Sejak seminggu, wajah
Najihah muram tidak berseri. Dia seperti orang hilang arah. Termenung dan
mengeluh. Berdiam diri dan tidak mesra. Fikirannya benar-benar terganggu. Dia
cuba melupakan semuanya. Namun, kata-kata Puan Rohana sangat menyakitkan
hatinya.
Kalau dia ada kuasa
ghaib, hendak benar dia mencekik wanita itu. Kalau dia hilang akal, hendak pula
dia bomohkan wanita itu hingga jadi sasau!
“Astaghfirullahhalazim...”
Dia mengucap panjang, menghalau syaitan yang cuba menghasut.
Jojo pula pulang ke
Kuala Lumpur atas urusan peribadi katanya. Najihah mampu meramal. Mungkin Jojo akan
berdepan dengan kehendak keluarganya. Puan Rohana akan mencari gadis terbaik untuk
Jojo. Biarlah. Taraf dan darjat mereka tidak sama.
“Awak jaga restoren
kita dengan baik. Saya ada hal seminggu di KL. Kalau semuanya dah selesai, saya
akan cepat balik ke sini.” Itu yang diberitahu oleh Jojo kepada Fitri dan Nikko.
“Bos ambil cuti
kenapa?” tanya Nikko kepada Najihah.
“Mana aku tahu. Kau
ingat aku ni PA dia ke?”
“Eh, kau kan rapat
dengan dia. Takkan pak we tak cakap dengan mak we ke mana dia nak pergi?” tanya
Nikko dengan ketawa. Dengan cepat, Najihah mencubit bahu Nikko hingga suara
mengaduh Nikko memenuhi restoren itu.
“Wah, bos tak ada kau
orang seronok bersantai-santai ya!” Muncul Fitri menyergah dari belakang.
“Apa yang seronok
sangat ni?” tanya Fitri, ingin berkongsi cerita.
“Ni ha, ada mak we yang
kena tinggal dengan pak we. Tengok wajah dia, muram dan hilang cahaya.”
Najihah tunduk. Kali
ini dia tidak berniat untuk membalas kata-kata Nikko.
“Boleh aku tanya kau
sikit, Jihah?” tanya Fitri lagi.
Najihah mengangguk.
Namun matanya masih merenung lantai.
“Aku tengok, sejak
seminggu ni kau tak ceria. Kenapa? Kau ada masalah dengan bos?” Kalau masalah
kerja, bolehlah aku bantu. Tapi kalau masalah hati, tak pandailah pula aku.”
Najihah tetap membatu.
“Fit, dia mana nak
kongsi cerita dengan kita lagi. Sejak dia baik dengan bos, dia dah tak perlukan
kita lagi.” Suara Nikko tiba-tiba berubah nada.
“Apa kau cakap ni? Aku
tak pernah anggap kau berdua macam tu. Kau tahu aku tak ada kawan yang lain
selain kau berdua, kan?” Najihah melenting.
“Habis, kau sekarang
semakin diam dan tak banyak bercakap dengan kami. Aku rasa ada perkara yang
sedang kau fikir, tapi kau rahsiakan dari kami,” balas Nikko pula.
“Benar Jihah. Kalau kau
anggap kami ni sahabat kau, apa salahnya kau ceritakan apa yang sedang
mengganggu kau. Mana tahu kami dapat tolong.”
“Terima kasih atas perhatian
kau berdua pada aku. Tapi, aku rasa kali ini aku tak dapat nak kongsi masalah
ini dengan kau berdua. Ini masalah yang sangat peribadi. Maafkan aku,” kata
Najihah sambil merenung wajah Fitri bersilih ganti dengan Nikko.
“Kalau macam tu, tak
apalah. Kami tak akan paksa kau. Tapi kau kena tahu satu perkara bahawa di saat
kau susah dan sedih, carilah kami.” Nikko bersungguh.
“Ya, aku tahu. Kau
berdua memang sahabat yang baik. Aku rasa selamat setiap kali berada di sisi
kau berdua.”
“Nasib baik kan? Kalau
kami jenis jantan buaya, dah lama kami ngap kau!” gurau Nikko cuba meredakan
suasana.
Najihah mula tersenyum.
“Aku suka tengok kau
senyum macam ni. Silap-silap aku boleh jatuh cinta,” kata Nikko lagi.
Najihah pura-pura
mengilai. Nikko menoleh ke arah Fitri. Wajah Fitri yang sedia kusam diamati
lama. Lalu Nikko segera bangun. Dia sengaja meninggalkan kedua-duanya di situ.
Dia sengaja memberi peluang Fitri meluahkan rasa kepada Najihah sementara Jojo
tiada di situ.