Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
50,066
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

“Awak ingat restoren ni bapak awak punya? Tengok, awak goreng ayam ni macam mana? Membazir minyak tau tak?”

Aida dan Zakir terkebil-kebil.

“Dah dua tahun saya kerja menggoreng ayam ni, Cik Noni. Inilah caranya. Ini yang diajar oleh Encik Puad kepada saya,” jawab Aida.

“Benar, Cik Noni. Mana ada cara lain lagi selain cara ini,” sokong Zakir pula.

Cik Noni berpaling ke arah Zakir dan merenungnya tajam.

“Saya tak suka orang bantah cakap saya! Kan saya kata, mulai hari ini saya nak awak kerja dengan arahan dan peraturan saya. Papa saya dah serah restoren ni kepada saya. Jadi saya tak nak ada bayangan dia dalam restoren ini. Ingat! Ini restoren saya. Bukan lagi restoren papa saya!” Suara Cik Noni semakin meninggi.

Hati Abang Cik semakin tak keruan. Hati Fitri sebagai pengurus di situ, lagilah huru hara.

“Cik Noni, mereka ini pekerja yang sangat terlatih.” Fitri muncul membela Aida dan Zakir.

“Saya ada tanya awak ke?” Cik Noni berpaling kepada Fitri.

“Saya pengurus di sini. Kalau ada yang tak kena, Cik Noni kena tanya saya. Ini pekerja di bawah jagaan saya. Kami dah lama kerja di sini!” Suara Fitri ikut meninggi.

Abang Cik menarik tangan Fitri. Dia tidak mahu keadaan bertambah kecoh. Tak baik bergaduh di pagi hari ketika bisnes akan dimulakan. Itu fikir Abang Cik.

“Siapa yang lantik awak sebagai pengurus? Saya belum buat apa-apa perlantikan lagi.”

Fitri dan Abang Cik berpandangan. Nikko ikut terkejut dengan kata-kata Cik Noni itu.

“Saya akan lantik pengurus yang lain. Saya akan ambil yang berpelaran tinggi dan berpengalaman. Awak dah jadi pengurus untuk restoren ni berapa lama? Tengok apa yang awak buat? Restoren ni tetap macam ni juga,” sambung Cik Noni dengan senyum sinis.

Hati Abang Cik menggelepar marah. Rasa macam mahu diganyang mulut Cik Noni yang berlipstik merah menyala itu. Rasa mahu pula menampar pipinya yang juga dimerahkan dengan pemerah pipi itu.

Dia berpaling kepada Fitri. Namun ketika itu sahabatnya itu tunduk merenung lantai. Dia seperti sedang merenung masa depannya. Kemudian dia menoleh kepada Nikko. Kebetulan Nikko juga sedang memandang kepadanya. Mata mereka bertembung. Rona marah dan sakit hati mewarnai wajah mereka.

“Cik Noni, mana boleh buat macam tu. Fitri ni orang kepercayaan Encik Puad. Belajar memang tak tinggi mana tetapi pengalaman menguruskan restoren ni memang tak ada yang boleh tandingi dia. Jadi, Cik Noni kena lantik dia sebagai pengurus di sini. Kami pun dah selesa kerja dengan dia,” kata Abang Cik cuba berhemah.

“Hei tomboy! Awak siapa nak ajar saya?” jerit Cik Noni dengan kuat.

Muka Abang Cik berubah merah. Tiba-tiba rasa hormatnya hilang. Rasa benci muncul berlipat ganda.

“Saya bukan nak ajar, tapi saya hanya cadangkan.”

“Tak payah nak beri cadangan. Saya lebih tahu apa yang saya nak buat. Awak jangan nak masuk campur sangat dalam urusan saya. Awak tu dibayar gaji untuk kerja bukan untuk memberi cadangan. Dah, pergi buat kerja masing-masing. Jangan nak menyibuk di sini! Tomboy! Lain kali jaga mulut awak! ” tengking Cik Noni.

Fitri dan Nikko menggenggam penumbuk. Namun, dengan cepat Abang Cik menarik mereka pergi dari situ.

“Jangan bertindak membabi buta. Sabar!” bisik Abang Cik.

“Aku tak sabar bila dia panggil kau macam tu,” balas Nikko.

“Aku geram nak ganyang mulut dia!” kata Fitri pula.

Abang Cik ketawa. Kedua-duanya jatuh hairan.

“Abang Cik! Kenapa kau ketawa?”

“Aku ketawa sebab tadi kau bukan main memuji Cik Noni kau tu! Kau sukakan bibirnya yang merekah bak delima tu. Sekarang, kenapa nak marah-marah pula,” jawab Abang Cik.

“Aku ingat, manis rupa manis juga budi bahasanya. Rupanya jauh panggang dari api,” kata Fitri dengan sebuah keluhan berat. Dia termenung. Fikirannya melata entah ke mana. Banyak perkara yang sedang menyerang otaknya ketika itu.

**


Previous: bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.