Gila meroyan. Penyakit dihidapi oleh ibu yang baru melahirkan anak jika dibelenggu masalah hingga tertekan jiwa dan raga. Merasa sangat beruntung kerana dijaga dengan baik oleh keluarga angkat.
Jiwa tertekan, diubati dengan zikrullah. Lily Dayana tidak mahu berterusan melayani perasaan duka. Hidupnya kini penuh dengan ketenangan. Lebih banyak mendekatkan diri kepada Maha Esa. Terapi terbaik buat dirinya.
Dia keseorangan di rumah. Ibu angkatnya, tergesa-gesa keluar hingga tidak sempat bertanya apa-apa. Perut, terasa lapar pula. Langkah diatur ke dapur. Pintu peti sejuk dibuka. Sebungkus kuih karipap hasil air tangannya, disimpan secara sejuk beku dikeluarkan. Kuali berisi minyak hampir separuh, dipanaskan. Satu persatu kuih dimasukan ke dalam kuali setelah minyak panas.
Sambil menunggu kuih karipap masak, dia membancuh seteko air kopi. Kuih karipap telah siap digoreng, disusun di atas pinggan yang dilapik dengan tisu dapur. Sambil menghirup kopi yang telah suam, fikiran melayang-layang.
Dia masih ingat ketika usia mencecah 12 tahun, emak menyuruh belajar membuat kuih karipap ini. Jiwa kanak-kanak, hanya ingat bermain sahaja. Bermacam-macam alasan diberikan pada mulanya. Akur juga akhirnya dengan permintaan emak.
“Mak nak Yana belajar buat karipap pusing ni. Dahlah Lia tak minat. Esok-esok ni kalau mak mati, siapa nak teruskan? Tak rugi kalau kita belajar.”
Lily Dayana memejamkan mata. Pelupuk mata hampir menitiskan air hangat, dikelip berkali-kali. Nafas ditarik dan dihela perlahan. Kembali menghirup kopinya.
“Siapa awak?”
Lily Dayana pantas berpaling. Tersemburlah air kopi di dalam mulut ke arah penegur.
“Tolong! Ada pencuri.” Lily Dayana menjerit sekuat hati.
Langkah seribu dibuka. Kecut perutnya. Terus berlari ke ruang tamu. Tidak tentu arah jadinya. Sudahlah seorang diri. Apa tindakan wajar perlu diambil? Ilmu silat apa pun, dia tidak belajar. Bagaimana mahu mempertahankan diri?
“Tolong!” jeritnya lagi. Jantung berdegup laju.
“Kenapa ni, Lily?” Hajah Sabariah pantas menerpa masuk sebaik terdengar jeritan.
“Tu, kat dapur...”
“Ada apa kat dapur?” Terkedu Hajah Sabariah sebaik Lily Dayana meluru berserta muka pucat lesi.
“Lily. Kenapa ni?” Risau pula Hajah Sabariah. Bahu si gadis, digoyang lembut.
“Ibu. Kat dapur. Ada pencuri.”
“Pencuri?”
“Tak tahu macam mana dia boleh masuk? Cepatlah, ibu.” Terus menarik tangan ibu angkat, merapati ruang dapur.
Hajah Sabariah langsung mengurut dada sebaik sampai di dapur.
Lily Dayana gelabah. Kalau ibu angkatnya terkejut begini, dia lagilah.
“Yana nak telefon polis.” Dia mula menyusun langkah.
“Adli!”
Adli? Lily Dayana berhenti melangkah. Macam pernah dengar nama itu. Matanya lantas membesar.
“Adli. Okey tak ni?” Hajah Sabariah memandang Lily Dayana. Dia pasti kerja siapa. Moga bukan kopi panas disembur ke arah Adli Zafri.
Lily Dayana serba tidak kena. Habislah. Macam mana ni? Dia mendecit perlahan. Perlahan-lahan memusingkan tubuh.
“Maaf. Lily ingat, pencuri tadi? Lily, betul-betul tak sengaja.” Menelan air liur sebaik selesai menafsirkan maksud pandangan tajam lelaki di depan yang dipandang sipi-sipi.
“Adli, okey tak?” Hajah Sabariah merapati anak bujang. Mengambil tisu, lalu mengelap muka yang dirindui setelah sekian lama.
“Kenapa ibu tak cakap ada orang lain dalam rumah ni?” Sinis pandangan Adli Zafri dihala ke arah si gadis.
