Jojo memandu dengan
senang hati. Dia bersiul-siul mengikut rentak joget yang dimainkan oleh DJ Radio Klasik. Tiba-tiba perutnya berkeroncong
lapar. Dia memang tidak kuat menahan lapar. Angin gastrik yang ada dalam
perutnya cepat menyerang usus.
Lalu dia terpaksa mencari
restoren atau tempat makan yang terdekat. Sambil memandu, matanya melilau
mencari.
Ketika matanya melilau
mencari itu, sebuah motorsikal melintasi keretanya. Dia membrek tetapi agak
malang, dia terlanggar juga motorsikal itu. Penunggang motorsikal itu jatuh terpelanting.
Dengan cepat dia keluar
dari kereta. Orang ramai mula berkerumun.
Penunggang motor itu
seorang anak muda. Dia berjaket hitam dan berseluar panjang biru. Dahinya berdarah dan dia terlentang, mengerang
kesakitan.
“Awak tak apa-apa?”
tanya Jojo dengan panik. Untuk pertama kali sejak ada lesen memandu dia terlibat
dengan kemalangan begitu.
“Tak apa-apa apanya?
Awak tak tengok ke dia berdarah ni?” sergah seorang lelaki yang ada di situ.
“Maafkan saya. Mari
saya bawa ke klinik,” kata Jojo.
Anak muda itu diam.
Ternyata dia dalam keadaan lemah dan panik.
“Awak kena buat
report ni dik. Jangan biarkan orang
macam ni terlepas dari undang-undang. Dia ingat dia bawa kereta besar dan
mewah, dia boleh langgar orang macam langgar anak ayam!” marah lelaki itu lagi.
“Encik, kalau dia ni
melintas dengan tiba-tiba depan encik, apa yang encik nak buat? Encik pun akan
langgar kan? Ini nasib baik saya tak laju. Kalau saya laju tadi, pecah kepala
dia!” Jojo hilang sabar.
“Ah! Buat laporan polis
saja dik. Jangan lepaskan dia!” kata lelaki itu, kasar.
“Baiklah. Mari kita ke
balai polis. Saya tak takut sebab saya tak salah. Encik tengok, ini jalan
siapa? Encik tengok itu, tanda apa? Tanda berhenti, tapi dia tak berhenti. Dia
ni terus je jalan macam dia sorang ada kat jalan raya ni. Jadi kalau nak ke
balai polis sangat, jomlah!” Jojo bangun dan berjalan ke kereta.
“E... encik... tunggu!
Tak payah report. Tolong bawa saya ke klinik. Sakit sangat ni...” kata anak
muda yang masih terbaring di atas jalan raya. Suaranya gemersik lembut!
Langkah Jojo terhenti.
Dia berpaling dan berjalan semula ke arah anak muda itu. Dia memimpin anak muda
itu ke kereta. Lelaki yang berkasar tadi segera angkat kaki, malu!
Orang ramai yang
berkerumun pun mula beredar.
“Motor awak tu macam
mana?” tanya Jojo setelah anak muda itu sudah didudukkan dengan selesa dalam
keretanya.
“Entahlah. Encik
tolonglah sorongkan ke tepi.”
“Nanti hilang macam
mana?”
“Encik tolak ke tepi
jalan tu. Nah, ini rantai dan kuncinya. Encik rantaikan saja pada tiang lampu
tu. Nanti lepas balik dari klinik, saya datang ambil motor saya ni.” Anak muda itu
menghulurkan rantai dan kunci yang dikeluarkan dari beg yang disandangnya.
Jojo akur. Dia menolak
motor anak muda itu ke arah sebatang
tiang lampu. Kemudian dia merantai dan menguncinya di situ. Tugas seterusnya
ialah mencari sebuah klinik.
“Maaflah, saya tak
biasa sangat dengan tempat ini. Boleh awak beritahu kat mana ada klinik?” tanya
Jojo selepas berlegar-legar mencari.
“Encik jalan ke depan
sikit kemudian belok kanan. Ada sebuah klinik kat situ. Aduh...” Anak muda itu
mengaduh sambil menekap dahinya dengan sehelai tisu.
Jojo segera menuju ke
tempat yang ditunjukkan. Tidak lama, dia berhenti betul-betul di hadapan
klinik. Dengan cepat, dia keluar. Seperti tadi, dia memimpin anak muda itu dan
dibawa masuk ke dalam klinik.
“Dia kemalangan. Tolong
berikan rawatan segera,” kata Jojo kepada kaki tangan klinik itu.
“Bawa dia masuk ke
bilik hujung sana. Kemudian encik boleh daftar di kaunter ya,” suruh seorang
staf yang ada.
Sekali lagi Jojo akur.
“Mana kad pengenalan
awak?” tanya Jojo selepas anak muda itu dibaringkan ke katil.
