. Jadi dia minta I gantikan tempat dia hari ni.” Begitu berhati-hati Siti menuturkan setiap patah perkataan.

“Habis, I ni tak penting?! You tolong beritahu Yus, I nak dia yang datang jumpa I, bukan orang suruhan dia! Faham!”

Andai tadi nada kekecewaan hadir di awal bicara wanita yang bergelar datin ini, kini nada bongkak dan angkuh pula mengambil tempat. Saling tidak tumpah seperti Yus! Wanita yang mengenakan blaus dan skirt labuh itu sudah pun mengatur langkah meninggalkan Afini dan Siti yang masih terkejut dengan tingkahnya.

“Anak dengan mak sama aje!” marah Siti setelah kelibat Datin Nur Kamiilah kian jauh menghilang.

“Anak? Maksud kau?” tanya Afini untuk kepastian.

“Kalau kau nak tahu, Yus tu dapat sikap bongkak dan kurang ajar tu bukannya daripada Dato. Tapi daripada Datin Nur Kamiilah tu!”

“Maksud kau… Itulah mama Yus?”

Siti mengangguk.

Afini terdiam. Patutlah Yus kacak. Mamanya sangat cantik.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.