Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 27

Tidak pernah terlintas di dalam fikiran, dia akan memegang gelaran baru dalam hidup. Gelaran terbaru disandang kini, memberi satu kekuatan untuk Lily Dayana meneruskan kehidupan. Penyebab kuat untuknya bertambah cekal. 

Syukurlah sepanjang mengandung, alahan tidaklah teruk. Perut semakin memboyot, diusap lembut. Mata dipejam. Jika wanita lain, pasti bahagia. Ditemani suami di sisi. Air mata memenuhi kolam mata mulai tumpah. Dia menyeka. Masih lagi bersisa. Lalu, dibiarkan mengalir. 

‘Ammar. Awak tahu tak akan jadi ayah? Tergamak awak tinggalkan saya macam ni.’ Payah benar bayangan Ammar Najjah mahu pergi daripada kotak ingatan. Selalu muncul membayanginya. Sejak beberapa bulan terdampar di sini, khabar berita dari keluarga di sana langsung tidak diketahui. Keluarga di sana, benar-benar telah membuangnya.

‘Mak, Yana rindukan mak. Kalau mak ada, mesti mak akan jaga Yana elok-elok, kan?' 

Sekarang dia mengerti, betapa sakitnya mengandung. Hikmahnya, kesakitan tertutup dengan satu perasaan halus menyelinap ke sanubari. Semakin menebal perasaan keibuan.

“Puan Lily Dayana. Bilik nombor satu!”

Laungan daripada jururawat menyentakan dia. Bingkas bangun, menapak ke bilik yang dikatakan. Lily Dayana memulas tombol pintu bilik, sebaik mengetuk.

“Mari puan. Baring kat atas katil tu. Saya nak periksa perut puan.”  

Dia menuruti. Perut membuncit sedikit terdedah. Doktor Haryani menjalankan tugas. Botol plastik berisi gel berwarna biru muda, dipicit ke perut. Sebuah peralatan seperti kamera beroda diletakkan di atas perut. Terasa dingin dan sedikit berlendir. Terpapar jelas imej di dalam perut pada skrin komputer di sebelah kiri. 

Setelah beberapa minit berlalu, jururawat menghulur beberapa helai tisu. Dengan pantas Lily Dayana menyambut lalu mengelap lendir-lendir di perut dan turun dari katil.

“Ada hal penting perlu saya maklumkan. Suami puan, ada sama?” 

“Suami saya, tak ada doktor.”

“Kerja?”

“Saya datang sendiri. Doktor boleh beritahu saya aje.” 

“Sebenarnya kandungan puan, ada masalah.” 

“Masalah!” Mata Lily Dayana spontan membesar. Berdebar-debar jantung. 

“Begini. Melalui ujian ultrasound dibuat tadi, saya dapati puan mengandungkan bayi kembar.” 

“Kembar?” Mulut Lily Dayana sudah suku melopong.

“Ya.”

Senyap.

“Masalahnya sekarang, kandungan puan tak normal. Kes macam puan, sangat jarang berlaku di negara kita. Nisbah bagi kelahiran seperti ini di dunia adalah sebanyak 1:35,000 bagi setiap kelahiran kembar.” 

“Apa sebenarnya masalah saya, doktor? Terus-terang aje.” Berkerut kening Lily Dayana. Puas dikerah otak, memahami setiap kata-kata Doktor Haryani. Dia bukan pelajar jurusan perubatan. Boleh memahami dengan senang.

“Macam ni. Kami istilahkan kandungan puan sebagai Acardiac Twin atau lebih dikenali sebagai kembar parasit.”

“Kembar parasit?”

“Ya. Di mana, salah seorang bayi puan tidak normal.” 

“Maksud doktor, anak saya satu lagi, cacat? Cacat macam mana doktor maksudkan?” 

Berderau darah Lily Dayana. Detak jantung serta-merta laju. Hampir-hampir menjerit. Iman di dada masih kuat. Tubuhnya sudah tersandar di kerusi.

“Sebenarnya anak puan seorang lagi, tak sempurna kejadian. Melalui ujian yang dijalankan tadi,  saya dapati, tak ada kepala dan jantung.”

Melopong lagi Lily Dayana.

“Sekarang, saya perlu pantau keadaan bayi yang normal. Saya harap, puan dapat datang ke hospital, setiap dua minggu. Saya akan memantau keadaan puan dari masa ke semasa untuk melihat perkembangan anak puan.”

Bagai mahu gugur jantung Lily Dayana. Tidak menyangka sama sekali akan menghadapi masalah seperti ini pula. Tanpa sokongan suami dan keluarga tercinta. Air mata, menitik sebaik menunduk. Kuatkah dirinya, menghadapi ujian ini?

“Sekiranya puan perlukan apa-apa pertolongan, hubungi saya.” 

