“Abang Cik! Akhirnya
kau datang juga bersama rindumu!” laung Nikko dari dalam ketika Abang Cik
menolak pintu Restoren Ayam Goreng Cinta.
“Banyaklah aku punya
rindu. Kau orang memang tak boleh tengok aku nak bercuti dan bergembira dengan
keluarga aku. Ada saja helah kau agar aku datang kerja. Kan?” Abang Cik
berpura-pura marah.
“Aku minta maaf. Memang
aku terpaksa panggil kau kerja. Zarith tak datang.” Fitri pula muncul membela
diri.
“Abang Cik, kau tahu
kuasa kau kat sini kan? Kalau kau tak ada, boleh tutup restoren ni.”Nikko
membodek. Fitri ketawa berdekah.
“Sudahlah. Tak kuasa
nak layan kau berdua. Baik aku mula kerja.” Abang Cik berjalan ke arah locker. Dia
ingin menyimpan topi keledar dan jeketnya. Jalannya yang berdengkut-dengkut dengan
lutut yang berbalut serta merta menarik perhatian Fitri dan Nikko.
“Abang Cik! Kau kenapa?”
Nikko menjerit, terkejut.
“Kemalangan.” Abang Cik
menjawab tanpa menoleh.
“Kemalangan ke
accident?” tanya Nikko lagi.
“Heh, kau cakap apa ni?
Samalah tu! Utamakan Bahasa Melayu. Kita ni orang Melayu.” Kali ini Abang Cik
menoleh. Dia membeliakkan mata ke arah Nikko.
“Oh! Sama ek?” Nikko
ketawa. Dia menutup mulut. Dia terlupa bahawa Abang Cik tidak suka kepada penggunaan
bahasa orang lain. Lebih tepat dia tidak suka kepada bahasa rojak yang
diamalkan oleh ramai anak muda sekarang.
“Siapa yang langgar
kau?” tanya Fitri pula.
“Sebuah kereta. Salah
aku juga, kelam kabut hingga tak tengok kiri kanan. Ini semua kau orang punya pasal.”
“Kenapa kami pulak?” tanya
Nikko.
“Kau orang yang panggil
aku kerja. Kalau aku cuti dan duduk di rumah hari ni, mungkin aku tak kemalangan
dan tak jumpa mamat tu.”
“Mamat yang langgar
kau? Nak kena Mamat ni!” Nikko menggenggam penumbuk. Dia mengacukan penumbuk
itu ke arah dinding.
“Sudahlah Nik. Kau tu
bukannya berani sangat. Jangan nak berlagak pahlawan dengan aku!” sergah Abang
Cik dengan ketawa kecil.
“Pahlawan ke hero?”
Nikko menyakat.
Abang Cik membalingkan
sebatang pen yang dicapai dari kaunter. Riuh rendah suasana di situ. Nasib baik
ketika itu tidak ada pelanggan.
“Abang Cik, doktor tak
beri cuti ke?” tanya Fitri.
“Ada, 2 hari.”
“Habis tu, kau
baliklah. Salah dari segi undang-undang buruh, diberi cuti sakit tetapi
bekerja,” kata Fitri.
“Apa kau ni? Tadi suruh
aku datang, sekarang suruh aku balik pulak? Kau ingat ini restoren ayah kau ke
suka-suka nak buat arahan macam tu?” Abang Cik berpura-pura marah.
“Aku tak main-main
Abang Cik. Lebih baik kau balik saja. Hal restoren ini, biarlah aku dan Nikko
yang tanggung,” kata Fitri bersungguh-sungguh.
Nikko angguk setuju. Wajah
masing-masing mula serius. Fitri tidak tersenyum. Nikko pula sudah berhenti
melawak. Suasana menjadi sangat serius.
“Kau berdua jangan
cakap macam tu. Aku tak apa-apa. Hanya kaki aku yang sakit sikit. Tapi kalau
aku tak berjalan, tak apa-apa. Jadi, bolehkah aku buat kerja sambil duduk dua
hari ni? Itupun kalau kau berdua nak aku tolong di sini,” kata Abang Cik.
“Aku setuju!” jerit Fitri
dengan wajah ceria
“Aku terpaksa setuju,”
kata Nikko perlahan.
“Kenapa?” tanya Abang
Cik.
“Sebab aku kena kerja
mengambil order, mengemas meja, melayan pelanggan. Sedangkan kau duduk goyang
kaki di meja cashier. Tapi, apa boleh
buat. Rupa aku tak secantik kau untuk buat Encik Fitri tergoda dan ikut saja
cakap kau!” Nikko ketawa. Dengan cepat dia melarikan diri. Dia tahu penumbuk
Fitri akan mengena di tubuhnya kalau dia masih tunggu di situ.
Fitri geram dengan
kata-kata Nikko. Merah padam mukanya. Merah bukan kerana marah tetapi kerana
malu. Dia ingin mengejar dan menumbuk Nikko. Tetapi dia ditahan oleh Abang Cik.
“Sudahlah. Dari tadi
kita dok sembang dan bergurau. Kita datang untuk kerja bukan untuk sembang-sembang.
Ayuh kerja!” Abang Cik berlalu ke kaunter.
Nikko dan Fitri
berpandangan. Akhirnya mereka pun berpecah untuk menjalankan tugas masing-masing.