Semakin hari Abang Cik
pergi kerja dengan hati yang berat. Bukan dia seorang. Fitri, Nikko. Aida dan
Zakir pun ikut rasa hal yang sama.
Mereka geram dengan
mulut Cik Noni yang tidak pernah berhenti berleter. Setiap hari ada saja yang
tak kena di mata bos yang cantik itu. Lantai kotorlah. Meja berminyaklah. Ayam
goreng terlampau garinglah.
“Agaknya Cik Noni ni
beranak masa ayam tengah berketak nak bertelur,” bisik Nikko pada satu hari
selepas ditegur oleh Cik Noni.
“Aku rasa dia ni tak
ada teman lelaki,” balas Zakir pula.
“Ish! Pandai-pandai
saja kau ni. Mana kau tahu? Entah-entah teman lelaki dia anak raja.” Abang Cik
menyampuk.
“Raja kapor!” Fitri
mencelah.
Ketawa mereka pecah.
Hilang semua rasa geram dan marah kepada Cik Noni.
“Ikutkan hati, aku rasa
macam nak berhenti.” Fitri membuka hajat pada satu hari yang lain.
“Ish, janganlah. Kita
cuba bertahan selagi mampu. Ingat jasa Encik Puad kepada kita,” balas Abang Cik
pula.
“Mana pengurus baru
yang dia kata tu?”
“Dialah yang nak urus
semuanya. Dari dapur hingga ke juruwang, semua dia nak buat.”
“Aku suka kalau dia
duduk di meja juruwang. Jadi dia tak ada peluang nak merayap ke dapur,” kata
Aida.
Begitulah hari-hari
yang mereka lalui. Penuh dengan umpatan tak puas hati. Cik Noni semakin tidak
dihormati.
“Buat apa nak hormat
dia sedangkan dia sendiri tak pernah nak hormat kita,” kata Nikko ketika Abang
Cik menegur sikapnya yang jarang mengucapkan selamat pagi kepada Cik Noni.
“Yang kau nak marah
sangat dengan dia tu kenapa?”
“Sebab dia bos yang tak
pandai jadi bos. Dia jadi bos sebab dia anak bos. Pengalaman dan kepandaian,
kosong!” jawab Nikko mengetap bibir.
**
Tengah hari itu,
Restoren Ayam Goreng Cinta sangat lengang. Hanya dua meja yang ada pelanggan.
Itu pun minum air sahaja. Ayam goreng tidak dipesan.
“Kalau keadaan terus
macam ni, habislah restoren ini. Baik kita cari kerja lain sebelum kita dibuang
kerana Cik Noni tak mampu bayar gaji,” kata Fitri.
Semua diam merenung ke
arah meja-meja yang kosong. Kalau dulu, suasana tidak pernah lengang seperti
itu.
“Mungkin budak-budak
remaja yang kena marah dengan Cik Noni tu dah sebarkan cerita. Mungkin mereka
dah berpakat memboikot restoren ni,” kata Abang Cik pula.
“Mana bos kau, belum
sampai lagi?” tanya Fitri kepada Abang Cik.
“Bos aku tu bukan buah
hati kau ke? Bukan main lagi kau suka dia kan?” balas Abang Cik dengan ketawa.
Sebuah kereta berhenti
di hadapan restoren. Seorang lelaki keluar dan berjalan ke arah pintu restoren.
“Nampak macam orang tu
nak makan ayam goreng,” kata Nikko. Dia segera berjalan ke arah pintu dan
membukanya sebagai menghormati pelanggan. Itu yang diajar oleh Encik Puad
kepada mereka selama ini.
Yang lain-lain bersurai
ke tempat masing-masing.
“Ya, encik. Sila
masuk.” Nikko tunduk hormat.
“Oh! Cuaca sangat panas
di luar sana,” kata lelaki itu sambil melilau mencari tempat duduk yang sesuai.
“Benar encik. Dah lama
tak hujan. Cuaca panas dan berdebu,” kata Nikko dengan senyum basa basi.
Lelaki itu duduk dengan
selesa. Matanya melihat gambar-gambar menu yang ada di dinding.
“Berikan saya set makan
tengah hari tu. Ayamnya saya nak yang kurang pedas.” Lelaki itu membuat
pesanan. Nikko mencatit pada sehelai kertas yang ditarik dari dalam poket
bajunya.
“Minum apa, encik?”
“Eh, bukankah minuman
dah ada dalam set itu?”
“Memang dah ada. Mana
tahu encik nak buat pesanan lain,” jawab Nikko.
“Tak apa. Nanti saya
pesan lagi kalau saya nak.”
Nikko menghantar kertas
pesanan ke bahagian dapur. Dia menyiapkan minuman. Fitri berdiri di meja
juruwang. Sejak Cik Noni ambil alih, semuanya memang berubah. Dulu, pelanggan
datang ke meja dan membuat pesanan kemudian terus membayar. Sekarang, Cik Noni
nak pelanggan duduk dan pelayan restoren yang pergi mengambil pesanan.
“Dah macam restoren
mamak!” kata Zakir dengan ketawa.