“Adli, tu Lily. Sajalah ibu tak beritahu awal-awal. Ingat nak buat kejutan. Tak sangka pula jadi macam ni.”
“Bibik baru?”
“Ish, Lily bukan bibiklah. Dia, anak angkat ibu.”
Membulat mata Adli Zafri. Anak angkat? Macam-macamlah ibu ni. Baru empat tahun dia di Sabah, sudah ada anak angkat. Lagi lama... cucu angkat pula nanti. Haish.
Lily Dayana mengigit lembut bibir. Ceh. Bibik?
“Lily, nilah Abang Adli kamu.”
Hajah Sabariah menenangkan suasana. Perasan riak kurang senang di muka anak bujangnya. Tidak patut juga menyalahkan Lily Dayana kerana sedia maklum dengan perangai terkejut gadis itu apabila ditegur secara tiba-tiba ketika sedang leka.
“Adli Zafri.” Dia menghulur tangan untuk bersalam.
“Maaf. Bukan muhrim. Haram.” Lily Dayana sengih.
“Tak tahu pula ada ustazah dalam rumah ni.” Adli Zafri cuba menutup malu. Boleh pula terlupa hukum.
“Adli naik dulu, ibu. Nak tukar baju yang bau minyak wangi kopi ni.” Adli Zafri mula membuka langkah. Tidak mahu menatap lebih lama muka yang membuat hatinya panas pada pertemuan pertama.
Sebaik melintas, Lily Dayana jelas melihat secara sekilas satu lagi jelingan yang lebih tajam dituju kepadanya. Dia menunduk. Hati, berdetak kurang enak. Dihambat jauh-jauh perasaan dan pemikiran kurang senang. Janganlah datang hinggap.
“Lily masak hari ni, ya.”
Tersentak. Lambat-lambat Lily Dayana mengangguk.
“Abang Adli kamu tu, suka lauk asam pedas. Boleh ya, sayang?”
“Kalau tak sedap, macam mana ibu?”
“Ada-ada ajelah Lily ni.” Hajah Sabariah menepuk lembut bahu itu. Bukan tidak pernah merasa masakan Lily Dayana. Tidak pernah mengecewakan.
Lily Dayana berperang dengan segala periuk belanga tanpa berlengah. Belum dicampur lagi, langkah silat dibuka untuk mengelak serangan minyak panas yang meletup-letup bagi menyiapkan semua hidangan.
Setelah selesai, mula menghidang semua lauk pauk di atas meja. Bau asam pedas ikan pari begitu menyengat hingga ke rongga hidung. Ditambah pula dengan sambal tempoyak bersama ulam-ulaman menambahkan lagi kecur air liurnya. Semua ini, lauk pauk kegemarannya. Perut, sudah berkeroncong.
“Lily. Pergi panggil Abang Adli. Ajak makan sekali.”
“Ya, ibu.” Lambat-lambat Lily Dayana bangun daripada kerusi.
“Mengada-ngada betullah. Nak kena berpanggil bagai. Tak boleh turun sendiri?” rungutnya sambil berjalan dengan berat hati, langkah dan segala-galanya.
‘Nak bagi salam atau nak ketuk dulu?’ Lily Dayana teragak-agak. Berdiri membelakangkan pintu.
Lily Dayana memeluk tubuh sedang jari telunjuk, diketuk-ketuk perlahan di dagu seperti orang sedang berfikir. Masih berteka-teki, nak ketuk atau tidak? Lantas berpaling sambil tangan digenggam, mengetuk pintu.
Kuk!
Senyap.
“Apa ni?” Tangannya menggosok laju kawasan yang telah diketuk.
Lily Dayana terkedu. Berdiri, bagai patung. Air liur, bertukar kesat. Ditelan walaupun perit melalui kerongkongnya.
“Sakit tau tak! Apa, kau ingat kepala aku ni pintu!”
Terpejam mata Lily Dayana apabila dijerkah oleh lembaga terjengul di pintu. Berundur beberapa langkah sebaik tersedar agak hampir dengan lembaga itu.
Adli Zafri menggosok dahi lagi. Boleh tahan kuat ketukan tadi. Mata mengecil sebaik memandang si musuh.
“Ma..maaf, Abang Adli. Saya tak sengaja.” Gagap Lily Dayana dibuat. Nak melatah, jadi terbantut. Dia menelan air liur lagi. Mengangkat muka, lekas-lekas menunduk. Pandangan lelaki di depan, menggerunkan.