Anak muda itu nampak sangat
lemah. Dia tidak mampu membuka mata. Hanya tangannya meraba dalam beg
sandangnya dan mengeluarkan sebuah beg duit. Dia menghulurkan beg itu kepada
Jojo.
Jojo keluarkan kad
pengenalan dan tanpa melihat dia berjalan ke kaunter untuk membuat
pendaftaran. Kemudian dia disuruh duduk
dan tunggu kerana ada beberapa orang yang sedang dilayan.
“Najihah bt Rahman!”
panggil kerani di kaunter pendaftaran.
Tidak ada yang bangun.
Tidak ada yang memberikan reaksi. Termasuk Jojo. Dia diam, selamba sahaja. Nama
yang dipanggil tidak menyentuh mindanya.
“Encik, bukankah encik
yang bawa gadis tu tadi?” tanya staf di kaunter.
Jojo terpinga-pinga. Gadis?
Bukankah dia membawa seorang anak muda berjaket hitam berseluar panjang biru?
Mana ada gadis?
Jojo mencari. Dia
menoleh ke kiri dan ke kanan. Kemudian dia menoleh pula kepada staf yang
bertanya.
“Ya, encik.”
Jojo segera bangun
menuju ke kaunter.
“Encik tak kenal dia
ke?”
“Tak. Saya cuma tolong
hantar dia.”
Gadis itu angguk sambil
menghulurkan semula kad pengenalan selepas nama pemiliknya didaftar. Jojo kembali
ke tempat duduknya. Dia membelek kad pengenalan itu.
‘Hah? Dia seorang
gadis? Alamak, batal wuduk aku. Aku dah pimpin dia tadi.’ Bisik Jojo dalam
hati. Kemudian bibirnya menguntum senyuman. Rungutan hatinya itu dirasakan
lucu. Bila pula dia berwuduk?
Hampir setengah jam,
seorang pembantu klinik menolak gadis yang bernama Najihah itu keluar dari
bilik rawatan dengan langkah perlahan. Kakinya sudah dibalut bandage. Begitu
juga dengan kepalanya.
“Patah ke?” tanya Jojo
menghampiri Najihah.
“Taklah. Luka sikit
saja. Tak ada apa-apa. Jangan risaulah.” Gadis itu mula tersenyum. Wajah
pucatnya tadi mula hilang.
“Saya minta maaf,” kata
Jojo perlahan dan dengan rasa bersalah.
“Bukan salah encik.
Saya yang salah kerana gopoh sangat. Saya yang tak hati-hati.”
“Apa yang awak kejar?”
“Saya nak pergi kerja.
Dah lambat.”
“Kok ya pun, jangan
gopoh macam tu. Nasib baik kereta saya perlahan. Kalau tidak, arwah dah awak.”
Jojo cuba bergurau.
“Tak apalah. Mak saya
dapat insuran nyawa saya. Awak pula turun naik mahkamah. Mungkin awak pun
dipenjarakan kerana memandu laju dan melanggar orang!”
Jojo ketawa santai. Dia
rasa kagum dngan kepetahan Najihah menjawab.
Tidak lama nama Najihah
dipanggil. Jojo bangun dan segera ke kaunter. Bil dibayar dan dia menghulur
tangan untuk memimpin Najihah ke kereta.
“Tak apalah. Saya dah
boleh jalan sendiri.” Najihah menolak dengan lembut.
“Saya hantar awak balik
ke rumah. Di mana rumah awak,” kata Jojo selepas enjin kereta dihidupkan.
“Tak payahlah. Encik
hantar saja ke tempat motor saya tadi. Nanti saya jalan sendiri.”
“Heh! Macam mana awak
nak naik motor dengan kaki awak yang berbalut ni!” Jojo separuh menjerit.
Matanya melorot ke arah Najihah.
“Sikit saja ni. Boleh.
Encik tak payah nak susah-susah.”
Jojo akur. Kereta
diberhentikan di hadapan motor yang dikunci pada tiang lampu tadi.
“Terima kasih encik.
Saya minta maaf kerana susahkan encik.”
“Tak apa. Ini kad saya.
Dan ini ada sikit duit untuk membaiki motor awak. Kalau tak cukup, telefon
saya. Err... boleh saya dapatkan nombor telefon awak?” Jojo menghulurkan kad namanya.
“Untuk apa?”
“Mana tahu, kalau saya datang
ke bandar ini lagi saya boleh hubungi awak. Kita boleh berkawan kan?”
“Rasanya tak perlu
sangat kot!”
“Tak apalah kalau awak
tak sudi. Tapi, hubungi saya kalau duit ni tak cukup untuk baiki motor awak.”
“Kalau terlebih?”
“Saya halalkan. Anggap
itu sedekah saya,” jawab Jojo sambil masuk ke dalam kereta dan terus berlalu.