Lily Dayana hanya mengangguk lemah. Tanpa menunggu lam, dia berlalu pergi dengan seribu persoalan. Lutut, terasa begitu lemah. Dia terduduk di kerusi. 

“Apa doktor cakap? Semua okey tak, Lily?” 

“Setakat ni, semua baik ibu.” 

“Baguslah macam tu.”

Seperti ada sepasang tangan sedang mencekik leher Lily Dayana. Terasa berdosa kerana berbohong. Tidak tergamak mahu menceritakan perihal sebenar. Perlukah menyusahkan hati ibu angkatnya? Dia perlu menangguhkan dahulu niat berterus-terang tentang keadaan kandungan. 

‘Ibu, maafkan Lily. Lily berdosa,’ rintihnya. 



***


Walau pada mulanya agak terganggu dengan keadaan kandungan, hidup perlu diteruskan. Tugas digalas sebagai kerani am di syarikat milik ayah angkat, diteruskan seperti biasa. Sudah hampir empat bulan berkhidmat di sini. Impian mahu melanjutkan pelajaran terpaksa dikuburkan sementara waktu. Keadaan, tidak mengizinkan.

“Lily, mailah ikut Kak Pah pi makan. Hang tak lapaq?”  

“Lapar juga.” 

“Dah tu, dok tunggu apa lagi. Jomlah.” 

Bingkas bangun selepas beg duit berada di tangan. Lily Dayana berjalan beriringan dengan wanita digelar Kak Pah. Salah seorang kakitangan di syarikat ayah mentuanya. Semua kakitangan di sini, baik-baik belaka. Walaupun cara percakapan mereka kadangkala kedengaran kasar, keramahan orang di sini memang tidak dapat dipertikaikan.

Dia sedang menunggu Kak Pah mengambil makanan. Meja kosong perlu dijaga. Kalau tidak, akan jadi milik orang. Beginilah panorama di kedai makan berdekatan tempat kerjanya  setiap kali tiba waktu makan tengah hari. Menjadi tumpuan orang, datang dari pelbagai tempat. 

“Lily nak minum apa?” 

“Barli suam.” Lily Dayana bangun, mengambil giliran ke tempat lauk-pauk pula. 

Rambang mata melihat lauk pauk terhidang. Sambal belacan dan ulam-ulaman begitu menarik minat.  Setelah selesai, dia berpusing. 

Buk!

Lily Dayana terkedu. Mujur baik segala kuah di dalam pinggan, tidak tumpah dan terkena orang yang dilanggarnya. 

“Maaf.” Lily Dayana menunduk sedikit.

“Tak apa.”

Lily Dayana berpaling dan mengatur langkah.

“Yana.”

Lily Dayana berhenti. Perlahan-lahan berpaling. Bulat matanya sebaik mengetahui siapakah gerangan yang menegur.

“Yana, awak mengandung?”

Lily Dayana  masih terpaku bercampur tergamam.

“Yana.” Dilambai tangan di depan muka Lily Dayana. 

“Awak buat apa kat sini?” Mata Lily Dayana memandang sekeliling.

“Saya dapat masuk USM.”

Lily Dayana diam lalu menunduk. Terbit rasa cemburu. Merasa begitu malu kerana peluang menyambung pelajaran terpaksa ditangguh. 

“Saya sama kampus dengan kawan baik kita, Yana.” 

Mendengar ayat kawan baik, Lily Dayana memanggung kepala. Debar di dada makin kuat. Adakah kawan yang dimaksudkan, Fahim? Dia menelan air liur. 

“Awak okey tak, Yana?” 

“Saya minta diri dulu, Irshad. Jumpa lagi.” Dia berpaling. Lagi cepat pergi, lagi tipislah peluang bertembung dengan rakan yang dimaksudkan oleh Irshad. 

“Nanti, Yana.”

Langkah diatur beberapa tapak, terhenti. Perlahan-lahan Lily Dayana berpusing.

“Maaf, Irshad. Kawan saya dah lama tunggu kat sana. Ada rezeki, kita jumpa lagi.” 

“Takkan tak nak jumpa kawan kita, Yana?”

“Lain kalilah.” Lily Dayana melangkah semula.

“Tapi Yana...”

“Kenapa lambat?”

Lily Dayana tergamam! Suara dari belakang, amat dikenali. Lambat-lambat dia berpusing.

 “Yana!” 

Empunya tubuh terus meluru ke arah Lily Dayana dan kini saling berdakapan.

“Perlahankanlah sikit suara kau tu.” Lily Dayana malu. Mana tidak, menjadi perhatian pula. Sudahlah kuat nada si penegur. 

