Abang Cik menghantar
pesanan ke meja lelaki itu. Hidangan ayam goreng yang panas berasap itu menusuk
hidungnya. Namun seleranya langsung tidak terbuka. Sudah dua tahun menghidu bau ayam goreng itu. Sudah muak.
“Silakan makan encik,”
kata Abang Cik ketika meletakkan hidangan itu.
Lelaki itu mendongak.
Mata mereka bertembung.
“E... encik?”
“Awak? Jadi awak kerja
di sini?”
Abang Cik angguk dengan
senyuman. Dia berpusing dan cuba melangkah pergi.
“Er... Cik Najihah,
tunggu sebentar,” kata lelaki itu sambil bangun, cuba menahan.
Langkah Abang Cik
terhenti. Dia berpaling semula dengan rasa terharu kerana lelaki itu masih
ingat namanya.
“Maafkan saya. Saya tak
sangka kita boleh jumpa di sini. Bagaimana dengan kaki dan luka-luka awak?”
“Dah sembuh. Kan dah
lama. Encik...”
“Jailani. Panggil saya
Jojo,” kata Jojo sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Maaflah, kita bukan
muhrim.” Abang Cik menolak huluran itu dengan lembut. Jojo terpinga-pinga malu.
Mungkin itu pertama kali tangannya ditolak oleh seorang gadis.
“Encok Jojo masih ingat
nama saya?” tanya Abang Cik, cuba meredakan perasaan Jojo.
“Ya. Saya tak pernah
lupa. Nama awak melekat di hati saya.” Jojo berkata dengan senyuman, Senyuman itu membuatkan dada Abang Cik
berdebar. Dia segera meninggalkan meja itu. Tidak baik berlama-lama di situ.
“Kau kenal dia?” tanya
Fitri ketika Abang Cik sampai di kaunter.
“Dia yang langgar aku
hari tu,” balas Abang Cik.
“Dia? Mari aku ajar
dia!” kata Fitri sambil menggenggam penumbuk.
“Heh! Tak usah nak
tunjuk sado kau dengan aku. Aku tak heran. Jangan nak cari pasal. Ini restoren
bukan pentas tinju. Karang muka kau yang aku tumbuk!” Abang Cik menarik tangan
Fitri. Kemudian dia mengacukan penumbuknya ke muka Fitri.
“Tumbuklah. Aku memang
rela muka aku kau tumbuk.”
“Kenapa?”
“Sebab penumbuk kau tu
penumbuk manja!” Fitri ketawa mengekek. Dia segera menjauh. Bimbang juga
hatinya kalau penumbuk Abang Cik jatuh ke tubuhnya.
Abang Cik mengejar.
Sebiji penumbuk mengena tubuh Fitri.
“Hah! Kan dah kena!”
kata Abang Cik dengan ketawa.
“Bos dah datang!” jerit
Nikko dari arah pintu. Abang Cik dan Fitri segera berpecah dan meneruskan kerja
masing-masing.
Cik Noni masuk ke
restoren bersama seorang wanita. Dia terus ke pejabatnya tanpa menoleh. Tidak
ada yang menyapanya kerana dia sendiri tidak pernah menyapa sesiapa.
“Mak tiri kau bawa mak
mertua dia pulak!” kata Abang Cik kepada Fitri pula. Mereka ketawa dengan suara
yang ditahan.
“Bro! Tolong kira!”
laung Jojo ke arah Fitri dan Abang Cik.
“Kau pergilah. Aku
malas nak layan Mamat tu,” kata Abang Cik.
“Bukan kau rindukan dia
ke?” Fitri masih ingin bergurau dengan Abang Cik.
“Eh, tadi bukan kau
yang kata nak tumbuk dia. Sekarang, aku beri kau peluang tu. Pergi ambil duit dia
dan tumbuk mukanya sekali!” suruh Abang Cik sambil menolak Fitri ke arah lelaki
yang bernama Jojo itu.
Fitri akur. Dia
berjalan ke arah meja Jojo dengan buku kecil dan pen di tangan.
“Bro, boleh panggilkan
kawan awak tu tak?” kata Jojo ketika Fitri sampai di mejanya.
“Siapa?” tanya Fitri
pula.
“Tu!” Jojo menunjukkan
ke arah Abang Cik yang masih berdiri di kaunter.
“Abang Cik?”
“Hah? Abang Cik?” Mata
Jojo terbuka luas. Kemudian dia tersenyum-senyum. Penampilan gadis itu ala-ala
tomboi menyebabkan panggilannya menjadi kontra dengan jantinanya.
Fitri mengira jumlah
yang perlu dibayar oleh Jojo. Kemudian dia menerima bayaran itu sebelum
melangkah ke kaunter.
“Mamat tu nak jumpa
kau. Pergilah.” Fitri menyuruh tanpa menoleh dan memandang muka Abang Cik.
“Ada apa?”
“Mana aku tahu. Pergi
je lah. Jangan sampai Cik Noni si mulut merah itu nampak!” sergah Fitri. Wajahnya
gusar. Hatinya tiba-tiba geram. Kenapa?