Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
21

Bagaikan roket meluncur ke angkasa masa berlalu. Hati, masih lagi keras. Masih tiada ruang untuk menerima Ammar Najjah. Seksa sebenarnya sejak berada di rumah ini. Boleh dikatakan seharian perlu memakai tudung sampaikan waktu tidur pun terbawa-bawa perangai itu. 

Kadang-kadang, dengan bertelekung keadaan tidurnya. Seksa, kan? Kedua mentua, sangat baik. Gersang kasih sayang ibu dah ayah, telah diisi. Jauh di sudut hati, Dayana sangat bersyukur. Tetapi, tidak mahu tamak. Bahagia ini, bukannya bersifat abadi. 

“Buat...”

“Oh, pak cik kau.” Dengan pantas Dayana menekup mulut.

Puan Munirah gelak kecil. 

“Tak sangka pula, menantu mak melatah.” Puan Munirah sambung gelak. 

Dayana sengih. Dah lama tidak melatah sebenarnya. 

“Yana, buat apa?” Mata, dihala ke besen, di depan Dayana. 

“Buat kuih karipap.”

“Wah, pandai menantu mak. Eloklah tu. Boleh mak belajar sama.”

Mata Dayana membulat. Pantas menoleh. Muka mak mentua, ditilik. 

“Tak payah tengok muka mak macam tu. Mak, tak pernah buat karipap pusing.” Puan Munirah gelak kecil.

Dayana senyum sejemput sebagai balasan. 

Setelah beberapa jam, siap. Sepanjang proses membuat kuih karipap, air mata cuba ditahan daripada gugur. Sebak. Banyak kenangan tercipta akibat kuih karipap. Dulu, Liyana sering membantu menggoreng. Kini... nafas panjang ditarik dan dihela. 

Kerana kuih karipap jugalah, statusnya telah bertukar. Tapi mengapa mahu menyalahkan kuih ini? Semakin menyedari, takdir telah ditetapkan untuknya. Sedikit demi sedikit sedang cuba menerima hakikat tetapi menerima kehadiran Ammar Najjah sepenuhnya, perit. 

“Wah, dari depan abang hidu bau sedap.” Terjengul mukanya di dapur. Laju kaki Encik Shukri melangkah, ditarik oleh bauan enak dari dapur.

“Ni, Yana buat kuih karipap pusing. Perut saya pun terasa lapar bang, masa goreng kuih ni tadi. Bertuah kita dapat menantu macam ni, bang.” 

Dayana menunduk. Malu. Dipuji begini. Rasa macam nak menghilangkan diri sahaja.

“Memang kita bertuah, Irah. Dah siap? Bolehlah kita minum petang sekali.”

“Dah. Kopi pun, Yana dah bancuh.”

“Wah, siap dengan  pakej kopi lagi. Terbaiklah menantu ayah.”

“Bang, saya kalau tak minum kopi Yana buat, tak lena tidur.”

Kedua suami isteri gelak bersama-sama. Air kopi bancuhan Dayana sudah menambat hati mereka berdua. Menantu kesayangan, memang pakar. 

Menunduk lagi Dayana. Kerap benar pujian akan didengar sepanjang berada di rumah ini. Segan, malu. Sering berjalan seriring hingga sudah sebati dengan menyorok perasaan itu jauh ke dalam. Dah kena puji, takkan nak dimarah orang yang memuji.

“Yana, pergi panggil Ammar. Kita makan sama-sama.”

“Baiklah, mak.” Dengan berat hati dan langkah, Dayana menuruti arahan mak mentua.

Masih berdiri kaku di depan pintu bilik. Dayana melekatkan telinga ke pintu yang sedikit renggang. Terdengar jelas perbualan Ammar Najjah dengan seseorang dari dalam. Dia memeluk tubuh pula. Pintu, masih menarik minat matanya. 

Suara Ammar Najjah, telah pun senyap. Teragak-agak. Mahu ketuk pintu atau terus masuk? Malas fikir panjang, terus memulas tombol dan melangkah masuk. Mata terbeliak luas. Ammar Najjah hanya bertuala dari aras pinggang ke lutut. Dengan pantas, dia berpaling. Muka diserbu haba panas. Mata dipejam rapat. Bibir bawah pula digigit kuat. Masalah betul.

Ammar Najjah senyum senget. Telatah Dayana, mencuit hati. Pertama kali sejak sebilik, isterinya melihat dia begini.

“Yana. Awak, dah boleh pusing.”

Dayana masih teragak-agak.

“Jangan risau, saya dah tutup aurat.”

Dayana menyengetkan mulut. Aurat konon. Mencebik pula.

“Yana...”

“Mak panggil. Ajak minum petang.” Dayana bercakap tanpa berpaling. Tanpa berlengah, langkah mula diatut.

“Nanti dulu, Yana.”

Dayana berhenti. Muka menghadap pintu bilik. 

“Ada perkara, saya nak cakap dengan awak, Yana.”

“Cakap ajelah.” 

“Boleh tak, awak duduk sekejap?”

Dayana masih membatukan diri. 

Ammar Najjah menggeleng perlahan. Masih keras hati Dayana. Pintu di depan, lebih menarik mata isteri. Pintu, lebih kacak daripada mukanya barangkali.

“Yana.”

Mengalah juga Dayana. Bukan nak buat apa pun? Sembang saja, kan? Dengan langkah longlai, dia duduk di kerusi. Manakala muka, masih enggan dikalih, memandang Ammar Najjah. Keras batang lehernya.

Ammar Najjah mengambil tempat di hujung birai katil. Sebaik duduk, kedua tangan menongkat dagu, melihat Dayana. Dia senyum senget. Tidak mengapalah. Asalkan si isteri ada di depan mata.

“Cakaplah, apa dia?” Dayana menyilang kedua tangan sementara tubuh disandar lembut ke sofa. Rimas.

“Awak, masih marahkan saya?” Ammar Najjah senyum senget lagi. Mana tidak, Dayana pada mula, memberi respon memandangnya. Sebaik sedar sedang diperhati, dengan laju isteri berpaling.

“Yana.”

“Awak nak apa, Ammar? Cakaplah cepat!” Oktaf suara masih cuba dikawal.

“Soalan saya tadi, awak tak jawab pun.”

Dayana merengus halus. Masalah betul. Dah tahu jawapan, mengapa perlu diulang tanya? Tidak bosankah Ammar Najjah? 

“Saya tahu, saya bersalah.”

“Jadi,” 

“Yana, walau apa pun saya cakap buat masa ni, awak takkan terima. Biarlah marah awak surut, kita akan bincang lain kali.”

Senyap.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu.” Dayana bingkas bangun. Melaju ke pintu dan terus keluar. Ingat perkara penting sangatlah nak dibincangkan. Buang masa saja.

Ammar Najjah hanya memandang. Berdoa, semoga Tuhan melembutkan hati Dayana supaya menerimanya. Sungguh pun Dayana dingin dengannya, pakaian, makan dan minum tetap disediakan. Sabar, sabar dan sabar. Perlu ditanamkan dalam diri. Tiada guna memaksa kerana lebih keras Dayana akan menolak.


Previous: 20.2
Next: 21.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.