Hari
pertama masuk semula ke pejabat setelah hampir setahun lebih berkurung dalam
rumah. Hari ini dia datang dengan keretanya sendiri, siap memandu kereta untuk
datang ke pejabat. Pagi tadi, enche suaminya belum pun terjaga dari tidurnya.
Hari ini Ilham dan Datuk Razali akan ke Johor kerana ada mesyuarat penting
bersama pelanggan di sana.
Semua
orang memandangnya, ada yang menyambutnya dengan senyuman manis, ada yang tidak
sangka, dia boleh cepat sembuh seperti hari ini. Cadang Khalida, petang nanti
dia akan balik ke kampung setelah menyelesaikan serba sedikit kerja-kerja di
ofis. Sebab itu dia masuk awal ke
pejabat hari ini.
Sejak dari
tadi sepupu Ilham, iaitu Azzian asyik benar melihat tindak tanduk Khalida.
Syarikat ini kepunyaan keluarga Ku Ibrahim, jadi yang bekerja di sini adalah
adik beradik dan saudara mara keluarga Ku Ibrahim. Anak-anak Ku Ibrahim seramai
4 orang, lelaki hanya seorang saja, iaitu Datuk Razali. Ini adalah perniagaan keluarga.
Semput
Khalida dibuatnya apabila melihat akaun syarikat yang tidak seimbang, seolah
berlaku penyelewengan saja. Wang untuk kegunaan keluarga dan peribadi banyak
yang dikeluarkan dari akaun syarikat.
“Ezah!”
jerit Khalida memanggil pegawai akaun. Dia hanya pereka dalaman tetapi hari ini
tergerak hati mahu melihat akaun syarikat.
“Resit
banyak yang tak ada, tapi duit keluar berpuluh ribu. Siapa punya kerja nie?”
soal Khalida.
“Puan Nora
dan Puan Zaitun, dia orang selalu guna duit syarikat, puan!” jawab Ezah.
“Datuk dan
Encik Ilham tak marah ke?”
“Encik
ilham sejak puan sakit, jarang masuk ofis sebab jaga puan di rumah. Datuk pula
buat tak peduli saja!” jelas Ezah. Khalida mengeluh perlahan.
Banyak
yang tak kena dalam syarikat ini.
Dia perlu
membuat penelitian kerana ini adalah amanah dari Ku Ibrahim. Tiba-tiba pintu
biliknya di ketuk orang. Belum jawab apa-apa, Tila, sepupu Ilham telah masuk ke
dalam biliknya. Tila yang tidak pernah bercakap atau pun mahu berkawan
dengannya, tiba-tiba masuk ke dalam bilik.
“Kau
jangan seronok sangat Lida, Ilham tu bukan cinta kan kau pun, tetapi dia buat
semua ini kerana harta saja, kerana saham syarikat ini,” kata Tila sambil
berdiri. Rasanya itu aku dah tahu sejak aku mula berkahwin dengan Ilham. Tak
lah terkejut sangat.
“Itu
antara aku dengan Ilham, jadi tak usah lah kau serabut dengan hal kami,” balas
Khalida. Dia nie tak suka aku masuk ke
pejabat lah kan, sebab aku ada nampak nama dia guna duit syarikat sebanyak 50
ribu tadi.
“Kau tu
mainan Ilham saja. Kau ingat Ilham nak dekat kau, cinta kan kau. Kau hanya
bermimpi di siang hari saja!” sambung Tila sebelum melangkah keluar. Itu saja?
Aku tak kisah pun, mungkin kau sakit hati dekat aku dan mahu tengok rumah
tangga aku dengan Ilham tergoyah. Dengki kat aku kut.
Keluar
makan tengah hari dengan Ezah sekejap saja, selepas itu dia kembali menumpukan
perhatiannya kepada hal-hal pejabat.
Baru selesai solat zohor di surau apabila Encik Rosdi, peguam syarikat
datang untuk berjumpa dengannya.
“Sebenarnya
saya tak boleh nak beritahu hal ini kepada Puan Khalida, tetapi saya rasa puan
patut tahu apa yang berlaku,” kata Encik Rosdi sambil mengeluarkan sampul surat
berwarna koko lalu diberikan kepada Khalida.
“Apa ni?”
“Buka lah
dan baca, saya rasa puan tentu terkejut nanti,” suruh Encik Rosdi. Khalida terus
membukanya. Surat perjanjian dan macam-macam lagi. Khalida membeleknya satu
persatu.
