Lily Dayana memejamkan mata. Air mata, mengalir lagi. Lemah dan tidak berdaya. Lampin putih, di bawa ke pipi. Begitu hiba, meratapi nasib diri. Bayinya, telah menghembuskan nafas terakhir setelah dua hari bertarung nyawa. Pergi meninggalkannya yang tidak berpeluang memeluk, membelai, memegang apatah lagi menyusukan.
“Paru-paru anak puan, dijangkiti kuman. Tambahan pula, ada sedikit pendarahan di kepala. Pihak kami dah buat apa yang terdaya. Bayi puan, kuat dan tabah. Puan, kena kuatkan semangat. Jangan berputus asa.”
‘Jangan putus asa.’ Kata-kata yang sering dilafazkan akhir-akhir ini. Sabar, tabah, redha, semakin sebati di telinganya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Beban derita semakin membukit. Kecekalan, semakin mengurang.
Luluh hati, ketika melihat tubuh kecil dibaluti kain berwarna putih. Walaupun luaran nampak tenang, hatinya tidak. Tidak mampu meluahkan. Hanya memendam jauh ke lubuk hati. Sekelip mata, kehilangan anak dan semangat diri. Untuk apa hidup di dunia ini lagi? Keseorangan, terkapai-kapai kelemasan walaupun di lautan tenang.
Bebanan rindu kian berat ditanggung. Semakin tertekan fikiran. Kian dihimpit dengan asakan sejarah silam yang penuh dengan kepahitan. Dia, dilanda kemurungan agak teruk. Menangisi nasib diri yang malang, dikenang tanpa henti. Meracau-racau, menjerit, menjauhkan diri daripada sesiapa semakin sebati dengannya.
Hajah Sabariah semakin buntu. Saban hari, hidupnya bertemankan air mata melihat perubahan mendadak anak kesayangan. Jika dibiarkan berlarutan, dia bimbang Lily Dayana tidak kenal diri sendiri nanti.
“Lily. Mari makan, sayang,” pujuk Hajah Sabariah. Pinggan nasi disua.
“Tak nak!”
“Makanlah. Sikit pun tak apa.” Memujuk lagi. Bertambah dekat pinggan kaca disua.
Lily Dayana menepis dengan kasar.
Prang!
Nasi, bertaburan di atas lantai. Lily Dayana ketawa, mengekek-ngekek.
Hajah Sabariah terkedu. Lily Dayana semakin kasar perlakuan. Semakin keras memberontak. Sejak dua minggu, hanya terperuk di dalam bilik ini. Sedih, melihat keadaan si manis, tidak terurus lagi. Dia rindukan Lily Dayana yang penuh dengan sifat lemah lembut dan sangat menghormatinya.
“Nasuha. Mari dekat ibu, sayang.” Di mata Lily Dayana, bayangan anak kecil sedang memandang, sangat jelas. Terhias senyuman manis di bibir si comel itu. Tanpa berlengah, dia bangun. Menerpa ke arah anak kecil.
“Nasuha.”
“Anak Lily dah tak ada.” Hajah Sabariah memeluk Lily Dayana.
“Ibu penipu!”
“Ibu tak tipu, sayang.”
“Tipu! Lily tak percaya.”
“Kenapa Lily jadi macam ni? Istighfar, sayang.” Hajah Sabariah memeluk lagi erat tubuh kurus.
“Lily nak anak Lily. Kat mana ibu sorokan dia?”
Lily Dayana meronta-ronta mahu melepaskan diri. Ditepis kasar tangan Hajah Sabariah. Kemudian, menghentak-hentak kaki. Lagak seperti anak kecil sedang merajuk kerana tidak mendapat sesuatu. Keliling bilik berjalan, mencari anaknya, Iman Nasuha.
“Lily, jangan macam ni.” Hajah Sabariah mengejar dan kembali mendakap Lily Dayana.
“Lepaskan, Lily! Iman Nasuha. Mari sini, sayang,” panggil Lily Dayana sebaik dapat meloloskan diri. Kewarasan akal semakin menipis. Dunia realiti dan fantasi seakan-akan sama pada pandangannya.
Hajah Sabariah menangis. Kasihan melihat keadaan Lily Dayana begini. Sedih melihat anak kesayangan kian hanyut dalam dunia ciptaan sendiri. Semakin buntu mahu membantu.
“Lily Dayana!”
Bergema pekikan Hajah Sabariah di segenap bilik.
Lily Dayana berhenti. Seperti terkena renjatan elektrik, bergetar seluruh tubuh.
“Lily Dayana!”
Pekikan kali ini, membuatkan Lily Dayana tercegat. Dia berpaling perlahan. Kening semakin bertaut. Lama dia memandang muka di depan. Kepalanya sakit. Semakin berdenyut-denyut. Pandangan, perlahan-lahan menjadi berbalam dan semakin kelam.
Lily Dayana membuka kelopak mata. Pandangan kabur semakin jelas. Dia mengalih ke kanan. Muka Hajah Sabariah dipandang. Bingung. Cuba memerah otak, mengingati apa berlaku? Jari semakin meruncing sudah melekap ke dahi. Memicit lembut di bahagian yang masih bersisa rasa pening.
“Lily.” Diusap lembut pipi mulus.
“Apa dah jadi, ibu?”
“Lily ada rasa sakit kat mana-mana?”
Lily Dayana menggeleng lemah.
Hajah Sabariah senyum lega.
Lily Dayana semakin kuat mengerut dahi. Hati rasa tidak sedap pula. Memang dia tidak ingat apa-apa. Semuanya kabur.
“Syukurlah, semua dah pulih.” Diraih Lily Dayana ke dalam dakapan. Terbang semua kerisauan Hajah Sabariah.
“Lily lapar.” Seolah-olah berhari-hari tidak makan kerana berkeroncong teruk perutnya.
Hajah Sabariah mengucap syukur. Merasa lega dengan perubahan positif Lily Dayana.
Lily Dayana kemudian bangun daripada pembaringan. Melangkah turun dari katil dan berjalan perlahan-lahan merapati cermin. Merasa seperti ada tidak kena dengan dirinya. Semacam dia rasakan.
“Kenapa jadi macam ni?” Terkejut Lily Dayana. Begitu tidak terurus. Rambut kusut masai. Serabai penampilannya. Bagai melihat insan lain di dalam cermin. Muka dibelek pula.
“Lily, jangan fikir banyak. Nanti ibu cerita, bila Lily dah sihat.”
“Ada sesiapa pernah nampak Lily macam ni, tak?”
Hajah Sabariah senyum. Menggeleng perlahan. Sedia maklum, Lily Dayana cukup menjaga aurat.
“Lily asyik berperuk dalam bilik ni. Tak pernah keluar.”
Lega Lily Dayana. Mengucap syukur di dalam hati.
“Lily nak pergi mandi dulu, ibu. Berlengas rasa badan ni.”
Lily Dayana duduk bersandar di dinding bilik air sambil memeluk lutut sebaik melangkah masuk. Cuba memerah otak kian tepu untuk mengingati perkara yang terjadi ke atas dirinya. Masih dalam kebingungan. Terasa kosong dalam kepala. Apa sebenarnya terjadi?