“Lah, kat sini rupanya anak bertuah mama.”
Fuh, Dayana merasa lega sebaik mendengar suara itu.
“Kawan baik Bad, dah sampai.”
“Mana dia, mama?”
“Tu, kat luar sana.”
Badrul mahu berlalu, masih sempat mengerling ke arah Dayana. Tanpa disangka-sangka, dia terlihat Dayana sedang menguntum senyuman manis kepada mama. Meresap satu perasaan, menyebabkan hatinya terus tertawan. Dia terpana.
“Bad... kenapa ni?”
“Tak ada apa-apa. Bad ke depan dulu.” Terus dia bergegas pergi.
“Bagusnya kalau mak cik ada anak dara macam Yana. Tak payah suruh itu ini. Cakap sekali, tahu apa nak dibuat.” Bahu Dayana ditepuk lembut. Nampaknya,dia tidak salah menilai. Di dalam hati, memuji Puan Zakiah kerana pandai mendidik anak.
Dayana tertunduk malu. Kekok, semakin kuat membayangi diri sepanjang waktu berada di sini. Kerenah dua beranak mampu menjadikan dia, malu melebihi tahap biasa. Aduhai.
“Air ni, nak bawa ke depan, kan mak cik? Yana bawa sekalilah.”
“Eh, tak payah. Berat tu. Kejap mak cik panggil Abang Bad kamu. ”
Dayana tidak sempat menegah, sekejap saja Mak Cik Maznah hilang. Mengisi masa lapang yang ada, dia membetulkan semua bekas minuman. Mengelap sisa lelehan di tepi bekas tersebut dengan tisu dibasahkan.
“Hai sayang...”
Dayana sudah berdiri umpama patung. Jantung, bagai berhenti mengepam darah ke seluruh tubuh. Seram sejuk terasa tubuh. Perlukah dia, pengsan betul-betul sekarang?
“Kenapa pucat, macam nampak hantu ni?” Tangan dilambai-lambai di depan muka Dayana.
“Memang hantu pun...” kata Dayana perlahan dan di dalam hati pula menyambung, ‘Hantu ulat bulu.’
“Makin comellah sayang abang ni.”
“Jangan over boleh tak?” Dayana pantas mengelak. Jika tidak, hidungnya akan menjadi mangsa cuitan tangan gatal itu.
“Macam mana boleh ada kat sini?” Riak muka tidak puas hati sedang ketara di muka Dayana.
“Kami ni, kawan baik. Satu U.”
Suara datang menyampuk membuatkan Dayana tersentak. Kawan baik? Suratan atau kebetulan apakah sedang berlaku?
“Macam dalam mimpi pula. Macam tak percaya boleh jumpa sayang abang kat sini.”
Dengan spontan Dayana menjulingkan mata ke atas. Mulut turut disengetkan.
“Kau tengok, Bad. Kalau aku panggil sayang, muka fesyen tulah dia selalu buat.” Shahiman ketawa dengan kuat.
“Ei, malas nak layan. Tepilah, orang nak keluar.” Lantas, satu jug air kopi panas telah dipegang Dayana. Elok sahaja mendekati ruang untuk keluar,
“Dah, ke tepi. Biar abang angkat. Benda berat macam ni, kerja orang lelaki.”
Dayana pantas meleraikan pegangan sebaik Shahiman memegang jug itu. Dia menjelirkan lidah. Beratlah sangat, sejug air saja pun. Tidak mahu lama-lama, dia melajukan langkah menuju ke luar.
Pertukaran karektor Dayana secara mendadak membuatkan hati Badrul terpaut. Hilang terus imej Liyana yang sebentar tadi sering terbayang-bayang di ruang matanya.
“Comelkan, sepupu aku tu.” Shahiman menyiku Badrul.
Tersentak Badrul. Lambat-lambat dia senyum.
“Hai Bad, kau ni macam...” Air muka Shahiman sedikit berubah. Takkanlah Badrul juga...
“Janganlah potong line beb. Aku dah lama mengurat dia tau. Sampai hari ni, tak dapat-dapat.”
