Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
22.1

Sedikit terasa hati sebenarnya dengan sambutan hambar diterima. Salahkah keputusan, mengikut kehendak Ammar Najjah pulang ke kampung halaman sendiri? Jelingan tajam mak su, sangat sukar dilupakan. Apa tidak kena sebenarnya? Liyana? Mengapa dingin dengannya? Sebaik memejamkan mata, manik-manik jernih jatuh.

“Yana, bahagia tak?” 

Tersentak. Spontan muka dikalih. Dikelip mata berkali-kali. Dengan pantas, Dayana berpaling semula. 

“Yana bahagia?”

“Apa abang dapat tafsirkan?” 

Shahiman duduk di depan kesayangan. 

“Entahlah? Tuan badan lagi tahu.” Shahiman menatap muka Dayana. Tidak lama, pantas berpaling ke arah lain. Kacau jiwa, menatap muka pujaan lama-lama.

“Orang, okey aje.” Senyuman manis, gigih dileretkan oleh Dayana.

Shahiman menoleh. Hatinya, sakit dengan jawapan Dayana. Bukanlah jawapan mahu didengari. Sambil memejam mata, nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus. 

“Yana. Pernah tak, fikirkan perasaan abang?”

Senyap.

“Yana tahu tak, betapa terseksanya abang?”

Senyap.

“Abang, kita tetap ada pertalian saudara. Abang Iman, tetap sepupu orang.” 

Tidak tahu mengapa, sayu hati Dayana. Sekilas, dipandang wajah di depan. Wajah tampan tidak seceria dulu. Nampak sugul. Jujur, dia tiada masa memikirkan tentang sepupunya sebulan dua ini. 

“Kenapa setuju, kahwin dengan dia? Abangkan ada. Sedia jadi pengganti.” 

Dayana menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembus.

“Abang Iman.” Mata Dayana meluas. Dengan pantas menarik tangan, disambar secara tiba-tiba oleh Shahiman. Sepupu, dipandang dengan sedikit geram. 

“Abang, minta maaf.” Kerana semua perasaan menjeruk dalam hati, Shahiman terlupa batasan.

“Orang, dah tahu nak cakap apa? Orang harap sangat, abang faham situasi orang. Siapa orang, sekarang?” 

Senyap.

“Yana ikhlas, terima dia? Sayangkan dia? Cintakan dia?”

Soalan bertubi-tubi Shahiman... Dayana menghela nafas panjang lagi. Sekali lagi, terkedu. Tangan Shahiman dekat dengan bahunya. 

‘Kacau ni. Dia dah mula buat perangai,’ Dengan pantas Dayana, menepis.

“Jangan risau. Abang bukan nak buat tak senonoh kat bini orang.” Shahiman perasan perubahan muka Dayana. Lalu ditunjuk seekor kerengga.

“Cakap ajelah ada kerengga. Orang boleh jentik sendiri.”  

Senyap.

Dayana memberanikan diri, memandang Shahiman. Terasa hatikah? Pandangan bersatu. Dia menelan air liur. Tidak pernah lagi melihat Shahiman seserius ini. Selalunya, penuh dengan bahan jenaka. Selalu, dia dibahankan. Kalau dahulu, memang menyampah. Kini, betapa dia rindukan gelak tawa sepupu.

“Yana, dah banyak berubah.” Shahiman menunduk. Hilang sudah peluang, bergurau senda dengan pujaan hati. Semua gara-gara, Ammar Najjah. Sejak sampai, asyik menempek bersama Dayana. Dia mengepal tangan.

“Yang berubah hanya status, orang.” Walaupun perit pada mulanya, Dayana cuba menerima hakikat. Dirinya, telah dimiliki.

“Abang takkan lupakan, Yana. Sayang abang pada Yana, tak pernah padam.”

Dayana terdiam. Tidak boleh memaksa Shahiman membuang perasaan terhadapnya dengan mudah. Biarlah, waktu menentukan. Berharap, moga sepupunya akan bosan menanti. Lama-lama nanti, akan mengalah juga.  

“Sayang?” Tangan kanan Ammar Najjah sudah di bahu isteri.

Dayana tersentak. 

Ammar Najjah terus duduk di sebelah Dayana. Dari tadi, memerhati gelagat dua bersaudara yang kurang menyenangkan hati. Marah, cemburu, hampir meluap. Jika diturutkan hati, ada yang kena tumbuk di muka. Berani betul menyentuh Dayana! 

“Yana, ingat apa abang cakap.” Berbulu mata apabila melihat adegan manja. Seperti sengaja dicipta untuk menerbitkan rasa cemburunya. Merah telinga, mendengar perkataan sayang. Dia yang patut mengatakannya. Dasar perampas!

Dayana memandang muka Ammar Najjah sebaik sepupunya semakin jauh. 

“Apa sepupu awak, buat tadi?”

“Buat apa?” Kening Dayana bercantum.

“Saya tak suka, dia sentuh awak!”

“Sentuh?”

“Ingat. Saya tak suka. Jangan buat lagi!” 

Dayana tersentak. Bekerut muka menahan sakit di lengan akibat cengkaman kuat Ammar Najjah. Dicuba meleraikan, semakin kuat pula tangannya dicengkam. 

“Apa ni, Ammar? Sakitlah!”

“Sakit? Habis, hati aku tak sakit tengok kau mesra dengan dia?”

“Awak ingat, saya apa? Saya tak buat apa-apa pun.”

“Habis, tadi dia pegang tangan dengan bahu kau tu, apa?”

Mata Dayana terbeliak.

“Jangan salah faham, Ammar. Tak ada apa-apa.”

“Aku tetap tak suka!”

“Ei, lepas. Sakitlah!” 

Ammar Najjah tersentak.

Dayana pantas merentap tangan. Bingkas bangun. Enggan menangis di sini. Kenapa sesuka hati Ammar Najjah memperlakukannya? Kali kedua dia mengalami peristiwa begini. Apa tidak kena dengan Dia melangkah masuk ke dapur. Air mata, mula bergenang.

“Yana, mari sayang.” 

Lekas-lekas menyeka air mata. Dia mendapatkan emak mentua. Duduk di sebelah seperti yang diarahkan. Ikutkan hati, mahu sahaja terus ke bilik. Demi menghormati mentua, dibantutkan niatnya. Pergelangan tangan terasa sengal, digosok perlahan.

“Kenapa tangan tu? Merah mak tengok?” 

“Kena gigit kerengga tadi. Tu yang merah.”

“Kerengga?”

“Mak, Yana masuk bilik dulu. Nak sapu minyak sikit. Bengkak pula nanti kalau dibiar lama-lama.” Rasa bersalah sebenarnya kerana berbohong. Tidak tahu apa perlu dikatakan? Lagi lama, takut banyak soalan akan ditanya.

“Pergilah, sapu minyak.” 

Sebenarnya, Puan Munirah nampak kejadian tadi. Ammar, Ammar.  Sedia maklum dengan sikap mengawal apa-apa yang sudah menjadi milik anaknya. Tidak menyangka, perangai Ammar Najjah turut ditempias kepada menantunya. Kasihan Dayana. 


Previous: 22
Next: 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.