Acik rasa macam nak
demam. Apa tidaknya, selepas kemalangan terus pergi kerja. Badan yang sakit
langsung tidak direhatkan. Semua urat masuk angin dan mengkal.
“Minum ubat ni, acik.”
Syaida menghulurkan ubat yang diambil dari beg galas acik. Mak Cik Hasiah hanya
memerhati acik yang terbaring lemah. Tiba-tiba hatinya belas melihat keadaan
anaknya.
“Dah tahu sakit, buat
apa tak balik dan rehat saja. Kalau acik demam, kan susah jadinya,” kata Mak Cik Hasiah.
“Entah acik ni. Tak
payahlah nak tunjuk rajin dan bodek syarikat. Yang kaya mereka juga. Acik
sampai bila pun tetap jadi kuli,” tambah Nana.
“Acik tak apa-apa. Cuma
letih saja. Nanti kalau dah tidur, esok pagi baiklah ni,” balas acik, mengerat
kebimbangan di hati ibu dan adik-adiknya.
Selepas seketika, Acik
tertidur. Samada kerana ubat yang dimakannya atau kerana dia memang benar-benar
letih. Dengkurnya halus dan teratur.
“Kamu semua kena ingat
jasa acik pada kamu. Belajar rajin-rajin. Kalau mak dah tak ada, ingat semua
susah payah dia ni. Dia sanggup tak sambung belajar kerana kamu. Walhal dia
bukan tak pandai. Dia pelajar cemerlang. Sayangnya...”
“Mak, kami tak akan
sia-siakan jasa acik pada kami.” Nana segera memotong cakap Mak Cik Hasiah. Dia
tidak mahu ibunya terus rasa sedih.
Awal subuh, acik dah
terjaga. Dia rasa kepalanya berat. Namun dia gagahi untuk bangun. Dia tidak
mahu manjakan diri sangat. Dengan cepat dia mencapai tuala dan terus ke bilik
mandi.
“Acik dah bangun? Macam
mana rasanya?” tegur Mak Cik Hasiah yang sudah siap berwuduk.
“Alhamdulillah, ringan
sikit rasanya mak. Mak jangan risaulah. Acik tak apa-apa.”
“Luka di lutut tu?”
“Ni yang tengah fikir
ni. Pedih kalau kena air. Tak boleh nak lipat. Kenalah solat kat kerusi saja,”
jawab acik menunjukkan luka pada lututnya. Kain pembalut dibuka. Kering. Tidak
ada darah lagi. Hatinya rasa senang.
“Lain kali naik motor
tu hati-hatilah sikit. Jangan nak kelam kabut sangat.” Mak Cik Hasiah masuk ke
bilik. Dia membentangkan sejadah dan mula mengerjakan solat subuh.
Acik mula mandi. Ketika
membasuh rambutnya yang pendek itu, dia teringatkan peristiwa dilanggar lelaki
berkereta mewah itu.
‘Kacak juga mamat tu.’
Tiba-tiba pula dia
berkhayal berjalan berpegangan tangan dengan lelaki itu. Sangat mesra.
“Ish! Apa aku ni. Kalau
dia kacak macam Brad Pitt pun, takkan dia nak pandang aku.’ Acik menepuk
dahinya dan dia tersenyum sendiri. Sungguh nakal fikirannya pagi itu.
Usai solat subuh. Dia
berbaring seketika sementara menunggu masa untuk pergi kerja. Dia teringat
kepada kata-kata Encik Puad. Hari ini Restoren Ayam Goreng Cinta akan diuruskan
oleh bos baru, Cik Noni.
‘Entah macam mana
rupanya? Baikkah dia?’ Soalan itu memenuhi fikirannya. Encik Puad, bos yang
baik. Tidak lokek dan sangat bertimbang rasa terhadap pekerja. Apakah anak
perempuannya memiliki sikap yang sama?
“Acik fikir apa ni?
Dari tadi mak tengok acik termenung, terkelip-kelip,” tegur Mak Cik Hasiah
menepuk bahu acik.
“Tak ada apa mak. Acik
tengah fikirkan pasal bos baru kami. Cik Noni, anak perempuan Encik Puad yang
ambil alih restoren hari ni. Acik bimbang kalau dia tak sebaik ayahnya.”
Mak Cik Hasiah
termenung sejenak.
“Berdoa yang baik-baik.
Jangan difikir benda yang belum jadi.”
Acik angguk. Benar kata
ibunya. Kenapa nak fikir sangat. Kalau dia baik, alhamdulillah. Kalau dia tak
seperti ayahnya, buat keputusan berhenti. Berhenti? Alamak, itu satu-satunya
yang sangat dibimbangi.
