Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 8

8

“Betul! Semalam aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Bos kita tu bercumbuan dengan Encik Jeff.” Berkobar-kobar Ainal, jurutera di syarikat ini menceritakan apa yang dilihatnya semalam.

“Kau biar betul? Entah-entah salah orang kot?” soal Zakaria pula.

“Kau ingat aku ni rabun malam ke sampai tak dapat nak cam bos kita tu. Dia orang siap cium-cium mulut lagi tau. Eeii… gelilah aku tengok. Nak termuntah. Kalau ya pun dah tak tahan sangat, janganlah tunjuk depan orang ramai. Dia ingat ini UK ke? Boleh buat sesuka hati. Kalau dekat UK dulu dia nak buat adegan-adegan asmara macam tu, lantak dialah.”

“Hai… tak sangka pulak aku yang dia tu betul-betul gay. Aku ingat gosip aje,” kata Zakaria.

“Gosip apanya. Dia tu memang gay! Memang nafsu dia tu untuk lelaki aje. Kalau betul dia bukan gay, kenapa sampai sekarang dia tak kahwin lagi? Padahal umur dah 30 lebih dah. Kenapa? Tapi bagi aku, baik dia tak payah kahwin. Bukan apa, kesian perempuan yang kahwin dengan dia tu nanti.” Setelah Ainal mengakhiri kata itu, dia meledakkan tawanya dan disambut oleh Zakaria.

Afini, Siti dan May yang sedang menikmatibreakfast di pantri hanya membisu melihat gelagat dua orang lelaki yang sedang menikmati kopi di hadapan mereka ini menambahkan gunungan dosa.

‘Hebat juga orang lelaki kalau mengumpat. Mengalahkan joyah tepi jalan,’ bisik hati Afini.

Sebaik sahaja Afini duduk di tempatnya, telefon di meja May berbunyi. May pantas mengangkatnya. Beberapa minit kemudiannn, dia meletakkan kembali gagang telefon.

“Cik Afini, Encik Yus nak jumpa sekarang.”

“Dia ada suruh bawak apa-apa dokumen tak?”

“Tak ada pulak.”

“Okey, terima kasih May,” kata Afini lantas bangkit dari kerusi dan mengatur langkah.

Sebaik sahaja Afini masuk ke dalam bilik Yus, lelaki itu terus memberinya sepucuk surat. Afini terpinga-terpinga sebentar.

“Surat peringatan. Sebagai orang yang lebih arif, pasti you tahukan kenapa you dapat surat tu?” kata Yus sebaik sahaja nampak dahi Afini berkerut melihat surat itu.

“I tahu,” kata Afini.

“Kalau sekali lagi you buat kesilapan, syarikat terpaksa memecat you!”

Berderau darah Afini. Apakah dia akan kehilangan pekerjaan di saat dia dan emaknya bergantung harap terhadap punca rezekinya ini? “Baiklah... kalau tak ada apa-apa lagi I minta diri dulu.”

Yus mengangguk.

Afini melihat jam di pergelangan tangannya. Waktu kian menghampiri 1.00 petang. Afini berlari menuruni anak tangga dan tanpa sedar dia terlanggar tubuh seseorang. Tatkala dia melihat insan di hadapannya, ternyata lelaki itu sedang merenung tajam ke arahnya.

“Maafkan I, Encik Yus. I tak sengaja,” kata Afini, lantas meninggalkan lelaki itu. Bukan niatnya untuk bersikap kurang ajar. Tetapi dia benar-benar memburu masa. Hari ini dia sudah nekad untuk bertemu semula dengan Encik Hashim bagi meminta bantuan supaya dapat memberikannya sedikit tempoh lagi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan tanah pusaka emaknya itu.

Afinitermenung di tempat duduknya sebaik sahaja pulang dari bank. Gugur air matanya tatkala bantuan yang diharapkan tidak kesampaian. Menurut Encik Hashim, dia tidak dapat membantu Afini. Tempoh pembayaran balik tinggal dua hari sahaja! Apakah akan ada keajaiban untuknya dalam tempoh sesingkat itu?

“Afini! Masuk ke bilik I sekarang jugak!” jerkah Yus di hadapan tiga orang kakitangan syarikat dan salah seorangnya ialah Siti.

Afini terkejut. Dia pantas mengelap air matanya dan bergegas ke bilik Yus.

Siti memandang Afini dengan raut wajah simpati.

Afini redha andai kali ini dia dimaki hamun sekali lagi kerana kelewatannya masuk ke pejabat. Dia terlewat sejam.

“Baru pagi tadi I bagi youwarning letter! Tak sampai sehari you dah buat perangai balik!” Yus terus menghamburkan kemarahannya sebaik sahaja Afini masuk ke dalam biliknya.

Afini masih membisu dan menundukkan wajahnya ke lantai.

“Apa masalah you? Kalau you rasa you dah tak ada hati untuk bekerja di sini, you boleh berambus sekarang! Berambus!”

Adakah kata ‘berambus’ yang dituturkan oleh Yus membawa makna yang Afini telah dipecat!

“Apa maksud Encik Yus?” kata Afini beserta linangan air mata yang sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi. Dia tidak sanggup untuk kehilangan pekerjaannya. Dia amat memerlukannya di saat ini.

“Cik Afini! Mulai saat ini, perkhidmatan you tidak lagi diperlukan. Jadi tolong ambil semua barang you dan keluar dari syarikat I hari ini juga!”

“Tolonglah Encik Yus. I betul-betul perlukan pekerjaan ni. Tolonglah...” rayu Afini dan tanpa sedar dia sudah memegang lengan milik lelaki yang masih menyinga wajahnya.

Yus menolak kuat tubuh Afini sehingga jatuh terjelepok ke lantai. “Keputusan I muktamad!”

Mendengar perkataan ‘muktamad’ itu, Afini sedar harapannya untuk melembutkan hati milik Yus tidak mungkin akan terjadi. Dia bangun dan mengatur langkah meninggalkan bilik yang lebih banyak meninggalkan kenangan pahit berbanding manis itu.

Siti segera mendapatkan Afini sebaik sahaja ternampak kelibat sahabatnya itu. “Kau okey tak?” soalnya seraya memegang lembut bahu Afini.

Afini hanya diam. Dia mengatur langkah menuju ke biliknya. Siti mengekori dari belakang.

Sebaik sahaja sampai di biliknya, Afini meminta May meninggalkan dia dengan Siti.

Sambil tangannya lemah mengemas barang yang ingin dibawa pulang, Afini menceritakan segala apa yang telah terjadi. Ke mana dia menghilang, kenapa dia lewat masuk ke pejabat, keputusan Yus memecatnya dan kekasaran lelaki baran itu menolak tubuhnya turut diceritakan kepada Siti.

Siti menangis semahunya dan hanya pelukan yang mampu memberikan sedikit kekuatan untuk Afini mengatur melangkah meninggalkan Yus dan dunianya!

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.