Setelah memberitahu Kak Pah tentang kehadiran teman, dia duduk semeja bersama dua sahabatnya. Mengambil tempat agak tersorok. Mujurlah ada kosong.

“Dah berapa bulan, Yana? Besarnya perut kau.” Sara teruja. Perut sahabat, disentuh.

“Nak masuk enam bulan.”

“Kau makin berseri-seri. Kau buat apa kat sini, Yana? Mana suami kau?” 

“Cubalah tanya satu-satu, Sara. Kesian Yana. Pening nak jawab soalan awak tu,” sampuk Irshad. 

“Eleh, sibuklah awak ni.” Sara mencebik. 

“Mana laki kau, Yana?” 

Senyap.

“Aku tak tahu nak mula dari mana, Sara?”

“Ish, takkan panjang sangat cerita kau.” Berkerut kening Sara sebaik melihat sahabatnya melepaskan satu keluhan.

Pelupuk mata Lily Dayana terasa panas. Masih menimbang, mahu menangis atau tidak? Akhirnya, kelopak mata dikelipkan berkali-kali.

“Kenapa ni, Yana? Kau ada masalah?”

Lily Dayana memandang muka Sara. Kelu lidah, mahu membalas. 

“Ni, macam mana kau dengan Irshad boleh rapat? Sejak bila bercinta?” Bukanlah mahu mengubah topik perbualan. Entah bagaimana, terdetik rasa hairan di hati Lily Dayana. Selalunya, mereka berdua bagai kucing dengan anjing. 

Irshad meledakan tawa manakala Sara menyimpul senyum. 

Lily Dayana mahu gelak melihat ulah malu-malu Sara. Manalah pernah Sara membuat perangai begini sebelum ini. 

“Mula-mula, susah nak dekat dengan kawan baik awak ni, Yana. Bukan tak tahu, mulut laser dia tu. Pantang jumpa, asyik nak bertekak. Lama-lama, rasa seronok pula. Sehari tak bertekak dengan dia, tak senang duduk saya. Saya pun apa lagi, luahkanlah perasaan. Ingatkan, bertepuk sebelah tangan. Rupa-rupanyanya...” Irshad  menyambung ketawa. Lucu apabila teringatkan saat meluahkan isi hati kepada Sara.

Walaupun pernah menyimpan perasaan terhadap Lily Dayana, bukan padanannya. Terkejut Irhad apabila mengetahui tentang perkahwinan Lily Dayana. Sebaik menyampaikan berita tersebut ke pengetahuan Ahmad Fahim, sahabatnya membawa diri. Menerima tawaran belajar jauh dari bumi Malaysia. Membawa hati yang duka. 

“Amboi, seronok gelakan orang.” Sara mencebik lagi. Irshad, pantang jumpa peluang mesti mahu kenakannya. 

Sara memandang tepat ke muka Lily Dayana. Dari awal pertemuan, dia dapat menghidu sesuatu tidak kena dengan temannya.

“Apa kau cuba sembunyikan daripada aku, Yana? Apa sebenarnya terjadi?” 

Lily Dayana menghela nafas panjang. Berat benar mulut, mahu menceritakan perihal sebenar kepada Sara.

“Kenapa ni, Yana?” 

“Sebenarnya Sara, dia dah ceraikan aku.” 

“Apa!” 

Dengan serentak berkata. Sara dan Irshad, saling berpandangan. 

“Macam mana boleh jadi macam ni?” Lama Sara menatap muka sahabatnya. 

“Sebab salah faham,”

“Salah faham?”

“Ya. Sebab salah faham. Aku dihina, dikeji. Sikit pun tak nak tahu, tak nak siasat. Siapa yang salah? Kat mata dia, akulah perempuan keji.”

Senyap.

“Sabarlah, Yana. Kita hidup sebagai manusia, memang tak pernah lari daripada ujian.” Sara sedikit sebak.

“Sebab sabar aku masih bernyawa, Sara.”

“Jangan cakap macam ni, Yana. Tak baik. Kau, perempuan tabah. Cekal.”

“Tabah? Aku ni makin lemah, Sara. Tapi sebab ni, aku kena kuat.” Tangan Lily Dayana menunjuk ke arah perut.

“Yana, aku janji. Mulai hari ni, aku akan sentiasa kat sisi kau.” Sara menggenggam tangan sahabatnya.

“Terima kasih, Sara.” Lily Dayana menguntum senyum hambar. 

Irshad memandang sayu. Kasihan Lily Dayana. Jauh di sudut hati, geram dengan bekas suami sahabatnya. Betul-betul menolak tuah. Gadis baik pekerti seperti Lily Dayana, satu dalam seribu. 

“Aku tak boleh lama kat sini. Kita jumpa lagi, nanti.” 

“Jaga diri, Yana.” Sara mendakap erat tu


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.