“Acik, jom sarapan!”
panggil Nana dari dapur. Suara itu melantun kuat.
Acik bangun dan
berjalan ke arah meja makan. Meja itu sangat lama usianya. Modelnya pun model
lama tetapi kayunya masih kuat. Jadi, Nana dan Syaida yang memang kreatif telah
menjahit alas meja beropol. Jadi ia nampak cantik dan kemas.
“Kuat ke? Nana rasa
macam perlahan je Nana panggil acik!” Nana menyeringai.
“Yalah, rumah kita ni
bukannya besar acik. Kiri kanan dinding. Bercakap perlahan pun bunyi kuat. Apa
lagi waktu pagi macam ni.” Mak Cik Hasiah pula menyebelahi Nana.
“Anak gadis tak baik
cakap kuat dan memekik. Tak sopan. Nanti tak ada orang nak pinang Nana. Nanti
Nana jadi anak dara tua.” Acik menyuap mihun goreng dengan bismillah.
Syaida ketawa mendengar
kata-kata acik. Munirah juga.
“Ni kenapa semua orang
ketawa ni? Acik cakap salah ke?”
“Acik cakap betul. Kami
tak boleh cakap kuat nanti tak ada orang pinang. Nanti jadi anak dara tua,
macam...” Nana terhenti. Dia menutup mulut dan wajahnya mula kesal.
“Macam acik?” Acik
menjengilkan matanya ke arah ketiga-tiga adiknya. Wajah mereka berubah pucat.
Tidak lama, acik ketawa
santai. Dalam hati dia sedang membenarkan kata-kata Nana. Umurnya sudah hampir
dua puluh lapan tahun. Usia yang sangat sesuai untuk berumah tangga dan ada
anak. Tetapi, dalam seumur hidupnya dia belum pernah jatuh cinta. Dia tidak
pernah ada teman lelaki. Tidak pernah ingat pun untuk mencari teman lelaki. Akalnya
hanya sibuk mengatur strategi mencari duit untuk ibu dan adik-adiknya.
“Kamu ingat acik tak
nak kahwin ke? Acik nak kahwin, tapi sebab acik ni tak lawa siapa yang nak.
Sekolah pun tak tinggi. Setakat kerja goreng ayam di restoren tu, siapa yang
nak?”
“Acik, maafkan Nana.”
Nana menghampiri acik dan memeluk bahu acik. Dia tidak berniat untuk melukakan
hati acik. Dia sekadar bergurau.
“Tak apa. Kenyataan
kan? Memang acik dah anak dara tua. Mungkin kamu semua akan kahwin dulu dari
acik.”
“Kenapa pula?” tanya
Syaida.
“Sebab kamu semua
cantik. Kalau kamu belajar dengan rajin, kamu akan jadi orang terpelajar.
Mungkin akan kerja bagus. Tak macam acik ni...” jawab acik dengan nada merajuk.
“Acik, mak tak suka
acik cakap macam tu. Anak-anak mak semua cantik. Acik juga pandai. Cuma keadaan
yang tak mengizinkan acik belajar tinggi. Hari ini mungkin acik tukang goreng
ayam di restoren orang. Mana tahu, dengan izin ALLAH acik akan jadi taukeh
restoren yang mengarahkan orang lain goreng ayam. Tak mustahil kan? Mak akan
doakan acik,” kata Mak Cik Hasiah pula. Dia memang tidak rela kalau acik rasa
macam tu.
Acik ketawa.
“Mak doakan juga acik
jumpa putera raja atau anak hartawan sebagai suami acik. Jadi taklah acik nanti
jadi anak dara tua. Boleh?” Acik kerdipkan mata kepada Mak Cik Hasiah.
“InsyaALLAH... satu
hari anak nak akan jumpa lelaki yang kacak, kaya dan ada semuanya.”
Ketawa acik semakin
kuat.
“Kenapa ketawa pulak?”
tanya Mak Cik Hasiah.
“Acik teringat cerita
Cinderelella. Seorang gadis miskin yang berkahwin dengan putera raja. Dongeng
kan?”
“Tak ada yang dongeng.
Semua dengan izin ALLAH,” balas Mak Cik Hasiah dengan penuh yakin.
Acik mengunyah dengan
tersenyum-senyum. Terbayang dia bersanding dengan seorang lelaki kacak dalam
majlis yang mewah. Sangat gilang gemilang.
“Acik, tumpah mi tu!”
tegur Munirah ketika melihat acik hanya memegang sudu tetapi tidak menyuapnya
ke mulut.
Acik tersedar. Malunya melata
ke seluruh tubuh!