“Saya
patut ada anak dengan Ilham dalam tempoh lima tahun, kalau tak ada anak, saham
syarikat sebanyak 35 peratus akan jatuh ke tangan Puan Nora dan Puan Zaitun,
begitu?” soal Khalida. Isu ini lah yang Ilham beria sangat.
“Ini
amanat Ku Ibrahim untuk Ilham. Saham syarikat akan jatuh ke tangan Ilham sebaik
saja, Puan mengandung dan lahirkan anak Ilham, kalau tidak saham itu akan
menjadi kepunyaan orang lain. Puan, ini dah masuk tahun keempat perkahwinan
puan dengan Encik Ilham,”jelas Encik Rosdi. Khalida mengelengkan kepalanya. Apa
atuk buat ni?
“Ada juga
wasiat sewel macam ini? Atas dasar apa sebenarnya perjanjian ini, Encik Rosdi?”
“Kalau
Ilham tak cinta kan puan pun, dia akan buat jugak semua ini, demi untuk
mendapatkan saham syarikat ini puan!” sambung Encik Rosdi membuatkan mata
Khalida berpinar. Selama ini Ilham mainkan aku saja ke?
“Saya tak
faham dan saya tak percaya kata-kata Encik Rosdi, selama ini Ilham sayangkan
saya,” pertahan Khalida. Rancangan orang
jahat kut semua ini, sebab nak pisahkan kami.
“Puan
patut dengar rakaman yang saya sempat rakam sebelum puan kemalangan,” kata
Encik Rosdi terus dibukanya telefon bimbitnya itu.
“Aku akan
buat apa saja untuk mendapatkan Khalida kembali, biar apa pun terjadi saham
syarikat tu mesti jadi hak aku,” itu memang suara Ilham pun. Khalida terdiam.
Lemah seluruh badan. Kalau tak boleh jalan lagi, memang dia tidak mampu untuk
berjalan sampai bila-bila, sebaik saja mendengar ucapan ini.
“Saya
terpaksa beritahu puan, kerana saya tidak mahu puan dipermainkan oleh Encik
Ilham!”
“Bukan
sepatutnya awak perlu berahsia ke?” soal Khalida.
“Tak
tergamak nak berahsia dengan puan sebab puan baik sangat!” jawab Encik Rosdi.
Dalam hati
rasa perit sangat sebaik saja mendengar pengakuan itu. Jadi selama ini, aku
kena tipu lah. Patut lah beria sangat nak anak, rupanya sebab saham syarikat.
35 peratus kalau jatuh kat tangan orang lain boleh ranap syarikat ini.
Tetapi
alhamdulillah, sebab tahu semua ini selepas boleh jalan semula dan rasanya tak
ada masalah untuk bangun kali ini. Semangat pun dah kuat sangat.
Khalida
menunggu kepulangan Ilham dari johor. Menunggu dengan penuh sabar. Kata-kata
Tila dan Encik Rosdi datang silih berganti di dalam kotak fikirannya. Niatnya
untuk segera pulang ke kampung terpaksa di batalkan kerana hal ini. Kali ini
Khalida sudah bersiap sedia dengan segala jawapan yang akan Ilham berikan.
Tengok
Ilham penat sangat, jadi dibiarkan Ilham berehat dan menenangkan dirinya. Oleh kerana tidak mahu menganggu Ilham,
Khalida pura-pura terlena saja, sebab jam sudah menunjukkan ke angka sebelah
malam.
“Kenapa
nie, diam saja?” tegur Ilham. Kat mana nak mula yer sedangkan hati aku kecewa
sangat dengan kata-kata Encik Rosdi tadi. Hancur segala harapan.
“Kenapa
abang tak cakap sebenarnya abang baik dengan Lida sebab saham syarikat saja,”
kata Khalida, tenang saja.
“Lida
cakap apa nie, abang tak faham lah!”
“Encik
Rosdi datang dan ceritakan segala kat Lida termasuk rakaman suara abang. Kalau
setakat nak selamatkan harta tu, Lida akan tolong abang, tetapi jangan mainkan
perasaan Lida, boleh tak?” beritahu Khalida. Buat susah hati saja kalau aku
simpan rahsia ini.
“Yang tu
cerita lama lah, yang saham tu betul, atuk yang
buat wasiat gila macam tu, yang tentang pengakuan abang tu, itu sebelum
abang jatuh cinta kat Lida lagi,” jawab Ilham bersahaja saja. Tak ada masalah
pun. Aku fikir macam nak pecah kepala sejak dari pejabat tadi.
