Susahnya mak nak buat keputusan. Papa tengah tunggu
jawapan. Tengah hari tadi papa datang, dan kami sempat makan tengah hari
bersama-sama tetapi mak tetap membisu. Mak nie, Ilham pujuk, papa pujuk, Lida
rayu pun, mak tetap tidak memberi apa-apa keputusan. Diam saja!
“Seminggu dah berlalu, mak tak cakap apa pun. Syarikat
kita tu bukannya boleh tinggal lama-lama,” kata Khalida sambil meletakkan
kepalanya di atas lengan kanan Ilham.
“Nak kena balik tengok syarikat. Kak Nita cakap papa pun
tak masuk ofis, semua ahli keluarga Ilham tak ada, boleh lingkup syarikat kita
tu,” kata Ilham. Dia pun risau juga
dengan syarikatnya.
“Kenapa dengan mak agaknya yer? Lida rasa mak dah tak ada
apa-apa perasaan kat papa lagi, sebab tu mak tak nak kut!” teka Khalida.
Adik-adik semua turut memujuk dan merestui hubungan mak, tetapi mak tetap
membisu. Nenek serah perkara ini kepada mak saja.
“Cuba lida tanya mak elok-elok, berbincang dengan mak.
Lida kan anak perempuan mak,” suruh Ilham. Khalida mengeluh perlahan. Habis
idea sebenarnya nak memujuk mak kali ini.
Pagi ini keluar ke pasar bersama mak. Beli ikan, sayur dan
ayam. Mak nak masak ketam masak lemak bersama belimbing buluh. Belimbing buluh
yang mak tanam di belakang rumah. Dan masakan ini adalah kesukaan ayah dulu.
Siapa pun ayah pada mak, ayah tetap suami mak kan? Ayah yang mengongsi hidup
dengan mak, dan kami berempat adalah anak-anak mak dan ayah. Mungkin ayah bukan
lelaki yang mak cintai pada awalnya tetapi ayah pernah menjadi suami mak. Kami
terlalu memaksa mak untuk menerima papa kerana kasihan kan papa wal hal hati
mak siapa pun tidak cuba memahaminya.
“Hey perempuan!” panggil seorang perempuan yang datang
menyerang mereka berdua di pasar. Ah, dia ini lagi. Khalida memegang mak dan
melindungi maknya. Jangan mimpi nak apa-apakan mak aku kali ini.
“Apa lagi nie?” kata Khalida kuat. Geramnya melihat Zura
yang berdiri di sebelah Datin Rinie.
“Aku dengar mak kau nak kahwin dengan bekas suami aku?
Kau kahwin aku bunuh kau orang berdua kali ini,” ucap Datin Rinie sambil cuba
memukul Puan Naimah tetapi Khalida menepisnya kuat.
“Padan muka kau Lida, kau tak boleh mengandung sebab
kemalangan hari itu, sikit hari nanti Ilham akan tinggalkan kau kerana kau tak
boleh lahirkan anak untuk dia... ha .. ha... ha,” kata Zura pula sambil ketawa
mengilai. Macam hantu saja Khalida melihat.
“Aku mengandung ke tak boleh mengandung ke, itu bukan
kerja kau, Zura. Tapi aku kasihan dekat kau, dekat datin, sebab masih tak dapat
apa yang kau orang nak. Aku dah dapat Ilham, sikit hari nanti mak aku kahwin
dengan papa pula, kau orang berdua melepas!” jawab Khalida sambil tersenyum.
“Lida..,” sabar mak, sambil menarik tangan Khalida.
“Selamat sakit hati lah yer, datin. Zura. Mengilai tepi
jalan saja kerjanya, apa pun tak dapat,” kata Khalida sambil menolak dahi Zura
dengan kasar.
