Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 4

Dayana menatang dulang dengan penuh hati-hati. Di atas dulang, terdapat dua cawan kopi panas, mahu dihidangkan kepada pelanggan emak yang kini telah menjadi sahabat karib. Dengan penuh tertib, dia menghidangkan minuman tersebut.

“Jemput minum, mak cik.” Dengan lemah-lembut nada suara ditutur, menjemput tetamu minum.

“Sihat sayang?” Lembut tangannya mengusap bahu si gadis.

“Alhamdulillah. Sihat mak cik.” Dayana sedikit malu. Kena puji depan-depan, alahai. Lemah kakinya.

“Anak kau yang ni, jahit tulang belut baju akak, kan Yah?” Matanya menjelajah ke seluruh muka hitam manis di depan.

“Ya. Yang ni, Kak Maz.”

“Manis orangnya.” Mata Puan Maznah masih tidak lepas, menatap muka Dayana. Sekali-sekala bertandang, kini telah pun menjadi dara sunti.

Puan Zakiah sekadar menyimpul senyum.

Sebaik terpandang muka tetamu emak, Dayana senyum. Ikutkan hati, mahu saja dia angkat kaki. Kekok benar dia rasa.

“Tingkatan berapa sekarang?”

“Tiga.” Dayana melabuhkan duduk setelah tangan ditarik lembut oleh tetamu emak.  Aduhai. Malunya.

“Macam mana sekolah? Okey?” Puan Maznah sengaja memanjangkan soalan. Selalunya, payah benar dia mahu merisik si gadis di sebelah. Peluang keemasan ini, takkan dilepaskan.

Dayana mengangguk perlahan. Mengapalah hari ini, tetamu emak terlebih ramah dengannya? Mata melirik ke arah emak. Emak jelas mengisyaratkan dia supaya melayan tetamu itu. Dayana senyum kelat.

“Dengarnya, Yana pandai serba-serbi. Rajin tolong mak?”

“Lia pun rajin juga, mak cik. Bukan Yana sorang aje.”

“Yana dah ada buah hati?”

Mata Dayana membulat. Sekilas, emak dipandang. Muka emak, lain macam riak dilihatnya.

“Tak ada mak cik. Belum masanya lagi, Yana terlibat dalam hal cinta. Yana nak balas jasa mak dulu.” Duduknya serba tidak kena. Minat seseorang dalam diam adalah tapi nak bercinta, adakah orang sudi? Masalah ni. Lagi lama duduk di sini, lagi macam-macam soalan panas akan keluar nanti. Macam mana ni? Dayana kepanasan.  

“Mak cik. Yana minta diri ke dapur dulu. Nak siapkan makan tengahari. Mak cik, sambung sembang dengan mak, ya.”

Isyarat diberi. Bingkas dia bangun. Sebenarnya, dia telah diasuh untuk tidak duduk bersama-sama ketika orang dewasa sedang bersembang. Sebaik sampai di dapur, lantas kerusi ditarik. Dia duduk. Nafas ditarik dalam kemudian dihela beberapa kali. Kini, tangannya ligat memotong bawang dan sayur-sayuran lain. Makan tengahari perlu disediakan pada waktunya. Dia dan Liyana telah dilatih sejak kecil menikmati hidangan tengahari sekitar jam satu.

“Berkenan betul akak dengan anak kau tu, Yah. Dengarnya, pandai serba-serbi. Pandai kau jaga anak.” Cawan berisi kopi, diletak dengan cermat di atas piring. Sedap rasa air kopi itu.

“Bila ada anak perempuan, kenalah ajar buat kerja rumah. Lagipun, Yana memang rajin. Samalah dengan sorang lagi tu.” Puan Zakiah bukanlah mahu berbangga hingga mendabik dada. Mempunyai anak seperti Dayana, sejuk perutnya mengandung. Begitu juga Liyana, walaupun tidak secekap Dayana tetapi tetap berbudi bahasa orangnya. Dia tidak penah membeza-bezakan kasih antara mereka walaupun mereka berbeza daripada segi rupa paras.

“Kalau macam tu, bolehlah akak masuk meminang?”

Hampir tersembur air kopi sedang dihirup Puan Zakiah. Dengan laju menelan walaupun cecair panas sedang menuruni tekak.

“Kak Maz ni, anak dara Yah tu, sekolah lagi.” Dia batuk kecil.

“Kau simpanlah anak kau tu, untuk anak akak.”

“Akak ni, ingat anak Yah tu barang? Boleh disimpan?”

Puan Zakiah dan tetamu tergelak kecil.

“Takkan Yah tak sudi berbesan dengan akak?”

Puan Zakiah menikam pandangan ke muka Puan Maznah. Mencari-cari sesuatu di muka bersih itu. Apa dia lihat, muka yang penuh dengan pengharapan. Kelu lidah mahu menjawab. Rasa serba salah menebal di dinding hati.

“Akak nak jodohkan anak kau tu, dengan anak bongsu akak. Anak akak pun baik, pandai orangya. Sekarang tengah belajar lagi. Jadi, sempatlah tunggu anak kau tu habiskan sekolah. Nanti, akak suruh dia ke mari, kenal-kenal dengan anak kau tu.” Teruja benar mahu bermenantukan Dayana.

“Kak Maz, menakutkan Yahlah”

“Nak takut apa? Ni, bukan kisah seramlah, Yah.”

“Kak, zaman sekarang, mana ada anak-anak muda kahwin atur macam ni? Yah tak nak janji apa-apa sebab ke depan ni, kita tak tahu apa akan jadi? Manalah tahu, anak akak tu, dah ada pilihan sendiri?” Dengan penuh berhemah dia cuba menolak. Walaupun perasaan terkejut masih bersisa dengan permintaan tidak disangka-sangka, cuba dikawal. Detak jantung yang laju sebentar tadi semakin beransur normal, perlahan-lahan.

“Alah, pasal anak akak tu, tak payah kau risau. Dia okey aje kalau dah akak berkenan.”

Senyap.

“Macam mana, Yah? Setuju tak?”

“Buat masa ni, kita biarkan dululah. Masa panjang lagi.” Tiada alasan lain yang boleh diberikan.

Yelah. Tapi jangan pula kau buat-buat lupa. Permintaan akak ni, bukan main-main tau.”

Puan Zakiah buntu hingga terdiam. Hanya senyuman hambar diberikan sebagai balasan.

Eh, akak balik dulu. Nanti akak datang lagi, hantar baju lain pula.”

Puan Zakiah kembali ke tempat menjahit setelah menghantar tetamumya ke muka pintu. Setelah duduk di kerusi plastik berwarna hitam, termenung jauh pula dia. Gerun dengan permintaan Puan Maznah. Nampak sangat bersungguh-sungguh. Puan Maznah, orang senang. Anak-anak semua lelaki, sudah besar dan punyai perkerjaan hebat-hebat belaka. Dia, bukanlah mahu menolak tuah. Jika Dayana berada di dalam kelompok keluarga itu pasti akan terjamin masa depan tetapi dia bukanlah seorang emak yang tamak dan kejam. Dia tahu, Dayana punyai cita-cita untuk dikejar.

Ah, biarkan ajelah. Malas nak fikir. Minta-mintalah Kak Maznah tak ungkit lagi pasal ni. Kesian Yana.” Dia menghela nafas panjang.

 

           

 

Previous: Bab 3.2
Next: Bab 5.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.