Badrul terkekek-kekek ketawa. Lucu dengan kata-kata Shahiman dan dalam masa sama, lapang sedikit dada. Ada peluang ni.
“Kita tengok, siapa menang nanti?” Badrul senyum sinis. Bergegas dia keluar sambil memegang jug.
“Wei, janganlah.” Shahiman juga begitu lalu berjalan menyaingi Badrul.
Sebaik menapak keluar, Dayana terus menuju ke khemah ketiga, agak jauh kedudukan dari Liyana dan pintu masuk rumah tuan kenduri. Sebaik duduk, matanya merenung Liyana yang tidak berenggang dengan teman. Panas sedang membahang di hati perlu disejukkan dengan segera. Ikutkan hati, mahu sahaja pulang ke rumah. Mujurlah jauh. Jalan kaki pun dia sanggup jika jarak hanya sebatu dua tetapi jarak rumah besar ini dengan rumahnya.... boleh pengsan nanti. Lebih memeritkan lagi, dia akan bemalam di sini. Samalah juga dengan mamat ulat bulut itu.
“Macam manalah boleh jumpa kat sini. Menyemak betullah!” Dayana merengus.
Sementara itu, antara Liyana dan temannya,
“Lia, boleh tahan smart sepupu kau tu.”
“Mestilah. Padan tak dengan aku?”
“Padan sangat. Sama-sama cantik.” Syazwani memuji. Memang sangat padan.
“Lia, kau dah tengok Abang Bad?”
“Abang Bad?” Kening Liyana bertaut.
“Anak Mak Cik Maznah.”
“Baru aku ingat. Yang jemput kami tadi.” Liyana terkenangkan peristiwa semasa berada di dalam kereta. Bukan dia tidak perasan, bagaimana mata pemuda ituasyik merenung sepanjang perjalanan. Naik rimas dibuat.
“Sama kacak dengan abang sepupu kau tu.”
“Kacak macam mana pun, hati aku tetap pada Abang Iman.” Semakin lebar senyuman dileretkan. Berbunga-bunga hati Liyana sebaik ternampak Shahiman. Tidak sia-sia dia mengikut emak ke sini.
Tidak jauh dari Liyana dan Wani, dua pasang telinga sedang mendengar perbualan antara mereka. Secara kebetulan, Badrul dan Shahiman sedang berdiri agak hampir dengan tempat Liyana tanpa gadis itu sedar.
“Nampaknya, kau ada secret admire.” Badrul menyiku lembut rusuk kiri Shahiman.
Shahiman buat-buat tidak dengar. Dia berpaling, mahu mengatur langkah menuju ke arah Dayana tetapi Badrul menahan.
“Yang tu, biarlah aku ambil. Kalau jadi, berbiraslah kita.” Badrul menjongket kening sambil bibir mengukir senyum sinis.
“Jangan mengada-ngadalah, Bad!”
“Apa istimewanya dia tu, Iman?” Muncung Badrul menghala ke arah Dayana.
“Kau tak kenal dia betul-betul, Bad.”
“Iman, bertenanglah. Kenapa nak rebutkan budak sekolah? Kau ni, macam budak-budak.” Badrul gelak kecil. Hairan dia dengan tingkah Shahiman. Tidak pernah temannya berperangai begini. Di kampus, bukan tidak ada gadis cantik malahan ada yang seksi, mengurat Shahiman. Semua tidak dilayan. Rupa-rupanya, bersebab.
“Masa nilah kena rebut, takut nanti orang kebas.” Shahiman terus melaju ke arah Dayana.
Badrul menggeleng berkali-kali. Apa ada pada Dayana? Mula-mula mama, taksub sungguh dengan Dayana. Shahiman juga. Dia mengerling sekilas ke arah Liyana. Perbualan diantara Liyana dengan Syazwani tadi, menggoyah sedikit perasaannya. Pada pandangan pertama lagi, hatinya sudah tertawan pada Liyana tetapi apabila melihat Dayana lama-lama, perasaannya jadi lain. Ada sesuatu pada Dayana. Sesuatu yang istimewa.