“Kau jangan cari pasal dengan aku, Lida!” pekik Zura mahu
menumbuk Khalida, tetapi dengan pantas Khalida menghalangnya dan menumbuk muka
Zura terlebih dahulu. Meraung Zura akibat pukul Khalida. Datin Rinie pula cuba
memukul Puan Naimah tetapi Puan Naimah sempat mengelak dan membalas pukulan
kepada Datin Rinie. Terkejut beruk Datin Rinie dengan tindakan Puan Naimah.
Kita orang memang orang kampung, tetapi keturunan kami ada silat gayong sejak
dari dulu lagi. Mak memang pandai bersilat sejak zaman muda lagi. Adik-adik pun
pandai bersilat juga, termasuk nenek di rumah. Cuma tak tunjuk saja.
“sebenarnya aku nak cakap, kau yang sepatutnya jangan
cari pasal dengan aku dan keluarga aku!” balas Khalida kembali.
“Jom, kita balik, jangan kita layan orang macam dia orang
ni,” ajak mak sambil menarik tangan Khalida.
Terpinga-pinga Datin Rinie dan Zura kali ini.
“Ini ke salah satu sebab mak tak nak dengan papa?” soal
Khalida ketika mereka berjalan menuju ke kereta. Mak takut dengan Datin Rinie
ke? Lida tak takut pun.
“Mak dah agak perkara ini akan berlaku. Zura marahkan Lida
sebab Lida merampas Ilham. Andainya mak kahwin dengan datuk razali, datin rinie
akan sengsara dengan perkahwinan mak nanti. Betul ke Lida tak boleh
mengandung?” soal mak yang mengambil alih tempat untuk memandu kereta. Khalida
duduk di sebelah tempat memandu.
“Baru sebulan berusaha, mak. Banyak masa lagi,” kata
Khalida. Tetapi kalau ikut wasiat hanya tinggal 11 bulan saja lagi.
“Lida kena jumpa doktor lah, tak pun bidan kampung untuk
berurut!” cadang mak.
“Doktor Rose dah beritahu Lida tak ada masalah untuk
mengandung, jangan lah mak risau,” tepis Khalida. Dia memang dah pergi berjumpa
Doktor Rose, Doktor yang merawatnya, dan kata Doktor Rose Khalida tidak ada
masalah untuk mengandung. Dan Ilham tak tahu pun perkara ini.
“Ada bidan kat kampung pandai berurut supaya mudah lekat,
nak cuba? Kalau nak esok mak bawa Lida ke rumahnya. Nak?” sambung mak lagi.
Khalida tersenyum. Mak pun tak sabar nak tengok Khalida mengandung rupanya. Mak
nie lawak lah, siap suruh berurut lagi.
“mak terima papa, lida pun tak perlu susah hati lagi,
jadi mudah lah Lida mengandung selepas ini,” kata Khalida sambil memegang
tangan mak.
“Ke situ pula kamu ni, Lida!” balas mak.
“Betul apa kata Lida ni,” pujuk Khalida lagi.
Mak terus diam sehingga sampai ke rumah. Kereta Datuk Razali
tersadai di depan rumah mereka.
“Papa datang tu mak,” kata Khalida terus keluar dari
kereta. Ambil barang-barang yang dibeli tadi terus masuk ikut pintu dapur.
Begitu juga dengan mak. Rupanya bukan papa tetapi nenek, Ku Salbiah yang
datang. Datang bersama Juhana, adik ipar Khalida. Sebaik saja Juhana nampak
Khalida, terus dia datang dan memeluk Khalida dengan erat.
“Bila akak nak balik, rindu lah nak gaduh dengan akak!”
kata Juhana. Khalida tersenyum.
“Esok lusa balik lah!”jawab Khalida. Memang nak balik
pun, risau hal pejabat. Mak datang sambil membawa air kopi bersama cucur
pisang.
“Jemput minum, puan!” pelawa Puan Naimah. Ku salbiah
mengangguk.