Nasiblah ada perkataan Zafri di belakang nama. Kalaulah Safari, memang padan sangatlah sebab ada singa dalam Safari tu. Garang, mengalahkan singa. Mungkinkah, sudah telan seekor singa semasa belajar di Sabah? Belajar di Sabah atau di Afrika?
“Tersengih-sengih ni, apa hal? Mengata akulah tu.” Nada suara Adli Zafri spontan meninggi. Seperti terbiasa terpekik-pekik begini. Bukan perangainya, bercakap kasar. Entah mengapa, tidak boleh mengawal diri apabila berdepan dengan makhluk di depan.
‘Amboi ayat, ikut sedap mulut aje. Macam tahu-tahu, aku mengata dia. Nasib baiklah anak tuan rumah kalau tak, siaplah aku sembur balik. Ei, meluat dengan perangai berlagak dia ni.’ Tahap meyampah Lily Dayana memuncak.
“Kau nak apa!”
“Opocot singa!” Lily Dayana lantas menekup mulut. Masa inilah nak melatah. Haish.
Adli Zafri mahu gelak. Ditahan sebaik mungkin. Melatah rupanya.
“Kau nak apa?”
“Ibu suruh turun makan.” Sekali nafas Lily Dayana menutur kerana terkejut lagi.
“Tu aje?”
“Ya, Abang Adli.” Terus berpaling. Tersentak pula. Bibir digigit kuat. Rasa geram, dialirkan ke situ. Berani betul lelaki itu menyentuhnya. Lily Dayana berpusing.
“Apa abang, abang! Bila aku jadi abang kau?”
Muka penengking dipandang geram. Lily Dayana, merengus halus. Tangan direntap.
“Apa? Ingat aku takut dengan tenungan kau? Ingat. Aku ni, anak tuan rumah. Tak payah nak berabang dengan aku. Faham sendirilah nak panggil apa?” Adli Zafri menjeling.
‘Ada juga kena panggil hoi dengan aku nanti.” Lily Dayana mengetap gigi.
“Ingat apa aku cakap!” Amaran diberi lagi.
“Baik, tuan.” Menyampahnya Lily Dayana.
“Hah, pandai pun kau.” Adli Zafri senyum bangga. Siapa tidak kembang, dipanggil tuan. Lebih-lebih lagi, dipanggil oleh si musuh.
Lily Dayana menjulingkan mata ke atas. Alahai mamat kempunan gelaran tuan ni.
“Nak warning sekali pun, tak boleh cakap elok-elok? Kalau dah tak tahu hukum, belajar balik fardhu ain. Cari balik ciri-ciri muslim dalam diri tu.” Lily Dayana menjeling tajam. Terus memacu langkah.
“Kau... hish tak padan dengan kecil.” Adli Zafri mengetap gigi. Boleh tahan. Kecil-kecil cili api. Dia mencebik.
“Macamlah aku hadap sangat nak pegang dia. Pegang lengan baju aje pun. Tak apa. Ni, Adli. Kau tunggulah nanti!” Adli Zafri merengus. Perasan.
Lily Dayana memaniskan muka sebaik sampai di ruang makan. Padahal dalam hati, sedang kepanasan.
“Mana Abang Adli kamu, Lily?”
“Ada ni, ibu.”
Lily Dayana mahu membuka mulut tersentak. Lekas-lekas berpaling. Sebaik melihat susuk berdiri di sebelah, dia menjeling sambil menyengetkan mulut.
Dengan selamba Adli Zafri melabuhkan duduk di kerusi kosong sebelah Lily Dayana. Nampak jelas, riak kurang senang di muka musuh. Dia senyum sinis. Buat apa nak peduli? Ini rumahnya. Suka hatilah nak duduk di mana?
“Lily. Tolong cedokan lauk asam pedas dengan sayur kacang, untuk abang.” Manjanya suara Adli Zafri.
Lily Dayana menjulingkan mata ke atas. Loya pula tekak. Dengan hati tidak ikhlas, diturutkan. Ceduk lauk saja pun. Sampai bergenang kuah asam pedas, diceduk. Padan muka! Hiruplah puas-puas.
“Amboi, sampai jadi laut pinggan abang. Macam tak ikhlas aje anak ibu ni,” perli Adli Zafri.