“Susah nak
percaya kali ini, abang dah sakitkan hati Lida. Setelah Lida serahkan
segala-galanya kat abang, jadi macam ini pula?” kata Khalida sebak. Kali ini
rasa mahu menangis saja kerana hatinya tidak sekuat dulu. Dia sayangkan Ilham
sepenuh hatinya.
“Habis
yang Lida nak menangis nie kenapa, Lida kan kuat!” usik Ilham. Tak sempat pun
nak fikir yang Rosdi akan buat perkara ini kepadanya. Dulu dia memang salah,
sekarang dia sedang memperbetulkan setiap kesalahan.
Khalida
mahu keluar dari bilik tetapi Ilham menahannya.
“Dengar
dulu apa abang nak cakap,” pujuk Ilham.
“Apa?”
“Lida kena
tolong abang untuk dapatkan saham syarikat tu, jangan biarkan saham tu jatuh
kat tangan orang lain, lagi pun Lida dah tahu kenapa dan mengapa abang nak Lida
mengandung cepat. Kita hanya ada masa tak sampai setahun saja lagi,” kata ilham
kebimbangan. 35 peratus itu adalah saham atuk Ku Ibrahim sendiri. Dia, Lida,
Tila, hanya diberikan 5 % saja. Papa dapat 15 peratus sebab dia anak lelaki.
Adik-adik papa dapat seorang 10 peratus, tetapi yag paling banyak adalah saham
kepunyaan atuk. Kalau jatuh ke tangan orang lain, habis lah syarikat.
“Pujuk apa
macam ini? Jadi abang lebih pentingkan saham syarikat dari Lida?”
“Lida nie
kalau abang cakap abang sayang, cinta kat Lida pun tak guna lah, abang akan
buktikan cinta abang kat Lida,” kata Ilham.
“Biar lah,
Lida tak nak tolong abang. Bukan harta Lida pun. Nak lahirkan anak semata-mata
kerana harta, tak nak lah Lida. Lain lah kerana kasih sayang, zuriat dan
keturunan. Abang lahir anak abang tu sendiri. Lida bukan dapat apa pun,” kata
Khalida, sakit hati dengan perangai Ilham malam ini.
Ilham
mengeluh panjang.
“Atuk buat
macam itu sebab nak ikat kasih sayang kita lah, sayang. Dia sayangkan kita, jadi atuk sebenarnya nak
ajar abang supaya jangan tinggalkan Lida buat selama-lamanya dengan kehadiran
anak-anak kita. Itu pun tak boleh nak fikir ke? Tolong lah jangan dengar cakap
orang sangat,” rayu Ilham sambil datang ke arah Khalida. Ditariknya Khalida
dekat dengan hatinya.
“Lida tak
nak juga”
“Semasa
atuk buat wasiat ni, kita kan tak sehaluan. Maksud atuk jelas sangat, dia mahu
abang ada anak dengan Lida, dan jangan dengan perempuan lain sebab atuk tu
sayang sangat dekat Lida. Baca elok-elok tak surat perjanjian tadi atau baca
sepintas lalu saja?” soal Ilham dah rasa nak telan isterinya ini. Diari mak pun
lida baca sepintas lalu.
“Baca
sepintas lalu,” beritahu Khalida.
“saham tu
bukan dapat kat abang pun, dapat kat anak-anak Lida, tertulis macam tu kat
wasiat tu,” terang Ilham lagi. Dia suka latah, suka tembak orang sesuka hati
dan boleh pula percaya cakap orang bulat-bulat.
“Tak tahu
pun tadi,”
“Awak tu
banyak musuh, suami awak pun ramai musuh juga, jadi jangan percaya sangat
dengan kata-kata musuh awak, faham tak? Kalau tak sebab harta tu pun, abang nak
ada anak dengan Lida juga, sebagai pengikat kasih sayang kita. Biar lah kita
jadi kuli Puan Nora dan Puan Zaitun tu, biarlah atuk kecewa dengan kita,
asalkan Lida bahagia, abang turut semua kehendak Lida, boleh gitu?”
Khalida
mula tersenyum. Hati mula berbunga-bunga kembali. Wajah
yang murung mula berubah menjadi ceria.
“Susah
kahwin dengan orang macam abang, asyik berkaitan dengan harta saja. Dulu mak
dan papa terpisah kerana harta juga,” rungut Khalida. Ilham mengelengkan
kepalanya.
Susah nak
jinakkan hati Khalida sebenarnya.