“Imah, maafkan mak cik, sebab hina Imah dan keluarga Imah
dulu. Mak cik tahu hati imah masih terluka dengan kata-kata mak cik dan pak cik
kau dulu. Kami bukan saja menghalang hubungan kau dengan razali tetapi turut
menghina kau dengan keluarga kau, sebab itu kau tak nak terima razali
sekarang,” ucap Ku Salbiah. Khalida memandang wajah mak dan nenek. Patutlah mak
tak nak kahwin dengan papa. Hati mak masih terluka rupanya.
“Saya tak kisah kena hina, puan. Tetapi hati saya sakit
sangat apabila puan dan keluarga pun hina Khalida dulu. Dia satu-satunya anak
perempuan saya. Sejak kecil dia hidup susah kerana saya, tak dapat kasih sayang
saya kerana sejak kecil berpisah jauh dengan saya, tetapi bila puan dan
keluarga puan hati saya sakit sangat!” luah mak. Mata mak bergenang dengan air
mata. Oo, kerana aku rupanya bukan kerana kisah lama.
“Mak, Lida dah bahagia sekarang. Nenek dah keluarga nenek
dah sayang saya, sayang sangat. Mak patut lupakan segala penderitaan kita.
Buang yang keruh ambil yang jernih, mak!” pujuk Khalida sambil datang ke arah
Puan Naimah.
“Betul kata Khalida tu, Imah. Mak cik datang untuk
menyambung kisah cinta lama yang masih subur di hati anak lelaki mak cik tu,”
luah Ku Salbiah.
Harap pujukan dari nenek boleh melembutkan hati mak kali
ini. Khalida terus tinggalkan mak, nenek dan Ku Salbiah.
“Lida, datang sekejap!” panggil Ilham sambil mengamit Khalida
keluar dari rumah. Apa hal pulak nie?
“Kenapa, bang?” soal Khalida ketika mereka sampai di
bawah pohon cempedak.
“Mama buat laporan polis, katanya Lida dan mak pukul dia
dan Zura, betul ke?” soal Ilham. Cepatnya Datin Rinie buat tindakan. Aku tak takut
sebab ramai orang kampung melihat tadi. Dan orang kampung semua baik dengan
keluarga kami. Boleh lah jadi saksi kami.
“Kah kah kah,” khalida ketawa kuat sekali.
“Lida nie suka buat abang susah hati, kalau jadi apa-apa
kat Lida, siapa yang susah, abang juga yang susah nanti. Satu lagi kena ingat,
mana tau dalam perut tu ada isi ke, tak ke haru tu,” kata ilham, bimbang akan
keselamatan Khalida dan mak mentuanya.
“Orang dalam rumah ini sebut 44 kali, sahih Lida
mengandung!” kata Khalida sambil memeluk badan Ilham. Selesa dapat peluk suami
tercinta.
“Lida, mama dan Zura tu sanggup buat apa saja lah, Lida
tak takut ke?”
“Takut atau tak takut, dia orang tetap ganggu kita. Jadi
sebelum dia orang pukul Lida dan mak, baik kami pukul dulu dia orang tu,” jelas
Khalida.
“Lida pukul mama?”
“Bukan. Mak yang pukul mama. Lida pukul Zura,” lalu
diceritakan apa yang berlaku di pasar tadi.
“Lida ni...,” kata Ilham. Geram sangat dengan sikap
Khalida hari ini.
“Abang tahu, nenek tengah pujuk mak kat dalam tu. Rasanya
kali ini berjaya kut!” beritahu Khalida.
“Alhamdulillah, harap-harap berjaya. Lida, boleh tak
kalau nak ke mana-mana, beritahu abang, dan biar abang yang jaga Lida,” pesan
Ilham. Bimbang sangat kali ini.
“Lida, boleh jaga diri Lida lah, tak usah risau!”
“Kenapa susah sangat nak ikut cakap suami Lida sendiri,”
kata Ilham sambil menarik telinga Khalida.