Tersentak Lily Dayana. Siapa sebenarnya manusia di sebelah? Ada kuasa psikikah? Macam tahu-tahu pula, dia memang tidak ikhlas. Bahaya betul orang macam ni.
“Adli, sudah. Sebagai yang tua, kenalah beralah. Jaga-jaga. Oang tua-tua kata kalau selalu bergaduh, lama-lama jatuh cinta nanti.”
“Mitos aje semua tu, ibu.” Adli Zafri mengerling sekilas gadis di sebelah.
‘Jatuh cinta? Dengan dia ni? Macam ni punya calon bini, sampai tua aku sanggup membujang.’ Kecil, besar mata Adli Zafri memandang Lily Dayana.
“Dah orang tua-tua kata macam tu. Betullah agaknya,” sambung Hajah Sabariah lagi.
Duduk serba tidak kena. Malu. Mengapalah ibu mahu mengusik saat begini. Lily Dayana mengalihkan muka kononnya mahu mengerling orang sebelah. Boleh pula pandangan bersatu. Tidak lama mana pun kerana masing-masing saling menjeling.
“Sedap lauk ni. Dah lama Adli tak rasa air tangan ibu.” Walaupun merah menyala nasi di dalam pinggan dengan limpahan kuah asam pedas, dia hairan. Mengapa tidak rasa pedas? Laju dia menyuap suapan seterusnya.
“Bukan ibu yang masak?”
Kening kiri Adli Zafri sudah terangkat.
“Lily yang masak.”
Adli Zafri berhenti menyuap. Dia berpaling begitu juga si gadis.
Lily Dayana sedang tersenyum terus terkedu. Sekali lagi, saling bertentang mata. Gugup.
“Adli,” panggil Hajah Sabariah. Senyuman penuh makna dengan gigih disembunyikan. Faham benar dengan reaksi anak bujangnya itu.
Tersentak. Terus pandangan Adli Zafri dihala ke arah ibu. Senyuman Lily Dayana punyai aura. Dia, bagaikan dipukau dengan senyuman itu hingga terleka. Siapa sebenarnya anak angkat ibu?
Tidak dinafikan, masakan ini sedap. Oleh kerana ego tinggi bagai menara berkembar, sebolehnya menafikan. Apalah istimewa sangat? Bukankah semua perempuan sepatutnya boleh memasak? Boleh buat kerja rumah? Kan?
“Adli, nah. Rasa kuih karipap ni.” Hajah Sabariah meletakan sebiji kuih karipap setelah melihat pinggan anaknya kosong.
Diambil juga. Nampak menarik. Adli Zafri menyuap ke dalam mulut. Mengunyah perlahan-lahan. Mata membesar.
“Macam mana? Sedap tak?”
Adli Zafri mengangguk.
Diletak sebiji lagi kuih ke dalam pinggan anaknya. Hajah Sabariah senyum melihat anak bujang, menyua ke mulut.
“Ibu beli kat mana? Sedap. Secukup rasa.”
“Lily yang buat.”
Tanpa sempat mengunyah, laju Adli Zafri menelan karipap yang digigit hampir setengah. Tangan dengan pantas mencapai gelas, diteguk agak rakus. Mujurlah tidak tercekik.
“Macam mana? Lily pandai masak, kan? Orangnya pun, baik. Cantik, manis. Pandai dalam serba-serbi. Rugi kalau terlepas.”
Terkebil-kebil dia. Pedih di tekak, cuba dilegakan dengan deheman berkali-kali. Adli Zafri memandang tepat ke muka ibu.
“Apa sebenarnya ibu nak cakap kat Adli?”
“Adli, fahamkan sendirilah. Dah habis fikir, bagi jawapan.” Hajah Sabariah berlalu ke dapur dengan senyuman.
Adli Zafri menyandar tubuh ke kerusi. Menghela nafas perlahan. Sudah pupuskah perempuan dalam dunia ini? Mengapa perlu dia dipadankan dengan minah kalut? Minah kalut? Gelaran yang sesuai buat masa ini. Ibu, tidak mengertikah? Dia masih muda. Belum puas menikmati hidup.
Tidak tahu mengapa? Bersemuka dengan minah kalut, darahnya akan naik. Jangankan muka, bayang pun boleh buat dia panas hati. Tidak sangka, ibu menyimpan hasrat menjodohkannya. Manalah layak! Dia merengus.